Sunday 26 September 2010

Bahas Bahasa

Dengan nama Tuhan Yang Maha Penyayang.

Ada yang mempersoalkan. Tak kurang yang memperbahaskan. Tulisan asal penuh blog ini adalah berbahasa Inggeris, mengapa sudah berbahasa Melayu. Saya anak Melayu. Tapi saya belajar untuk fasih dua bahasa utama di universiti saya; Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Jika jawapan mudahnya: "suka hati saya"
Tapi secara profesional, jawapan itu tidak memenuhi syarat, malah mementingkan diri sendiri.


Alasan Bahasa Inggeris yang diguna sebagai bahasa utama di blog ini adalah untuk melatih diri untuk menulis lebih baik di dalam tesis yang sedang dikerjakan kini. Malah saya perlu mengajar di dalam Bahasa Inggeris. Jadi, adalah lebih baik saya memperbaiki diri saya sendiri yang serba kekurangan ini.

Sejujurnya, idea akan datang mencurah lebih dua kali ganda jika saya menggunakan Bahasa Ibunda Tanah Melayu ini. Saya bebas meluah rasa dalam berbicara. Saya selesa menggunakan apa sahaja gaya walaupun saya tidak pernah skor markah penuh di dalam subjek Bahasa Melayu ketika PMR dan SPM. Tapi ia bukan alasan untuk memperkecilkan bahasa ini. Bukankah bahasa budaya kita.

Bahasa Arab. Saya sangat sukakannya sejak sekolah rendah. Kini saya sangat merindui kelas Bahasa Arab yang disampaikan oleh para syeikh di UIAM. Masa saya sangat terbatas. Ada juga hasrat untuk menulis blog dalam bahasa syurga ini, InsyaAllah.

Bahasa German. Kelas yang saya ikuti sudah tertinggal jauh. Sedih. Barangkali sudah banyak yang kawan-kawan lain sudah peroleh berbanding saya. Masa kelas bahasa ini bertembung dengan waktu mengajar saya. InsyaAllah saya akan cuba usahakan mengganti semua kelas yang tertinggal. Kenapa German? Saya tiada jawapan.

Bahasa Jawa. Guru istimewa bahasa ini ialah ayah saya sendiri. Saya mahu belajar. Saya tidak mahu generasi saya kelak tidak tahu langsung bahasa ini. Tapi sayangnya, belajar dengan ayah sendiri sangat memerlukan disiplin yang kuat berbanding guru lain kerana kelasnya adalah rumah! Sungguh susah!

Jadi, usah mempertikai.

Terima Kasih.

*Info Foto: Timbunan buku ayah di rumah TG dalam pelbagai bahasa.

Thursday 23 September 2010

Pencinta Buku


Pada 21 September 2010, saya telah menyertai satu seminar sebagai santapan rohani di Aidilfitri ini setelah terlalu banyak menghadami santapan juadah istimewa Hari Raya. Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 telah diadakan di Bangunan ITNM anjuran ITNM dan Komuniti Buku Online. Rancangan asal pergi bersama sahabat tidak tercapai, tapi tidak menghalang untuk saya pergi berseorangan diri. Sebagai pencinta buku yang tegar, saya pasti akan bertemu ramai rakan baru yang kebanyakannya merupakan pencinta buku.

Seminar ini dirasmikan oleh LAT atau nama penuhnya YB Dato' Mohamed Nor Khalid. Ini kali pertama saya melihatnya secara langsung sekaligus mendengar perkongsian lucu dan pengalaman berharga daripada beliau. Saya kagum. Malah satu perkara yang saya tidak dapat nafikan ialah bakat itu anugerah Tuhan yang tidak boleh dijual beli.


Saya sangat teruja ketika Sidang 3 sedang dijalankan yang membariskan tiga tetamu undangan khas berkongsi kertas kerja mereka. Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Tuan Syed Nurul Akla Syed Abdullah yang merupakan seorang penterjemah karya hebat Ibn Battutah dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. 10 tahun proses penterjemahan bukanlah satu tempoh yang sedikit, malah usahanya itu adalah satu perjuangan di mana rakyat Malaysia boleh membaca kisah perjalanan Ibn Battutah mengelilingi dunia di dalam bahasa yang mudah difahami. Beliau berkongsi bahawa penterjemahan bukan sahaja memerlukan ketepatan, akan tetapi keindahan (estetika) di dalam penghayatan untuk membaca sesebuah karya.

Perkongsian Dr. Faisal Tehrani juga adalah di antara sesi yang saya nantikan. Beliau membincangkan konsep penterjemahan dari sudut sebagai seorang pengarang, dan telah menyatakan minat beliau terhadap karya terjemahan dari bahasa Parsi. Menarik. Sebelum ini saya tidak pernah terfikir mahu belajar bahasa ini berbanding Bahasa Arab yang sudah saya pelajari dari kecil, atau Bahasa Inggeris yang wajib di UIAM, atau Bahasa German yang kelasnya saya ikut sekali-sekala, atau Bahasa Perancis yang selalu saya kerling tertarik, atau Bahasa Urdu yang romantik. Mungkin satu hari nanti, saya mahu juga mencuri tahu beberapa perkataan bahasa Parsi yang mudah dan indah. Berbalik kepada FT, beliau mengambil dua contoh pemikir hebat; Ali Shariati (Syiah) dan Jalaluddin Rumi (Sunni), dengan membawa karya-karya mereka yang diterjemahkan ke dalam banyak bahasa dunia. Dari perbahasan beliau, ada juga kontroversi kecil tidak diundang samada dia sengaja atau tidak, tapi mendatangkan beberapa persoalan yang barangkali sudah mafhum oleh para pendengar. Saya tidak mahu mengulas banyak, tapi saya sangat tertarik dengan satu perkara, iaitu Rausyanfikir.


Perkataan rausyanfikir ini didengar pertama kali pada seminar bersama Syed Naquib al-Attas pada beberapa bulan yang lepas. Jujur saya tidak mengerti makna disebaliknya. Tapi FT berjaya merungkai maksud rausyanfikir itu dengan membuat perbandingan di antara rausyanfikir dan ilmuwan. FT juga telah mengambil kata nukilan Prof. Jalaluddin Rakhmat yang dimasukkan ke dalam kertas kerja. Ia berbunyi: "Rausyanfikir berbeza dengan ilmuwan. Seorang ilmuwan mencari kenyataan, seorang rausyanfikir mencari kebenaran. Ilmuwan hanya menampilkan fakta sebagaimana terdapat, rausyanfikir memberi penilaian sebagaimana seharusnya. Ilmuwan berbicara dengan bahasa universal, rausyanfikir berbicara seperti nabi dengan menggunakan bahasa kaumnya. Ilmuwan bersikap neutral dalam menjalankan pekerjaannya, rausyanfikir harus melibatkan diri pada ideologi. Sejarah, kata Shariati dibentuk hanya oleh kaum rausyanfikir." Jadi, adakah cukup hanya menjadi seorang ilmuwan atau rausyanfikir? Fikirkanlah...

Saya tidak menyokong seluruhnya dengan pandangan FT, tapi saya yakin dia ada sebab untuk berpandangan sedemikian. Malah dia pasti mengkaji sesuatu dengan mendalam. Ada sesuatu di dalam dia yang sering menarik perhatian saya, terutama pemikirannya. Walaupun demikian, satu bantahan berani terhadap pendapat FT telah diutarakan oleh seseorang melalu laman muka buku, dan sengaja saya sertakan di sini. Sila klik SINI untuk baca lebih lanjut. Ada juga pendapat yang dinyatakan di dalamnya yang perlu diambil kira.

Sesi selepas zuhur yang mengundang ngantuk kepada para peserta sebolehnya saya cuba gunakan sebaiknya. Saya tertarik dengan senarai buku-buku terhebat ketika sesi pembentangan oleh Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Banyak karya hebat yang saya tidak tahu tapi harus mengambil tahu selepas ini, tapi sayangnya ada banyak karya hebat tulisan Cendekiawan Islam yang tidak diketengahkan.

Perkongsian Tuan Kamil Zuhairi yang fasih berbahasa Parsi tidak kurang juga menariknya. Beliau membentangkan perspecktif sejarah tradisi intelektual Parsi, tapi memulakan perkongsian dengan memberi definisi tajuk seminar yang dihadiri peserta. Tertarik dengan kata-kata beliau: "Sungguh berat sebenarnya tanggungjawab sebagai seorang pencinta buku". Ya, sangat berat. Saya baru merasakan itu walaupun sudah memiliki beribu buku peribadi. Pencinta buku bukanlah hanya cinta kosong semata-mata, akan tetapi ia adalah cinta sebelah pihak yang harus disertai dengan pengorbanan untuk mencurahkan ilmu setelah menghadam isi sesebuah buku. Sebuah cinta hebat yang mekarnya tid ak akan pudar selagi ilmu berbekas di dada bukan hanya di atas kertas semata-mata..

Pameran buku-buku karya Ustaz Abdullah al-Qari

Perkongsian terakhir adalah satu sesi istimewa bersama Ustaz Abdullah al-Qari Hj Salleh, seorang penulis berusia 73 tahun yang telah menghasilkan lebih 300 buah buku, dan bukunya diterbitkan dan dijual sendiri oleh beliau. Sungguh tidak disangkakan tubuh kecilnya itu masih kuat, dan usia tua bukan penghalang, malah masih sangat rendah diri dengan mengharapkan keuntungan di Akhirat kelak. Memulakan dunia penulisan sejak berumur 15 tahun dan mengatakan pernah berjumpa Rasulullah di dalam mimpi. Wallahu'alam. Tapi usaha murninya menyebarkan dakwah melalui tulisan sangat disanjung tinggi dan dikagumi.

Alhamdulillah, puas hati walaupun hanya satu hari. Syukur juga kerana bertemu kenalan baru yang hebat-hebat. Moga jaringan yang dibina bukan hanya sementara, tapi berkekalan di atas dasar cintakan Allah dan wahyu pertama yang menuntut agar membaca.

"Shopping" buku di ITNM untuk bulan September.

Cintakan buku, terus maju..

Allah Mahu Tahu.

**Sebahagian gambar telah diambil dari SINI dan SINI.

Sunday 19 September 2010

"Pelajaran" Syawal

Alhamdulillah..

Segala puji bagi DIA yang menghadirkan segala nikmat. Ramadan sudah berlalu pergi, Syawal juga sudah genap 10 hari. Saya kini kembali ke kampus, melayari kehidupan sebagai pelajar juga masih belajar menjadi pengajar. Syawal kali ini saya banyak belajar sesuatu yang baru, jikalau ianya bukan baru, tapi saya hargai segala pelajaran di luar dewan kuliyah ini.

Solat Eid Surau Taman Gembira

Ini Syawal pertama tanpa Datuk di Singapura. Kebiasaan bermalam raya bersama beliau bermain-main di fikiran saya ketika menjelangnya takbir Syawal. Ini juga Syawal pertama di mana hanya Ayah, Emak, adik dan saya di rumah Taman Gembira. Jujur saya katakan sangat sunyi tanpa suara riuh anak saudara. Ini juga Syawal pertama yang saya rasakan saya rupanya sudah berumur suku abad. 25 tahun patutnya sudah matang tapi saya masih kebudak-budakan. Oh ya, ini juga Syawal pertama yang mengubah dekorasi rumah TG yang umurnya sebaya saya.

Tetamu Syawal pertama kali ini ialah tiga orang bukan berbangsa Melayu tapi tetamu setia Surau TG. Sedikit sebanyak menceriakan rumah kami. Kemudian hadir juga Abang Edi yang sudah seperti keluarga kami sendiri. Perjalanan pertama Syawal adalah ke kampung sebelah ayah di sekitar Batu Pahat Johor. Ini tradisi silaturrahim yang bertahun-tahun diajar ayah agar menziarahi sanak saudara yang lebih tua. Sepanjang perjalanan ke kampung yang bermula di Parit Abas dan berakhir di Air Tawar 3, saya banyak belajar keindahan dan kelembutan bahasa Jawa. Rugi. Saya yang merasa rugi kerana selalu melepaskan peluang belajar bahasa istimewa ini. Harapan agar niat mempelajari bahasa Jawa tidak akan pudar. Pelajaran yang ayah ajar untuk ziarah saudara akan saya ajar untuk generasi saya kelak InsyaAllah.


Orang tua saya sudah memulakan puasa enam Syawal pada hari kedua. Ini juga tradisi Sunnah yang sudah lama diamalkan mereka. Saya masih belum mampu berbuat sedemikian. Ini adalah pelajaran mengawal nafsu pada 'bulan makanan' dan Istiqamah dengan amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan.

Tradisi lain di Syawal ini juga diubah sedikit, ketika mana orang tua saya mahu berjalan jauh. Mungkin mahu tukar cuaca dan ubah rasa. Rancangan pertama ke Terengganu dibatalkan kerana hal tertentu, tapi perjalanan diteruskan ke Tenggaroh, Tanjung Leman dan Kuantan. Niat ke Pulau Sibu dan Air Papan diubah untuk bulan yang seterusnya, InsyaAllah. Pelajaran di Kuantan benar-benar menyayat hati saya. Ini kali pertama saya berjumpa dengan Tok Wan, datuk saudara jauh sebelah emak yang umurnya setahun lebih muda daripada ayah. Makcik saya yang turut serta dengan perjalanan kami menitiskan air mata saat pertama kali berjumpa beliau di Kuantan setelah lebih 4o tahun tidak bersua muka. Cerita lama yang dibongkar membuat saya terdiam dan berfikir banyak. Dan ini adalah Syawal pertama, saya dan adik membantu basuh pinggan mangkuk di sebuah kedai makan milik Tok Wan secara ikhlas tanpa gaji tapi puas hati mendapatkan pengalaman yang takkan dilupakan sepanjang hidup.


Silibus pelajaran Syawal ditambah lagi apabila ramai tetamu hadir pada Syawal kali ini. Saya tidak menang tangan kerana berseorangan membantu emak di dapur. Tambah tidak sampai hati jika hanya emak seorang di rumah menyiapkan semuanya. Rombongan Abang Saadon sekeluarga bertembung dengan rombongan Mak Usu sekeluarga. Pertama kali saya saksikan rumah 77 ini dipenuh terlalu ramai sanak saudara. Biarpun penat, saya puas hati. Fakta penting yang saya harus terima, semakin tua orang tua saya, semakin ramai tetamu di rumah TG ini.

Syawal ini juga menambah satu tanggungjawab besar untuk saya. Kehadiran JJU 2545 memberi pelajaran baru buat saya. Nasihat ayah dan emak yang berulang kali akan saya cuba lekatkan di minda. Saya lebih hargai nasihat2 itu berbanding "ikan kelisa" itu. Tanpa mereka, tiadalah hadirnya tanggungjawab baru ini.

Oh ya, ada satu lagi pelajaran baru di Syawal 1431H ini. Saya menemani rakan baik sahabat sejati saya ke Pejabat Agama Johor untuk mengambil borang permohonan nikah. Ops! bukan untuk saya, tapi hanya menemani sahabat yang bakal melangsungkan walimah akhir tahun ini. Sejujurnya saya yang berdebar-debar. Haha. Moga urusan sahabat saya ini dipermudahkan kerana pasangan hidup bukan hanya untuk sehari tapi berkekalan walau selepas mati. Moga ada yang sudi untuk hidup tua bersama saya dan menerima segala kelemahan diri. Yang penting, moga hati saya bersedia menerima apa adanya.


Kalau diikutkan hati, masih banyak pelajaran yang dipelajari, tapi yang dicatat ini adalah yang utama sebagai peringatan buat saya dan generasi saya. Kesederhaan Syawal kali ini cukup membuat saya bahagia. Moga segala amalan kita semua diterima dan saling memaafkan di antara satu sama lain walaupun bukan di bulan Syawal.

Salam Syawal Minal 'Aidin wal Faizin

Saadah Khair
10 Syawal 1431H/19 September 2010
Mahallah Sumayyah, UIAM Gombak

**Istilah belajar itu tidak akan pernah habis. "Learning Never Ending"

Saturday 11 September 2010

Salam Syawal


Eid Mubarak
Kullu 'Am wa Antum Toyyibin wa Alf Khayr
Minal 'Aidin wal Faizin

Tinten Riyadin kang Muliyo,
Kulo matur lapatan sing katah katah lahir batin. Semoge Allah pangeran nagmpun akeh doso kulo lan doso sampiyan, InsyaAllah..

Selamat Hari Raya IdulFitri Maaf Zahir dan Batin

Tulus Ikhlas,

Saadah Khair

Thursday 9 September 2010

Universiti Ramadan

Bismillahirrahmanirrahim

30 Ramadan. Ya, hari ini akan genaplah 30 hari kita berpuasa. Hati saya lebih sedih meninggalkan Ramadan berbanding gembira menyambut lebaran. Ada di benak yang tidak terungkap. Ada di fikiran yang tidak terluah. Hanya tulisan bisa ku titipkan peringatan untuk diri sendiri..

Sepanjang Ramadan ini, saya melalui dan mempelajari banyak perkara. Jujur saya katakan, saya sangat menghargai setiap detik di Ramadan kali ini.

Ibadah. Inilah yang paling utama. Walaupun syaitan dirantai, tapi Ramadan benar2 mengajar untuk melawan hawa nafsu gila. Tidak susah untuk beribadah. Ibadah itu bukan hanya solat atau duduk di masjid 24 jam sehari. Setiap amalan yang diniatkan kerana Allah dikira sebagai Ibadah. Bukankah Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga setiapa amal ibadah kita diterima Allah.

Keikhlasan. Usah mencarinya di merata tempat. Ia sebenarnya wujud di dalam setiap individu itu. Ikhlas dalam beramal. Ikhlas dalam bekerja. Ikhlas di dalam setiap perbuatan. Ramadan ini mengajar saya supaya tidak mempersoalkan kelemahan saya yang terlalu banyak, tapi saya harus belajar menerima kelemahan tersebut dan bersyukur di atas setiap sesuatu. Betulkan niat, betulkan niat, dan betulkan niat. Biarlah ikhlas hanya kerana DIA bukan dia...

Tanggungjawab. Perkataan ini lah yang paling menakutkan tapi terpaksa dilalui oleh semua orang. Ramadan kali ini menyaksikan saya menerima tiga tanggungjawab lama dan baru. Terasa kerdil kerana merasakan apabila banyaknya kekurangan diri apabila dipertanggungjawabkan, tapi bila mengingat satu potongan ayat al-Quran ini, saya tidak bisa mempersoalkan apa-apa lagi. Allah bersabda: "La yukallifullahu nafsan illa wus'aha" Dimana maksudnya Allah takkan membebani seseorang itu di luar kemampuannya.. Terpana. Allah sebenarnya lebih tahu kemampuan kita berbanding diri kita sendiri.

Bakti. Ia harus ditabur dan disemai agar hasilnya indah. Ramadan ini memberi saya peluang yang sangat banyak untuk menabur bakti pada orang tua. Sudut hati saya selalu sayu melihat wajah ayah dan emak. Terlalu banyak jasa mereka yang tak mampu dibalas. Saya hampir menangis ketika mengajar satu topik kepada anak murid tentang Ayat2 Quran yang menyatakan tentang perintah hormati Ibu Bapa, tapi air mata itu hanya terbuku di dada. Andai terjurai, itu tidak mencacatkan kredibiliti saya sebagai pensyarah, tapi saya mahu melatih diri agar kuat secara emosi. Nasihat yang saya berikan buat mereka terlebih dahulu ditujukan buat saya. Moga Allah berkati orang tuaku yang telah membesarkanku dari kecil hinggalah dewasa kini.

Muamalat.
Sayangi Yang di atas, dan orang di bawah akan menyayangi kita. Tidak cukup hanya menjaga pergaulan kita dengan Allah sehingga mengabaikan hubungan sesama manusia. Terlalu banyak hati yang perlu dijaga. Sebelum terlalu menjaga hati orang lain, jagalah hati diri sendiri terlebih dahulu. Malah harus faham bahawa setiap manusia itu tidak sempurna, malah ada kekurangan dan kelebihannya. Carilah keberkatan di setiap muamalat, Allah itu Maha Tahu.

Maaf. Adakah begitu sukar memohon maaf atau memaafkan itu lebih sukar? Jadikan penutup Ramadan ini untuk saling memaafkan di antara satu sama lain. Bukankah Allah itu Maha Pemaaf. Ikhlas dari hati, mohon maaf zahir batin atas segalanya..

Selamat berkonvokesyen dari Universiti Ramadan ini.
Moga mendapat jawatan kerja tetap bernama 'Istiqamah'

Wallahu'alam

Eid Mubarak
Kullu 'Am wa Antum bi alf Khayr..

Wednesday 1 September 2010

Sad Beginning

Bismillahirrahmanirrahim..

Today is 1st September 2010. My mixed-feeling made me feel uncomfortable since last night. Actually I didn't understand what kind of feeling that disturb me so much today. But the one that I realize is I'm not able to achieve my target for the month of August..

Since morning when I woke up for Sahur and Qiyamullail, I was thinking too much.. I saw my planner. I wrote notes at my calendar. I just can't say anything because I stayed alone at my room. I looked around of my room which messy with books and notes everywhere. Sadly speaking, I'm very sad in the beginning of September... Since morning of this first of September, I just pretend to be happy especially in front of my students. I can't show my weakness to them because I am the one who advice and motivate them to try harder in everything in their life..

It was my own mistake to not arrange and manage my time efficiently..
It was my own decision to take a responsibility of working..
It was my own intention to make a target for every month..
It was my own responsibility to accept all that will be happened after this..
And I have to redha for everything and take this challenge of life with patience. I have to be strong inside and outside. I have to look forward and think positive.. The most important, I have to change myself..


Another reason that make me sad is, Ramadan will end soon... And there are a lot of people outside there ignoring the last 10 Days of Ramadan and start busy preparing for Eid. I always remind myself and told my students that, please appreciate the time that we are in the Holy Month of Ramadan and grab all the opportunities to get His blessing and Love in this month..

Ya Allah, make me strong and patient to receive any test from You..
Ya Allah, give me a chance to face the Powerful Night of Ramadan..

Only YOU knows everything..

No more tears,
c3.1, IIUM Library