Wednesday 19 November 2014

Musim Sejuk & Waktu Solat

Bismillahirrahmanirrahim

Suhu di Birmingham semakin menurun dan sudah mencecah 0°C di awal pagi. Daun-daun yang kering dan kekuningan habis disapu angin kuat dan lembap kesejukan. Tanda-tanda musim sejuk sudah jelas kelihatan.

Setiap musim pasti ada dugaan tertentu yang perlu ditempuhi. Siang pada musim panas tentunya sangat panjang sehingga berpuasa perlu mengambil masa sekitar 18-19 jam. Berbeza dengan musim sejuk, malamnya sangat panjang dan matahari malu-malu untuk keluar, lalu langit akan mula gelap sekitar jam 4 petang. Dunia akan terasa kelam dan manusia akan kebosanan melalui kesejukan malam.

Saya tertarik untuk berkongsi waktu solat pada musim sejuk. Dengan waktu solat, kita akan lebih sedar dengan kepentingan masa. Menurut pandangan peribadi, jadual seharian mudah disusun pada musim sejuk ini dengan mengikut waktu solat. Contohnya, pada hari ini:

SUBUH: 5.54AM
ZUHUR: 11.52AM
ASAR: 2.23PM
MAGHRIB: 4.10PM
ISYAK: 6.04PM

Waktu belajar boleh bermula jam 9 pagi, dan berhenti solat dan rehat pada jam 2 petang untuk solat zuhur dan menunggu waktu asar. Kemudian boleh sambung bacaan sehingga jam 4 petang, sebelum membuat urusan rumah seperti mengemas dan memasak. Malam juga boleh digunakan untuk meneruskan ulangkaji sekitar 2 jam, dan tidur jam 11 malam. Oh ye, saya bukan di kalangan mereka yang tidur awal biarpun malamnya sangatlah panjang. Tapi jadual ini berubah-ubah mengikut keadaan, dan ia mungkin sesuai untuk orang tertentu sahaja. Pastinya, seronok jika dapat berpuasa atau ganti puasa pada waktu sebegini kerana waktu siangnya yang pendek...

Jam matahari di York

Tulisan ini adalah peringatan kepada diri sendiri agar menggunakan masa sebaiknya. Ini adalah kerana cuaca sejuk sangat mempengaruhi produktiviti seseorang (terutamanya saya!).

Ayuh hargai masa!