Friday 19 December 2014

Oxford: Seminar & Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim

Lama rasanya tidak mencoret panjang lebar di dalam blog sendiri. Sejak mendapat penyelia baru dan juga 'orang baru', benar-benar sukar untuk membahagikan masa untuk menulis. Ia bukan untuk menyalahkan masa, tetapi salah diri sendiri kerana gagal dalam pengurusan masa. Saya gagahkan diri juga untuk menulis sebelum 2014 menutup tirainya.

Minggu lepas, saya berpeluang ke Oxford untuk kali kedua. Kali ini saya menghadiri satu seminar sebagai seorang pembentang, bukan lagi sebagai peserta biasa. Seminar yang bertajuk "Oxford Symposium on Religious Studies" diadakan di University Church of St Mary, Oxford. Saya tidak pergi berseorangan tetapi bersama-sama dua sahabat yang terbang daripada Malaysia untuk turut serta membentangkan kertas kerja. Alhamdulillah seminar berjalan dengan sangat lancar selama tiga hari, malah permohonan budget daripada universiti juga telah diluluskan.

Sejujurnya pengalaman kali ini banyak mematangkan diri saya sebagai seorang 'researcher'. Bergaul dengan pembentang-pembentang lain yang kebanyakannya berjawatan hebat daripada pelbagai negara agak membuatkan diri begitu terasa kecil, tetapi respon yang saya terima sepanjang seminar berjalan sangat mengujakan. Alhamdulillah self confidence saya bertambah baik dan perjalanan bersama sahabat memberikan pengalaman yang berbeza berbanding berjalan dengan suami sendiri. Suami saya bekerja, lalu dia ditinggalkan di rumah selama tiga hari..

Hari Pertama

Berpeluang berjumpa dengan Professor2 daripada Indonesia

Pembentangan saya pada hari kedua jam 11 pagi

Kenalan baru daripada Unisza, Usim, Hongkong dan Australia

Sempat juga singgah ke Oxford Centre for Islamic Studies


Ada beberapa tips yang saya ingin kongsikan (walaupun saya hanyalah orang biasa), tetapi mungkin sedikit sebanyak, ia boleh membantu rakan2 pembaca.

1. Sediakan power point presentation sebaiknya seminggu awal sebelum tarikh seminar. Perlu bijak untuk menggunakan warna, dan sebaiknya latar belakangnya berwarna putih dan tulisan berwarna gelap. Gunakan bahasa yang mudah dan letakkan isi penting sahaja.

2.  Tulis apa yang ingin disampaikan, agar ia lebih mudah. Terutama bahasa Inggeris bukanlah bahasa seharian kita.

3. Buat latihan di hadapan orang yang dipercayai, dan beri peluang kepadanya untuk bertanya soalan, agar kita lebih bersedia.

4. Guna bahasa yang mudah ketika pembentangan. Dan jangan baca! tetapi olah menggunakan bahasa sendiri. Praktis berulang kali supaya kita mengingati isi penting yang ingin disampaikan.

5. Pegang sesuatu ketika pembentangan berjalan. Sebagai contoh, saya akan memegang sama ada nota kecil (sekiranya terlupa), dan juga pen untuk memberi keyakinan kepada diri sendiri. 

6. Ketika sesi soal jawab, ulang semula soalan yang ditanya dengan bahasa yang kita fahami, supaya kita menjawab soalan, bukan melencong ke isi yang tidak sepatutnya. Sekiranya ada soalan yang tidak sempat dilayan kerana moderator menghentikan sesi tersebut, jumpa orang tersebut dan jawab secara personal setelah tamat sesi atau waktu rehat.

7. Senyum ketika mengakhiri pembentangan.


Seoga dipermudahkan pembentangan kalian pula..