Penulis: Shaharom TM Sulaiman
Buku ini dibeli ketika Pesta Buku berlangsung April lalu. Buku terbitan ITBM ini hanya berharga RM15 dan wajar dimiliki oleh setiap pembaca yang cintakan buku. Penulis mengupas dunia pencinta buku yang kaya dengan imaginasi luar biasa, tenggelam dengan setiap bait huruf dan perkataan, dan asyik dengan emosi yang berbeza-beza.
Cintakan bunga, ia akan layu. Cintakan manusia, ia akan mati. Cintakan Tuhan, kekal selamanya. Bagaimana pula dengan cinta akan buku? Di sini, satu istilah yang diketengahkan oleh penulis yang merujuk kepada pencinta buku ialah "Biblioholisme". Golongan ini bukan sahaja mempunyai minat yang mendalam terhadap buku, tetapi mereka mengagumi buku dengan cara yang luar biasa dengan kemahuan yang tinggi untuk membeli, memiliki, menyimpan, membaca dan menjadikan buku sebagai satu perkara utama di dalam hidup mereka.
Adakah ia sebuah penyakit? Menurut penulis, bibliofil boleh dinilai dari sudut positif dan negatif kerana terdapat beberapa kritikan terhadap pencinta buku tegar terutama apabila golongan ini sering mengasingkan diri daripada orang lain dan hidup di dalam dunia ciptaan mereka sendiri. Walaupun begitu, kesan positif yang ada di dalam bibliofil ialah apabila cintakan buku itu membawa mereka kepada cintakan ilmu, di mana ia adalah cinta yang lebih utama yang akan melahirkan insan beradab dan berintelektual tinggi. Bertepatan dengan kata-kata Imam al-Ghazali yang dipetik oleh penulis: "jadilah manusia yang tamak dan rakus terhadap ilmu", kerana salah satu cara mendapat ilmu itu adalah melalui buku.
Di antara intelektual yang diketengahkan oleh penulis di dalam buku ini ialah Jaafar Abd Rahim, Tengku Abdullah, Wan Mohd Shaghir, Alfred Nobel, Oprah Winfrey, dan Albert Einstein. Nama-nama ini sangat memberi pengaruh di dalam dunia buku serta meninggalkan kesan yang besar di dalam dunia ilmu. Walaupun penulis hanya memberi ulasan ringkas terhadap nama-nama tersebut, ia adalah tugas pembaca pula untuk mengkaji pengaruh besar mereka dan mengambil aspek positif yang telah ditonjolkan. Saya sangat teruja apabila Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah disebut di dalam buku ini kerana jasa beliau sangat besar di dalam memelihara khazanah Ulama di alam Melayu, malah usahanya diiktiraf di peringkat antarabangsa. Tulisan beliau banyak membantu saya di dalam membuat kajian terutama yang berkaitan dengan hadith.
Penulis buku ini juga menyentuh dunia buku dan perpustakaan. Tertarik dengan sebuah perpustakaan peribadi Ayatollah Marashi Najafi, di mana jumlah manuskrip di dalamnya mencecah lebih daripada 100,000. Malah makamnya terletak di pintu perpustakaan tersebut. Penulis juga tidak lupa berkongsi kembaranya di Iran dengan menziarahi beberapa perpustakaan utama. Sayangnya, seperti diketahui umum, Iran adalah sebuah negara yang memegang fahaman syiah.
Kecintaan kepada buku juga boleh dilihat dari sudut yang berlawanan dengannya. Ini kerana ada beberapa usaha menghapuskan buku dengan membakar dan menjalankan keganasan terhadap penulis dan karyanya. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana buku membentuk suatu tamadun dan peradaban masyarakat berilmu.
Tertarik dengan sebuah buku yang bertajuk 1001 Books You Must Read Before You Die, malah lebih tertarik lagi dengan cadangan penulis agar ada buku seperti ini perlu ditulis khas buat rakyat Malaysia dengan menyenaraikan 1001 buku yang perlu dibaca. Saya mengharapkan al-Quran al-Karim diletakkan sebagai buku yang pertama dan diutamakan.
Terima kasih buat penulis. Walaupun tidak puas membacanya kerana buku ini hanya mempunyai 106 muka surat sahaja, saya pasti ini adalah usaha penulis dalam memartabatkan budaya membaca yang selari dengan budaya ilmu. Buku ini baik untuk mereka yang baru menjinakkan dalam dunia buku. Pilih dan bacalah buku yang baik, kerana itu boleh mencerminkan identiti diri anda.
**Pandang kulit bukunya sahaja, jangan jeling minuman di sebelahnya :) KLIK