Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Friday, 24 August 2018

Tiga Puluh Tiga

Benarlah bahawa umur itu sekadar angka
yang dihisab bukan selama mana kita bernyawa
tetapi iman dan amalan yang menentukan syurga atau neraka

Syukur Yang Esa
dalam kehidupan tiga puluh tiga
aku masih bernyawa
cukup anggota
sihat tanpa penyakit nista

Syukur Yang Esa
dalam kehidupan tiga puluh tiga
aku masih anak kepada bonda
biarpun ayah sudah tiada
tanggungjawab seorang anak itu masih ada

Syukur Yang Esa
dalam kehidupan tiga puluh tiga
aku adalah isteri kepada suami tercinta
mengharap redha dia
berdoa agar sakinah, mawaddah wa rahmah sentiasa
bahagia hingga ke syurga

Syukur Yang Esa
dalam kehidupan tiga puluh tiga
aku adalah ibu kepada dua cahaya
penyejuk hati dan mata
semoga membesar dalam iman, islam, dan taqwa
dijauhkan segala malapetaka
dan dididik dengan penuh kasih dan cinta

Syukur Yang Esa
dalam kehidupan tiga puluh tiga
akhirnya pengajianku berakhir juga
jalan paling mencabar yang penuh pancaroba
biarpun berakhir, tetapi ia adalah satu permulaan yang bermakna
agar aku terus mencari ilmu di dada
tunduk, tawaduk, dan berlapang dada
dijauhkan riak, sombong, dan mengangkat kepala
dan sentiasa menghormati sesama manusia

Syukur Yang Esa
aku kini tiga puluh tiga
dua puluh empat sembilan belas lapan lima

Alhamdulillah!


Monday, 25 February 2013

Menunggu

Febuari bakal berlalu
Mac sudah menunggu
Aku masih menunggu
Tuhan, perkenankan doaku..


Wednesday, 2 May 2012

Mei: Seribu Rasa


Mei sudah menjelma. Awal Mei, semua pekerja diberikan cuti sama rata. Ada yang menyebut Hari Buruh, ada juga mengatakan Hari Pekerja.

Mei mengunjung tiba. Hari ini sudah hari kedua. Hari bakal berlalu dengan pelbagai rasa.

Mei adalah bulan lima. Sejak bulan sepuluh, aku sudah mengira. Bila agaknya? Nah! Tersenyum-senyum Mei muncul di alam nyata.

Mei tersipu-sipu riang gembira. Tapi, takut dan gemuruh pun sibuk bertandang tanpa dipelawa. Hmm, kenapa ya?

Mei berkata, banyakkan doa.. Usah bimbang. Usah ragu. Allah kan ada...

Mei tidak pernah lupa bertanya. Tanggungjawab baru sedang berjalan ke arahmu, sudah bersedia?

Mei juga tidak pernah melata. Mengingatkan bahawa hari bersejarah yang bakal tiba itu bukan hari bersuka ria, tetapi hari memikul amanah dan memohon Rahmat Yang Esa.

Mei memujuk juga. Jika ada yang dengki dan iri hati, biarkan saja. Usah membalas, tapi doakan yang baik-baik untuk mereka.

Mei menambah lagi, jangan lupa minta maaf pada semua. Kadang-kadang kita tidak sedar dosa kita pada manusia, kerana dosa dengan Tuhan banyaklah jua..

Mei menasihati, kemudian maafkan orang lain pula. Usah menyimpan dendam terlalu lama. Alhamdulillah, aku bukan pendendam orangnya.

Mei, aku mohon agar kau merangkak perlahan, usah berlari kencang, agar aku tenang.

Mei, bukan kau yang aku harapkan sebenarnya. Tapi kepada Tuhan jualah tempat yang disembah dan tempat meminta pertolongan.

Mei, walaupun demikian, aku bersyukur kerana adanya kau yang memberi sinar untuk mengingati hari bahagia.

Mei, doakan aku bahagia. Sebahagia namaku. Doakan aku juga agar mampu membahagiakan keluarga.

Mei, kau istimewa. Tiada kata mampu meluahkannya. Tiada suara mampu mengalunkannya.

Mei, terima kasih daun pegaga, semoga Allah memberkati cinta kita.


Saadah Khair
2 Mei 2012
Bandar baru Nilai

Wednesday, 5 October 2011

Sebulan


Genap sudah sebulan.. 
Sebulan ini, masih belajar menyesuaikan diri di tempat baru
Sebulan ini, merasa beratnya amanah digendong
Sebulan ini, fikiran masih bercelaru ke situ dan ke sana
Sebulan ini, lidah masih kekok berbahasa syurga
Sebulan ini, buku dan laptop menjadi teman setia
Sebulan ini, masih juga merindu suasana lama

Tidak sampai sebulan, bakal mendapat gelaran baru
Tidak sampai sebulan, banyak yang harus diubah menuju kebaikan
Tidak sampai sebulan, pengurusan masa mesti ditambahbaikan
Tidak sampai sebulan, doa dan ibadat perlu terus dipertingkatkan

Sebulan memang tidak terasa
Tapi 30 hari macam lama pula
Masih tiada beza..
Sebulan dan 30 hari sebenarnya sama..

Sebulan...

5.31pm
5.10.2011
Saadah Khair

Sunday, 24 July 2011

Duhai Batuk



Duhai Batuk,
Berhentilah kau seketika..
Biarkan aku menarik nafas lega..
Biarpun seketika..

Kau ganggu tidurku yang lena,
Kau sakiti kerongkong dan dada,
Kau rosakkan suasana yang mesra,
Kau menghalang pergerakanku seperti biasa..

Duhai Batuk,
Kau hadir tika Ramadhan menjelma..
Pasti ada hikmah disebaliknya..
Bertemu dgn kesakitan yg dah lama tak bersua,
Namun ku tetap berdoa..
Agar disembuhkan segera..
Moga Ibadahku berjalan seperti biasa...
Amin Ya Rabb

Saturday, 12 March 2011

Kasih Sayang Tuhan



Setelah dunia digemparkan dengan revolusi oleh rakyat di tanah Timur Tengah, dunia kini digegarkan pula dengan revolusi oleh alam di tanah Jepun. Adakah ini ujian atau nikmat? Atau petanda Hari Kiamat yang sudah dekat?

Semoga Allah ampunkan dosa kita semua..
Semoga setiap kejadian yang terjadi bukanlah sekadar sia-sia.. Tetapi di ambil pengajaran oleh kita yang dikurniakan akal fikiran..

Langit menangis..
Guruh berdentum..
Lalu tenggelam..

Gunung meletus..
Debu berterbangan..
Dan terus kabur..

Ombak menari..
Tinggi tak tercapai..
Musnah segalanya..

Bumi bergegar..
Retak sejuta..
Merekah tanpa kata..

Teriakan itu tak berguna,
Andai menyalahkan Yang Kuasa,
Air mata itu sia-sia,
Jikalah menuding jari ke arahNya,
Biarkan hati menerima,
Segala ujian yang menerpa,
Kerna ini adalah kasih-sayang Dia,
Rahmat buat yang masih ada,
Hikmah buat yang sudah tiada...

Teirma kasih Tuhan..

Saadah Khair
*Sajak ini telah disiarkan di Majalah Tunas Cipta, Januari 2011

Friday, 25 June 2010

Saya Ada Atok

Saya ada atok,
Awak ada atok?

Saya ada atok,
saya tak nak lupa yang saya ada atok,
atok saya sudah tua,
kini sedang tenat,
doakan kesihatan atok saya..
Saya ada atok,
kenapa ya tiba-tiba saya buat pengakuan sebegini?
bukan sahaja pengakuan, malah ia adalah kenyataan,
kerana saya tak nak lupa,
yang saya hanya ada satu atok sahaja yang pernah saya jumpa..

Saya ada atok,
ya, kami jarang berjumpa,
malah bukan mudah untuk bertemu dan bertukar cerita,
bukan saya tak mahu,
malah kadang-kadang memang dipaksa ibu,
atok adalah ayah ibu saya,
pasti dia sayang seperti mana saya sangat sayangkan ayah..

Saya ada atok,
sejujurnya, saya sangat hormat padanya,
malah terlalu kagum dengan ilmu yang dia ada,
jasanya terlalu banyak untuk dinyatakan,
ilmunya terlalu banyak untuk dihuraikan,
tapi kenapa ya saya tak gunakan peluang yang ada?
saya tiada jawapan untuk itu...

Saya ada atok,Doa saya agar kesihatannya terjaga,
Doa saya agar umurnya masih panjang untuk terus beribadah kepadaNya,
Doa saya agar jalan bertemu Tuhan dipermudahkan jika itulah takdirNya,
Doa saya agar kebahagiaannya bukan sahaja di dunia, malah di Akhirat sana,
Doa saya agar Allah merahmatinya...

Saya ada atok,
saya takkan lupakan itu..

25 Jun 2010
Taman Gembira, Johor Bahru

**Sedikit mengenai atok saya boleh baca di SINI

Wednesday, 9 June 2010

Gara-Gara Lupa

Gara-gara lupa,
buku yang dipinjam tidak diperbaharui semula,
aku pasti didenda..

Gara-gara lupa,
ziarah ke Singapura terpaksa dibatalkan,
pasport tertinggal,
aku menyesal..
tapi doaku tak putus,
agar Datuk sembuh seperti sediakala..

Gara-gara lupa,
aku kebasahan dihujani rahmat Tuhan,
bukankah memang sudah kutahu,
sediakan payung sebelum hujan..

Gara-gara lupa,
terpaksa kerabunan,
mencari cermin mata yang hilang entah ke mana..

Gara-gara lupa,
hati seseorang disakiti,
mungkin maaf boleh diberi,
tapi pastinya kepercayaannya sudah pudar kini..

Gara-gara lupa,
hatiku sakit sendiri,
mahu mencari ubat kesalahan diri..

Gara-gara lupa,
mengapa yang dilupai itu kecil-kecil cilipadi,
tapi jika tergigit..
aduh ! pedas sekali...

Gara-gara lupa,
Maafkan aku yang hina ini,
Buat sesiapa sahaja yang tempias penyakit ku ini,
doakan aku agar tidak lupa lagi..

**Sedang mencari ubat penyakit lupa...

Sunday, 6 June 2010

Palestin, Maafkan Aku


Palestin
Maafkan aku
Kerana hanya mampu
Memahami penderitaanmu yang perit
Menyaksi perjuangan para syuhada
Meratapi kau dari jarak yang jauh

Palestin
Maafkan aku
Tangisan yang mengalir
Bukan sahaja keranamu
Tapi kerana kerdil dan hinanya diri ini
Masih bergelak tawa
Bersuka ria serta gembira
Berbangga dengan keselesaan tanpa derita

Palestin
Maafkan aku
Aku juga punyai cita-cita
Syahid sebagai impian tertinggi
Akan tetapi kekhilafan menguasai diri
Tiada senjata di sisi
Melainkan tangan kudus menghulur doa
Menyeru Ilahi
Agar kemenangan berpihak kepadamu
Dan memadam segala kedurjanaan
Kabulkan Ya Tuhan…

Palestin
Maafkan aku…..

Saadah Khair


**Puisi ini hanya diulang semula oleh penulis di blog peribadi. Ia telah disiarkan di Akhbar Siasah bilangan 132, edisi 18-24 Januari 2009.. Hayatilah..