Showing posts with label travel. Show all posts
Showing posts with label travel. Show all posts

Friday, 4 May 2018

Tips Kembara Seorang Diri dengan Bayi

Bismillahirrahmanirrahim

Ketakutan saya untuk kembara seorang diri bersama bayi berlalu juga. Saya lakukannya dengan baik, dan Alhamdulillah Afnan adalah seorang anak yang baik. Ini kali pertama saya mengembara tanpa suami di sisi sambil membawa bayi berusia 9 bulan terbang ke Tanah Ratu, London & Birmingham, United Kingdom.

Keputusan ini adalah keputusan bersama suami. Setelah mendapat tarikh viva, saya rungsing adakah saya perlu tinggalkan kedua-dua anak saya dengan suami? Atau minta bantuan saudara mara? Atau bawa satu keluarga bersama ke sana? Ketiga-tiga ini bukanlah pilihan yang baik memandangkan saya tiada bajet yang cukup dan keluarga tinggal jauh di selatan dan utara. Lalu, Afnan yang hanya perlu membayar tiket penerbangan suku harga itu adalah pilihan terbaik untuk membawa dia menemankan saya. Dia juga menyusu badan sepenuhnya, malah saya mungkin lebih tidak kuat jika meninggalkan anak-anak diuruskan suami seorang diri.

Tips #1: Mengambil penerbangan tanpa transit
Menmpunyai pengalaman transit dua jam di Dubai adalah sesuatu yang memenatkan kerana terpaksa berkejar-kejar. Saya rela untuk duduk diam selama hampir 14 jam di dalam kapal terbang berbanding mengendong anak sambil membawa bag yang lebih menggunakan tenaga yang banyak. Alhamdulillah pramugari/a yang bertugas sangat membantu sepanjang perjalanan pergi dan pulang. Kami menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya, dan syabas buat Malaysia Airline kerana menyediakan servis yang terbaik sepanjang perjalanan kami daripada Kuala Lumpur ke Heathrow, London.



Tips #2: Menggunakan carrier berbanding stroller
Ergobaby adalah pilihan carrier saya yang telah digunakan sejak Afeef kecil lagi. Ianya mudah dipakai dan ditanggalkan sendiri. Saya juga bebas bergerak dan Afnan juga lebih selesa apabila berada dekat dengan badan ibunya terutama ketika angin sejuk menerpa. Saya tidak sanggup membuka dan menutup stroller dan terpaksa mengangkatnya jika perlu kerana ia akan menggunakan tenaga dengan banyak dan dua tangan saya tidak cukup untuk memegang stroller, bayi dan bag. Saya juga boleh ke menguruskan hal di bilik air apabila menggunakan carrier, tapi saya tidak risau menggunakan bilik air di UK kerana kemudahan yang disediakan sangat terbaik dan mengambil kira ibu/bapa yang mengembara seorang diri dengan bayi. Menyusukan bayi juga akan menjadi lebih mudah apabila menggunakan carrier.



Tips #3: Meminimumkan bag
Saya membawa 1 bag besar yang mudah ditolak dan akan di check in, lalu saya tidak perlu bawa ia ke sana ke mari ketika menunggu waktu penerbangan. Ada 1 bag tangan yang dipenuhi baju bayi dan baju saya serta kepeerluan asas (lampin pakai buang, tisu, tisu basah, air, makanan dll). Alhamdulillah ramai yang membantu untuk mengangkat bag daripada tempat menunggu bag, dalam bas dan lain-lain. Malah saya sangat berpuas hati dengan kedua-dua bag yang saya gunakan sepanjang perjalanan ini.


Tips #4: Menyusukan bayi ketika take off dan landed
Alhamdulillah Afnan masih menyusu badan, lalu saya tidak perlu bersusah payah membancuh susu dan membawa botol ketika dalam penerbangan. Menyusukan bayi pada kedua-dua masa take off dan landed sangat penting kerana telinga bayi akan berdengung, dan susu yang dia minum akan mengurangkan dengungan tersebut. Sekiranya dia dapat tidur pada dua waktu tersebut, ianya lebih baik.

Tips #5: Bawa dan sediakan makanan bayi
Kapal terbang tidak menyediakan makanan untuk bayi. Afnan sudah mula tumbuh gigi dan dia suka menggigit sesuatu, jadi saya bekalkan dia biskut yang mudah dipegang dan boleh dihadam dengan baik.


Saya juga sediakan makanan bayi yang berbentuk cecair, tetapi perlu meletakkannya dalam bag zip apabila melalui kawasan pemeriksaan bag tangan. Lepas dan tiada masalah untuk saya pastikan Afnan kenyang dengan makanan tambahan ini. 



Tips #6: Tempah bassinet awal
Dengan menggunakan MAS, penumpang hanya perlu menghubungi di talian 1-300-88-3000. untuk menempah bassinet bayi. Ini sebenarnya kali pertama saya dapat menggunakan bassinet, Alhamdulillah sangat mudah dan jakun juga apabila peramugara memasangnya. Walaupun saya juga tidak tidur lena, tetapi badan saya boleh rehat daripada mendukung Afnan setiap masa. Dan dia juga lena dibuai mimpi di dalamnya, cuma apabila dia berjaga, dia tidak mahu duduk di atas bassinet tersebut. Yang penting saya juga dapat rehat (makan dan menonton movie!) apabila Afnan tidur nyenyak dalam bassinet ini. 


Tips #7: Bawa mainan yang pelbagai
Mainan sangat membantu Afnan diam apabila menyalinkan dia lampin dan membiarkan dia leka dengan sesuatu. Tidak dinafikan bayi cepat bosan, disebabkan itu saya perlu membawa mainan yang pelbagai. Ada yang berbunyi, ada yang boleh digigit dan benda2 disekeliling kita juga boleh dijadikan mainan buat dia. Contohnya: cawan dan sudu kapal terbang, buku atau apa sahaja yang boleh menarik perhatian dia. Sekiranya mainan tidak berjalan, boleh juga beri dia menontoh kartun atau video, tetapi bayi tidak mampu beri perhatian sepenuhnya, lalu saya biarkannya bebas sebab umur Afnan sebegini, dia mahu bergerak, merangkak dan memapah untuk berjalan. Saya biarkan sahaja kerana jika kotor, kita boleh basuh sahaja, itu lebih baik dibandingkan dengan teriak tangis dia yang menganggu orang lain jika terlalu mengawal pergerakannya.



Tips #8: Minta bantuan atau abaikan orang sebelah
Dalam perjalanan ke London, kapal terbang penuh tanpa tempat duduk yang kosong. Saya duduk di tengah-tengah, dan kedua-dua orang sebelah saya ialah lelaki. Pada awalnya saya risau juga jika terselak baju atau menganggu mereka, tetapi Alhamdulillah tiada masalah kerana saya anggap mereka tiada dan ada masanya mereka membantu tanpa diminta. Contohnya, sekiranya ada tray makanan, ruang duduk saya menjadi sempit jika perlu memegang Afnan, lalu orang sebelah akan mengambil tray saya yang kosong dan letak di atas mejanya. Dia juga akan menjagakan Afnan ketika dia tidur apabila saya pergi ke bilik air. Tetapi pada kebanyakan waktu, kami menghormati masa dan urusan masing2 dan tidak berkomunikasi. Pada perjalanan pulang ke KL pula, banyak tempat kosong dan kedua-dua tempat duduk sebelah saya kosong! Saya sangat lega dan saya mudah mendudukkan Afnan di sebelah saya sekiranya perlu terutama ketika makan.

Tips #9: Tenang dan santai
Aturkan perjalanan dengan santai supaya ada masa untuk berehat seketika. Tiba di Heathrow, saya sempat solat di multi-faith room yang disediakn di lapangan terbang dan rehat serta sarapan pagi sebelum menaiki bas ke Birmingham. Sebelum pulang ke KL juga saya ambil masa untuk berehat di lapangan terbang sebelum check in, agar saya tenang dan bayi juga dapat rehat dengan secukupnya sebelum meneruskan perjalanan yang panjang. Sempat saya bawa Afnan bermainan di play area yang disediakan di airport dan biarkannya penat supaya dia boleh tidur nyenyak di dalalm kapal terbang.



Tips #10: Hargai kemampuan diri sendiri
Ini adalah pengajaran paling utama yang saya terokai setelah melalui perjalanan ini seorang diri. Selama ini saya bergantung kepada suami untuk membawa bag dan memegangkan bayi, tanpa menyedari saya juga tidak perlu bergantung kepadanya jika dia tiada. Saya mampu lakukannya dengan baik, dengan sokongan moral keluarga dan rakan-rakan. Ada seorang sahabat menasihati: "Mohonlah kepada Allah dan nyatakan kelemahan diri, maka Allah akan turunkan bantuan dengan tidak disangka." Perjalanan ini selamat dan lancar hanyalah dengan bantuan Allah semata-mata, dan bantuan doa yang membawa kami berdua pergi dan pulang dengan selamat. Dan Alhamdulillah orang yang musafir itu maqbul doanya.


Sekian perkongsian kali ini, harap ia membantu bagi sesiapa yang memerlukannya. Tips ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi baru-baru ini, dan saya juga banyakkan membaca bahan-bahan berkaitan ini sebelum memulakan kembara seorang diri bersama bayi.

Semoga ia bermanfaat!

Saturday, 31 March 2018

Kembara Pertama Berempat di Bumi Kelahiran Hamka

Bismillahirrahmanirrahim


Saya pernah berkongsi beberapa tips untuk kembara bersama bayi di SINI, dan saya tidak khuatir apabila membawa anak seorang. Tapi kembara kali ini bukan sahaja disertai oleh bayi, tetapi kanak-kanak yang sudah gemar untuk explorasi sendiri. Ianya lebih mencabar tetapi Alhamdulillah semuanya dipermudahkan..

Perjalanan kami ke Padang menaiki AirAsia berjalan dengan sangat lancar kerana kedua-dua anak kami tidur dengan sangat nyenyak. Terima kasih kepada penerbangan yang ditunda selama hampir satu jam! Hasilnya mereka berdua tidur dengan aman tanpa gangguan.

Padang dan Bukittinggi terletak di Sumatera Barat, Indonesia

Terlalu banyak yang ingin dikongsi di sini, tetapi syukur Alhamdulillah pengembaraan kami sekeluarga dengan dua anak kecil berjaya! Saya membuat persediaan yang lebih dan rapi kali ini kerana ini kali pertama kami ke luar negara berempat (walaupun negara seberang je). Antara cabaran yang kami lalui ialah:

Tiada carseat
Saya dan suami sangat menekankan hal keselamatan anak-anak ketika dalam perjalanan. Kereta yang kami sewa tidak menyediakan carseat, malah Afeef dan Afnan duduk di belakang bersama saya. Suami duduk di hadapan menemankan pak supir. Tapi pada kebanyakan masa Afeef memberi kerjasama yang baik untuk duduk di tempatnya sendiri tanpa merengek, cuma saat dia terlelap, dia tidak mahu baring, dan mahu duduk seperti orang dewasa. Ini kurang baik untuk tubuhnya yang kecil dalam melalui selekoh tajam di kawasan ini. Afnan duduk di pangku saya pada setiap masa, melainkan ada waktu tertentu saya akan bergilir dengan suami. Agak letih kerana Afnan sudah mula aktif dan tidak mahu duduk setempat sekiranya dia berjaga.

Makanan
Kebanyakan makanan padang dimasak pedas, jadi pilihan untuk makanan tidak pedas sangat terhad. Hanya terdapat dua kedai sahaja yang menyediakan sup ayam daripada lebih 10 lauk yang dihidangkan di atas meja. Sup adalah makanan kegemaran Afeef, tidak pedas dan berkuah. Pilihan lain sekiranya tiada makanan yang sesuai untuk Afeef ialah nasi kosong atau roti dan susu, huhu. Alhamdulillah untuk Afnan tiada maalah kerana ada makanan yang berupa biskut dan mudah disediakan.

Cuaca
Kami menjangkakan bahawa cuaca di Bukitinggi ialah sejuk. Baju yang sesuai telah kami sediakan untuk menghadapi cuaca sejuk. Rupa-rupanya tidaklah sesejuk yang disangkakan. Jadi, pakaian tersebut mengambil ruang yang banyak juga dalam bag kami kerana tidak digunakan pun.

Pakaian
Saya menyiapkan pakaian mengikut jumlah hari sepanjang kembara. Sekiranya lebih pun hanya untuk baju anak-anak. Itupun masih tidak cukup untuk Afeef kerana kebocoran kencing dan muntah pada hari-hari terakhir sebelum pulang. Tiada masalah pakaian untuk saya, suami dan Afnan.

Apapun, kami sangat gembira di Bukittinggi dan sangat bersyukur kerana perjalanan selamat dan semuanya dipermudahkan. Walaupun Afeef dan Afnan, masih kecil, saya mahu mereka belajar melihat dunia dengan perspektif yang berbeza. Belajar untuk bersyukur dan belajar untuk menghadapi kesukaran.







Entri ini sudah tertangguh banyak kali, saya akan berkongsi tempat-tempat menarik di Padang dan Bukittinggi pada lain kali InsyaAllah! Saya kongsikan nombor Pak Supir yang menguruskan kenderaan dan perjalanan kami sekeluarga di sana, +6281363385879 (Pak Aldi). Boleh whatsaap untuk dapatkan harga dan boleh rancang perjalanan dengan beliau.

Nantikan catatan kembara saya seorang diri bersama bayi pada entri yang akan datang :)


Wednesday, 10 August 2016

Menghitung Hari. Apa Kata Hati?

Bismillahirrahmanirrahim

Kurang dari dua minggu, saya bakal meninggalkan Tanah Inggeris. Sepatutnya saya pulang pada Mei yang lalu, tetapi dipanjangkan sedikit tempoh untuk menyiapkan penulisan. Masih juga belum selesai kerana tempoh perlanjutan yang diberi ialah sehingga Oktober, tapi visa kami sekeluarga tamat pada awal September. Lalu kami mengambil keputusan untuk pulang akhir Ogos atas sebab-sebab keluarga.

Selama tiga tahun tiga bulan ini, saya tidak pernah sekalipun pulang ke Tanah Melayu. Tiada duit untuk pulang? Ya, itu antara sebab utama. Antara sebab lain ialah saya mahu menikmati kehidupan di negara orang yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Saya mahu belajar di universiti dan juga memperolehi pengalaman di universiti kehidupan juga. Terlalu banyak saya belajar sepanjang tempoh ini dan terlalu banyak kenangan pahit manis yang tidak akan saya lupakan dan akan disimpan rapat di dalam memori kehidupan ini.

Sejujurnya jika diberi peluang untuk tidak pulang, saya memilih untuk tinggal di Tanah Inggeris. Ini pengakuan jujur. Saya hormati jurang perbezaan yang tinggi di antara dua tanah penjajah dan dijajah. Biarpun negara penjajah ini dipelopori oleh nilai-nilai Barat yang jauh dari Akidah Islam, tetapi banyak juga nilai-nilai Islam yang diterap di dalam sistem mereka. Benar bahawa ada segelintir masyarakat Barat yang menyokong Islamophobia dan anti-Islam, tetapi mereka bebas untuk tidak bertelagah dengan perkara kecil yang sering diulang-ulang oleh masyarakat kita. Perasaan menghormati perbezaan adalah antara perkara penting yang dipupuk oleh masyarakat di sini, dan juga tidak memikirkan apa yang difikir orang lain.

Hati saya berdebar-debar untuk pulang ke tanah air sendiri. Ini juga pengakuan jujur yang terpaksa saya akui. Kos hidup yang semakin tinggi, keselamatan anak-anak yang semakin tergugat, bebanan kerja yang melampau, semuanya menjadi antara faktor yang merisaukan. Saya khuatir tanggungjawab menjaga anak dan suami yang wajib itu akan ditutupi dengan tanggungjawab mencari rezeki dan mengelakkan kesempitan kewangan keluarga. Saya juga khuatir masa untuk bekerja lebih banyak diluangkan berbanding masa di samping keluarga. Saya sangat khuatir jika anak mencari kasih sayang di tempat lain kerana kekurangan kasih dan sayang ibu ayahnya.. Na'uzubillah min dhalik...

Tetapi jauh di sudut hati saya berkata untuk amalkan hidup besederhana. Keluarga adalah segalanya. Berjimat adalah langkah mulia. Kami perlu mengubah cara hidup kami untuk boleh hidup sempurna dan bahagia di tanah kelahiran sendiri. Ada tanggungjawab yang perlu saya langsaikan dan di Tanah Melayu dan Islam itu adalah tempat saya berbakti...

Terima kasih Birmingham kerana mendidik saya dengan caramu yang tersendiri..
Terima kasih untuk semua kenangan manis kita, kenangan yang pahit biarpun ada hanyalah sebagai kekuatan untuk saya bangun dan kembali berjuang..



Kamu akan sentiasa terpahat rapi di hati...

10 Ogos 2016
Edgbaston, Birmingham


Tuesday, 2 February 2016

Lima Hari Berharga di Fes & Tangier

Bismillahirrahmanirrahim

Sehingga kini, saya masih merindui kota Maghribi. 

Kembara ke Morocco sebenarnya terinsipirasi daripada sepupu saya dan isterinya yang mengembara ke Morocco pada akhir 2014. Itinerari yang dikongsikan mereka adalah panduan utama perjalanan kami pada awal Disember 2015. Tetapi pada awalnya saya tidak tahu bahawa passport Malaysia memerlukan visa untuk masuk ke Morocco, dan sepupu saya yang memegang passport Singapura boleh masuk ke Morocco tanpa visa. Urusan visa menjadikan semangat saya agak kendur, tetapi saya cari juga info tentang permohonan visa di UK dan Alhamdulillah ia tidak sesukar yang dijangka.

Dokumen utama yang diperlukan untuk memohon visa di UK ialah:
1. Borang permohonan visa yang boleh dimuat turun dari laman web kedutaan Morocco
2. Passport original dan satu salinan
3. Visa UK original dan satu salinan
4. Surat universiti yang membuktikan anda adalah pelajar
5. Slip gaji (3 Bulan) dan satu salinan (untuk suami saya)
6. Penyata bank (3 bulan) - setiap seorang
7. Tiket masuk/pulang ke Morocco sama ada feri atau kapal terbang
8. Bukti tempahan hotel yang sah
9. Insurans keluarga selama berada di Morocco (saya guna moneysupermarket.com)
10. Pos order berharga £16 setiap satu untuk setiap passport. Boleh cek harga visa di laman web.

Semua dokumen di atas di hantar pos secara special delivery ke kedutaan Morocco, London beserta sampul surat ke alamat sendiri yang sudah dibayar nilai pos juga secara special delivery untuk mereka pulangkan dokuman asal. Alhamdulillah, kami menerima dokumen asal kami beserta cop visa selepas dua hari. 

Tangier

Tangier adalah kota pelabuhan di Morocco dan satu-satunya jalan laut untuk masuk ke negara ini. Tetapi ada dua port yang berbeza, dan saya membeli tiket ke Tangier Med yang bergerak daripada Algeciras, Spain. Feri yang kami naik sebenarnya adalah feri kenderaan dan barang-barang, dan rupa-rupanya hanya kami bertiga adalah penumpang yang digelar 'walking passenger'.

Alhamdulillah semua perjalanan dipermudahkan, dan kami menginap dua malam di Dar Rif 17 Rue Mohamed Bergach, Tangier , 90300, Morocco, dengan servis yang terbaik.

Stesen keretapi Tangier
Kota Tangier
Masjid tertua di Tangier, sangat berhampiran dengan hotel kami
Singgah di bandar Tetouan, dan tidak berkesempatan ke bandar biri Chefchouan

Fes

Di Fes, kami juga menginap di Airbnb selama dua malam di Dar Warda. Pengalaman yang sangat berharga dan terlalu banyak yang ingin dicerita, cuma masa untuk menulis di blog agak terhad, jadi saya kongsikan beberapa gambar untuk kenang-kenangan.

Bab Boujloud, pintu utama masuk ke Fes el-Bali
Kedai-Kedai di dalam Fes el-Bali
Tiada kenderaan dibenarkan masuk ke dalam kawasan Fes el-Bali.
Ia dipelihara di bawah UNESCO World Heritage dan menjadi kawasan terbesar tanpa kenderaan bermotor di dunia.
Keldai ada di merata-rata.
Airbnb kami yang sangat cantik. Usah pandang luaran
Kawasan membuat barangan kulit
Masjid al-Qarawiyyin. Alhamdulillah berpeluang solat Jumaat di dalamnya.
Sejujurnya, ada banyak ingin saya kongsikan di sini, tetapi masa sangat mencemburui saya dan ada yang lebih penting untuk saya tulis iaitu tesis kajian saya. InsyaAllah satu hari nanti saya akan kongsikan dan berhasrat untuk kembali ke kota Maghribi yang lain seperti Casablanca dan Marrakech.

InsyaAllah...


Thursday, 31 December 2015

Masjid di Bumi Sepanyol

Bismillahirrahmanirahim

Hampir sebulan telah kami tamatkan kembara ke bumi Sepanyol. Terlalu banyak yang ingin dikongsi tapi masih belum sempat saya coretkan di blog peribadi. Entri kali ini, berbesar hati untuk saya kongsikan kembara kami menziarahi masjid-masjid di bumi Sepanyol. Ia adalah bukti di mana Islam pernah berkembang maju di bumi Spain, khasnya di Andalusia.

Bermula di Barcelona, kami ambil peluang untuk menunaikan solat jama' zuhur dan asar di Masjid Tariq bin Zaid. Nama masjid ini diambil daripada nama seorang pejuang Islam masyhur Andalusia.

Dari stesen Liceu, hanya sepuluh minit berjalan kaki ke masjid ini. Tiada kawasan solat untuk wanita, tetapi ada Muslim membawa saya dan Afeef ke satu pusat Islam berhampiran masjid ini untuk kami rehat dan solat. Banyak kedai makanan halal di sekitar kawasan ini. #sirimasjiddibumisepanyol

Saya dan Afeef dibawa ke pusat Islam ini untuk menunaikan solat. Ada bilik air dan sejadah juga disediakan. Sempat menyusukan Afeef di dalam ini.


Di Madrid, kami mengambil jalan jauh untuk singgah ke masjid ini. Alhamdulillah tak disangka, azan berkumandang beberapa minit setelah kami sampai di sini. Saya tidak turut serta solat berjemaah kerana sudah solat sebelum kami keluar daripada hotel. Menurut suami saya yang solat berjemaah, ramai juga para jemaah yang solat bersama dan mereka memberi info berguna ketika awal kami tiba di masjid.

Mezquita central atau dikenali juga sebagai Mezquita Abu Baker Assidik. Stesen terdekat dengan masjid ini ialah Estrecho, tetapi kami sengaja berjalan kaki daripada Santiago Bernabéu Stadium ke masjid ini dengan mengambil masa hampir dua puluh minit. Ruang solat untuk wanita di tingkat dua, dilengkapi lif, mudah untuk membawa stroller Afeef masuk bersama. #sirimasjiddibumisepanyol

Ruang solat wanita



Di Cordoba, sebenarnya kami tidak mengunjungi masjid yang masih berfungsi sebagai masjid, tetapi mengambil peluang untuk berkunjung ke satu tapak sejarah yang dahulunya adalah masjid dan telah dirampas menjadi gereja, tetapi kini ia hanyalah salah satu kawasan perlancongan di Cordoba. Ada kawasan kecil di dalamnya untuk menunaikan ibadah Kristian. Dan di dalamnya juga terdapat tinggalan sejarah yang menjulang kegemilangan Islam suatu ketika dahulu di Andalusia. Perasaan saya tatkala mengunjungi bekas masjid ini adalah jauh berbeza dengan perasaan saya ketika mengunjungi Hagia Sofia di Turki yang dahulunya gereja tetapi bertukar menjadi masjid.

Masjid Qurtubah (La Mezquita) atau kini dikenali sebagai Catedral Mezquita de Codoba telah diisytiharkan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Di dalam bangunan ini, masjid sudah hilang tanda. Yang tinggal hanya kesan-kesan sejarah dan lagenda. Semuanya sudah ditukarkan menjadi gereja. Perkarangan Masjid Cordoba dikelilingi pohon-pohon limau dan juga pohon tamar. Harga masuk ialah 8 euro untuk dewasa dan percuma untuk bayi. #sirimasjiddibumisepanyol

Di antara tinggalan sejarah Islam di dalam Mezquita

Pengalaman mencari masjid di Granada adalah pengalaman yang sukar dilupakan. Jelas di dalam Google Map bahawa Masjid Besar di Granada adalah sangat jauh, jadi kami mengambil keputusan untuk mengunjungi masjid yang dekat 'sedikit'. Ternyata ia juga jauh dan jalan yang kami lalui begitu mencabar, tetapi berpeluang melihat kawasan kediaman yang terletak jauh di atas bukit. Dalam masa yang sama, kami juga temui kawasan bazar yang meriah dan ramai didiami Muslim.

Berjalan kaki hampir 45 minit dari hotel menuju ke masjid ini dengan liku-liku perjalanan yang sungguh mencabar. Lucunya, Afeef boleh tidur lena di dalam stroller walaupun jalan yang kami lalui berbukit dan berbatu. Ada kawasan solat untuk wanita. Banyak restoran halal di kawasan ini. #sirimasjiddibumisepanyol

Lihat jalannya yang berbatu-batu, Afeef sudah bangun tidur dan moodnya kurang baik pada waktu ini.


Di Malaga, ia juga pengalaman berjalan kaki dengan jarak yang agak jauh untuk berkunjung ke masjid ini. Alhamdulillah pintu masjid terbuka luas saat kami sampai, dapat juga kami masuk ke dalamnya dan penjaga masjid terpaksa menunggu kami (kerana suami masih di dalam tandas) untuk menutup pintu pagar masjid. Rupa-rupanya masjid ini hanya dibuka pada waktu solat sahaja. Masjidnya sangat cantik, bersih dan besar. Ada ruang solat untuk wanita tetapi saya tidak berpeluangg  masuk ke dalam kerana Afeef tersangat ngantuk dan lapar.

Mezquita de Malaga dibangunkan di bawah dana raja Saudi dan baru berusia sekitar sepuluh tahun. Ia hanya dibuka pada waktu solat sahaja. Alhamdulillah rezeki kami pada hari ini dapat masuk ke dalam masjid dan bertemu dengan penjaga masjid. Terletak tidak jauh daripada stesen bus dengan mengambil masa lima belas minit berjalan kaki. #sirimasjiddibumisepanyol


Alhamdulillah untuk #sirimasjiddibumisepanyol yang pada asalnya saya kongsi di instagram, dan tambah beberapa info di entri ini. Semoga kita semua berpeluang mengimarahkan dan memuliakan masjid-masjid di muka bumi Allah.

Thursday, 12 November 2015

Kembara bersama Bayi

Bismillahirrahmanirrahim

Sejujurnya, saya belum pernah lagi kembara jarak jauh bersama Afeef. Seingat saya, Afeef seawal sebulan sudah saya bawa ke lapangan terbang London menghantar atok dan neneknya pulang ke Malaysia. Itu pun jarak London dan Birmingham hanyalah sekitar dua jam lebih sahaja. Selepas itu, Afeef hanya dibawa di kawasan berdekatan sahaja, disebabkan jadual belajar saya yang semakin sempit. 

Tetapi kami sudah membuat perancangan untuk kembara lagi. Kali ini bukan berdua seperti dulu. Tetapi bertiga.  Jika akhir tahun lepas, Afeef masih di dalam kandungan ketika kami ke Turki, kali ini insyaAllah Afeef menghampiri 6 bulan untuk mengembara di dua Negara yang saya rahsiakan dulu buat masa ini. 

Tidak dinafikan yang membawa Afeef jauh ke luar Tanah Ratu ini agak menggusarkan hati. Banyak faktor yang perlu diambil perhatian termasuklah berat beg, pakaian, jarak hotel, itinerari dan sebagainya. Saya juga memerlukan waktu yang panjang untuk mengatur perjalanan kami yang bakal mengambil masa hampir dua minggu di negara orang. 

Blog-blog dan nasihat kawan-kawan juga membantu persediaan saya membawa bayi sekecil Afeef. Antaranya ialah: 

1. Selain masa take-off dan landing, susukan anak tiap kali kita sendiri rasa bengang telinga semasa berada di sepanjang perjalanan. 

2. Bersedia dengan ubat-ubat penting termasuk baby balsam (ie vicks for baby), prospan dan lain-lain. 

3. Pilih baby stroller yang ringan dan selesa. Tidak perlu stroller yang mahal kerana ia berkemungkinan tinggi untuk rosak atau calar di sepanjang perjalanan. Bawa juga baby carrier dan buat keputusan bijak untuk gunakan salah satu di kawasan yang tertentu. Walaupun agak renyah membawa baby stroller ke mana-mana, tetapi ia juga membantu untuk ibu bapa bergerak dengan selesa.

4. Sekiranya menggunakan baby carrier, pastikan pakai kasut yang betul-betul selesa & tapak kasut yang boleh membawa tambahan kilo kepada kepada beban kaki.

5. Susukan atau tukar lampin sebelum anak meragam. Terus bertindak bila dia bagi tanda meragam atau dah cukup jam. Ia bagi mengelakkan jadual perjalanan terganggu. 

6. Sapu skin protector pada anak untuk  mengelakkan kulit kering kerana faktor cuaca. Contoh: virgin coconut oil (VCO). Pakaikan pakaian yang sesuai mengikut musim negara yang dilawati. 

7. Bawa pakaian lebih untuk bayi dan juga ibu bapa bayi di dalam handy bag. Berkemungkinan muntah bayi juga terkena pakaian ibu atau bapa. Malah, ibu bapa perlu selesa terlebih dahulu untuk perjalanan terasa selesa. Saya suka idea membawa lampin bayi seperti mana di dalam video di bawah:



8. Atur itinerari dengan bijak. Kurangkan kawasan yang ingin dilawati dan tambah anggaran masa untuk menukar lampin bayi, menyusukan bayi dan masa sekiranya bayi meragam. 

9. Asingkan beg khas untuk barangan bayi sebagai persediaan jika checked in beg mengalami masalah. Ambil tahu berapa muatan yang dibenarkan, kerana setiap penerbangan mempunyai syarat yang berbeza. Boleh rujuk SINI.

10. Bawa mainan yang bayi gemari. Contoh: yang berbunyi atau tidak bahaya untuk dimasukkan di dalam mulut. Sebaiknya mainan diletakkan di dalam handy bag, dan sediakan pelbagai agar bayi tidak bosan. Download beberapa apps sesuai untuk bayi di telefon pintar anda, untuk mengelakkan bayi rasa bosan jika berada di dalam bas atau tren pada waktu yang lama. Tidak salah menggunakan teknologi.

11. Susukan bayi di kawasan yang sesuai dan selesa. Ini bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif. Gunakan nursing cover, dan bapa perlu bagi sokongan penuh untuk menyusukan bayi. Bawa juga pam susu jika perlu.

12. Bawa salinan passport dan surat kelahiran bayi anda. Nasihat ini untuk mereka yang mahu dapatkan harga murah bagi bayi umur dua tahun ke bawah.

Tips di atas diambil daripada group BBM dan beberapa blog seperti SINI, SINI dan SINI, dan diubah serta ditambah khas sebagai persediaan dan peringatan kepada saya. Mohon doakan perjalanan kami dalam tempoh kurang daripada 10 hari lagi selamat dan dipermudahkan semuanya. Ameen. 

Afeef, jom kembara!

Thursday, 30 April 2015

Hatiku Tertinggal di Cornwall

Bismillahirrahmanirrahim

Percutian ke Cornwall sebenarnya telah dirancang lama sejak tahun lepas demi mendapatkan harga yang murah. Tidak disangka, saat kandungan saya genap 36 minggu, itulah tarikhnya kami menuju kawasan hujung England yang masyhur dengan kawasan pantai yang indah. Tidak diduga juga, malang tidak berbau, kami diuji dengan sedikit kemalangan. Alhamdulillah ada seorang teman yang sememangnya dalam perancangan akan mengikuti kami, telah memberi keizinan untuk menggunakan kereta beliau sepanjang 4 hari 3 malam ini..

Kebarangkalian besar ini adalah percutian kami sebelum bergelar ibu dan ayah. Dengan energi yang semakin berkurangan dan emosi yang sentiasa berubah-ubah, saya gagahkan juga ke lokasi-lokasi berikut:


Ini adalah lokasi penginapan kami sepanjang 3 malam. Alhamdulillah dengan harga tidak mencapai £100 untuk 3 malam, kami berpuas hati. Walaupun caravan kali ini agak kecil berbanding dengan pengalaman-pengalaman yang lalu, tetapi ia adalah kawasan yang tidak membenarkan anjing masuk dan mempunyai akses ke laut yang sangat mudah.

caravan yang mengadap laut ini beribu harganya!
 Caravan kecil kami. Jazakillahukhayr kaktah for your kindness!


Ini adalah lokasi wajib jika ke Cornwall. Menurut kedudukan di peta England, Land's End adalah kawasan paling hujung di bahagian bawah, manakala kawasan paling hujung di bahagian atas ialah John O'groats. Oleh sebab yang demikian, ramai pelancong mengambil peluang datang ke sini sambil menikmati pemandangan yang sangat indah di tepi laut. Sayangnya, kabus sangat tebal dan hujan turun ketika kami tiba. Tapi sempat juga menikmati langit cerah sedikit sebelum kami bergerak ke tempat lain.


3. Minack Theatre

Ini juga adalah lokasi wajib jika ke Cornwall. Ia adalah dewan teater yang telah dibina pada 1931 di tepi laut, terbuka secara awam, di bawah inspirasi Rowena Cade, wanita kaya yang berhijrah ke England selepas WW1. Minack bermaksud kawasan berbatu, dan keseluruhan pentas dan tempat duduk pengunjung dibina dengan batu-batu berat yang kukuh. Sangat cantik. Cuma sedih di atas kekurangan upaya saya yang hamil 9 bulan ini dan kawasan yang licin, suami tidak membenarkan saya turun menikmati pentas tetaer daripada bawah. Mungkin ada hikmahnya..



Ada kawan yang pernah mengunjungi lokasi ini. Sangat cantik kerana ia adalah istana yang dibina di tengah laut, dan ada laluan untuk pejalan kaki. Sekiranya air naik, ada kapal kecil disediakan untuk pengunjung. Kami tiba di lokasi ini agak lewat petang. Air surut dan istana juga sudah ditutup. Sempat juga kami berjalan di tepi pantai dan menikmati pemandangan indah.  



Pada awalnya saya rasakan bayaran masuk adalah mahal tapi ia sangat berbaloi! Terutama dalam melepaskan kerinduan pada tanah air tercinta. Belian secara online lebih murah (£18 untuk pelajar & £22.50 untuk dewasa) sedikit berbanding walk ini, oleh itu perlu perancangan yang elok dan perjalanan di sini memakan masa agak lama dan menggunakan tenaga yang banyak untuk berjalan. Alhamdulillah ada bas yang disediakan darpada kawasan parking dan juga tren kecil di dalam kawasan ini. Sangat teruja. Sangat seronok. Dan saya galakkan rakyat Malaysia yang tinggal di UK untuk mengunjungi Eden Project. Air mata saya hampir menangis melihat kawasan kebun, lantas teringat kebun ayah yang dipenuhi pisang dan pokok-pokok lain. Panas didalamnya juga hampir sama dengan Malaysia. Malah ada 'cool room' disediakan bagi pengunjung yang tidak tahan dengan kepanasan hutan tropika. Bukan sahaja Malaysia, penggunjung juga dapat merasai bagaimana kehidupan di Afrika, Amerika dan negara-negara Mediterranean. Kagum dan puas hati.

Belimbing, bunga kantan, pokok serai, bunga raya, daun kunyit, lada, dan banyaaaaakk lagi pokok-pokok yang sukar ditemui di Tanah Inggeris ada di sini

Cool Room ini ada air-cond didalamnya, serta water coller bagi mereka yang kepanasan (termasuklah kami..)

6. Towan Beach

Kami hanya singgah beberapa minit sahaja di Towan Beach ini. Menurut seorang kawan, ada dua buah rumah yang dibina di atas bukit kicil dan ada jambatan yang menjadi penghubung jalan dua bukit di tepi laut ini. Cantik. Tetapi kepenatan yang amat untuk terus berjalan, hanya gambar ini sebagai kenangan...


7. St. Ives

Alhamdulillah dapat juga mengunjungi pantai di St. Ives. Sangat cantikkk. Cuaca pula Subhanallah terang benderang. Kami mengunjungi lokasi ini pada pagi hari terakhir sebelum pulang ke Birm. Ada banyak pantai di St. Ives ini, dan atas pertolongan  seorang pekerja di Visitor Information, kami mengunjungi pantai yang paling berhampiran. Sempat juga kami menikmati Cornish ice cream buat kali terakhir, dan Cornish scone yang sangat sedap.


8. Plymouth

Dalam perjalanan pulang ke Birm, kami singgah sebentar ke Plymouth untuk berjumpa rakan di USIM yang menymbung pengajian PhD dan perbankan Islam di Univeristy of Plymouth. Kisahnya ialah kami berdua temuduga pada hari yang sama, dan melaporkan diri di USIM pada hari yang sama, cuma fakulti kami sahaja berbeza. Sempat juga dia membawa kami meronda Plymouth sambil bercerita sejarah2 yang ada di Plymouth ini. 

Royal William Yard
Sempat juga menikmati makanan halal Kurdish di Plymouth

Alhamdulillah, biarpun mendapat beberapa ujian sebelum dan semasa percutian, hati saya tertinggal di Cornwall dek kecantikan alam yang dijadikan Tuhan. Nikmatilah setiap saat yang kita hadapi sekrang ini dan sentiasalah bersyukur dengan segala pemberian Tuhan. 

p/s: alangkah bahgianya kalau Birminghan ada pantai.....