Showing posts with label catatan perantauan. Show all posts
Showing posts with label catatan perantauan. Show all posts

Friday, 27 April 2018

Alhamdulillah: VIVA DAY

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah

Tidak mampu digambarkan dengan kata-kata, tetapi kenangan ini perlu dicoretkan juga agar menjadi kenangan yang boleh dibaca semula dan mungkin boleh dijadikan inspirasi buat anak-anak kelak.

Saya menghantar tesis pada 20 Feb 2018, dan telah menghadiri viva pada 23 April 2018 baru-baru ini. Syukur ke hadrat Ilahi viva berjalan dengan sangat baik dan saya lulus dengan minor correction  di mana saya diberi 3 bulan untuk membuat pembetulan. Semoga Allah merahmati kedua-dua penyelia saya dan juga kedua-dua penilai yang memberi natijah kejayaan pada hari tersebut.


Seingat saya, kami tiba di Birmingham pada 16 Mei 2013, dan mendaftar di universiti pada 21 Mei 2013. Pada 25 Mei 2013, kami menyambut ulangtahun perkahwinan yang pertama. Pada tahun yang pertama dalam dunia PhD, saya sangat bersungguh-sungguh. Saya ambil segala peluang yang ada untuk menuntut ilmu dan belajar benda yang baru. Sebelum masuk tahun kedua, kajian saya dinilai dan saat itu saya mendapat penyelia kedua. Tahun kedua adalah tahun paling mencabar buat saya, penyelia pertama saya cuti sakit selama 6 bulan dan penyelia kedua mempunyai konflik dengan penyelia pertama. Tesis saya berubah secara drastik, dan pada tahun kedua inilah saya membuat keputusan muktamad untuk kekal dengan tajuk yang ada dan mencari data penting untuk kajian saya. Alhamdulillah saya juga bakal menerima cahayamata pertama. Jadi, tahun kedua ini saya aturkan pembahagian masa untuk tesis agar dapat siapkannya mengikut timeline yang telah saya bina pada tahun pertama. Tetapi saya diuji lagi dengan sikap penyelia dan kemudian kelahiran bayi yang saya tunggu-tunggu itu menghadirkan bahagia tetapi dalam masa yang sama meningkatkan kerisauan yang ada. 

Masuk tahun ketiga, penyelia masih sama. Saya tersekat, buntu dan tidak tahu untuk buat apa. Saya jalani tahun ketiga dengan berjaga-jaga. Biasiswa yang ada juga bakal berakhir, tetapi saya dapat menyambung tempoh cuti belajar selama 5 bulan sahaja dan perlu pulang juga ke tanah air. Saya ambil cuti daripada universiti selama 10 bulan, dan meneruskan semula pengajian sehingga ke tarikh akhir penghantaran tesis. Keringat, wang, usaha telah saya laburkan sepanjang hampir 5 tahun ini. Bayi kedua saya adalah rezeki yang Allah berikan untuk menjadikan saya lebih kuat. Saya nekad untuk siapkan tesis ketika berpantang anak kedua. Tempoh pantang selama 3 bulan itu saya gunakan sebaiknya. Benarlah bahawa anak-anak adalah sumber kekuatan yang tidak ternilai harganya, mereka bukan penghalang tetapi penguat semangat agar Ibunya menjadi contoh terbaik buat mereka. Alhamdulillah tamat juga perjalanan panjang ini. Jika saya diberi peluang sekali lagi untuk menyambung phd, TIDAK akan saya lakukannya buat kali kedua.

Buat rakan-rakan yang masih berjuang, teruskanlah. Abaikan apa yang diikata kerana tidak semua memahami apa yang dirasa. Melihat tidak sama dengan melalui. Mengata tidak akan sama dengan mengetahui. Semoga Allah permudahkan urusan kalian.

Finally, I'm FREE

Pada hari viva ini, saya sangat teruja dapat kembali ke Birmingham (our second home) buat kesekian kalinya. Disambut dengan bunga dan angin sejuk yang mengimbau semua kenangan lama. Tanah Inggeris ini banyak mengajar erti sebuah kehidupan, mengenal kesusahan dan merasa manisnya pengorbanan. Semua ini adalah berkat doa dan sokongan suami, ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan. Terima kasih memang tidak cukup buat mereka, tetapi saya memohon doa agar Allah balas segala kebaikan mereka dengan kebaikan yang berlipat kali ganda...

Alangkah bahagianya jika Ayah masih ada... Pasti dia tersenyum bahagia, mengucapkan tahniah dan membelek tesis ku berkali-kali walaupun mungkin tidak faham isi kandungannya..

Alangkah bahagianya jika Ayah masih ada... Pasti dia sudi mendengar apa yang terjadi pada hari viva itu, turut merasa apa yang saya rasa, gementar dan akhirnya gembira, phd ini berakhir juga..

Alangkah bahagianya jika Ayah masih ada... Akan ku sarungkan topi graduasi itu kerana dia adalah  sumber inspirasi utama. Senyuman mahal Ayah akan mencipta satu detik yang takkan ku lupakan buat selamanya.

Tetapi Ayah sudah tiada, doaku buatnya tetap ada sampai bila-bila.
Maafkan saya Ayah, kerana terlambat menyiapkan tesis ini dan terlambat membuatmu bangga.

Kenangan dengan Ayah dan Emak di UOB, Jun 2015
Kenangan terakhir di sini, Ogos 2016
Kenangan tidak berhenti, membawa Afnan mengelilingi universiti
Saya kembali lagi di Musim Bunga, April 2018

InsyaAllah, kami sekeluarga pasti kembali lagi!




Wednesday, 10 August 2016

Menghitung Hari. Apa Kata Hati?

Bismillahirrahmanirrahim

Kurang dari dua minggu, saya bakal meninggalkan Tanah Inggeris. Sepatutnya saya pulang pada Mei yang lalu, tetapi dipanjangkan sedikit tempoh untuk menyiapkan penulisan. Masih juga belum selesai kerana tempoh perlanjutan yang diberi ialah sehingga Oktober, tapi visa kami sekeluarga tamat pada awal September. Lalu kami mengambil keputusan untuk pulang akhir Ogos atas sebab-sebab keluarga.

Selama tiga tahun tiga bulan ini, saya tidak pernah sekalipun pulang ke Tanah Melayu. Tiada duit untuk pulang? Ya, itu antara sebab utama. Antara sebab lain ialah saya mahu menikmati kehidupan di negara orang yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Saya mahu belajar di universiti dan juga memperolehi pengalaman di universiti kehidupan juga. Terlalu banyak saya belajar sepanjang tempoh ini dan terlalu banyak kenangan pahit manis yang tidak akan saya lupakan dan akan disimpan rapat di dalam memori kehidupan ini.

Sejujurnya jika diberi peluang untuk tidak pulang, saya memilih untuk tinggal di Tanah Inggeris. Ini pengakuan jujur. Saya hormati jurang perbezaan yang tinggi di antara dua tanah penjajah dan dijajah. Biarpun negara penjajah ini dipelopori oleh nilai-nilai Barat yang jauh dari Akidah Islam, tetapi banyak juga nilai-nilai Islam yang diterap di dalam sistem mereka. Benar bahawa ada segelintir masyarakat Barat yang menyokong Islamophobia dan anti-Islam, tetapi mereka bebas untuk tidak bertelagah dengan perkara kecil yang sering diulang-ulang oleh masyarakat kita. Perasaan menghormati perbezaan adalah antara perkara penting yang dipupuk oleh masyarakat di sini, dan juga tidak memikirkan apa yang difikir orang lain.

Hati saya berdebar-debar untuk pulang ke tanah air sendiri. Ini juga pengakuan jujur yang terpaksa saya akui. Kos hidup yang semakin tinggi, keselamatan anak-anak yang semakin tergugat, bebanan kerja yang melampau, semuanya menjadi antara faktor yang merisaukan. Saya khuatir tanggungjawab menjaga anak dan suami yang wajib itu akan ditutupi dengan tanggungjawab mencari rezeki dan mengelakkan kesempitan kewangan keluarga. Saya juga khuatir masa untuk bekerja lebih banyak diluangkan berbanding masa di samping keluarga. Saya sangat khuatir jika anak mencari kasih sayang di tempat lain kerana kekurangan kasih dan sayang ibu ayahnya.. Na'uzubillah min dhalik...

Tetapi jauh di sudut hati saya berkata untuk amalkan hidup besederhana. Keluarga adalah segalanya. Berjimat adalah langkah mulia. Kami perlu mengubah cara hidup kami untuk boleh hidup sempurna dan bahagia di tanah kelahiran sendiri. Ada tanggungjawab yang perlu saya langsaikan dan di Tanah Melayu dan Islam itu adalah tempat saya berbakti...

Terima kasih Birmingham kerana mendidik saya dengan caramu yang tersendiri..
Terima kasih untuk semua kenangan manis kita, kenangan yang pahit biarpun ada hanyalah sebagai kekuatan untuk saya bangun dan kembali berjuang..



Kamu akan sentiasa terpahat rapi di hati...

10 Ogos 2016
Edgbaston, Birmingham


Thursday, 14 July 2016

Eid Mubarak!

Bismillahirrahmanirrahim

Jika di entri lepas saya katakan ini Ramadan terakhir di bumi Birmingham, pastinya ia Syawal terakhir juga kami raikan di sini. Alhamdulillah atas nikmat Ramadan dan Syawal. Biarpun sedih atas pemergian Ramadan, Syawal disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan.

Pastinya saya akan merindui saat manis menyambut Aidilfitri di perantauan. Ini kali keempat beraya di Birmingham, dan Alhamdulillah ianya adalah memori-memori indah yang tidak akan saya lupakan. Biarpun tiada baju atau kasut raya, apatah lagi membuat kuih raya, kami sangat gembira menyambut Syawal pada tahun ini. Semoga tahun ini kami menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan merebut peluang untuk sentiasa melakukan kebaikan di mana saja kami berada.

Mengambil peluang di dalam bulan Syawal ini untuk memohon maaf kepada semua kenalan yang saya kenali sama ada di alam nyata mahupun maya. Maaf zahir dan batin.

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Taqabbalallahuminna wa minkum

Friday, 24 June 2016

Ramadan Terakhir di Bumi Birm

Bismillahirrahmanirrahim

Salam Ramadan al-Mubarak daripada saya sekeluarga. Semoga ia tidak terlambat untuk meletakkan ucapan di blog ini biarpun fasa kedua Ramadan bakal berakhir dan pintu fasa ketiga Ramadan semakin hampir. Alhamdulillah atas nikmat bertemu Ramadan sekali lagi pada tahun ini. Alhamdulillah juga di atas kesempatan merasa panjangnya berpuasa di Tanah Inggeris untuk kali keempat.

Telah dicatatkan di media Inggeris bahawa Ramadan kali ini adalah tempoh terpanjang yang pernah dilalui (rujuk SINI). Tempoh menahan lapar dan dahaga dan segala perbuatan yang membatalkan puasa menghampiri 19 jam. Hanya lima jam sahaja berbaki untuk malam melabuhkan tirainya. Ia agak sukar sedikit pada lima hari yang pertama kerana cuaca agak panas, tetapi lama-kelamaan belasan jam itu terasa biasa.



Sejujurnya pada tahun lepas, saya memasang angan-angan untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri di tanah air pada tahun ini, tetapi atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, kami masih di bumi ratu ini. InsyaAllah ini Ramadan terakhir di Birmingham..

Saya memohon agar Allah memberi kesempatan untuk saya bertemu Ramadan lagi pada tahun hadapan dan mengampunkan dosa-dosa kami sekeluarga serta menerima amalan kami semua.

Aminn


Sunday, 15 May 2016

Tiga Tahun

15 Mei 2016

Genap tiga tahun kami berpijak di Bumi Birmingham. Terlalu cepat masa berlalu sehinggakan saya tidak menyangka yang akhir bulan ini genaplah Afeef berumur satu.

Tiga tahun ini terlalu banyak kenangan manis yang tidak akan dilupakan, juga kenangan pahit yang akan saya jadikan pengajaran. Tiga tahun ini sangat bermakna buat saya sebagai seorang pelajar, kerana tujuan utama berhijrah secara sementara di Tanah Inggeris ini adalah untuk belajar dan terus belajar. Saya pasti, soalan pertama yang akan ditanya ketika pulang nanti ialah: "sudah habis belajar ke?", dan saya juga pasti yang saya akan menjawab "belum."



Tiga tahun ini saya banyak belajar. Belajar tentang erti kehidupan. 

Hidup sebagai Muslim di negara bukan Islam yang banyak mempraktikkan nilai-nilai Islam..
Hidup sebagai seorang isteri yang banyak mematangkan diri sendiri dan mengharungi susah senang bersama suami yang dicintai..
Hidup seorang anak yang jauh di perantauan tetapi mewajibkan diri untuk terus berbakti walaupun mereka jauh di mata, tetapi dekat di hati..
Hidup sebagai seorang ibu adalah detik terindah dan pengalaman melahirkan anak pertama di bumi asing adalah sesuatu yang sangat berharga..
Hidup sebagai seorang pelajar yang semakin saya belajar, semakin sedar tentang ceteknya ilmu di dada..
Hidup sebagai seorang sahabat yang saling membantu dan menghargai antara satu sama lain..

Saya juga sedang belajar menerima hakikat bahawa saya akan pulang ke tanah air kelahiran tidak lama lagi. Hanya berbaki tiga bulan lagi...

Semoga sisa baki saya di Birmingham diredhai Ilahi dan tidak sabar rasanya menyambut Ramadan terakhir di sini di mana puasanya hampir dua puluh jam sehari...

Saadah Khair
Birmingham
15052013 - 15052016


Tuesday, 2 February 2016

Lima Hari Berharga di Fes & Tangier

Bismillahirrahmanirrahim

Sehingga kini, saya masih merindui kota Maghribi. 

Kembara ke Morocco sebenarnya terinsipirasi daripada sepupu saya dan isterinya yang mengembara ke Morocco pada akhir 2014. Itinerari yang dikongsikan mereka adalah panduan utama perjalanan kami pada awal Disember 2015. Tetapi pada awalnya saya tidak tahu bahawa passport Malaysia memerlukan visa untuk masuk ke Morocco, dan sepupu saya yang memegang passport Singapura boleh masuk ke Morocco tanpa visa. Urusan visa menjadikan semangat saya agak kendur, tetapi saya cari juga info tentang permohonan visa di UK dan Alhamdulillah ia tidak sesukar yang dijangka.

Dokumen utama yang diperlukan untuk memohon visa di UK ialah:
1. Borang permohonan visa yang boleh dimuat turun dari laman web kedutaan Morocco
2. Passport original dan satu salinan
3. Visa UK original dan satu salinan
4. Surat universiti yang membuktikan anda adalah pelajar
5. Slip gaji (3 Bulan) dan satu salinan (untuk suami saya)
6. Penyata bank (3 bulan) - setiap seorang
7. Tiket masuk/pulang ke Morocco sama ada feri atau kapal terbang
8. Bukti tempahan hotel yang sah
9. Insurans keluarga selama berada di Morocco (saya guna moneysupermarket.com)
10. Pos order berharga £16 setiap satu untuk setiap passport. Boleh cek harga visa di laman web.

Semua dokumen di atas di hantar pos secara special delivery ke kedutaan Morocco, London beserta sampul surat ke alamat sendiri yang sudah dibayar nilai pos juga secara special delivery untuk mereka pulangkan dokuman asal. Alhamdulillah, kami menerima dokumen asal kami beserta cop visa selepas dua hari. 

Tangier

Tangier adalah kota pelabuhan di Morocco dan satu-satunya jalan laut untuk masuk ke negara ini. Tetapi ada dua port yang berbeza, dan saya membeli tiket ke Tangier Med yang bergerak daripada Algeciras, Spain. Feri yang kami naik sebenarnya adalah feri kenderaan dan barang-barang, dan rupa-rupanya hanya kami bertiga adalah penumpang yang digelar 'walking passenger'.

Alhamdulillah semua perjalanan dipermudahkan, dan kami menginap dua malam di Dar Rif 17 Rue Mohamed Bergach, Tangier , 90300, Morocco, dengan servis yang terbaik.

Stesen keretapi Tangier
Kota Tangier
Masjid tertua di Tangier, sangat berhampiran dengan hotel kami
Singgah di bandar Tetouan, dan tidak berkesempatan ke bandar biri Chefchouan

Fes

Di Fes, kami juga menginap di Airbnb selama dua malam di Dar Warda. Pengalaman yang sangat berharga dan terlalu banyak yang ingin dicerita, cuma masa untuk menulis di blog agak terhad, jadi saya kongsikan beberapa gambar untuk kenang-kenangan.

Bab Boujloud, pintu utama masuk ke Fes el-Bali
Kedai-Kedai di dalam Fes el-Bali
Tiada kenderaan dibenarkan masuk ke dalam kawasan Fes el-Bali.
Ia dipelihara di bawah UNESCO World Heritage dan menjadi kawasan terbesar tanpa kenderaan bermotor di dunia.
Keldai ada di merata-rata.
Airbnb kami yang sangat cantik. Usah pandang luaran
Kawasan membuat barangan kulit
Masjid al-Qarawiyyin. Alhamdulillah berpeluang solat Jumaat di dalamnya.
Sejujurnya, ada banyak ingin saya kongsikan di sini, tetapi masa sangat mencemburui saya dan ada yang lebih penting untuk saya tulis iaitu tesis kajian saya. InsyaAllah satu hari nanti saya akan kongsikan dan berhasrat untuk kembali ke kota Maghribi yang lain seperti Casablanca dan Marrakech.

InsyaAllah...


Thursday, 31 December 2015

Masjid di Bumi Sepanyol

Bismillahirrahmanirahim

Hampir sebulan telah kami tamatkan kembara ke bumi Sepanyol. Terlalu banyak yang ingin dikongsi tapi masih belum sempat saya coretkan di blog peribadi. Entri kali ini, berbesar hati untuk saya kongsikan kembara kami menziarahi masjid-masjid di bumi Sepanyol. Ia adalah bukti di mana Islam pernah berkembang maju di bumi Spain, khasnya di Andalusia.

Bermula di Barcelona, kami ambil peluang untuk menunaikan solat jama' zuhur dan asar di Masjid Tariq bin Zaid. Nama masjid ini diambil daripada nama seorang pejuang Islam masyhur Andalusia.

Dari stesen Liceu, hanya sepuluh minit berjalan kaki ke masjid ini. Tiada kawasan solat untuk wanita, tetapi ada Muslim membawa saya dan Afeef ke satu pusat Islam berhampiran masjid ini untuk kami rehat dan solat. Banyak kedai makanan halal di sekitar kawasan ini. #sirimasjiddibumisepanyol

Saya dan Afeef dibawa ke pusat Islam ini untuk menunaikan solat. Ada bilik air dan sejadah juga disediakan. Sempat menyusukan Afeef di dalam ini.


Di Madrid, kami mengambil jalan jauh untuk singgah ke masjid ini. Alhamdulillah tak disangka, azan berkumandang beberapa minit setelah kami sampai di sini. Saya tidak turut serta solat berjemaah kerana sudah solat sebelum kami keluar daripada hotel. Menurut suami saya yang solat berjemaah, ramai juga para jemaah yang solat bersama dan mereka memberi info berguna ketika awal kami tiba di masjid.

Mezquita central atau dikenali juga sebagai Mezquita Abu Baker Assidik. Stesen terdekat dengan masjid ini ialah Estrecho, tetapi kami sengaja berjalan kaki daripada Santiago Bernabéu Stadium ke masjid ini dengan mengambil masa hampir dua puluh minit. Ruang solat untuk wanita di tingkat dua, dilengkapi lif, mudah untuk membawa stroller Afeef masuk bersama. #sirimasjiddibumisepanyol

Ruang solat wanita



Di Cordoba, sebenarnya kami tidak mengunjungi masjid yang masih berfungsi sebagai masjid, tetapi mengambil peluang untuk berkunjung ke satu tapak sejarah yang dahulunya adalah masjid dan telah dirampas menjadi gereja, tetapi kini ia hanyalah salah satu kawasan perlancongan di Cordoba. Ada kawasan kecil di dalamnya untuk menunaikan ibadah Kristian. Dan di dalamnya juga terdapat tinggalan sejarah yang menjulang kegemilangan Islam suatu ketika dahulu di Andalusia. Perasaan saya tatkala mengunjungi bekas masjid ini adalah jauh berbeza dengan perasaan saya ketika mengunjungi Hagia Sofia di Turki yang dahulunya gereja tetapi bertukar menjadi masjid.

Masjid Qurtubah (La Mezquita) atau kini dikenali sebagai Catedral Mezquita de Codoba telah diisytiharkan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Di dalam bangunan ini, masjid sudah hilang tanda. Yang tinggal hanya kesan-kesan sejarah dan lagenda. Semuanya sudah ditukarkan menjadi gereja. Perkarangan Masjid Cordoba dikelilingi pohon-pohon limau dan juga pohon tamar. Harga masuk ialah 8 euro untuk dewasa dan percuma untuk bayi. #sirimasjiddibumisepanyol

Di antara tinggalan sejarah Islam di dalam Mezquita

Pengalaman mencari masjid di Granada adalah pengalaman yang sukar dilupakan. Jelas di dalam Google Map bahawa Masjid Besar di Granada adalah sangat jauh, jadi kami mengambil keputusan untuk mengunjungi masjid yang dekat 'sedikit'. Ternyata ia juga jauh dan jalan yang kami lalui begitu mencabar, tetapi berpeluang melihat kawasan kediaman yang terletak jauh di atas bukit. Dalam masa yang sama, kami juga temui kawasan bazar yang meriah dan ramai didiami Muslim.

Berjalan kaki hampir 45 minit dari hotel menuju ke masjid ini dengan liku-liku perjalanan yang sungguh mencabar. Lucunya, Afeef boleh tidur lena di dalam stroller walaupun jalan yang kami lalui berbukit dan berbatu. Ada kawasan solat untuk wanita. Banyak restoran halal di kawasan ini. #sirimasjiddibumisepanyol

Lihat jalannya yang berbatu-batu, Afeef sudah bangun tidur dan moodnya kurang baik pada waktu ini.


Di Malaga, ia juga pengalaman berjalan kaki dengan jarak yang agak jauh untuk berkunjung ke masjid ini. Alhamdulillah pintu masjid terbuka luas saat kami sampai, dapat juga kami masuk ke dalamnya dan penjaga masjid terpaksa menunggu kami (kerana suami masih di dalam tandas) untuk menutup pintu pagar masjid. Rupa-rupanya masjid ini hanya dibuka pada waktu solat sahaja. Masjidnya sangat cantik, bersih dan besar. Ada ruang solat untuk wanita tetapi saya tidak berpeluangg  masuk ke dalam kerana Afeef tersangat ngantuk dan lapar.

Mezquita de Malaga dibangunkan di bawah dana raja Saudi dan baru berusia sekitar sepuluh tahun. Ia hanya dibuka pada waktu solat sahaja. Alhamdulillah rezeki kami pada hari ini dapat masuk ke dalam masjid dan bertemu dengan penjaga masjid. Terletak tidak jauh daripada stesen bus dengan mengambil masa lima belas minit berjalan kaki. #sirimasjiddibumisepanyol


Alhamdulillah untuk #sirimasjiddibumisepanyol yang pada asalnya saya kongsi di instagram, dan tambah beberapa info di entri ini. Semoga kita semua berpeluang mengimarahkan dan memuliakan masjid-masjid di muka bumi Allah.

Thursday, 12 November 2015

Kembara bersama Bayi

Bismillahirrahmanirrahim

Sejujurnya, saya belum pernah lagi kembara jarak jauh bersama Afeef. Seingat saya, Afeef seawal sebulan sudah saya bawa ke lapangan terbang London menghantar atok dan neneknya pulang ke Malaysia. Itu pun jarak London dan Birmingham hanyalah sekitar dua jam lebih sahaja. Selepas itu, Afeef hanya dibawa di kawasan berdekatan sahaja, disebabkan jadual belajar saya yang semakin sempit. 

Tetapi kami sudah membuat perancangan untuk kembara lagi. Kali ini bukan berdua seperti dulu. Tetapi bertiga.  Jika akhir tahun lepas, Afeef masih di dalam kandungan ketika kami ke Turki, kali ini insyaAllah Afeef menghampiri 6 bulan untuk mengembara di dua Negara yang saya rahsiakan dulu buat masa ini. 

Tidak dinafikan yang membawa Afeef jauh ke luar Tanah Ratu ini agak menggusarkan hati. Banyak faktor yang perlu diambil perhatian termasuklah berat beg, pakaian, jarak hotel, itinerari dan sebagainya. Saya juga memerlukan waktu yang panjang untuk mengatur perjalanan kami yang bakal mengambil masa hampir dua minggu di negara orang. 

Blog-blog dan nasihat kawan-kawan juga membantu persediaan saya membawa bayi sekecil Afeef. Antaranya ialah: 

1. Selain masa take-off dan landing, susukan anak tiap kali kita sendiri rasa bengang telinga semasa berada di sepanjang perjalanan. 

2. Bersedia dengan ubat-ubat penting termasuk baby balsam (ie vicks for baby), prospan dan lain-lain. 

3. Pilih baby stroller yang ringan dan selesa. Tidak perlu stroller yang mahal kerana ia berkemungkinan tinggi untuk rosak atau calar di sepanjang perjalanan. Bawa juga baby carrier dan buat keputusan bijak untuk gunakan salah satu di kawasan yang tertentu. Walaupun agak renyah membawa baby stroller ke mana-mana, tetapi ia juga membantu untuk ibu bapa bergerak dengan selesa.

4. Sekiranya menggunakan baby carrier, pastikan pakai kasut yang betul-betul selesa & tapak kasut yang boleh membawa tambahan kilo kepada kepada beban kaki.

5. Susukan atau tukar lampin sebelum anak meragam. Terus bertindak bila dia bagi tanda meragam atau dah cukup jam. Ia bagi mengelakkan jadual perjalanan terganggu. 

6. Sapu skin protector pada anak untuk  mengelakkan kulit kering kerana faktor cuaca. Contoh: virgin coconut oil (VCO). Pakaikan pakaian yang sesuai mengikut musim negara yang dilawati. 

7. Bawa pakaian lebih untuk bayi dan juga ibu bapa bayi di dalam handy bag. Berkemungkinan muntah bayi juga terkena pakaian ibu atau bapa. Malah, ibu bapa perlu selesa terlebih dahulu untuk perjalanan terasa selesa. Saya suka idea membawa lampin bayi seperti mana di dalam video di bawah:



8. Atur itinerari dengan bijak. Kurangkan kawasan yang ingin dilawati dan tambah anggaran masa untuk menukar lampin bayi, menyusukan bayi dan masa sekiranya bayi meragam. 

9. Asingkan beg khas untuk barangan bayi sebagai persediaan jika checked in beg mengalami masalah. Ambil tahu berapa muatan yang dibenarkan, kerana setiap penerbangan mempunyai syarat yang berbeza. Boleh rujuk SINI.

10. Bawa mainan yang bayi gemari. Contoh: yang berbunyi atau tidak bahaya untuk dimasukkan di dalam mulut. Sebaiknya mainan diletakkan di dalam handy bag, dan sediakan pelbagai agar bayi tidak bosan. Download beberapa apps sesuai untuk bayi di telefon pintar anda, untuk mengelakkan bayi rasa bosan jika berada di dalam bas atau tren pada waktu yang lama. Tidak salah menggunakan teknologi.

11. Susukan bayi di kawasan yang sesuai dan selesa. Ini bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif. Gunakan nursing cover, dan bapa perlu bagi sokongan penuh untuk menyusukan bayi. Bawa juga pam susu jika perlu.

12. Bawa salinan passport dan surat kelahiran bayi anda. Nasihat ini untuk mereka yang mahu dapatkan harga murah bagi bayi umur dua tahun ke bawah.

Tips di atas diambil daripada group BBM dan beberapa blog seperti SINI, SINI dan SINI, dan diubah serta ditambah khas sebagai persediaan dan peringatan kepada saya. Mohon doakan perjalanan kami dalam tempoh kurang daripada 10 hari lagi selamat dan dipermudahkan semuanya. Ameen. 

Afeef, jom kembara!

Monday, 19 October 2015

Musim Luruh, Musim Cinta

Dengan nama Tuhan yang menciptakan alam dengan pelbagai musim. Dia Yang mengidupkan pokok dan menghijaukan dedaun, Dia juga Yang meluruhkan dedaun dan melakar keindahan warna musim luruh..


Autumn atau musim luruh sering menjadi musim teristimewa bagi pencinta alam. Daun-daun jatuh berguguran, bertukar warna dan meninggalkan ranting-ranting berdiri utuh kesunyian. Bagi saya, musim luruh tahun ini amat bermakna dan bakal meninggalkan memori yang akan dikenang sehingga bila-bila..

Ada orang menggelar Spring as the season of love, tetapi saya percaya ramai juga yang menjadikan musim luruh sebagai musim cinta, yes! Autumn is my season of love. Saya setuju dengan kata-kata ini:

 “Spring and Summer and Winter all begin with such late letters! 
But Autumn and Fall, I have loved best, because they are best to love.” 



Perubahan musim ini mengajak mereka yang beriman kepada Tuhan yang satu agar sentiasa menyukuri NikmatNya. Hidup dan mati adalah lumrah yang telah ditetapkan. Hijau hanyalah sementara, ia akan berubah warna, gugur dan kemudian tumbuh kembali dan mengulangi proses yang sama. Begitulah manusia, kesihatan, kekayaan dan kejayaan hanyalah sementara di dunia, ia akan kekal di Akhirat sekiranya kita mengulangi rasa syukur, taubat dan menaruh harapan tinggi terhadap Rahmat Tuhan..

Semoga Allah mengampunkan dosa kami sekeluarga...

It is so strange that autumn is beautiful, yet everything is dying...

**Adakah ini musim luruh terakhir kami bertiga?

Monday, 21 September 2015

Permohonan Visa - Anak Lahir di UK

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah Afeef dah dapat visa sendiri. 


Permohonan dibuat pada 1 Sept (isi online pada akhir Ogos), respon untuk biometric pada 8 Sept, passport dipulangkan pada 16 Sept dan Visa diterima pada 18 Sept.


Berikut adalah cara untuk memohon visa sekiranya anak anda lahir di UK. Langkah2 berikut dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan.

1. Buat sijil kelahiran/surat beranak terlebih dahulu. Perlu buat temu-janji dan datang pada tarikh dan waktu yang ditetapkan. Hanya £4 dikenakan. Jika di Birmingham, surat beranak boleh dibuat di Birmingham Register Office.

2. Ambil gambar passport dan visa sekaligus. Gambar passport memerlukan latar belakang berwarna putih, manakala warna kelabu untuk gambar visa.


3. Buat passport di Malaysian High Commission, London. Boleh download borang passport di SINI, tetapi ada lagi satu borang untuk surat beranak Malaysia yang boleh didapati di sana. Jangan lupa untuk buat salinan lebih sekurang-kurangnya tiga salinan untuk setiap dokumen penting. Harga passport ialah £21, dan surat beranak ialah £10. Dua keping gambar untuk setiap permohonan. Peringatan penting ialah isi maklumat nama dan alamat anda mengikut IC Malaysia.

4. Mohon pihak penaja poskan surat financial affidavit kerana hanya salinan original sahaja diterima. Pastikan nama anak ditulis di dalam surat tersebut.


5. Pastikan surat beranak, passport, 2 keping gambar visa, dan financial affidavit sudah ada di tangan baru boleh mula kan permohonan untuk visa.

6. Register online di SINI. Ingat, anak anda ialah dependent untuk Tier 4 (General) Student.



7. Jawab soalan2 dan jangan lupa tekan SAVE dan CHECK. Antara soalan2 yang ditanya ialah: personal details lead applicant (anak anda), personal details joining main applicant (anda - student),  maklumat ibubapa anak, dependent maintenance dll. 

8. Sekiranya sudah lengkap, anda akan dibawa ke laman web Health surcharge. Jumlah bayaran akan dikenakan mengikut tempoh baki anda menetap di UK. Saya dikenakan bayaran IHS sebanyak £150. Resit dan pengesahan akan dihantar ke emel.

9. Bayar harga visa £439 secara online. Resit dan pengesahan juga akan dihantar ke emel. Menurut beberapa pihak, harga visa akan meningkat lagi pada November 2015, oleh yang demikian, periksa harga visa yang terkini sebelum memohon.

10. PRINT dokumen yang memerlukan tandatangan setelah selesai.

11. Poskan lampiran ke alamat yang diberi. Di dalam sampul surat, wajib menyediakan satu lagi sampul surat ke alamat sendiri dan sudah dibayar harga pos nya. Dokumen yang wajib dihantar ke pihak visa ialah: surat beranak, passport, 2 keping gambar, dan financial affidavit (original). Saya mendapat tips daripada seorang rakan untuk lampirkan juga salinan fotokopi passport dan visa kedua ibubapa bayi dengan surat ringkas menyatakan bahawa ia sebagai further references. Pos mestilah dihantar secara special delivery ke alamat ukva dan alamat sendiri.

12. Sekiranya visa sudah diproses, surat untuk melakukan biometric akan dihantar ke rumah. Biometric boleh dibuat di pos office yg tersenarai, jika di Birmingham, anda boleh ke post office city dan tekan digital untuk nombor giliran. Harga ialah £19.20.


13. Beberapa hari yang berikut nya, passport, surat beranak dan financial affidavit akan dikembalikan menggunakan cover letter yang dilampirkan ke alamat sendiri sebelum ini.

14. Kemudian visa akan diterima dalam beberapa hari yang berikutnya.

15. Boleh lah claim resit ke universiti ;)


Selamat memohon!



Wednesday, 16 September 2015

Hujan Emas di Negeri Orang

Bismillahirrahmanirrahim

Dua tahun lebih mengembara ilmu di Tanah Inggeris, jujur saya katakan yang saya sangat selesa. Menikmati empat musim dan pemandangan indah pernah menjadi salah satu asbab untuk tidak pulang ke negara sendiri. Apatah lagi yang kini Tanah Melayu dihujani pelbagai ujian dan kontroversi...

Tetapi,

Ada tanggungjawab yang perlu digalas. 
Ada amanah yang perlu dilaksanakan. 

Memetik kata-kata Saiful Nang di FB:

"Memangnya hujan batu di negeri sendiri itu lebih baik. Tetapi saya percaya kita mampu belajar dari negeri atas angin bagaimana hujan emas boleh turun di negeri mereka. Di celah hujan emas ini juga terselit najis unta. Sama juga di celah hujan batu kita afa terselit emas sedikit. Mengembara mengenal dunia, jika melancong semata-mata tidak menjadikan kita lebih baik. Alfateh juga belajar dari Hungary dalam persenjataan untuk menawan Constantinople.... 
Bukankah jika mahu belajar kita pelajari yang baik-baik dan yang buruk itu kita tinggalkan? Bukan belajar dengan mencari keburukan orang. Jika begitu, sampai matipun kita tak mungkin belajar seperti mustahilnya mencari bangsa yang sempurna segalanya."

Sempena Hari Malaysia pada 16 September ini, saya berbesar hati untuk kongsikan beberapa faktor betapa nikmatnya dihujani emas di negara orang:

1. Kebersihan

  • Kawasan perumahan, universiti, pusat membeli-belah bersih dan sukar untuk temui sampah bersepah, melainkan di kawasan-kawasan tertentu yang dipanggil black area.
  • Jika makan di kedai, terutama fast food restaurant, pelanggan tidak segan silu untuk membersihkan meja yang dia duduki sama seperti dia belum memesan apa-apa makanan. Meja yang bersih boleh terus diduduki oleh orang lain.
  • Pusat kitar semula sangat tersusun dan bersih. Boleh rujuk perkongsian saya di SINI.
  • Tandas tidak berbau dan bersih. Saya pernah solat di dalam bilik menukarkan lampin bayi bersebelahan dengan tandas.

2. Kuasa pejalan kaki

Berjalan kaki boleh dikatakan menjadi tabiat orang Inggeris. Salah satu sebab berjalan kaki menjadi selamat ialah kuasa zebra crossing yang mendidik para pemandu untuk berhati-hati dan saling menghormati. Pemandu apa sahaja kenderaan akan berhenti secara automatik apabila melihat ada pejalan kaki yang sedang melintas, dan mereka yang sedang menunggu untuk melintas jalan. Ini menjadi antara faktor selamat untuk mengelakkan kemalangan yang melibatkan pejalan kaki.

3. Hormat kepada siren

Bunyi siren polis, ambulans, bomba dianggap serius. Kenderaan lain secara automatik akan memperlahankan kenderaan masing-masing serta memberikan laluan kepada kenderaan yang berbunyi siren. Tindakan akan dikenakan kepada mereka yang menghalang laluan.

4. Ubat-ubatan percuma

Ada beberapa peringkat umur yang boleh mendapat rawatan serta ubat-ubatan daripada hospital secara percuma. Di antara mereka yang layak ialah yang berumur 16 tahun ke bawah, warga tua, orang kurang upaya dan mereka yang layak menerima benefit negara.

5. Melahirkan anak tanpa sebarang bayaran

Penduduk tetap dan mereka yang mempunyai visa secara sah boleh melahirkan anak di mana-mana hospital kerajaan secara percuma, sama ada lahir secara normal mahupun caesarean. Rawatan sepanjang kehamilan juga adalah percuma. Malah ibu mengandung mendapat kad khas yang dipanggil maternity card yang boleh digunakan sepanjang mengandung sehingga anak berusia setahun untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan secara percuma.


6. Layanan istimewa kepada yang teristimewa

Menurut rakan yang membawa anak istimewanya datang ke UK, perkhidmatan diberikan secara eksklusif tanpa membezakan bangsa, agama dan budaya. Bantuan susu dan lampin pakai buang diberikan secara percuma setiap tahun. Mereka dibenarkan bersekolah seperti biasa. Paling mengujakan ialah ibu bapa boleh menghantar anak istimewa untuk duduk di dalam hospice sekiranya ingin pergi bercuti atau sebab-sebab yang lain, juga secara percuma.

7. Bilik menyusukan bayi

Sebagai ibu, saya sangat mengambil berat tentang waktu dan di mana untuk menyusukan bayi terutama jika keluar daripada rumah. Alhamdulillah mudah untuk saya menyusukan bayi kerana disediakan bilik salinan untuk bayi yang juga digunakan untuk menyusukan bayi.

8. Bilik solat

Sebelum ini saya pernah berkongsi tentang ruang solat yang disediakan di UK, boleh baca di SINI. Satu tips yang boleh saya kongsi ialah cek peta bangunan yang ingin anda kunjungi, kemungkinan ada bilik yang boleh digunakan untuk solat. Antara nama yang diberi ialah multi-faith room, prayer room, quiet room, contemplation room. Jika tidak temui bilik khas, solatlah di mana-mana. sesungguhnya tanah di muka bumi ini suci belaka.



9. WIFI percuma di mana-mana

WIFI percuma mudah didapati di mana-mana eg; hospital, lapangan terbang, keretapi dan juga di dalam bas!

10. 1 pound yang sangat bernilai!

Anda boleh dapat banyak benda dengan harga 1 pound. Ia tidaklah murah jika ditukar ke wang ringgit, tetapi dengan 1 pound, kita boleh berbelanja dengan bijak.


Entri ini tidak berniat untuk menyatakan situasi buruk di negara sendiri (malah tidak disebut satu pun), tetapi menjadi panduan untuk mencontohi kebaikan yang dipraktikkan di negara orang lain. Apapun, saya tetap anak Malaysia dan mohon doakan untuk saya kembali berkhidmat di tanah air sendiri pada tahun depan.

Semoga Allah merahmati tanah air ku..


Wednesday, 29 July 2015

Eid Mubarak 1436H

Bismillahirrahmanirrahim

13 Syawal, Birmingham - Harap masih tidak terlambat untuk mengucapkan Eid Mubarak, kullu 'am wa antum bikhair kepada semua ahli keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan pembaca budiman blog kerdil ini. Mohon maaf di atas segala kesilapan dan kekhilafan saya dan blog ini sekiranya ada terguris hati sesiapa. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa dan menerima amalan kita semua.


Selamat Hari Raya
Maaf Zahir Batin

Tahun depan beraya di Malaysia insya'Allah!


Tuesday, 13 January 2015

Istanbul & Bursa: Penamat 2014

Bismillahirrahmanirrahim

Hampir dua minggu sudah berlalu di dalam tahun yang baru. Sejujurnya, saya memang ternanti-nanti akan kehadiran 2015, tetapi kenangan manis dan pahit 2014 masih bermain-main di fikiran. Saya dan suami berpeluang menamatkan 2014 dengan kenangan terindah di dua kota bersejarah Turki; Istanbul dan Bursa. Melalui tulisan ini, saya kongsikan beberapa catatan sepanjang tujuh hari enam malam di bumi Turki.

Masjid

Keseronokkan yang tidak terhingga apabila boleh mendengar azan pada setiap lima waktu solat. Masjid juga sangat banyak dan berhampiran antara satu sama lain. Hampir dua tahun di Tanah Inggeris, saya memang benar-benar rindukan azan yang bebas berkumandang di udara. Peluang untuk solat berjemaah dengan masyarakat Muslim Turki juga tidak saya lepaskan. Sepanjang pemerhatian saya, kawasan Masjid sangat bersih, malah mereka mempunyai budaya tidak meletakkan kasut di hadapan pintu masjid, tetapi kasut akan dibawa masuk ke dalam dan disusun pada rak yang disediakan. Ada juga plastik yang disediakan sekiranya takut hilang, terutama pada waktu solat jumaat. Kawasan mengambil wuduk bagi lelaki banyak terdapat di kawasan luar masjid, tetapi bagi wanita ia agak tersembunyi dan tidak mempunyai papan tanda. Jadi, saya terpaksa membuat gaya mengambil wudu' kerana masalah bahasa yang berbeza. Ada juga beberapa masjid yang mengenakan caj untuk menggunakan tandas sebanyak 1lira, terutama di kawasan yang banyak dikunjungi pelancong.

Masjid Eyup Sultan
Kawasan mengambil wudu' di Masjid Hijau, Bursa
Bahasa

Saya merasakan perbezaan bahasa ialah cabaran terhebat buat saya dan suami sepanjang berada di Turki. Alhamdulillah homestay yang kami sewa dimiliki oleh pelajar Malaysia, dan kami manfaatkan hari pertama untuk bertanya banyak tips daripada beliau. Saya juga membuat banyak kajian melalui perkongsian di blog-blog, dan ramai yang menasihatkan agar menggunakan peta untuk mudah bertanya. Peta yang kami bawa memang lunyai kerana dirujuk setiap masa, dan google maps hanya membantu sekiranya kita bookmark di kawasan yang perlu dituju. Dinasihatkan juga untuk pergi ke visitor information untuk minta peta dan pegawai di sana boleh juga berbahasa Inggeris.

Bahasa Turki memang jauh berbeza dengan bahasa Arab dan Inggeris. Rata-rata masyarakat Turki memang tidak boleh menggunakan bahasa lain melainkan jika di kawasan bazar atau pun restoran. Tetapi perbezaan bahasa ini menjadikan perjalanan ini semakin menarik. Antaranya: saya dipujuk oleh seorang wanita tua kerana menangis ketika berpeluang solat jumaat di Masjid Eyup Sultan, biarpun tidak faham walau sepatah, tapi hati saya terubat; seorang makcik cuba membantu dalam perjalanan pulang dari Cumalikizik & ramai lagi yang cuba membantu untuk mencari sesebuah lokasi biarpun kami tidak mengerti; dan banyak lagi pengalaman yang kami lalui. Saya sangkakan kebanyakan warga muda boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris biarpun sedikit, tetapi sangkaan saya meleset. Ada seorang pakcik Turki boleh berbahasa Inggeris kerana pernah berhijrah ke negara lain, dan mereka yang boleh berbahasa selain bahasa Turki kebanyakannya pernah keluar daripada Turki.

Masalah bahasa ini juga dihadapi ketika melawati muzium atau lokasi bersejarah, kerana tambahan wang dikenakan untuk menyewa alat audio guide untuk mengetahui lebih lanjut tentang sesuatu gambar atau kawasan. Untuk berjimat, hanya satu alat sahaja kami sewa, dan suami saya akan berkongsi apa yang didengari mengikut lokasi tertentu.

Pengangkutan

Secara keseluruhan, saya memuji sistem pengangkutan awam di Turki. Kebanyakan pengangkutan awam termasuklah tram, bas, feri, kereta kabel, keretapi bawah tanah, kesemuanya boleh menggunakan satu kad sahaja iaitu Istanbulkart. Kad ini juga unik kerana satu kad boleh digunakan untuk ramai pengguna. Sebagai contoh, halakan kad di skrin pintu masuk bas/tram sebanyak dua kali jika untuk dua orang. Dan kad ini boleh di'topup' dengan mudah di mesin-mesin atau kedai-kedai yang bertulis 'Akbil'. Teksi juga banyak tetapi ramai menasihatkan agar tidak tertipu dengan pemandu teksi yang suka mengambil kesempatan terutama pelancong asing. Kami juga mempunyai pengalaman buruk menaiki teksi pada hari ketibaan kami di Turki, kerana pemandu tersebut pada awalnya mengaku tahu destinasi homestay kami, tetapi akhirnya tersesat sehingga kami terpaksa membayar tambang lebih daripada harga sepatutnya.

Kereta kabel menuju ke Pierre Lotti
Tram bawah tanah kedua tertua di dunia
Feri Istanbul - Bursa, 80 lira return ticket

Sejarah

Turki memang sangat terkenal dengan sejarah dan tamadun Islam. Alhamdulillah perjalanan ke Turki bukanlah sekadar untuk makan angin sahaja, tetapi kami manfaatkan juga untuk mempelajari dan menghargai sejarah khasnya sejarah daulah uthmaniyyah yang mencapai kegemilangannya di Turki. Sebagai contoh: Panorama 1453 Museum yang penuh dengan catatan dan lakaran kejatuhan konstatinopel dan kemenangan Sultan al-Fatih; Topkapi Palace & Museum yang menjadi istana sultan-sultan Uthmaniyyah dan salah satu bilik di dalamnya mempamerkan barang-barang kepunyaan Nabi-Nabi termasuk Nabi Muhammad SAW; Ayasofea (Hagia Sophia) yang asalnya adalah gereja tetapi ditukar menjadi masjid setelah kemenangan Muslim, tetapi kini menjadi muzium sepenuhnya; Old Ottoman Village di Cumalikizik, Bursa yang telah pun berusia lebih 700 tahun, masih dijaga rapi dan diduduki penduduk Muslim; dan banyak lagi tempat bersejarah di Turki. Terdetik juga satu pertanyaan di minda saya apabila melihat ramai pelancong bukan Islam ketika mengunjungi tempat-tempat ini, apakah persepsi mereka melihat kegemilangan Islam dahulu yang banyak bezanya dengan masyarakat Muslim kini....

Topkapi Palace & Museum
Di dalam AyaSofea
Perkampungan lama uthmaniyyah, Cumalikizik, Bursa

Kubur

Kawasan perkuburan di Turki bukanlah satu kawasan yang menakutkan seperti yang digambarkan di dalam kaca TV Malaysia. Ada kawasan kubur yang dijadikan taman untuk beriadah, tetapi kebanyakannya berhampiran dengan kawasan masjid. Batu nisan mereka agak berbeza terutama sekiranya kubur tersebut milik seseorang yang hebat, tetapi mungkin juga batu nisan yang tinggi ini memudahkan untuk keluarga menziarahi si mati. Kawasan kubur di dalam muzium dan istana juga sangat dikawal ketat, dan sesiapa ingin masuk ke dalamnya perlu menanggalkan kasut kerana kawasan tersebut dijaga dengan rapi dan bersih.

Salah satu kawasan perkuburan di Eyup
Sedihnya, saya tidak berkesempatan menziarahi kubur arwah Ammar, rakyat Malaysia yang menuntut ilmu di bumi Turki dan meninggaldunia di dalam sebuah kemalangan. Kisah beliau menjadi satu fenomena di mana kematiannya dianggap satu kehidupan di mana usia muda bukan penghalang untuk mengejar kebaikan dan diisi dengan semangat perjuangan. Kubur arwah terletak di kawasan Eyup yang berhampiran dengan Masjid Eyup Sultan. Tetapi hujan lebat dan tidak berhenti hingga ke malam hari menghalang niat kami untuk ziarah, insyaAllah satu hari nanti, kami akan kembali lagi.

Cuaca

Disember termasuk di dalam musim sejuk di mana cuaca sangat sukar diramal dengan tepat. Oleh kerana tiket agak murah pada musim ini, kami teruskan juga niat ke Turki. Sepanjang 7 hari, hanya satu hari sahaja kami dapat nikmati matahari, itu pun di kawasan salji, Uludag, Bursa dan sepanjang perjalanan daripada Bursa pulang ke Istanbul. Hari-hari lain ialah hujan, malah salji turun tidak berhenti. Biarpun demikian, kami mendapati bahawa cuaca di Birmingham jauh lebih sejuk berbanding Turki. Sedikit tips yang boleh dikongsi ialah pakai pakaian dan kasut yang sesuai terutama yang weatherproof dan waterproof.

Menikmati sinaran mentari di kawasan salji, Uludag, Bursa

Makanan

Alhamdulillah mencari makanan halal di Turki tidak sesukar di Tanah Inggeris. Ini kerana majoriti masyarakat Turki beragama Islam dan pelancong boleh yakin dengan kehalalan makanan melainkan restoran yang menyediakan arak. Turki memang terkenal dengan teh yang dihidang di dalam gelas unik, rasanya sama seperti teh biasa tetapi agak pekat dan pahit sedikit. Makanan pula banyak pilihan termasuklah kebab, pizza, roti dan sebagainya, tetapi sepanjang tujuh hari ini saya benar-benar rindukan nasi! Semenjak berbadan dua, nasi juga menjadi pilihan hati, selalunya saya tidak kisah asalkan kenyang dengan apa yang ada. Nasi di Turki agak menyerupai pulut, melekit dan berbetuk bulat. ia seperti risotto dan rasanya agak pelik. Dan pastinya ia tidak memenuhi selera Melayu saya. Walau apapun, alhamdulillah pengalaman merasai makanan-makanan Turki adalah sesuatu yang manis..
Turkish Tea dan roti -Sarapan pagi
Iskander Kebab di Bursa - Daging dan kuah diletakkan di atas roti pita panas
Kedai-kedai selepas Galata Bridge menjual sandwich ikan segar yang enak!

Membeli-belah

Jujur saya katakan, saya tidak merancang untuk ber'shopping' di Turki, melainkan beberapa benda yang sudah dienaraikan sebelum terbang ke Turki. Kebanyakan penjual-penjual di bazar akan automatik berbahasa Melayu seperti 'murah', 'masuk' dan lain-lain apabila mengecam muka melayu dan bentuk tudung yang saya pakai. Bazar terlalu banyak. Pilihan juga ada di tangan kita. Di antara tips yang boleh saya berikan ialah lakukan survey harga dan kawasan, catat setiap perbelanjaan, minta nasihat dan cadangan kawan-kawan yang pernah ke Turki, dan menawar dengan bijak. Tidak lupa juga untuk membuat pilihan yang bijak untuk menukar wang di Turki.

Elakkan membeli di Grand Bazaar kerana harganya jauh lebih mahal

Kembali

Saya dan suami bersetuju akan kembali lagi ke Turki. Tetapi rasanya Istanbul tidak masuk di dalam senarai akan datang kerana bandarnya sangat sesak dengan pelancong. Destinasi akan datang ialah Ankara, Cappadocia, Pammukale dan mungkin akan berkunjung lagi ke Bursa (sangat suka Bursa), InsyaAllah!

Boleh emel saya secara peribadi di bintukhair2408@gmail.com untuk minta itinerari perjalanan kami.