Dear my child-to-be,
“To get through the hardest journey we need take only one step at a time, but we must keep on stepping”. Chinese Proverbs
Showing posts with label letter. Show all posts
Showing posts with label letter. Show all posts
Tuesday, 16 December 2014
Monday, 15 September 2014
Surat Kepada Calon UPSR
Assalamualaikum
Segala puji bagi Tuhan yang mencipta kejayaan dan kegagalan. Dia sebaik-baik perancang yang sentiasa berjaya dan tidak pernah gagal. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad sallahu'laihiwasallam dan seluruh ahli keluarga dan para sahabat. Sesungguhnya Rasulullah adalah contoh terbaik yang pernah merasai erti sebuah kejayaan dan juga kegagalan.
Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,
Saya hanyalah pelajar biasa yang pernah menduduki UPSR pada tahun 1996. Saat itu, saya memikirkan bahawa UPSR adalah satu peperiksaan yang sangat sukar. Lebih-lebih lagi saya bersekolah di sekolah swasta yang mewajibkan pelajar-pelajarnya untuk mengambil UPSRA yang mengandungi lima mata pelajaran agama. Saya hadiri pelbagai aktiviti motivasi untuk meningkatkan prestasi pembelajaran, kerana saya bukanlah di kalangan pelajar bijak di sekolah. Apa yang terjadi sebelum dan ketika UPSR tidak begitu lekat di ingatan, tetapi saya tidak boleh lupa wajah ayah ketika keputusan UPSR diumumkan. Ayah nampak kecewa kerana saya hanya mampu skor A untuk satu seubjek sahaja, dan B untuk subjek-subjek yang lain. Oleh kerana keputusan tidak begitu memberangsangkan, saya dihantar ke sekolah agama bukan kerajaan berasrama penuh. Tetapi Ayah tidak pernah berhenti untuk memberi sokongan dan galakan untuk saya terus belajar dan berjaya sehingga kini. Walaupun kemudiannya PMR dan SPM juga saya tidak pernah skor A berderet, tetapi saya mendapat anugerah ketika tamat ijazah sarjana muda, mendapat biasiswa penuh ketika menyambung master, dan kini bergelar calon PhD di salah sebuah 100 universiti terbaik dunia.
Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,
UPSR pasti menjadi satu kenangan yang tidak akan dilupakan sama ada ia membawa memori suka atau duka. Saya pasti apa yang terjadi pada tahun ini akan lebih diingati apabila soalan kertas Sains dan Bahas Inggeris bocor, dan kalian harus menduduki peperiksaan semula. Saya juga pasti bahawa kalian adalah mangsa ketidak-jujuran sesetengah pihak yang juga pernah menduduki UPSR suatu ketika dahulu atau apa saja nama peperiksaan yang mereka pernah duduki ketika sekolah rendah suatu masa dahulu. Siapa saja yang suka mengambil peperiksaan berulang kali? Jika ditanya kepada si pembocor kertas soalan, adakah dia mahu untuk menjawab kertas soalan untuk kali kedua?
Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,
Tujuan surat ini ditulis bukanlah untuk mencari salah pihak yang bersalah, tetapi memberi semangat pada kalian agar tidak mudah mengalah dan menyerah kalah. Jadikan peristiwa September bersejarah ini sebagai satu lonjakan untuk kalian berfikir apakah jalan yang terbaik untuk menggapai kejayaan. Soalan yang telah bocor mungkin menjadi cara pendek bagi orang-orang tertentu untuk berjaya, tetapi niat tetap tidak menghalalkan cara. Kejayaan itu bukanlah terletak pada hasilnya sahaja, tetapi dinilai juga melalui perjalanan untuk mencapai kejayaan tersebut. Ada yang mendapatkan kejayaan dengan cara yang susah, ada juga yang mendapatnya dengan cara yang mudah, tetapi caranya harus betul biarpun perlu menempuhi kegagalan terlebih dahulu.
Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,
Saya mendoakan agar kalian semua berjaya.
Bilangan 'A' bukanlah ukuran. 'D' atau 'F' juga tidak perlu dipersalahkan.
Salam perjuangan!
Saadah Khair
Monday, 8 April 2013
Kawan, Teman, Sahabat
Bismillahirrahmanirrahim
Kehadapan Munira yang dikasihi,
Semoga Allah merahmati dirimu serta keluargamu. Surat ini ditujukan khas buat kamu demi persahabatan ini yang sentiasa aku harapkan agar berkekalan dan dirahmati Tuhan.
Mengenali kamu suatu ketika dahulu adalah suatu kebahagiaan buatku. Lupa pula bagaimana kami bertemu tapi aku tidak akan lupakan persahabatan ini sampai bila-bila.
Sejak di Pusat Matrikulasi, kita selesa berkawan. Berpindah ke Gombak, kita masih rapat biarpun kita mempunyai pengkhususan yang berbeza. Tamat pengajian, aku terus menyambung ke peringkat sarjana, manakala kamu pula terus berkhidmat sebagai pensyarah sebuah kolej.
Alhamdulillah pada tahun akhir pengajian, aku memohon kerja dan mendapat jawatan yang sama di kolej yang sama denganmu. Ada 'chemistry' untuk menemukan kita di mana-mana. Walaupun kini kita dipisahkan dengan jarak, aku mengharapkan hanya ajal maut yang bisa memisahkan persahabatan ini.
Kita pernah meredah hutan bersama, menempuh kesesakan manusia di bumi Kuala Lumpur bersama, ketawa dan menangis bersama, berkongsi manis pahit kehidupan bersama dan aku mengharapkan juga agar kita ke syurga nanti pun bersama, semoga Allah jauhkan api neraka buat kita di Akhirat kelak.

Bertemu denganmu tempoh hari benar-benar membuahkan rasa bahagia. Sungguh aku tidak berdusta. Rindu. Itu sahaja mampu aku katakan. Sangat rindu.
Jika ada perbuatanku dulu yang mengguris hatimu, maafkan aku.
Jika ada kata-kataku yang pernah melemahkan semangatmu, maafkan aku.
Jika ada apa sahaja yang berkaitan denganku membuat dirimu tidak senang denganku, maafkan aku.

Doaku agar kamu sentiasa mencapai impian yang kau hasratkan.
Doaku agar kamu bertemu si Imam yang bakal memimpin mu untuk membina sebuah keluarga sakinah.
Doaku agar kamu berjaya dan sentiasa mendapat keberkatan di dalam kehidupan samada di dunia mahupun di Akhirat sana.
InsyaaAllah, ada ruang dan peluang untuk kita bertemu lagi. Ingat daku dalam doamu.
Salam Sayang,
Sahabatmu yang penuh kekurangan.
InsyaaAllah, ada ruang dan peluang untuk kita bertemu lagi. Ingat daku dalam doamu.
Salam Sayang,
Sahabatmu yang penuh kekurangan.
Monday, 19 November 2012
Warkah Hijrah
Assalamualaikum
Warkah ini dititipkan khas buat semua sahabat
yang telah berhijrah, sedang berhijrah, akan berhijrah dan tidak lupa juga buat
mereka yang belum atau tiada hasrat untuk berhijrah.
Kata orang, hijrah itu pengorbanan. Ia
membentuk persaudaraan. Ia melahirkan kasih sayang. Ia menjauhi persengketaan.
Ia menghasilkan sebuah kenikmatan…
Sahabat-sahabat yang telah berhijrah,
Sekalung tahniah. Pastinya kalian telah
memahami suka dan duka sebuah hijrah. Barangkali ada yang berhijrah dari sebuah
tempat ke tempat yang lain. Ada juga yang berhijrah daripada status bujang
kepada alam perkahwinan. Ada juga yang berhijrah daripada dunia universiti ke
dunia kerjaya. Ada juga yang berhijrah untuk melupakan semua kisah lalu dan
membuka buku yang baru. Sesungguhnya kalian yang telah berhijrah ke arah yang
lebih baik adalah lebih baik daripada tiada arah tujuan.
Semoga
ganjaran yang telah dijanjikan Allah akan senantiasa mengiringi hidup kalian di
dunia dan di Akhirat. “Orang-orang yang beriman dan
berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih
besar darjatnya di sisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat
kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan
syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka
kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar”
(Surah al-Taubah: 20-22)
Sahabat-sahabat yang sedang berhijrah,
Teruskan berhijrah. Teruskan berubah.
Kadangkala ujian akan datang dari pelbagai arah. Ini lumrah orang yang sedang
berhijrah. Hasutan iblis adalah musuh durjana yang bisa memesongkan hala tuju
sebuah penghijrahan. Sesungguhnya Allah akan sentiasa menunjukkan jalan jika
apa yang kalian sedang hijrahkan kini adalah semata-mata kerana-Nya.
Rasulullah SAW telah bersabda di dalam sebuah hadith: “Sesungguhnya
semua amal itu haruslah dengan niat. Dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa
yang ia niatkan. Maka siapa yang hijrahnya bertujuan kepentingan dunia yang
akan ia dapatkan, atau wanita yang akan ia nikahi, maka Hijrahnya akan
(menghasilkan) apa yang ia niatkan.” (Riwayat Imam Bukhari)
Sahabat-sahabat yang akan berhijrah,
Selamat menempuhi dunia serba baru. Usah
mulakan hijrah jika hanya terpaksa atau sekadar ikut-ikutan sahaja. Jika sukar
untuk berhijrah sikap, mulakan dahulu dengan berhijrah dari suatu tempat ke
tempat yang lain. Kerana tempat yang baru akan memudahkan hijrah yang lain.
Bertemu rakan baru. Menghirup udara baru. Melakukan kebaikan yang baru. Dan melupakan
kisah lalu.
Bukankah
Hijrah dan Jihad adalah jalan terbaik meraih rezki dan syurga Allah,
sebagaimana yang dijelaskan-Nya dalam surat Al-Hajj, ayat 58 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka di
bunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezki yang
baik (syurga). Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezki.”
Sahabat-sahabat yang masih belum berhijrah,
Hijrah itu tiada paksaan. Jika belum
hari ini, pasti ada esok yang menanti. Hijrah itu urusan hati. Akal dan
perasaan perlu dibawa sekali.
Jika belum hari ini, cukuplah
membayangkan dahulu nikmat buat mereka yang sudah berhijrah. Allah berfirman menjelaskan
jaminan-Nya: “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati
di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. Barangsiapa
keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya,
kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka
sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Nisa’: 100)
Sahabat-sahabat yang benar-benar tidak
mahu berhijrah,
Tiada siapa yang mampu mengubah
melainkan diri kalian sendiri. Allah telah berfirman di dalam surah Al-Ra’d
ayat 11 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga
mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”
Jangan disia-siakan peluang yang ada. Mati itu urusan
Ilahi. Usah menutupi hati sendiri.
Berhijrahlah..
Ikuti Sunnah Nabi. Hidup pasti dirahmati…
Yang Ikhlas,
Saadah Khair
Monday, 16 April 2012
Surat kepada Bapa Itu
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Segala puji bagi Tuhan, Pencipta sekalian Alam. Dia yang tidak melahirkan, dan tidak dilahirkan. Dia tidak menjadi bapa, juga tidak mempunyai bapa. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad, tiada Nabi dan Rasul selepasnya, tiada bapa sebaik baginda, bapa yang sanggup memotong tangan Fatimah jika dia mencuri, sekalipun dia anak yang paling disayangi.
Warkah ini saya tujukan kepada seorang bapa. Siapa dia? saya tidak mengenalinya. Bagaimana saya tahu dia adalah bapa? kerana dia mengherdik anaknya dengan penuh benci. Penuh emosi. Herdikan itu bukan sahaja menjatuhkan air saliva selaju-lajunya, tapi ditambah dengan hayunan berulang-kali ke atas pipi. Pipi lembut seorang anak lelaki, yang melutut meminta simpati.
Pertamanya, saya memohon maaf kerana memerhati di dalam senyap. Sudah cuba melarikan pandangan. Tapi saya beratur di dalam barisan menunggu untuk melunaskan bayaran. Bukan mata saya sahaja. Berpasang-pasang mata melirik sepi tragedi itu. Kelu. Tapi ada juga yang berani bersuara halus di belakang. Cuba memberi solusi. Tapi hambar. Hayunan tangan si bapa makin laju..
"BANGUN!!!"
Terkesima. Bukan sahaja kami yang mengerti arahan itu, si anak juga faham, malah saya pasti anak kecil itu sudah pandai mengeja juga sudah mengaplikasi arahan tersebut dalam kehidupan hariannya. Tapi persoalannya, mengapakah si anak masih duduk, berlawanan dengan arahan yang diberi? Kerana si bapa salah intonasi.
"Sayang, bangun sayang. Bapa mahu pulang sayang.."
Jika inilah yang dilontarkan si bapa, pasti si anak longlai mendengar pujukan bapanya sendiri, serta merta akan menurut perintahnya, walau sedu masih berbunyi..
Tuan,
Saya bukanlah orang yang terbaik untuk memberi nasihat. Malah saya masih belum bercahaya mata. Tetapi, menurut sedikit ilmu dan pemerhatian yang saya ada, marah ada hadnya, begitu juga sayang. Kadangkala, marah itu tanda sayang, dan tidak semestinya sayang itu tiada marah.
Anak Tuan pasti sakit pipinya seperti mana sakitnya hati Tuan kerana si anak tidak mendengar kata. Dia juga pasti malu kerana berpuluh mata memandang dia disepak sekuat hati, begitu juga Tuan yang pasti ada rasa malu kerana tidak mampu mengawal hayunan tangan dan amarah hati. Siapa yang salah? Kedua-dua Tuan dan anak pasti ada jawapan masing-masing. Tapi bagi mata yang memandang, orang yang dipersalahkan adalah Tuan.
Tuan,
Di dalam sebuah hadith, diceritakan oleh Muawiyah bin Salih, ada lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, ahli keluargaku tidak taat kepadaku. Apakah yang patut aku gunakan untuk menghukum mereka? Lalu kata Baginda: Maafkanlah saja. Kemudian Rasulullah SAW menyebut hal yang sama pada kali kedua bahkan juga pada kali ketiganya. Seterusnya Baginda mengatakan: Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Hadith ini menunjukkan bahawa memaafkan lebih baik dari menghukum. Sifat pemaaf si bapa sebenarnya akan memberi pengaruh positif kepada si anak, manakala anak yang kerap dihukum akan menjadikan hatinya keras dan berkelakuan kasar semasa bergaul dengan rakan sebaya.
Tuan,
Sebenarnya tidak salah menghukum anak yang membuat kesalahan. Itu semestinya tanggungjawab si Bapa. Tetapi hukuman hanya boleh dijalankan setelah adanya nasihat dan teguran. Malah hukuman perlulah bersesuaian mengikut masa, tempat dan keadaan. Keadaan yang paling tidak sesuai ialah ketika di hadapan orang ramai.
Sebagai contoh, kaedah menghukum dengan rotan boleh digunakan selepas kaedah penjelasan pemahaman dan nasihat dilakukan terlebih dahulu. Pesan Nabi SAW: “Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah jika berumur 10 tahun (jika tidak menunaikan solat juga) dan pisahkanlah tempat tidur anak (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Tuan,
Sekali lagi saya mohon seribu keampunan kerana terpaksa menegur cara begini. Andai surat ini sampai ke pihak Tuan, ambillah sahaja yang jernih, dan buanglah yang keruh. Jika surat ini tidak tiba di tangan Tuan, saya mendoakan agar Tuan menjadi seorang bapa yang hebat dalam membentuk generasi cemerlang, gemilang, terbilang untuk agama, bangsa dan negara.
Semoga Allah merahmati kita semua.
"Sayangi yang kecil, hormati yang lebih tua"

Hamba Allah,
Pejabat Peribadi
Pejabat Peribadi
Bandar yang Bernilai
Subscribe to:
Posts (Atom)