Tuesday, 12 August 2014

Jelajah Raya - North Wales

Pengembaraan kali ini dirancang sempena cuti musim panas yang panjang. North Wales menjadi destinasi untuk tiga hari dua malam. Walaupun tidak berpeluang mengunjungi keseluruhan tempat peranginan, tetapi hati kami masih terpaut dengan kecantikan alam semulajadi di sepanjang perjalanan.

Di antara lokasi menarik yang kami kunjungi mengikut turutan ialah:




Bayaran: Percuma untuk pejalan kaki

Pada asalnya, lokasi ini tidak termasuk di dalam senarai tetapi memandangkan ia termasuk di dalam laluan untuk tiba di destinasi berikutnya, saya berbunga-bunga untuk melihat jambatan yang dibina khas untuk laluan canal. Mengenali lokasi ini melalui satu rancangan TV UK yang mengisahkan sepasang suami isteri warga tua mengambil keputusan untuk mengembara menggunakan laluan air sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-50. Salah satu laluan yang mereka gunakan ialah jambatan yang telah dibina pada tahun 1795 hingga 1805 dan pernah beberapa kali roboh dan dibangunkan semula. Pada tahun 1999, jambatan ini dipelihara sepenuhnya sebagai UNESCO World Heritage Status.


 Bayaran: 
£8.50 (dewasa), £8 (pelajar) - harga online
£10 (dewasa), £9 (pelajar) - harga biasa

Di antara sebab utama mengunjungi Portmeirion Village ialah untuk melihat sejarah pinggan mangkuk berjenama portmeirion yang dikatakan di ambil bersempena dengan lokasi ini. Kampung ini menjadi tarikan kerana bangunan-bangunannya yang klasik dan bersejarah, terletak di tepi laut dan dipenuhi hotel-hotel mahal. Tapi sayangnya, hati kecil saya mengatakan tidak memasukkan lokasi ini di dalam senarai juga tak mengapa :)



 Bayaran: 
£26/1 malam - 3 dewasa termasuk electric hook-up dan seaview

Alhamdulillah cek in untuk hari pertama di tapak perkhemahan Aberafon yang terletak cantik berlatar-belakangkan gunung-ganang dan berhadapan dengan luasnya laut. Kemah kami bawa dan pasang sendiri. Makanan juga kami persiapkan untuk dimasak sendiri. Campsite ini dijaga dengan sangat bersih dengan kemudahan sinki, tandas, bilik mandi (20p untuk 3 minit air panas), bilik laundry, bilik TV dan kedai serbaneka. Highly recommended bagi mereka yang berminat.



Destinasi pertama untuk hari kedua ialah bandar Caernarfon. Mengambil masa setengah jam dari tapak perkhemahan kami. Parkir awam agak mahal iaitu £5 untuk satu hari, kerana kami tidak berniat untuk menghabiskan masa di bandar ini. Cantik, tenang dan dipenuhi ramai warga tua yan kebanyakan mereka berkomunikasi menggunakan bahasa Welsh. Istana yang terletak di tepi laut masih utuh, tetapi kami tidak masuk kerana ada bayaran dikenakan kepada pengunjung. Sempat juga menghidup kopi di sini dan membeli sedikit cenderhati buat kenang-kenangan.


Puncak Snowdon Mountain

Lokasi ini adalah kemuncak percutian kali ini. Tiket sudah dibeli awal. Kami merancang untuk menaiki keretapi menuju puncak dan turun gunung dengan berjalan kaki. Pada awalnya cuaca cerah dan cantik, tetapi setengah perjalanan kami ke atas, hujan turun perlahan kemudian lebat dan kabus mula tebal. Perhentian terakhir dipenuhi ramai orang kerana masing-masing mencari tempat teduh dan minuman air panas. Kami tidak berniat untuk tunggu lama sehingga hujan berhenti, setelah alas perut untuk energi, kami teruskan perjalanan dengan berhati-hati. Subhanallah! mata kami dijamu lukisan Tuhan yang sangat indah..



 Bayaran:
£20 untuk pergi sahaja
£27 untuk pergi & pulang
£21 untuk pergi & pulang (jam 9 pagi sahaja)

Alhamdulillah tamat perjalanan


Alang-alang di North Wales, sempat juga kami singgah ke sebuah tempat yang mempunyai nama kedua terpanjang di dunia dan terpanjang di Eropah. Susah benar untuk menyebutnya. Tiada apa yang istimewa di lokasi ini melainkan untuk mengambil gambar dan membeli cenderahati. Tiada bayaran masuk dikenakan.

7. Bangor


Berpeluang mengunjungi rumah adik Iffwat yang kini sedang mengambil master di University of Bangor. Bangor terletak berhampiran dengan Snowdonia, dan hanya mengambil masa sekitar 40 minit dari tapak perkhemahan kami. Ada beberapa tempat yang dicadangkan Iffwat, tetapi kami tidak berhasrat untuk menyambung kembara kali ini atas sebab-sebab tertentu. Pulang dari rumah iffwat, kami sempat ke Bangor Pier (bayaran masuk: 50p) sekadar melihat kawasan tepi laut dan membeli cenderahati.




Lokasi ini kami kunjungi ketika dalam perjalanan pulang ke Birmingham. Tertarik dengan kawasan sungai yang kami lihat dari tepi jalan, kami mengambil keputusan untuk singgah sebentar. Ada anak-anak kecil bermain air dan ramai pengunjung hanya duduk-duduk di kawasan tersebut. Cantik. Tiada bayaran dikenakan.

Alhamdulillah tiba di rumah jam 8 malam.

Friday, 8 August 2014

Eid Mubarak 1435H

Bismillahirrahmanirrahim

Diharap masih tidak terlambat untuk mengucapkan Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada pembaca blog dan rakan alam maya. Syawal kedua di perantauan pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun lepas, terutama dengan kehadiran adik menyambut raya bersama di Birmingham. Alhamdulillah di atas segala nikmat bertemu Ramadan dengan harapan agar segala amalan diterima Allah insya-Allah dan berdoa untuk bertemu Ramadan semula pada tahun depan.

Beberapa gambar untuk dikongsi bersama.

 Malam raya. Terima kasih kepada kak Nora sekeluarga kerana menawarkan lokasi untuk menyambut malam Syawal bersama keluarga Zon Selly Oak


komunikasi alam maya
Pagi 1 Syawal - Keluarga di Johor Bahru, Malaysia

 Pagi 1 Syawal - Keluarga Selly Oak 

Laksa Johor - Rumah Terbuka Farquhar Road, 5 Syawal

Lemang Moden - Rumah Terbuka Farquhar Road, 5 Syawal

Majlis Sambutan Hari Raya, 6 Syawal

Sunday, 29 June 2014

Ramadan 1435H

Bismillahirrahmanirrahim

Ramadan kedua di bumi Inggeris benar-benar meruntuh hati dan jiwa, kerana terkenangkan betapa banyaknya dosa. Kadangkala terlupa dan lalai dengan nikmat dunia yang hanya sementara, tetapi Tuhan tetap tidak lokek untuk melimpahi kami dengan nikmat kehadiran bulan mulia. 




Ramadan Kareem!

Semoga Ramadan kali ini benar-benar membawa diri ini ke landasan yang benar, perubahan yang membina dan meraih keampunan dan keredaan Tuhan.


Wednesday, 25 June 2014

Thursday, 19 June 2014

Pembentangan Poster


Pengalaman menjadi pembentang poster conference minggu lalu sungguh mengujakan! Ya, ini kali pertama menjadi pembentang poster berbanding menjadi pembentang seminar bukan poster. Malah, ia pengalaman berharga kerana conference ini diadakan di universiti sendiri setelah setahun bergelar pelajar PhD.

Aston Webb, University of Birmingham

Oleh kerana ini adalah pengalaman pertama, saya menghadiri sebuah bengkel yang disasarkan khas untuk pembentang poster. Ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi khasnya bagaimana untuk menjadikan poster sebagai tarikan kepada orang ramai (expert & non-expert). Di antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah saiz poster, saiz dan jenis tulisan, gambar dan grafik. Pembentangan poster lebih bersifat visual berbanding pembentangan sesi di mana orang awam bukan sahaja mendengar penerangan pembentang tetapi mengambil kira isi yang dipaparkan di dalam poster. Oleh itu, seminar berbentuk poster menjanjikan hadiah kepada poster terbaik yang berjaya menarik perhatian awam dengan isi dan gambar yang dipaparkan.

Saya dapati pembentangan poster mempunyai cabaran yang berbeza berbanding pembentangan sesi, di mana pembentang perlu memberi penerangan kepada sesiapa yang berminat kepada poster anda sahaja. Cara penerangan juga perlu berubah mengikut kesesuaian di mana pembentang berhak menukar cara komunikasi kepada pendengar yang berlainan bidang.


Sebagai contoh: poster saya banyak berkaitan dengan aspek Islam dan kaitannya dengan wanita. Cara pembentangan saya perlu berbeza kepada pendengar beragama Islam dan bukan Islam.

Walaupun tidak memenangi sebarang hadiah, dan ia bukan tujuan utama penyertaan ini. Saya hargai pengalaman pertama ini dan saya berhasrat untuk menyertainya di seminar akan datang.

Semoga berjaya!

Tuesday, 17 June 2014

Kedai Buku Mesra Pengguna


Tahun ini saya berpeluang lagi berkunjung ke Hay Festival 2014. Kali ini pengalaman agak berbeza dengan tahun lepas (rujuk SINI) di mana saya dan suami berkhemah satu malam di tapak perkhemahan yang tidak jauh dari kawasan festival. Ia adalah satu pengalaman yang sangat berharga buat kami berdua.

Seperti biasa, festival ini diadakan pada cuti sekolah. Tetapi bagi yang sudah maklum dengan keadaan British Weather, cuaca berubah-ubah dengan hujan dan panas. Kesan hujan berpanjangan minggu lepas menyebabkan jalan penuh dengan lumpur tetapi ia tetap bukan halangan untuk meneruskan festival yang penuh keriangan. Saya tidak berhasrat untuk menghadiri sebarang seminar ketika kunjungan kami ke festival, tetapi seronok meraikan festival yang menghargai para penulis dan aktivis buku, dan paling mengujakan ialah di adakan di sebuah kota buku pertama di dunia.

Satu keasyikan yang tidak dapat dirasai di tempat lain ialah kedai buku yang memenuhi setiap ruang kota kecil tersebut. Setiap kedai buku mempunyai tarikan yang tersendiri. Tertarik untuk saya kongsikan beberapa kriteria penting yang perlu ada pada sebuah kedai buku. Kriteria ini saya perolehi dari pengalaman berkunjung ke kedai-kedai buku, khasnya di Kota Inggeris ini.


1. Peta kedai dan label buku

Label buku adalah perkara paling utama yang perlu diberi perhatian penting supaya pengunjung boleh mencari buku dengan mudah. Paparkan peta kedai buku mengikut apa cara susunan sama ada mengikut nama penulis, genre, atau bidang yang khusus. Label perlu jelas, terang dan menarik.



2. Tidak terhad kepada buku baru

Kedai buku tidak semestinya menjual buku-buku baru sahaja yang merangkumi pelbagai genre. Ini adalah kerana tidak semua pembaca mempunyai kemampuan kewangan yang sama. Buku terpakai dijual dengan harga yang lebih murah, bergantung kepada kondisi sesebuah buku. Ada kedai buku yang saya temui menyediakan ruangan khas untuk buku-buku terpakai, dan saya pasti ia juga memberi keuntungan kepada pemilikkedai tersebut.



Malah saya temui ada kedai yang memaparkan iklan untuk menerima sebarang buku untuk diberi atau dijual kepada mereka, dan kemudian buku-buku tersebut dijual semula. Buku terpakai sebenarnya dijual di merata tempat termasuklah charity shop dan carboot. Tetapi tidak salah untuk kedai-kedai buku ternama untuk menjual buku-buku terpakai yang masih baik kondisinya.

3. Mesra kanak-kanak

Kedai buku yang bijak perlu menyediakan ruangan khas untuk buku kanak-kanak, di mana kebanyakan yang saya temui biasanya sangat menarik dan kreatif. Ia penting bagi mengelakkan gangguan para pengunjung dewasa yang ingin bersendirian dengan buku-buku pilihan mereka.


Ada juga kedai buku yang mengambil langkah untuk tidak menawarkan sebarang buku kanak-kanak, dan pengunjung perlu faham menghormati bahawa pemilik kedai hanya menyediakan perkhidmatan untuk kaum dewasa sahaja.

4. Sediakan kawasan membaca

Kedai buku yang menyediakan kawasan membaca sebenarnya sangat attentif dengan pelanggan mereka. Ada kedai buku yang menyediakan beberapa sofa dan meja untuk pengunjung duduk dan baca buku pilihan mereka. Ada juga kedai buku yang sekadar meletakkan kerusi kecil di setiap sudut rak buku bagi pembaca mengubati penat berdiri dan lelah mencari buku. Usah halang pengunjung untuk membaca buku-buku yang ada, tetapi boleh tegur secara berhikmah untuk pengunjung bertanggungjawab sekiranya mereka merosakkan buku yang tidak dibeli.



5. Sediakan cafe

Saya sangat sukakan idea ini. Ada pendapat mengatakan bahawa buku dan kopi itu berpisah tiada.  Tetapi kemudahan ini adalah pilihan dan bukan kewajiban, bergantung kepada saiz kedai buku tersebut. Pemilik kedai buku yang menyediakan cafe boleh membuat syarat tertentu di mana hanya buku dibeli sahaja dibenarkan masuk ke cafe, bagi mengelakkan air tertumpah ke atas buku yang tidak dibeli.


6. Sediakan kemudahan tandas & surau

Seperti cafe, kemudahan ini adalah optional dan bukan kewajiban. Tetapi tidak salah menyediakan tandas dan ruangan solat sekiranya kedai buku tersebut amatlah besar. Malah, ia boleh menyebabkan pengunjung akan datang lagi dan lagi kerana dua kemudahan ini.

Sunday, 1 June 2014

Surau di Tanah Inggeris


Setahun di Tanah Inggeris, saya rindukan azan yang berkumandang lima kali sehari. Terdapat beberapa masjid yang didirikan di Birmingham, akan tetapi azan hanya dibenarkan di dalam masjid agar tidak menganggu kawasan sekelilingnya. Malah masjid tidak didirikan di semua kawasan seperti di Malaysia, surau juga tidak mudah ditemui terutama di kawasan yang majoriti penduduknya ialah bukan beragama Islam. Oleh itu, adakah ia menjadi alasan untuk tidak mendirikan solat di Tanah Inggeris?




Masjid berasal daripada perkataan Arab ‘sajada’ yang bermaksud sujud. Manakala surau ialah perkataan bahasa Melayu yang merujuk kepada tempat beribadat yang lebih kecil berbanding masjid. Surau kebiasaanya tidak mempunyai rupa bentuk yang tetap. Ia mungkin sekadar bilik kecil, bergantung kepada masyarakat setempat. Konsep surau adalah sama seperti masjid iaitu menyediakan ruang untuk Muslim beribadat dan menunaikan rukun Islam yang kedua. Walaupun masjid mempunyai imej yang lebih gah dan kegunaan yang lebih menyeluruh, surau juga sangat penting untuk dibina di kawasan-kawasan yang tertentu.

Di England, istilah surau tidak pernah diperkenalkan. Tetapi ada beberapa istilah lain yang digunakan merujuk kepada istilah tersebut.

1.      Multi-Faith Prayer Room
Saya temui istilah ini ketika pertama kali tiba di Birmingham. Bilik untuk kegunaan semua agama ini disediakan di lapangan terbang Birmingham dan juga di beberapa lokasi yang lain. Istilah ini agak popular dan lebih diterima pakai di bandar-bandar besar England.



2.      Quiet Room
Bilik ini disediakan untuk kegunaan umum, tidak semestinya untuk beribadat. Tetapi pengguna perlu menghormati antara satu sama lain dan tidak dibenarkan membuat bising lebih-lebih istilah ini membawa maksud ‘bilik senyap’. Saya temui istilah ini di Chesire Oak Designer Outlet dan beberapa pusat membeli-belah yang lain.

3.      Contemplation Room
Pertama kali saya temui istilah ini ialah ketika mengunjungi Birmingham Library. Terkejut kerana ruang di dalamnya agak besar, malah bilik wuduk juga disediakan dengan reka bentuk yang moden. Istilah ini juga boleh ditemui di pusat membeli belah.

ruangan wudu'

4.      Fitting Room
Istilah ini adalah pilihan terakhir. Ia bukan untuk beribadat tetapi untuk mencuba pakaian di kedai-kedai tertentu, terutama sekiranya terlalu sukar mencari ruang lapang untuk mendirikan solat, khas bagi wanita seperti saya. Saiznya memang kecil tetapi cukup untuk mendirikan kewajiban.

Sekiranya saya mengunjungi ke kawasan perkampungan Inggeris, agak sukar untuk menemui bilik-bilik yang dinyatakan sebelum ini. Tetapi ia bukan alasan untuk meninggalkan solat kerana solat ialah tiang agama. Sebagai rukun Islam yang kedua, menunaikan solat adalah kewajiban setiap Muslim tidak kira sihat atau sakit, di laut, di udara atau pun di darat. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Telah dijadikan bumi untukku menjadi alat bersuci dan tempat bersujud. Kerana itu hendaklah seseorang di antara kamu solat di mana sahaja ia dapat. (Sahih Bukhari)

Baginda juga pernah menyatakan bahawa keseluruhan bumi ini adalah masjid untuk umatnya, sabdanya di dalam hadith: Di mana sahaja kamu dapati solat maka kerjakanlah ia. Semua tempat adalah masjid (bagi kamu).” (Riwayat Ahmad)

Walaupun demikian, ada beberapa kawasan yang ditegah untuk mendirikan ibadat, seperti dinyatakan di dalam hadith yang telah diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab. Rasulullah SAW melarang seseorang mengerjakan solat di tujuh tempat: tempat pembuangan sampah, tempat penjagaan dan penyembelihan binatang, kawasan perkuburan, di tengah jalan, di bilik mandi, di tempat pertambatan unta, dan di atas Ka'abah. (Riwayat Ibnu Majah)

Hal ini jelas dibincangkan oleh beberapa ulama bahawa setiap sudut di atas bumi ini boleh didirikan ibadat di atasnya melainkan di beberapa tempat tertentu yang kotor, bernajis atau dirasakan tidak sesuai. Keputusan terletak di tangan kita, tetapi ingatlah bahawa setiap amalan kita terletak di ‘tangan’ Tuhan di Akhirat kelak.

Saya berpengalaman untuk solat di tanah lapang kerana tidak menemui ‘surau’. Alhamdulillah tiada reaksi negatif yang dipamerkan oleh orang sekeliling yang melihat tindakan saya yang mungkin pelik pada pandangan mereka. Mereka pastinya tahu agama apa yang saya praktiskan kerana saya adalah wanita berhijab. Sepanjang berhijrah ke negara ratu ini, saya belum lagi menemui kesukaran untuk mendirikan solat. Akan tetapi, saya perlu membuat perancangan bijak sebelum bermusafir ke lokasi yang belum pernah saya kunjungi. Kebiasaannya, semua maklumat mudah didapati melalui internet dan saya boleh memeriksa waktu solat dan lokasi yang sesuai untuk saya dirikan solat.

Memasukkan isu solat sebelum memulakan perjalanan adalah sangat penting bagi saya. Berbeza dengan Malaysia yang masjid dan surau mudah didapati di mana-mana, ‘surau’ di Tanah Inggeris mempunyai istilah berbeza-beza. Adalah penting kepada Muslim untuk mengetahui istilah-istilah tersebut dan kegunaannya serta lokasinya juga untuk menunaikan kewajiban kepada Tuhan. Oleh yang demikian, satu alasan pun tidak boleh diterima untuk meninggalkan solat walaupun di negara bukan Islam.