Friday, 12 September 2014

6 Tahun Yang Lalu


Destinasi pertama bertemu dia
Semoga Allah kekalkan cinta kita

Wednesday, 3 September 2014

Cambridge: Kota Ilmu, Sampan & Basikal!

Bismillahirrahmanirrahim

Sudah lama menyimpan niat untuk mengunjungi Cambridge, dan saya rasa kali ini adalah masa terbaik untuk ke kota yang terletaknya salah satu universiti terbaik di dunia; University of Cambridge.

Tujuan saya ke Cambridge ialah menghadiri Conference: the Authors, Editors and Audiences of Medieval Middle Eastern Text di Faculty of Asian and Middle Eastern Studies, University of Cambridge. Ada beberapa tajuk pembentangan yang menggesa naluri saya untuk hadir seminar ini, biarpun seorang diri kerana suami bekerja.

Tiba di Cambridge pada -awal pagi- hari bekerja memberi peluang kepada saya melihat kesibukan penduduk Cambridge sibuk bergerak sama ada ke tempat kerja, kolej, universiti atau sekolah, dengan menaiki basikal! Saya teruja melihat jalan raya dipenuhi penunggang basikal dengan berpakaian kemas menuju destinasi masing-masing. Penunggang basikal diberi laluan khas, malah rata-rata kawasan parkir menyediakan kawasan khas meletakkan basikal. Tanda-tanda di sepanjang jalan juga ada ditujukan khas untuk penunggang basikal. Menarik..


Saya mengambil peluang berjalan kaki ke lokasi conference, Alhamdulillah Google Maps banyak membantu sepanjang perjalanan sendirian tetapi sekali-sekala saya perlu matikan telefon bimbit untuk menjimatkan bateri. Menjadi peserta paling awal yang hadir memberi peluang kepada saya meneroka fakulti universiti dan berkenalan dengan seorang wanita lewat 30-an, yang datang daripada Netherlands ke Cambridge untuk menyertai conference ini.


Sepanjang conference berjalan, saya tertanya-tanya apakah tujuan sebenar mereka yang bukan Islam mengkaji tulisan, sejarah dan dunia peradaban Islam? Adakah kerana minat untuk mengambil tahu atau ada tujuan selain daripada itu? Saya buang segala fikiran negatif dan bertindak secara profesional. Sejujurnya, saya malu. Saya malu bagaimana saya sebagai Muslim terlepas pandang untuk mengkaji apa yang mereka kaji. Saya malu kenapa saya tidak gunakan masa sebaiknya untuk mengenali ulama Islam yang telah menjadi fokus kajian orang bukan Islam. Saya malu, dan sangat tercabar...

Kebanyakan topik perbincangan dalam conference tersebut menyentuh tentang kajian teks ulama Islam dari pelbagai aspek: hadith, sejarah, sosial, politik, kesenian dan sebagainya. Kebanyakan mereka juga membentangkan topik kajian master/phd mereka, daripada universiti2 di dalam dan luar England. Bagi saya, hari tersebut adalah hari terbaik di dalam hidup saya untuk memulakan bulan baru, iaitu pada 1 September.

Sayangnya, saya terpaksa keluar awal kerana waktu bas tidak banyak di antara Cambridge dan Birmingham. Dalam perjalanan pulang, saya berpeluang melihat salah satu daya tarikan Cambridge iaitu kota sampan ala-ala Venice, Italy. Cantik, tapi mahal. Harga akan lebih murah sekiranya ada kemahiran untuk mendayung sendiri. Menurut rakan-rakan yang pernah menaiki sampan di Cambridge, tempahan melalui atas talian juga jauh lebih murah, boleh rujuk SINI.




Sementara menunggu bas, saya sempat pusing di bandar Cambridge. Cuaca tidak mengizinkan saya bergerak jauh. Hujan turun perlahan dan kemudian tidak berhenti sehinggalah bas sampai. Ada pasar kecil di tengah bandar Cambridge. Bukan sahaja menjual makanan, minuman dan buah-buahan, tetapi ada juga kedai menjual cenderamata, dan buku-buku terpakai. Agak sukar untuk temui kedai buku terpakai jika di bandar besar Malaysia, apatah lagi di kawasan pasar.


Apapun, satu hari di Cambridge adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan, dan saya akan menggelar kota ini sebagai kota ilmu, kota sampan dan kota basikal, supaya sentiasa lekat di dalam ingatan.

Cambridge, semoga kita bertemu lagi!

Sunday, 24 August 2014

Persoalan Umur


24 Ogos adalah tarikh yang dikenang sempena tarikh kelahiran. Tiada sambutan istimewa, malah tahun ini hati sedang gundah gulana memikirkan bab dua tesis kajian yang masih terbengkalai.

Alhamdulillah suami bawa jalan-jalan dan belanja makan. Ada juga tiramisu sebagai kek, bukan diniatkan untuk kek sambutan tetapi sekadar untuk pemanis tekak dan cubaan pertama tiramisu saya berjaya! Tapi minda dan hati saya bagai bersatu memikirkan kembali:

Apa matlamat hidup saya selama ini?

Adakah sudah tercapai segala impian dan harapan atau ia hanyalah angan-angan kosong?

Apa tujuan saya ke Tanah Inggeris ini?

Adakah tahap pembelajaran saya kini memuaskan atau sekadar cukup makan?

Bagaimana saya gunakan umur ini? Adakah untuk kebaikan atau keburukan?

Adakah segala yang saya lakukan selama umur ini  diniatkan kerana Allah atau mengejar keduniaan semata-mata?


Sanah Helwa ya Saadah!
Semoga umur yang semakin meningkat ini semakin mendekatkan diri ini kepada Tuhan, dan menyedari bahawa umur ini sebenarnya semakin berkurangan.

Tuesday, 12 August 2014

Jelajah Raya - North Wales

Pengembaraan kali ini dirancang sempena cuti musim panas yang panjang. North Wales menjadi destinasi untuk tiga hari dua malam. Walaupun tidak berpeluang mengunjungi keseluruhan tempat peranginan, tetapi hati kami masih terpaut dengan kecantikan alam semulajadi di sepanjang perjalanan.

Di antara lokasi menarik yang kami kunjungi mengikut turutan ialah:




Bayaran: Percuma untuk pejalan kaki

Pada asalnya, lokasi ini tidak termasuk di dalam senarai tetapi memandangkan ia termasuk di dalam laluan untuk tiba di destinasi berikutnya, saya berbunga-bunga untuk melihat jambatan yang dibina khas untuk laluan canal. Mengenali lokasi ini melalui satu rancangan TV UK yang mengisahkan sepasang suami isteri warga tua mengambil keputusan untuk mengembara menggunakan laluan air sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-50. Salah satu laluan yang mereka gunakan ialah jambatan yang telah dibina pada tahun 1795 hingga 1805 dan pernah beberapa kali roboh dan dibangunkan semula. Pada tahun 1999, jambatan ini dipelihara sepenuhnya sebagai UNESCO World Heritage Status.


 Bayaran: 
£8.50 (dewasa), £8 (pelajar) - harga online
£10 (dewasa), £9 (pelajar) - harga biasa

Di antara sebab utama mengunjungi Portmeirion Village ialah untuk melihat sejarah pinggan mangkuk berjenama portmeirion yang dikatakan di ambil bersempena dengan lokasi ini. Kampung ini menjadi tarikan kerana bangunan-bangunannya yang klasik dan bersejarah, terletak di tepi laut dan dipenuhi hotel-hotel mahal. Tapi sayangnya, hati kecil saya mengatakan tidak memasukkan lokasi ini di dalam senarai juga tak mengapa :)



 Bayaran: 
£26/1 malam - 3 dewasa termasuk electric hook-up dan seaview

Alhamdulillah cek in untuk hari pertama di tapak perkhemahan Aberafon yang terletak cantik berlatar-belakangkan gunung-ganang dan berhadapan dengan luasnya laut. Kemah kami bawa dan pasang sendiri. Makanan juga kami persiapkan untuk dimasak sendiri. Campsite ini dijaga dengan sangat bersih dengan kemudahan sinki, tandas, bilik mandi (20p untuk 3 minit air panas), bilik laundry, bilik TV dan kedai serbaneka. Highly recommended bagi mereka yang berminat.



Destinasi pertama untuk hari kedua ialah bandar Caernarfon. Mengambil masa setengah jam dari tapak perkhemahan kami. Parkir awam agak mahal iaitu £5 untuk satu hari, kerana kami tidak berniat untuk menghabiskan masa di bandar ini. Cantik, tenang dan dipenuhi ramai warga tua yan kebanyakan mereka berkomunikasi menggunakan bahasa Welsh. Istana yang terletak di tepi laut masih utuh, tetapi kami tidak masuk kerana ada bayaran dikenakan kepada pengunjung. Sempat juga menghidup kopi di sini dan membeli sedikit cenderhati buat kenang-kenangan.


Puncak Snowdon Mountain

Lokasi ini adalah kemuncak percutian kali ini. Tiket sudah dibeli awal. Kami merancang untuk menaiki keretapi menuju puncak dan turun gunung dengan berjalan kaki. Pada awalnya cuaca cerah dan cantik, tetapi setengah perjalanan kami ke atas, hujan turun perlahan kemudian lebat dan kabus mula tebal. Perhentian terakhir dipenuhi ramai orang kerana masing-masing mencari tempat teduh dan minuman air panas. Kami tidak berniat untuk tunggu lama sehingga hujan berhenti, setelah alas perut untuk energi, kami teruskan perjalanan dengan berhati-hati. Subhanallah! mata kami dijamu lukisan Tuhan yang sangat indah..



 Bayaran:
£20 untuk pergi sahaja
£27 untuk pergi & pulang
£21 untuk pergi & pulang (jam 9 pagi sahaja)

Alhamdulillah tamat perjalanan


Alang-alang di North Wales, sempat juga kami singgah ke sebuah tempat yang mempunyai nama kedua terpanjang di dunia dan terpanjang di Eropah. Susah benar untuk menyebutnya. Tiada apa yang istimewa di lokasi ini melainkan untuk mengambil gambar dan membeli cenderahati. Tiada bayaran masuk dikenakan.

7. Bangor


Berpeluang mengunjungi rumah adik Iffwat yang kini sedang mengambil master di University of Bangor. Bangor terletak berhampiran dengan Snowdonia, dan hanya mengambil masa sekitar 40 minit dari tapak perkhemahan kami. Ada beberapa tempat yang dicadangkan Iffwat, tetapi kami tidak berhasrat untuk menyambung kembara kali ini atas sebab-sebab tertentu. Pulang dari rumah iffwat, kami sempat ke Bangor Pier (bayaran masuk: 50p) sekadar melihat kawasan tepi laut dan membeli cenderahati.




Lokasi ini kami kunjungi ketika dalam perjalanan pulang ke Birmingham. Tertarik dengan kawasan sungai yang kami lihat dari tepi jalan, kami mengambil keputusan untuk singgah sebentar. Ada anak-anak kecil bermain air dan ramai pengunjung hanya duduk-duduk di kawasan tersebut. Cantik. Tiada bayaran dikenakan.

Alhamdulillah tiba di rumah jam 8 malam.

Friday, 8 August 2014

Eid Mubarak 1435H

Bismillahirrahmanirrahim

Diharap masih tidak terlambat untuk mengucapkan Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada pembaca blog dan rakan alam maya. Syawal kedua di perantauan pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun lepas, terutama dengan kehadiran adik menyambut raya bersama di Birmingham. Alhamdulillah di atas segala nikmat bertemu Ramadan dengan harapan agar segala amalan diterima Allah insya-Allah dan berdoa untuk bertemu Ramadan semula pada tahun depan.

Beberapa gambar untuk dikongsi bersama.

 Malam raya. Terima kasih kepada kak Nora sekeluarga kerana menawarkan lokasi untuk menyambut malam Syawal bersama keluarga Zon Selly Oak


komunikasi alam maya
Pagi 1 Syawal - Keluarga di Johor Bahru, Malaysia

 Pagi 1 Syawal - Keluarga Selly Oak 

Laksa Johor - Rumah Terbuka Farquhar Road, 5 Syawal

Lemang Moden - Rumah Terbuka Farquhar Road, 5 Syawal

Majlis Sambutan Hari Raya, 6 Syawal

Sunday, 29 June 2014

Ramadan 1435H

Bismillahirrahmanirrahim

Ramadan kedua di bumi Inggeris benar-benar meruntuh hati dan jiwa, kerana terkenangkan betapa banyaknya dosa. Kadangkala terlupa dan lalai dengan nikmat dunia yang hanya sementara, tetapi Tuhan tetap tidak lokek untuk melimpahi kami dengan nikmat kehadiran bulan mulia. 




Ramadan Kareem!

Semoga Ramadan kali ini benar-benar membawa diri ini ke landasan yang benar, perubahan yang membina dan meraih keampunan dan keredaan Tuhan.


Wednesday, 25 June 2014