Friday, 27 April 2012

Syukur & Maaf

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan Pencipta Alam. Dia yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia hanya hidup dan tidak mati. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi akhir zaman, Muhammad sallahu'alaihiwasallam. Syukur kerana baginda yang menyampaikan Risalah Tuhan, dan tugas kita pula untuk terus menyampaikan walau satu kalimah.

Sejak kebelakangan ini, tangan saya laju menekan papan kekunci komputer peribadi. Yang ditulis bukan proposal tesis, tapi kemelut hati yang tidak terluah suara. Bukan tiada idea untuk menyiapkan kertas kerja, tetapi gangguan minda sangat menguji jiwa. Lalu, terdapatlah jarak sedikit di antara saya dan akademik kerana dekatnya saya dengan dunia suara hati.


Ahad lepas, majalah Solusi baru melambai-lambai minta dibeli. Tajuk muka hadapan sangat menarik. Saya terus membayar tanpa banyak soal. Lalu bertanya di dalam hati: "Adakah aku termasuk di dalam ahli Syukur?"

Ustaz Pahrol Mohd Juoi menulis, ciri-ciri Ahli Syukur itu ialah:

Pertama: Tetap bersyukur walaupun nikmatnya kecil. 
Biarpun nikmat yang diperoleh tidaklah sehebat mana, sematkan dalam diri dengan sifat qana'ah. Sentiasa berasa cukup dengan apa-apa yang telah Allah kurniakan. Biarpun ia berupa ujian, lapangkan hati untuk menerimanya dan bersyukur kerana ujian yang ditimpakan lebih ringan berbanding orang lain.

Kedua: Memuji Allah setiap masa.
Amat mudah untuk memuji Allah iaitu dengan mengucapkan Alhamdulillah yang bermaksud Segala puji bagi Allah. Jadikan perkara mudah ini sebagai satu kebiasaan dalam diri sebagai tanda syukur kita terhadap segala kurniaan Allah.

Ketiga: Berterima kasih kepada Penunjuk Jalan Nikmat
Benar bahawa setiap rezeki datang daripada Allah. Tatapi perlu diingati bahawa kadang-kadang rezeki tersebut disampaikan kepada kita melalui orang lain. Contohnya apabila diterima bekerja di sesuatu tempat, berterima kasihlah kepada orang yang memaklumkan tentang kekosongan jawatan, penemu duga dan majikan.

Keempat: Nikmat wasilah mendekatkan diri kepada Allah.
Nikmatilah nikmat dan kurniaan yang Allah berikan dengan mendekatkan diri kepada Allah. Jangan terlalu leka dengan keindahan nikmat tersebut sehingga mengabaikan kewajiban sebagai hamba seperti melengahkan solat kerana terlalu tekun bekerja. Lazimi diri dengan pelbagai ibadah sunat sebagai usaha kita mensyukuri nikmat yang telah diberikan.


Bukannya sukar untuk mengucap syukur. Dengan lisan, kita bisa mengucapkan ALhamdulillah kepada Tuhan, berterima kasih kepada manusia. Dengan dahi, ia dipakai untuk sujud menyembah Yang Kuasa. Dengan mata, ia diguna untuk melihat kebenaran dan ciptaan Yang Esa. Dengan ilmu, ia disarankan untuk berkongsia dengan semua. Dengan harta, ia harus dinafkahkan ke jalan yang diredhaiNya.

Begitu juga maaf. Untuk memohon maaf, kita harus memaafi..

Syukur dan maaf adalah urusan segumpal darah di dalam jasad manusia. Akal bisa melupakan, tapi hati yang disakiti pasti mengambil bertahun-tahun untuk membiarkan pergi.

Memohon maaf kepada Tuhan, ucapkan sahaja Istighfar dan solat Taubat. Sesunggunya Tuhan itu Maha Pemaaf semua dosa kecuali syirik kepadaNya. Tapi, dosa kepada manusia? 

Riwayat Anas bin Malik, Rasulullah SAW telah bersabda: "Kezaliman itu terbahagi kepada tiga. Pertama kezaliman tidak diampunkan Allah. Kedua kezaliman diampunkan Allah, dan ketiga kezaliman yang Allah tidak ikut campur dalam hal itu. Kezaliman tidak diampunkan Allah adalah syirik. kezaliman diampunkan Allah adalah dosa manusia ke atasa dirinya dan tuhannya. Kezaliman yang Allah tidak ikut campur adalah dosa di antara manusia dengan manusia, sehingga mereka menyelesaikannya terlebih dahulu."

Oleh yang demikian, selesaikanlah urusan di antara manusia kerana maut datang tidak mengenal waktu dan usia. Kerana cantik dan indahnya Islam, setiap Muslim dianjurkan untuk memaafkan dahulu sebelum orang lain meminta maaf. Dan, harus memaafkan orang lain, sebelum memohon untuk dimaafkan.

Bukankah Tuhan sudah berfirman: "Dan jika kamu memberi maaf, maka itu lebih dekat kepada Taqwa" [al-Baqarah: 237]

Ayuh saling memaafi.

Ayuh saling mensyukuri.

Ayuh saling muhasabah diri.

Wednesday, 25 April 2012

Monday, 23 April 2012

Monday's Motivation #5

 Photo was taken from HERE

The Prophet PBUH said:
"The supplication that gets the quickest answer is the one made by one Muslim for another in his absence"
[Riwayat Abu Dawud and Tirmidhi]

The Prophet PBUH also said:
"Whenever yo make a supplication for another believer and he is not present, an angel will say 'and same to you'"

Hutang Piutang


Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Pantun adalah sebuah tradisi Melayu yang masih dikenang sehingga kini. Seperti mana pantun yang dinyatakan di atas, ia tidak dimamah zaman. Malah, dua generasi berbeza, lama dan baru masih mengingati bait-bait pantun. Walaupun demikian, isi tersirat di dalamnya semakin lama semakin diabaikan.

Pantun tersebut telah dianalisis secara semiotik oleh En. Fauzi bin Abdullah dari Jabatan Kesusasteraan Melayu. Menurut beliau, ‘Hutang’ merujuk kepada pemilikan harta yang menandakan pertentangan kelas antara kaya dan miskin. Si kaya sebagai penghutang sementara si miskin menjadi pemiutang. Hutang biasa ditanggap dalam dua bentuk iaitu hutang barangan (benda) dan hutang budi (emotif).

Pemahaman terhadap konsep hutang telah disebut secara umum di dalam pantun ini, di mana hutang perlu dibayar semula dengan tepat mengikut jumlah yang telah ditetapkan seperti mana yang telah termeterai di dalam perjanjian. Jika emas harus dibayar, apatah lagi jika yang dipinjam itu adalah wang ataupun bahan material lain seperti baju, buku dan sebagainya. Manakala, hutang budi itu jika tidak mampu dibayar, ia harus dikenang sepanjang zaman kerana adab, akhlak dan budi itu tidak akan mampu dibalas secara material.

Di dalam Islam, hukum terhadap hutang telah disebut di dalam Quran dan Sunnah. Hutang dari segi bahasa bermaksud potong. Dari segi istilah ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.

Allah SWT tlah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 245 bermaksud : “Siapakah orangnya (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagi pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah SWT melipatgandakan balsannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah SWT jualah yang menyempit dan Yang Meluaskan (pemberi rezeki) kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”. Dan ayat yang lain pula “Apabila kamu berhutang maka, hendaklah kamu catatkan”. Surah al-Baqarah 282. Dan dalam ayat yang lain “Jika penghutang berada di dalam kesukaran untuk membayar maka tunggulah sehingga masa dia senang”. Al-Baqarah 280.

Kemudian di dalam hadith, Rasulullah SAW bersabda: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali ia mempunyai hutang (kepada manusia)" [Riwayat Muslim, 6/38].
Hadith lain ada menyatakan tentang mereka yang telah berhutang dan berniat untuk tidak membayar hutang tersebut. Baginda bersabda: "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" [Riwayat Bukhari, 2/83]

Kesimpulan yang boleh dinyatakan di sini ialah, hutang harus dibayar. Ia akan luput apabila jumlah hutang langsai dibayar atau dengan persetujuan si pemberi hutang untuk meringankan hutang tersebut atau ikhlas menghapuskan hutang tersebut dan tidak akan menuntut.

Jika adat Melayu mengamalkan nilai-nilai murni melangsaikan hutang, apatah lagi agama Islam yang suci.

Jika ada kesusahan yang mengakibatkan sukarnya membayar hutang, apa gunanya kompromi, toleransi dan saling memahami.

Jika pandai berhutang, harus pandailah juga membayar hutang.

Jika marah sekiranya kawan terlupa membayar hutang, haruslah ingatkan diri sendiri yang kita juga pernah berhutang.

Jika tidak mahu berhutang, berusahalah sehabis baik agar rezeki yang ada menucukupi buat kita.
Bukankah Nabi pernah mengajar agar berdoa dilepaskan dari hutang. Hadith tersebut bererti; "Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang" lalu Baginda ditanya: mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang wahai Rasulullah? baginda menjawab: Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjani ia mengingkari" [Riwayat Bukhari, 1/214]


Oh Tuhan, permudahkanlah aku melangsaikan hutang.

**Entri ini adalah peringatan buat diri, tiada kaitan dengan yang hidup atau mati. Rujukan: SINI dan SINI.

Wednesday, 18 April 2012

Key of my Heart


I keep a key,
the key that locked a special flesh in my body.

I treasure a key,
the key that means everything in my life.

once in a time..

I throw a key,
the key that hurt my feeling.

then..

I lost a key,
the key that keep bringing me a happiness

and now..

I found a key again,
the key that embraced by you, my love..

And i do hope that this key of my heart will never loose again, 
coz i know, you are the only holder of my key..

Saadah Khair

  Picture was taken from HERE

**Coincidentally, found back my old writing. It was published almost two years ago in Receipt Stories. Please visit HERE.

Wordless Wednesday: Kaka & Kiki


Credit to Zikri Khair

Monday, 16 April 2012

Surat kepada Bapa Itu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Segala puji bagi Tuhan, Pencipta sekalian Alam. Dia yang tidak melahirkan, dan tidak dilahirkan. Dia tidak menjadi bapa, juga tidak mempunyai bapa. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad, tiada Nabi dan Rasul selepasnya, tiada bapa sebaik baginda, bapa yang sanggup memotong tangan Fatimah jika dia mencuri, sekalipun dia anak yang paling disayangi.

Warkah ini saya tujukan kepada seorang bapa. Siapa dia? saya tidak mengenalinya. Bagaimana saya tahu dia adalah bapa? kerana dia mengherdik anaknya dengan penuh benci. Penuh emosi. Herdikan itu bukan sahaja menjatuhkan air saliva selaju-lajunya, tapi ditambah dengan hayunan berulang-kali ke atas pipi. Pipi lembut seorang anak lelaki, yang melutut meminta simpati.

Pertamanya, saya memohon maaf kerana memerhati di dalam senyap. Sudah cuba melarikan pandangan. Tapi saya beratur di dalam barisan menunggu untuk melunaskan bayaran. Bukan mata saya sahaja. Berpasang-pasang mata melirik sepi tragedi itu. Kelu. Tapi ada juga yang berani bersuara halus di belakang. Cuba memberi solusi. Tapi hambar. Hayunan tangan si bapa makin laju..

"BANGUN!!!"

Terkesima. Bukan sahaja kami yang mengerti arahan itu, si anak juga faham, malah saya pasti anak kecil itu sudah pandai mengeja juga sudah mengaplikasi arahan tersebut dalam kehidupan hariannya. Tapi persoalannya, mengapakah si anak masih duduk, berlawanan dengan arahan yang diberi? Kerana si bapa salah intonasi.

"Sayang, bangun sayang. Bapa mahu pulang sayang.."

 Jika inilah yang dilontarkan si bapa, pasti si anak longlai mendengar pujukan bapanya sendiri, serta merta akan menurut perintahnya, walau sedu masih berbunyi..

Tuan,

Saya bukanlah orang yang terbaik untuk memberi nasihat. Malah saya masih belum bercahaya mata. Tetapi, menurut sedikit ilmu dan pemerhatian yang saya ada, marah ada hadnya, begitu juga sayang. Kadangkala, marah itu tanda sayang, dan tidak semestinya sayang itu tiada marah.

Anak Tuan pasti sakit pipinya seperti mana sakitnya hati Tuan kerana si anak tidak mendengar kata. Dia juga pasti malu kerana berpuluh mata memandang dia disepak sekuat hati, begitu juga Tuan yang pasti ada rasa malu kerana tidak mampu mengawal hayunan tangan dan amarah hati. Siapa yang salah? Kedua-dua Tuan dan anak pasti ada jawapan masing-masing. Tapi bagi mata yang memandang, orang yang dipersalahkan adalah Tuan.

Tuan,

Di dalam sebuah hadith, diceritakan oleh Muawiyah bin Salih, ada lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, ahli keluargaku tidak taat kepadaku. Apakah yang patut aku gunakan untuk menghukum mereka? Lalu kata Baginda: Maafkanlah saja. Kemudian Rasulullah SAW menyebut hal yang sama pada kali kedua bahkan juga pada kali ketiganya. Seterusnya Baginda mengatakan: Jika kamu perlu menghukum, hukumlah mengikuti kadar kesalahan yang dilakukannya dan jauhilah dari memukul pada bahagian muka.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Hadith ini menunjukkan bahawa memaafkan lebih baik dari menghukum. Sifat pemaaf si bapa sebenarnya akan memberi pengaruh positif kepada si anak, manakala anak yang kerap dihukum akan menjadikan hatinya keras dan berkelakuan kasar semasa bergaul dengan rakan sebaya.

Tuan,

Sebenarnya tidak salah menghukum anak yang membuat kesalahan. Itu semestinya tanggungjawab si Bapa. Tetapi hukuman hanya boleh dijalankan setelah adanya nasihat dan teguran. Malah hukuman perlulah bersesuaian mengikut masa, tempat dan keadaan. Keadaan yang paling tidak sesuai ialah ketika di hadapan orang ramai.

Sebagai contoh, kaedah menghukum dengan rotan boleh digunakan selepas kaedah penjelasan pemahaman dan nasihat dilakukan terlebih dahulu. Pesan Nabi SAW: “Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah jika berumur 10 tahun (jika tidak menunaikan solat juga) dan pisahkanlah tempat tidur anak (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tuan,

Sekali lagi saya mohon seribu keampunan kerana terpaksa menegur cara begini. Andai surat ini sampai ke pihak Tuan, ambillah sahaja yang jernih, dan buanglah yang keruh. Jika surat ini tidak tiba di tangan Tuan, saya mendoakan agar Tuan menjadi seorang bapa yang hebat dalam membentuk generasi cemerlang, gemilang, terbilang untuk agama, bangsa dan negara.

Semoga Allah merahmati kita semua.

"Sayangi yang kecil, hormati yang lebih tua"

Hamba Allah,

Pejabat Peribadi
Bandar yang Bernilai