Thursday, 29 October 2015

Bawa Anak Kecil ke Majlis Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim

Musim luruh sudah di penghujungnya. Pokok-pokok mula tidak berbaju. Angin sejuk juga mula menghinggap hingga ke tulang dalamnya. Matahari segan untuk muncul lama, dan membiarkan bulan menjadi permata di kegelapan malam.

Afeef sudah lima bulan. Setiap hari pasti ada sesuatu yang dia terokai. Kini, kakinya menjadi permainan utama setelah jari-jarinya menjadi mangsa gigitan gusinya yang mulai gatal. Melihat Afeef membesar di depan mata sendiri adalah satu kebahagiaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Cuma hati saya ada sedikit kekesalan, alangkah bagusnya jika kajian saya berkembang baik seperti mana Afeef yang setiap hari mengalami perkembangan yang positif....

Merujuk tajuk entri kali ini, suka untuk saya kongsikan pengalaman peribadi membawa Afeef untuk menghadiri Majlis Ilmu. Ada beberapa perasaan yang saya risaukan sebelum membawa bayi sekecil dia yang masih belum memahami apa-apa. Adakah saya boleh memberi perhatian sepenuhnya kepada majlis? Adakah tangisan Afeef akan menganggu majlis? Apa yang perlu saya lakukan jika Afeef berada di luar kawalan? Bagaimana  reaksi saya jika saya tidak mampu mengawal?

Situasi Pertama
Pertama kali membawa Afeef ke Majlis Ilmu ialah pada waktu siang di rumah salah seorang sahabat di Birmingham. Umurnya mencecah 4 bulan. Bukan tidak mahu membawanya ketika umur Afeef masih awal, tetapi pasti ada halangan dan sejujurnya saya masih tidak bersedia. Ketika di rumah kak Azza, Afeef bertindak positif duduk di atas riba saya dan wajhnya memerhati orang di sekelilingnya. Dia juga sudah diberikan susu sebelum saya sampai di Majlis Ilmu. Sepanjang majlis tersebut, Afeef tidak merengek walau sekali. Malah ada rakan-rakan yang membantu memegangnya ketika saya makan juga memuji kerana Afeef sangat behave. Saya solat dan sempat menyusukan dia sekejap. Kira-kira 3 jam selepas itu (anggaran), Afeef mula bosan dan berbunyi, saya salinkan lampinnya. Dia masih merengek, dan saya tahu dia ngantuk. Tetapi suasana majlis agak menghalang dia untuk tidur walaupun saya sudah peluk sambil menyusukan dia. Dia tenang dan kemudian kami pulang. Seperti biasa, car seat di dalam kereta adalah tempat tidur paling selesa baginya.

Situasi Kedua
Majlis ilmu ini diadakan pada waktu malam. Ini kali pertama saya membawa Afeef ke Majlis Ilmu pada waktu malam. Siang tadi saya ke sekolah, dan saya memahami suami juga memerlukan 'me time' setelah seharian menjaga Afeef pada waktu siang. Saya pastikan Afeef sudah salin lampin dan kenyang, tapi saya agak khuatir yang dia pasti akan meragam sebelum tidur. Kebiasaannya Afeef akan tidur sekitar jam 8 malam. Di Majlis Ilmu, saya menyusukan Afeef sebelum majlis bermula. Kalau boleh, saya mahu tidurkan dia di sepajang majlis tetapi tidak berjaya. Dua puluh minit pertama Afeef masih berkelakuan baik. Saya biarkan dia di atas riba dan menyusukannya jika dia mahu. Apabila sudah bosan, dia sudah mula merengek. Dia ngantuk. Saya tahu. Malah tangisan dia sudah menganggu majlis. Sejujurnya saat ini saya mahukan suami ada di sisi, untuk dia memujuk Afeef dan menidurkannya, tapi dia tiada. Saya perlu menghadapinya sendiri. Afeef sempat tidur hanya sepuluh minit, kemudian berjaga dan merengek lagi. Saya biarkan dia dan teruskan mendengar perkongsian. Sehingga habis majlis, Afeef tidak tidur walaupun matanya sudah merah. Dia merengek lagi. Saya sudah kehilangan idea kerana ubat terbaik ialah baring dan menyusukan Afeef sehingga dia tertidur. Alhamdulillah suami tiba dan seperti biasa, car seat di dalam kereta adalah tempat tidur paling selesa baginya.


Di sini, saya dapat simpulkan bahawa ada beberapa faktor yang mempengaruhi anak kecil sekiranya menghadiri Majlis Ilmu:

Pertama, waktu memainkan peranan yang sangat penting. Bayi mempunyai sikap yang berbeza pada waktu siang dan malam.

Kedua, sokongan suami dan kawan-kawan sangat membantu. Sekiranya suami turut hadir ke Majlis Ilmu, bergilirlah dengan dia untuk menenangkan bayi. Ini bagi mengelakkan rasa bosan yang bayi rasai, dan ibu boleh mengawal emosi dengan baik. Kawan-kawan juga boleh membantu sekiranya diperlukan. 

Ketiga, bangun dan keluar daripada majlis untuk sementara. Ini bagi mengelakkan majlis terganggu dengan suara tangisan bayi yang memang tidak boleh dikawal. Lihat jam tangan dan ibu boleh membuat keputusan untuk keluar daripada majlis sekiranya majlis akan tamat cepat atau lewat.

Keempat, latih dan latih untuk bawa lagi ke Majlis Ilmu. Biasakan dia dengan suasana ini. Sebelum saya menghadiri majlis untuk dua situasi di atas, saya beritahu Afeef ke mana kita akan pergi dan memberitahu ganjaran pahala yang akan diperolehi jika hadir ke Majlis Ilmu, biarpun dia kecil dan belum memahami, saya pasti apabila kita mengulangi sesuatu yang positif, ia akan menghasilkan hasil yang positif juga. Pada umur sekecil begini, memang agak sukar untuk kita memahami perasaan si bayi, mungkin perutnya kembung, panas atau tidak selesa, tetapi si ibu perlu bijak menanganinya. Saya perlu baiki kelemahan diri dan menambah baiki tindakan saya terhadap anak sekecil Afeef. Semoga dia faham suatu hari nanti.

Saya terbaca satu catatan di FB, dan saya kagum dengan didikan dia kepada anaknya, tetapi ia hanya boleh diaplikasikan kepada anak yang sudah mula berfikir. Mungkin pada satu hari nanti, saya boleh mempraktisnya kepada Afeef:




Saya ibu baru, dan saya masih dalam proses belajar menjadi ibu. Saya sangat mengalu-alukan jika ada pembaca yang boleh kongsikan bagaimana mendidik anak sekecil bayi lima bulan untuk mencintai dan menghadiri Majlis Ilmu. 

Wallahua'lam..

Monday, 19 October 2015

Musim Luruh, Musim Cinta

Dengan nama Tuhan yang menciptakan alam dengan pelbagai musim. Dia Yang mengidupkan pokok dan menghijaukan dedaun, Dia juga Yang meluruhkan dedaun dan melakar keindahan warna musim luruh..


Autumn atau musim luruh sering menjadi musim teristimewa bagi pencinta alam. Daun-daun jatuh berguguran, bertukar warna dan meninggalkan ranting-ranting berdiri utuh kesunyian. Bagi saya, musim luruh tahun ini amat bermakna dan bakal meninggalkan memori yang akan dikenang sehingga bila-bila..

Ada orang menggelar Spring as the season of love, tetapi saya percaya ramai juga yang menjadikan musim luruh sebagai musim cinta, yes! Autumn is my season of love. Saya setuju dengan kata-kata ini:

 “Spring and Summer and Winter all begin with such late letters! 
But Autumn and Fall, I have loved best, because they are best to love.” 



Perubahan musim ini mengajak mereka yang beriman kepada Tuhan yang satu agar sentiasa menyukuri NikmatNya. Hidup dan mati adalah lumrah yang telah ditetapkan. Hijau hanyalah sementara, ia akan berubah warna, gugur dan kemudian tumbuh kembali dan mengulangi proses yang sama. Begitulah manusia, kesihatan, kekayaan dan kejayaan hanyalah sementara di dunia, ia akan kekal di Akhirat sekiranya kita mengulangi rasa syukur, taubat dan menaruh harapan tinggi terhadap Rahmat Tuhan..

Semoga Allah mengampunkan dosa kami sekeluarga...

It is so strange that autumn is beautiful, yet everything is dying...

**Adakah ini musim luruh terakhir kami bertiga?

Monday, 21 September 2015

Permohonan Visa - Anak Lahir di UK

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah Afeef dah dapat visa sendiri. 


Permohonan dibuat pada 1 Sept (isi online pada akhir Ogos), respon untuk biometric pada 8 Sept, passport dipulangkan pada 16 Sept dan Visa diterima pada 18 Sept.


Berikut adalah cara untuk memohon visa sekiranya anak anda lahir di UK. Langkah2 berikut dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan.

1. Buat sijil kelahiran/surat beranak terlebih dahulu. Perlu buat temu-janji dan datang pada tarikh dan waktu yang ditetapkan. Hanya £4 dikenakan. Jika di Birmingham, surat beranak boleh dibuat di Birmingham Register Office.

2. Ambil gambar passport dan visa sekaligus. Gambar passport memerlukan latar belakang berwarna putih, manakala warna kelabu untuk gambar visa.


3. Buat passport di Malaysian High Commission, London. Boleh download borang passport di SINI, tetapi ada lagi satu borang untuk surat beranak Malaysia yang boleh didapati di sana. Jangan lupa untuk buat salinan lebih sekurang-kurangnya tiga salinan untuk setiap dokumen penting. Harga passport ialah £21, dan surat beranak ialah £10. Dua keping gambar untuk setiap permohonan. Peringatan penting ialah isi maklumat nama dan alamat anda mengikut IC Malaysia.

4. Mohon pihak penaja poskan surat financial affidavit kerana hanya salinan original sahaja diterima. Pastikan nama anak ditulis di dalam surat tersebut.


5. Pastikan surat beranak, passport, 2 keping gambar visa, dan financial affidavit sudah ada di tangan baru boleh mula kan permohonan untuk visa.

6. Register online di SINI. Ingat, anak anda ialah dependent untuk Tier 4 (General) Student.



7. Jawab soalan2 dan jangan lupa tekan SAVE dan CHECK. Antara soalan2 yang ditanya ialah: personal details lead applicant (anak anda), personal details joining main applicant (anda - student),  maklumat ibubapa anak, dependent maintenance dll. 

8. Sekiranya sudah lengkap, anda akan dibawa ke laman web Health surcharge. Jumlah bayaran akan dikenakan mengikut tempoh baki anda menetap di UK. Saya dikenakan bayaran IHS sebanyak £150. Resit dan pengesahan akan dihantar ke emel.

9. Bayar harga visa £439 secara online. Resit dan pengesahan juga akan dihantar ke emel. Menurut beberapa pihak, harga visa akan meningkat lagi pada November 2015, oleh yang demikian, periksa harga visa yang terkini sebelum memohon.

10. PRINT dokumen yang memerlukan tandatangan setelah selesai.

11. Poskan lampiran ke alamat yang diberi. Di dalam sampul surat, wajib menyediakan satu lagi sampul surat ke alamat sendiri dan sudah dibayar harga pos nya. Dokumen yang wajib dihantar ke pihak visa ialah: surat beranak, passport, 2 keping gambar, dan financial affidavit (original). Saya mendapat tips daripada seorang rakan untuk lampirkan juga salinan fotokopi passport dan visa kedua ibubapa bayi dengan surat ringkas menyatakan bahawa ia sebagai further references. Pos mestilah dihantar secara special delivery ke alamat ukva dan alamat sendiri.

12. Sekiranya visa sudah diproses, surat untuk melakukan biometric akan dihantar ke rumah. Biometric boleh dibuat di pos office yg tersenarai, jika di Birmingham, anda boleh ke post office city dan tekan digital untuk nombor giliran. Harga ialah £19.20.


13. Beberapa hari yang berikut nya, passport, surat beranak dan financial affidavit akan dikembalikan menggunakan cover letter yang dilampirkan ke alamat sendiri sebelum ini.

14. Kemudian visa akan diterima dalam beberapa hari yang berikutnya.

15. Boleh lah claim resit ke universiti ;)


Selamat memohon!



Wednesday, 16 September 2015

Hujan Emas di Negeri Orang

Bismillahirrahmanirrahim

Dua tahun lebih mengembara ilmu di Tanah Inggeris, jujur saya katakan yang saya sangat selesa. Menikmati empat musim dan pemandangan indah pernah menjadi salah satu asbab untuk tidak pulang ke negara sendiri. Apatah lagi yang kini Tanah Melayu dihujani pelbagai ujian dan kontroversi...

Tetapi,

Ada tanggungjawab yang perlu digalas. 
Ada amanah yang perlu dilaksanakan. 

Memetik kata-kata Saiful Nang di FB:

"Memangnya hujan batu di negeri sendiri itu lebih baik. Tetapi saya percaya kita mampu belajar dari negeri atas angin bagaimana hujan emas boleh turun di negeri mereka. Di celah hujan emas ini juga terselit najis unta. Sama juga di celah hujan batu kita afa terselit emas sedikit. Mengembara mengenal dunia, jika melancong semata-mata tidak menjadikan kita lebih baik. Alfateh juga belajar dari Hungary dalam persenjataan untuk menawan Constantinople.... 
Bukankah jika mahu belajar kita pelajari yang baik-baik dan yang buruk itu kita tinggalkan? Bukan belajar dengan mencari keburukan orang. Jika begitu, sampai matipun kita tak mungkin belajar seperti mustahilnya mencari bangsa yang sempurna segalanya."

Sempena Hari Malaysia pada 16 September ini, saya berbesar hati untuk kongsikan beberapa faktor betapa nikmatnya dihujani emas di negara orang:

1. Kebersihan

  • Kawasan perumahan, universiti, pusat membeli-belah bersih dan sukar untuk temui sampah bersepah, melainkan di kawasan-kawasan tertentu yang dipanggil black area.
  • Jika makan di kedai, terutama fast food restaurant, pelanggan tidak segan silu untuk membersihkan meja yang dia duduki sama seperti dia belum memesan apa-apa makanan. Meja yang bersih boleh terus diduduki oleh orang lain.
  • Pusat kitar semula sangat tersusun dan bersih. Boleh rujuk perkongsian saya di SINI.
  • Tandas tidak berbau dan bersih. Saya pernah solat di dalam bilik menukarkan lampin bayi bersebelahan dengan tandas.

2. Kuasa pejalan kaki

Berjalan kaki boleh dikatakan menjadi tabiat orang Inggeris. Salah satu sebab berjalan kaki menjadi selamat ialah kuasa zebra crossing yang mendidik para pemandu untuk berhati-hati dan saling menghormati. Pemandu apa sahaja kenderaan akan berhenti secara automatik apabila melihat ada pejalan kaki yang sedang melintas, dan mereka yang sedang menunggu untuk melintas jalan. Ini menjadi antara faktor selamat untuk mengelakkan kemalangan yang melibatkan pejalan kaki.

3. Hormat kepada siren

Bunyi siren polis, ambulans, bomba dianggap serius. Kenderaan lain secara automatik akan memperlahankan kenderaan masing-masing serta memberikan laluan kepada kenderaan yang berbunyi siren. Tindakan akan dikenakan kepada mereka yang menghalang laluan.

4. Ubat-ubatan percuma

Ada beberapa peringkat umur yang boleh mendapat rawatan serta ubat-ubatan daripada hospital secara percuma. Di antara mereka yang layak ialah yang berumur 16 tahun ke bawah, warga tua, orang kurang upaya dan mereka yang layak menerima benefit negara.

5. Melahirkan anak tanpa sebarang bayaran

Penduduk tetap dan mereka yang mempunyai visa secara sah boleh melahirkan anak di mana-mana hospital kerajaan secara percuma, sama ada lahir secara normal mahupun caesarean. Rawatan sepanjang kehamilan juga adalah percuma. Malah ibu mengandung mendapat kad khas yang dipanggil maternity card yang boleh digunakan sepanjang mengandung sehingga anak berusia setahun untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan secara percuma.


6. Layanan istimewa kepada yang teristimewa

Menurut rakan yang membawa anak istimewanya datang ke UK, perkhidmatan diberikan secara eksklusif tanpa membezakan bangsa, agama dan budaya. Bantuan susu dan lampin pakai buang diberikan secara percuma setiap tahun. Mereka dibenarkan bersekolah seperti biasa. Paling mengujakan ialah ibu bapa boleh menghantar anak istimewa untuk duduk di dalam hospice sekiranya ingin pergi bercuti atau sebab-sebab yang lain, juga secara percuma.

7. Bilik menyusukan bayi

Sebagai ibu, saya sangat mengambil berat tentang waktu dan di mana untuk menyusukan bayi terutama jika keluar daripada rumah. Alhamdulillah mudah untuk saya menyusukan bayi kerana disediakan bilik salinan untuk bayi yang juga digunakan untuk menyusukan bayi.

8. Bilik solat

Sebelum ini saya pernah berkongsi tentang ruang solat yang disediakan di UK, boleh baca di SINI. Satu tips yang boleh saya kongsi ialah cek peta bangunan yang ingin anda kunjungi, kemungkinan ada bilik yang boleh digunakan untuk solat. Antara nama yang diberi ialah multi-faith room, prayer room, quiet room, contemplation room. Jika tidak temui bilik khas, solatlah di mana-mana. sesungguhnya tanah di muka bumi ini suci belaka.



9. WIFI percuma di mana-mana

WIFI percuma mudah didapati di mana-mana eg; hospital, lapangan terbang, keretapi dan juga di dalam bas!

10. 1 pound yang sangat bernilai!

Anda boleh dapat banyak benda dengan harga 1 pound. Ia tidaklah murah jika ditukar ke wang ringgit, tetapi dengan 1 pound, kita boleh berbelanja dengan bijak.


Entri ini tidak berniat untuk menyatakan situasi buruk di negara sendiri (malah tidak disebut satu pun), tetapi menjadi panduan untuk mencontohi kebaikan yang dipraktikkan di negara orang lain. Apapun, saya tetap anak Malaysia dan mohon doakan untuk saya kembali berkhidmat di tanah air sendiri pada tahun depan.

Semoga Allah merahmati tanah air ku..


Monday, 24 August 2015

Sweet Thirteen!

Alhamdulillah..

Maaf tajuk entri kali ini mungkin tersalah. Thirty ya, bukan thirteen!

Salam ulangtahun kepada diri sendiri. Setiap tahun tarikh ini berulang-ulang, dan umur saya juga semakin meningkat. Moga dengan bertambahnya umur ini, bertambah juga iman, ilmu, rezeki dan taqwa. Semoga saya semakin kerap mengejar dan membuat kebaikan, serta mempertingkatkan amalan.

Sesungguhnya umur yang meningkat ini ialah tanda semakin singkat sesebuah kehidupan.


Tuesday, 11 August 2015

Susu Ibu

Malaysia sedang kecoh dengan isu susu ibu dan DNA lembu?

Sebenarnya saya bersyukur bahawa rakyat Malaysia kini mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan susu ibu. Sebelum menjadi ibu, saya sendiri tidak mengerti pahit manis menyusukan anak, kini saya mengerti bahawa setiap ibu mempunyai pengalaman dan masalah yang berbeza-beza.

Tujuh fakta berikut adalah berkenaan dengan pengalaman peribadi sendiri:

1. Pada hari pertama, bayi saya diberikan susu ibu yang disimpan di 'Breastmilk Bank' di hospital. Saya tidak berpeluang menyusukannya secara langsung kerana kami dipisahkan atas kondisi bayi yang tidak stabil. 

2. Midwife meminta izin untuk memberikan susu formula kepada bayi pada hari kedua kerana stok susu hospital yang sangat terhad (bergantung kepada penderma). Saya sangat kejam sekiranya saya tidak beri keizinan memandangkan faktor kesihatan saya yang kurang baik dan susu ibu yang masih tidak keluar.

3. Midwife membantu secara eksklusif untuk mengeluarkan kolostrum (susu ibu yang berkhasiat) dan memberikannya kepada bayi sehinggalah kami dapat tidur di bilik yang sama pada hari ketiga di hospital.

4. Midwife juga mengajar cara menyusukan dengan betul dan menggalakkan menggunakan pam serta mengajar mengajar menggunakan botol kerana kondisi saya selepas caesarean masih tidak stabil.

5. Bayi minum kedua-dua susu ibu dan susu formula ketika di dalam hospital pada bulan yang pertama. Tambahan: Afeef menyusu badan sepenuhnya sejak dua bulan sehingga kini.

6. Ilmu untuk menyusukan bayi perlu dicari sehingga kini. Saya silap kerana dulu hanya fokus kepada sumber bacaan berkaitan kehamilan sahaja, dan lupa dengan kepentingan teknik penyusuan.

7. Anak yang pertama adalah pengalaman yang bermakna, dan menjadi pengajaran penting untuk kehamilan seterusnya.

Secara kesimpulannya, setiap ibu mempunyai cabaran yang berbeza. Ada sebab yang tersendiri kenapa diberikan susu formula, bukan sekadar alasan untuk tidak memberikan susu ibu secara eksklusif.

Semoga Allah permudahkan saya menyusukan Afeef sehingga dia berusia dua tahun.




*Suka sangat detik mata bertemu mata ketika menyusukan Afeef. Enjoy that precious moment!

Wednesday, 29 July 2015

Eid Mubarak 1436H

Bismillahirrahmanirrahim

13 Syawal, Birmingham - Harap masih tidak terlambat untuk mengucapkan Eid Mubarak, kullu 'am wa antum bikhair kepada semua ahli keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan pembaca budiman blog kerdil ini. Mohon maaf di atas segala kesilapan dan kekhilafan saya dan blog ini sekiranya ada terguris hati sesiapa. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa dan menerima amalan kita semua.


Selamat Hari Raya
Maaf Zahir Batin

Tahun depan beraya di Malaysia insya'Allah!