Wednesday, 15 April 2015

Kisah Maryam

Bismillahirrahmanirrahim

Menyebut nama Maryam, saya pasti ramai yang kagum dengan wanita yang disebut-sebut di dalam al-Quran ini. Kisahnya bukan sahaja dikumpulkan khas di dalam satu surah yang diambil sempena namanya Maryam, malah telah diceritakan dahulu di dalam surah Ali-'Imran. Seluruh ahli keluarganya dikenali, dan anaknya Isa AS menjadi Rasul dan Nabi.

Maryam menjadi ibu dalam keadaan yang suci.

Dan ingatlah ketika Malaikat Jibril berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang semasa dengan kamu)" (3:42).

Kuasa "kun fayakun" Allah adalah kuasa terhebat di alam fana ini. "Apabila Allah SWT menghendaki sesuatu perkara itu terjadi, maka akan jadilah ia. Dia Maha Berkuasa di atas segala-galanya" (3: 47).

Maryam juga menjadi ibu dalam keadaan diuji.

Tiada suami untuk mengadu dan menjadi tempat bergantung, tetapi Allah lah satu-satunya tempat pengharapan dan memohon segala pertolongan. Allah yang mengatur segalanya sejak pertama kali benih bayi dihidupkan di dalam rahimnya, sehinggalah Maryam melahirkan bayi tersebut berseorangan (di mata kasar) tetapi ditemani reda, ilham dan kekuatan Ilahi. Kemudian diuji dengan cemuhan orang kampung yang tidak memahami. Dan anaknya dikurniakan mukjizat hebat, boleh berkata-kata sejak bayi, memelihara kehormatan ibunya sendiri..



Tuhan,
Sesungguhnya aku tidak sesuci dan semulia Maryam,
tetapi kurniakanlah diri ini kekuatan dan ketabahan Maryam
yang meletakkan Tuhan sebagai tempat pergantungan
yang mengutamakan Tuhan dan anaknya berbanding cemuhan
yang memelihara kesucian diri sehingga ke akhir hayatnya

Tuhan,
Semoga Kau ampuni dosa-dosaku
agar dipermudahkan hari yang ditunggu..

Perasaan Seorang Ibu

Bismillahirahmanirrahim

Masih menghitung hari. Perasaan berkecamuk, ada gembira, takut, sedih dan ianya kadang-kadang datang serentak pada waktu yang sama. Lebih-lebih lagi apabila sesi pertemuan dengan midwife semalam menyebabkan bayi perlu discan dan ujian darah mesti diambil disebabkan oleh kandungan iron yang berkurangan.

Kini saya mengerti bahawa apa pun yang berlaku, keselamatan bayi adalah paling utama. Menghampiri usia sembilan bulan, tidak sanggup rasanya jika ada perkara yang tidak diingini berlaku sehinggalah saya berjaya menatap wajahnya yang saya tungu-tunggu sekian lama.

Kini saya mengerti apakah itu perasaan seorang ibu. Sentiasa memikirkan kebaikan untuk anaknya terlebih dahulu.

Kini saya juga mengerti bahawa kebahagiaan seorang wanita itu bukanlah sekadar menjadi isteri, tetapi merasai nikmatnya menjadi seorang ibu.

Kini saya mengerti kasih-sayang seorang ibu itu mengatasi segalanya. 

Semoga Allah permudahkan semuanya..


Tuesday, 24 March 2015

Parenting Class

Bismillahirrahmanirrahim

Ahad lepas (22 Mac 2015), saya menghadiri satu kelas percuma yang dianjurkan oleh Birmingham Women Hospital untuk ibu-bapa yang bakal menimang cahaya mata buat kali pertama. Sejujurnya saya berniat untuk menghadiri banyak lagi kelas-kelas sedemikian tetapi kebanyakkanya berbayar dan perlu komitmen yang tinggi untuk hadir pada setiap minggu. Demi berjimat dan mengejar deadline, saya daftarkan diri untuk kelas percuma ini tetapi dengan syarat, kandungan mestilah 30 minggu ke atas. Alhamdulillah kandungan saya sudah masuk 31 minggu dan insyaAllah sihat.

Kelas ini bermula jam 9.30 pagi. Alhamdulillah ada juga satu pasangan Muslim yang lain (Pakistan), dan pasangan lain semuanya berbangsa Inggeris dan para ibu membawa 'perut' masing-masing. Terasa bahagia dikelilingi ibu-ibu mengandung.. :)

Sesi pertama dimulakan dengan pengenalan terhadap bayi. Apa yang bayi mampu lakukan sepanjang 9 bulan berada di dalam rahim? Di antaranya ialah mendengar, bergerak, menelan cecair amniotic, memberi respon kepada temperatur yang berbeza dan macam-macam lagi. Diskusi ini sebenarnya untuk memberi pendedahan kepada para bapa untuk mengetahui aktiviti bayi yang hanya dirasai oleh para ibu sahaja.

Di dalam sesi yang kedua, dua kumpulan dibahagikan di mana ibu-ibu duduk di dalam satu kumpulan, dan bapa-bapa di dalam kumpulan yang lain. Para ibu membincangkan toolkit ataupun aspek2 penting yang diperlukan di saat untuk melahirkan bayi. Di antara toolkit penting ialah full support daripada pasangan masing-masing, keluarga dan rakan2, fasiliti yang mencukupi, penggunaan air hangat (shower atau tuam) ketika sakit bersalin dan energy tablet atau drink untuk memulihkan tenaga. Manakala para bapa pula diberi pendedahan bagaimana bayi keluar daripada faraj ibu dengan melakukan demonstrasi. Kemudian setiap pasangan perlu menukar informasi yang mereka perolehi daripada perbincangan kumpulan. Saya sangat kagum bagaimana secara fitrahnya bayi yang lahir mengeluarkan kepala dahulu dan memusingkan badannya sendiri di dalam ruang yang terhad untuk menjejakkan kaki pertama kali ke bumi Allah ini.   

Sesi ketiga ialah fizikal aktiviti di antara suami dan isteri iaitu cara mengurut untuk mengurangkan kesakitan. Ada pelbagai cara menarik yang mudah dipraktikkan. Speaker juga berkongsi bahawa hormon yang menghasilkan mood yang baik iaitu oxytocin akan memudahkan proses bersalin, manakala adrenaline pula ialah hormon yang menggangu proses tersebut.

Sesi keempat ialah meronda bilik bersalin (labour room & delivery suite) yang disediakan oleh pihak hospital. Saya yakin sesi ini adalah sesi yang digemari oleh setiap peserta. Kami diberi peluang untuk masuk sendiri ke bilik-bilik tersebut. Rupanya ia bukanlah bilik yang benar-benar menakutkan. Ada bilik yang menyediakan khas penggunaan water birth, dilengkapi dengan bilik air. Ada cd player dan juga mp3 socket untuk memasang muzik ketika bersalin. Ada juga tali yang diikat di ceiling bilik untuk menjadi tempat bergantung ketika proses melahirkan. Katilnya boleh diubah mengikut kesesuaian ibu-ibu bersalin. Saya tidak pasti bagaimana bilik bersalin di Malaysia, tetapi melihat situasi di hospital ini, rasa mahu bersalin pada setiap tahun!

Salah satu bilik bersalin di Birth Centre, BWH.

Sesi kelima, kami diberi pendedahan tentang beberapa pilihan untuk mengurangkan sakit bersalin (pain relief). Rupa-rupanya banyak perkara yang tidak saya ketahui. Selain daripada self-help (eg: ball exercise, warm water, etc), saya hanya mengetahui pilihan lain untuk mengurangkan kesakitan ialah water birth dan juga epidural iaitu satu suntikan seperti bius yang disuntik di tulang belakang ibu mengandung. Gambar menunjukkan beberapa pilihan lain, dan kami digalakkan berfikir apalah kebaikan dan keburukan pilihan-pilihan tersebut.

Selalu fikirkan 6 perkara ini dalam membuat keputusan:
Benefit - What are the benefits?
Risk - What are the risks?
Alternative - What are the Alternatives?
Instinct - What does your instinct tell you?
Nothing - What will happen if we do nothing?
Smile - Well, it can only help...

Sesi keenam dan terakhir ialah semua peserta dikehendaki untuk mempraktis bagaimana cara yang betul untuk menukar lampin, memandikan bayi, tidurkan bayi, dan cara memakai sling/baby carrier. Seronok melihat pelbagai ragam dan sejujurnya ada perasaan takut dan berdebar yang hadir tiba-tiba.

Tiga bakal ayah.
Wanita di belakang itu ialah speaker yang penuh dedikasi.

Semoga kami berdua memanfaatkan ilmu yang ada demi kebaikan dan kebahagiaan bersama.


Friday, 6 March 2015

Mengejar 'Deadline'

Bismillahirrahmanirrahim

Februari sudah berlalu. Kini di awal Mac. April dan Mei pula sudah menunjukkan bahangnya apabila kalendar peribadi sudah penuh dengan beberapa agenda penting. Usah cemas Saadah! Di sini, beberapa peringatan untuk diri sendiri perlu dicatat agar minda sentiasa fokus dan memberi tumpuan kepada sesuatu perkara.

Satu: 
Rancang. Plan each single thing!

Dua: 
Rancang lagi. Sediakan backup plan.

Tiga: 
Letak tarikh dan target. Set a deadline!

Empat: 
Ikut perancangan. Work your plan!

Lima: 
Berdoa dan terus berdoa.

Enam:
Jika gagal, follow the backup plan!

Tujuh:
Teruskan usaha.
Faham bahawa perancangan Allah itu lebih baik, tetapi usah berhenti berharap dan berusaha!

pastikan tidak freak out!
Tarikh tamat tempoh: Mei 2016

*Dalam proses langkah keempat. Allahumma yassir wa la tu'assir.

Thursday, 12 February 2015

Menghitung Hari


Menghitung detik dan waktu
hari berganti hari
akan tiba saat itu
hari bahagia daku bergelar ibu

*speechless*

Friday, 30 January 2015

Rotan & Ilmu Keibubapaan

Bismillahirrahmanirrahim

Siapa kata saya tidak pernah dirotan? Emak adalah seorang yang tegas dan karakter beliau sangat berbeza dengan ayah yang tenang dan cool. Tetapi seingat saya, kenangan dirotan ialah satu memori yang mengingatkan bahawa setiap kesilapan pasti ada hukuman. Yang berbeza ialah bagaimana hukuman tersebut dilaksanakan.

Kini di Malaysia, isu rotan menjadi satu isu sensitif yang boleh dikenakan tindakan undang-undang. Terbaca status seorang di FB, dia berkata isu ini sengaja memecah-belahkan masyarakat sehingga terbentuknya dua aliran: Rotaniyyah dan Anti-Rotaniyyah. Ada juga berpendapat bahawa mencegah rotan bermaksud telah melanggar hukum Islam kerana telah termaktub di dalam hadith bahawa rotan dibenarkan sekiranya anak tidak menunaikan solat. Tetapi saya berpendapat bahawa "rotan" perlu diberi definisi yang jelas agar kekeliruan ini tidak bertambah besar. Adakah ia bermaksud mendera, menghukum, mendidik atau sebaliknya.

Pada zaman serba moden ini, saya yakin ibu bapa semakin terdedah dengan pendidikan anak yang mementingkan aspek psikologi. Sebagai bakal ibu, penting buat saya dan suami memenuhi minda dan dada kami untuk menitik-beratkan soal pendidikan awal kanak-kanak. Oleh yang demikian, tulisan ini adalah peringatan kepada diri sendiri untuk membuat persediaan sebelum memasuki dunia penuh tanggungjawab. Beberapa buku berikut adalah senarai wajib baca untuk 2015:

Child Education in Islam, Abdullah Nasih Ulwan
A Guide to Parenting: From an Islamic Perspectives, Abdullah Bari
Mama PHD: Women Write about Motherhood and Academic Life
How to Talk so Kids Will Listen & Listen so Kids will Talk, Adele Faber & Elaine Mazlish


**Menghitung hari :)

Monday, 26 January 2015

Couchsurfing: Medan Memberi & Menerima

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Zikri Khair kerana memperkenalkan satu laman web yang memberi peluang untuk menambah kenalan baru daripada seluruh pelusuk dunia, dengan menawarkan atau mencari penginapan secara percuma tanpa sebarang bayaran. Aplikasi tersebut diberi nama Couchsurfing di mana ada dua istilah penting yang digunakan: host dan surf

Host akan menerima pelawaan surfer yang ingin menginap dalam tempoh tertentu dan mempunyai hak sama ada untuk menolak atau memberi penginapan secara percuma. Malah host juga dibenarkan untuk mempelawa mana-mana surfer yang membuat permintaan secara terbuka, sekiranya dia berminat untuk menjadi tuan rumah pada waktu yang ditetapkan oleh surfer.

Surfer pula ialah istilah untuk penumpang atau tetamu yang ingin bermalam dalam tempoh yang tertentu, tetapi perlu menghantar mesej sebaiknya seminggu awal dengan menyatakan tarikh yang tepat dan tujuan untuk bermalam. Tetapi, hak sepenuhnya terletak di tangan host untuk bersetuju dan membenarkan surfer bermalam di rumahnya. Kebiasaannya penilaian akan dibuat melalui banyak perkara, di antaranya ialah profil surfer yang lengkap dan pernah menjadi host kepada orang lain, kekangan masa, perbezaan agama, dan sebagainya. Surfer juga digalakkan untuk membawa sedikit hadiah atau cenderahati ikhlas sebagai tanda berterima kasih kerana memberikan perkhidmatan secara percuma.

Pengalaman pertama, British lady
Zeenath, daripada Oman
Hur dan Mas, pelajar di Alexandaria, Mesir
Lyn daripada Singapura (2015)
Buat masa ini, saya bercuti daripada menjadi host couchsurfing kerana keadaan yang tidak mengizinkan. InsyaAllah akan kembali mengaktifkan diri pada masa yang sesuai kelak.. Suatu hari nanti ingin juga merasa pengalaman menjadi surfer.

*My couchsurfing profile: Adah Khair