Wednesday 9 October 2013

Belajar Islam di Negara Bukan Islam


"Why you study Islam in non-Muslim country?"

Soalan itu buat saya tergamam seketika. 

Semester baru sudah bermula dan saya mengambil peluang yang ada untuk menghadiri apa sahaja kelas atau workshop untuk menambah ilmu dan pengalaman. Sesungguhnya saya sangat teruja. Cara mereka belajar tidak jauh berbeza tetapi amalan menghormati pandangan orang lain menjadi budaya positif dikalangan pengajar dan pelajar.

Kembali semula kepada soalan yang diajukan tersebut, saya dicadangkan oleh teman perbincangan untuk membentangkan kertas penyelidikan saya. Sejujurnya, saya masih terikat dengan 'budaya malu & rendah diri' ditambah pula dengan 'budaya takut salah', jadi saya menolak cadangannya untuk membentangkan kertas saya. Tetapi atas desakan positif rakan sebelah, saya beranikan juga walaupun mata seluruh rakan sekelas sudah menerkam saya.

Alhamdulillah saya mendapat komen yang positif. Apa yang saya takutkan bukanlah kelemahan diri sendiri, tetapi isu yang disentuh dalam penyelidikan saya iaitu berkenaan Islam dan Wanita.

Setelah tamat perbincangan, beberapa pelajar di sekeliling saya berdiskusi tentang tajuk masing-masing, dan timbul tentang persoalan yang diajukan di awal entri ini.

Kenapa belajar Islam di Negara bukan Islam?

Apa yang saya jawab pada gadis Hong Kong tersebut ialah Islam boleh dipelajari di mana-mana dan memilih Negara bukan Islam adalah satu pilihan yang terbaik untuk memberi gambaran sebenar tentang Islam itu sendiri. Apabila masyarakat lebih mempercayai media tentang gambaran Islam, sebagai Muslim saya bertanggungjawab untuk membersihkan gambaran yang tidak baik tentang Islam di dalam media kepada masyarakat, khasnya berkaitan eksploitasi terhadap wanita.

Apa yang saya tidak jawab kepada gadis tersebut ialah tanggungjawab seorang Muslim ialah menyampaikan yang ma'ruf dan mencegah yang munkar, dengan kata lain ialah dakwah.

Selepas perbualan tersebut, saya semakin berfikir secara mendalam apa tujuan saya mempelajari Islam di Negara bukan Islam, walaupun saya melihat banyak nilai-nilai Islam telah dipraktiskan di Tanah Inggeris ini. Persoalan tersebut sebenarnya membuka minda saya untuk terus menghargai tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim lebih daripada diri saya sebagai pelajar PhD. 

Benarlah kata-kata Syeikh Muhammad Abduh: "I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I go back to the East and saw Muslims, but no Islam".

2 comments:

  1. ohh.. sangat teruja dgn entri ini . it motivated me a lot....tq saadah. semoga lebih success di sana, semoga Allah lapangkan segala urusan.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Amin ya Rabb. Semoga kak eni juga sukses dunia dan akhirat :)

      Delete