Wednesday 27 November 2013

Budaya Membaca Buku


“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan”. Perintah membaca yang disebut di dalam ayat pertama Surah al-‘Alaq ini adalah wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril AS. Perintah ini meyakinkan bahawa membaca adalah satu aktiviti yang dituntut di dalam Islam, bukan hanya diperintahkan untuk Rasul yang terakhir semata-mata, malah kepada seluruh umat manusia.

foto dari SINI

Membaca adalah salah satu cara mendapatkan ilmu, tetapi ia juga adalah medium untuk mencintai sesuatu ilmu. Ilmu tidak akan datang bergolek sekiranya tidak dicari. Dan sedihnya sekiranya buku yang kita baca tidak mengandungi sebarang ilmu atau terkandung di dalamnya ilmu yang salah dan bertentangan dengan agama.

Oleh itu, "kita adalah apa yang kita baca". Sama seperti dengan "kita adalah apa yang kita makan". Jasad memerlukan sesuatu, dan ruh dan akal juga memerlukan sesuatu. Makanan akal ialah apa yang kita baca dan perhatikan dari dunia sekeliling kita.

Membaca perlu dijadikan sebagai budaya yang tidak ditelan zaman. Ia perlu dipupuk sejak kecil, dan saya berbesar hati mengatakan Ayah lah yang mendidik saya mencintai buku. Buku yang dibeli Ayah pasti dibaca biarpun bacaannya tidak selalunya dari kulit ke kulit. Jaga dan tidurnya pasti ada buku di sisi Ayah. Saya juga senang begitu apabila buku kadang-kala menjadi teman terbaik untuk berbicara.

Pernah dengar kata-kata ini: "Too many books, too little time"? Terlalu banyak buku, terlalu sedikit masa. Kebiasaannya kita akan menyalahkan masa kerana kita tidak mengatur waktu dengan baik. Masa tidak pernah salah kerana telah ditetapkan bahawa setiap manusia mempunyai 24 jam, tidak lebih dan tidak kurang. Oleh itu, ada beberapa tips yang boleh dikongsikan untuk membaca koleksi buku yang kita ada.

#1: Meletakkan prioriti bacaan.
Saya tertarik dengan entri yang dikongsi seorang rakan di mana beliau berkongsi teknik prioriti di dalam buku The Art of Reading tulisan Agus Setiawan. Teknik tersebut ialah dengan meletakkan prioriti bacaan mengikut turutan berikut:
1) buku-buku berkaitan tanggungjawab fardu ain
2) buku-buku berkaitan tanggungjawab fardu kifayah (menurut bidang yang diceburi)
3) buku-buku yang berfaedah yang sifatnya harus dibaca

#2: Meletakkan sasaran.
Bukankah gagal merancang itu ialah merancang untuk gagal? Membaca juga perlukan perancangan. Letakkan sasaran tertentu seperti 1 buku 1 bulan atau 1 bulan untuk muka surat yang tertentu.

#3: Jangan beli buku baru.
Ini juga adalah cara untuk mendisiplinkan diri sendiri untuk menamatkan bacaan buku-buku yang telah dibeli tanpa menambah buku baru di dalam koleksi.

#4: Baca di mana-mana.
Tidak salah jika buku menjadi teman seperjalanan atau teman menunggu. Budaya ini saya lihat diamalkan secara sihat di negara Barat dan Jepun. Mereka membaca sambil berdiri, duduk berdua atau berseorangan, baring di padang dan ketika menunggu lampu isyarat. Saya yakin membaca bukanlah sesuatu aktiviti yang memalukan, malah menggalakan orang di sekeiling kita juga untuk turut membaca.

Bersambung dengan Budaya Menulis Buku pada entri berikutnya.

Akhir kata,



Selamat Membaca!

Monday 25 November 2013

Budaya Membeli Buku


Setiap daripada kita pastinya mempunyai minat terhadap sesuatu sehingga sanggup melaburkan wang untuk memperolehi apa yang diidamkannya. Ada di antara kita yang sanggup berhabis duit hanya untuk membeli beg tangan berjenama, periuk keluaran luar negara, baju yang ada satu sahaja di dunia, cincin berlian dan permata, dan apa sahaja untuk memenuhi kepuasan dunia.

Tetapi pernahkan kita berhabisan wang untuk membeli buku? Ya, buku. Tertarik dengan gambar di bawah ini yang bermaksud: Ada sesuatu yang jika anda beli dan akan membuatkan anda makin kaya: BUKU.


Budaya membeli buku ini saya perolehi daripada ayah. Koleksi buku peribadinya memenuhi ruang tamu rumah kami. Apabila masuk ke universiti, minat membeli buku itu datang dengan sendiri. Ada sahaja buku yang ingin dibeli khususnya apabila ada rakan-rakan yang berkongsi sinopsis sesuatu buku. Pantang juga mendengar jika ada pesta jualan buku atau diskaun yang diadakan di kedai buku, pasti saya menyinggah. Biaupun kadang-kadang tiada wang, cukuplah membeli satu buku yang paling murah daripada terkilan keluar daripada kedai buku dengan tangan kosong.

MPH atau kinokuniya menjadi tempat kegemaran apabila mengunjungi pusat membeli-belah. Kadang-kadangkala cuci mata di kedai buku lebih menarik kerana boleh juga baca isi kandungan beberapa buku. Tetapi, timbul satu persoalan di minda adakah semua buku yang dibeli itu akan dibaca atau hanya dijadikan hiasan semata-mata?

Sepanjang perhatian dan pengalaman, ada beberapa tips yang boleh digunakan sebelum membeli buku.

#1: Bandingkan harga
Cari kedai buku yang membuat tawaran diskaun atau hadir ke acara perasmian buku kerana kadang-kadang ia menawarkan harga yang lebih murah. Boleh juga cari buku terpakai kerana ia jauh lebih murah. Sekiranya membeli secara atas talian, cari syarikat yang menawarkan pos percuma atau yang paling murah.

#2: Kaji buku dan penulisnya
Tidak rugi jika tahu serba sedikit tentang buku yang ingin dibeli, apatah lagi jika penulis buku tersebut banyak memberi inspirasi. Jangan pilih atau buku yang cantik luaran sahaja tetapi isinya tidak memberi manfaat, bukankah sudah ada pepatah 'Don't judge book by its cover'

#3: Kegunaan sepanjang hayat
Pilihlah buku yang bukan digunakan untuk sehari dua tapi boleh diguna-pakai (dibaca semula) sepanjang zaman

#4: Kualiti
Ambil kira juga kualiti kertas dan kulit buku sekiranya untuk simpan buku tersebut dalam jangka masa yang lama. Ada yang lebih gemar buku berkulit keras dan ada juga yang tidak kisah, asalkan isinya bermanfaat.

#5: ...
Kadang-kala tidak perlu fikir panjang, tambahan pula dompet masih tebal, belilah sahaja buku tersebut jika sudah berkenan untuk memiliki dan menghadamnya. Itu ciri 'bookaholic' yang sebenar.

what about YOU?

Jika sudah membeli buku tetapi tidak membacanya, tiada guna juga.

Bersambung dengan Budaya Membaca Buku  di entri yang berikut.

Sunday 17 November 2013

'Ibrah Dari Batu-Bata


Berpeluang ke Bath tempoh hari dapat menyaksikan lagi tinggalan sejarah di Tanah Inggeris. Menyebut nama 'Bath', ia tidak bermaksud mandi tetapi sebuah nama daerah di England yang terletak lebih kurang 82 batu daripada Birmingham. Bath telah diisytiharkan oleh UNESCO sebagai warisan dunia pada tahun 1987, dan nama Bath diambil bersempena dengan kedudukannya yang terletak di kawasan sumber air panas. Kebanyakan reka bentuk bangunan di Bath banyak dipengaruhi seni bina Rom. Di antara yang masyhur ialah The Roman Bath, The Circus dan The Royal Crescent.




Tidak jauh daripada Bath (perjalanan satu jam), kami singgah ke Stonehenge di mana terletaknya batu-bata gergasi di padang yang lapang. Lokasi ini sangat popular apabila gambarnya dijadikan 'background' di komputer atau ditampal di dinding. Ramai pelancong yang mengunjungi Bath pasti akan ke Stonehenge yang terletak di Wiltshire, England.




Sepanjang berada di Stonehenge, saya terfikir apa tujuan sebenar saya melihat batu-bata ini. Wang masuk yang dibayar sebanyak £8 (£7.50 untuk pelajar) rasanya agak rugi jika sekadar 'tawaf' di sekeliling batu-bata ini tanpa memikirkan pengajaran yang boleh diperolehi daripada lokasi ini.

Ya, benar bahawa ia adalah sejarah yang dijaga oleh British agar dapat dilihat oleh generasi akan datang kerana dipercayai bahawa ia telah dibina pada tahun di antara 2000-2500 sebelum Masihi. Malah terdapat pertikaian mengenai usia sebenar batu gergasi ini. Tujuan ia dibina juga terdapat beberapa pendapat yang berbeza. Boleh baca selanjutnya di SINI.

Sepanjang perjalanan mengelilingi Stonehenge, saya teringat dua batu penting yang telah tercatat di dalam sejarah Islam.

Batu pertama ialah Hajar Aswad. Ia adalah batu hitam kecil yang telah menyebabkan Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai al-Amin dan kerananya, baginda telah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Arab buat kali pertama sebelum baginda diangkat menjadi Rasul. 

Hajar aswad dipercayai berasal daripada syurga berdasarkan hadith berikut: Dari Ibnu Abbas katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Hajarulaswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak adam) menyebabkannya menjadi hitam". [Riwayat Ahmad dan Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani]

Hajar aswad terletak di salah satu penjuru ka'bah dan menjadi tempat bermula dan berakhirnya tawaf. Sehinggi kini, batu ini menjadi tumpuan bagi mereka yang ke Mekah untuk mengucupnya kerana Nabi SAW telah berbuat demikian sebagaimana telah dilakukan oleh para Nabi sebelumnya. Namun begitu, mengucup batu ini bukanlah satu amalan wajib kerana hasrat mengucupnya banyak menimbulkan kesan yang tidak baik. Oleh kerana itu, Saidina Umar al-Khattab telah berkata: "Saya tahu anda adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan faedah. Jika tidak aku melihat Rasulullah SAW mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu"

Batu kedua ialah batu yang telah dipijak Rasulullah SAW ketika peristiwa Isra' Mi'raj. Berdasarkan al-Quran, ayat 1 Surah al-Isra', Rasulullah SAW telah dibawa dari Masjid al-haram ke Masjid al-Aqsa, dan menurut sirah, kaki baginda telah mendarat di atas batu tersebut. Disebabkan kekuasaan Allah, batu tersebut telah terapung kerana memuliakan Rasulullah SAW.

Kini, batu tersebut terletak di Masjid al-Aqsa dan dijaga rapi. Sila rujuk SINI untuk maklumat lanjut.

Setiap batu ada kisah yang tersendiri. Tidak adil sekiranya membandingkan ciptaan Tuhan dan ciptaan manusia. Saya pasti batu-batu di Stonehenge itu disusun mengikut idea manusia tetapi hakikat sebuah batu itu adalah tetap ciptaan Yang Esa.

Batu, rumput, awan, gunung, laut dan semua makhluk di muka bumi ini adalah nikmat yang Allah berikan kepada manusia. CiptaanNya tiada bandingan dan pujian hanyalah perlu kembali kepadaNya. Dan setiap pengembaraan itu adalah sumber untuk memikirkan ciptaan Tuhan dan mengambil pengajaran dari setiap apa yang telah berlaku suatu ketika dahulu.

Allah SWT telah berfirman: "Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada." (Al-Hajj 22:46)

Selamat meneruskan pengembaraan!

Friday 15 November 2013

Jumu'ah Mubarakah: Help Yourself


Indeed, Allah will not change the condition of a people 
until they change what is in themselves (13: 11)

*Allahummaghfirli ya Rabbi

Sunday 10 November 2013

Hotel & Heater

Tidur di hotel memang mengujakan. 
Tetapi tidur di hotel tanpa penghawa dingin lebih mengujakan!

Sepanjang lima bulan di Tanah Inggeris, ini kali pertama kami bermalam di hotel. Travelodge dipilih kerana harganya lebih murah. Alhamdulillah selesa biarpun wifi-nya perlu dibayar!

Sedang asyik berehat, tiba-tiba suami bertanya: "Eh, tiada air-cond ke?"

Mata saya terus tertumpu pada satu alat seperti penghawa dingin tetapi terletak di dinding bahagian bawah dan mengeluarkan udara panas. Logik juga jika tiada penghawa dingin kerana udara di luar sangat lah dingin!

Izinkan tuan hamba beradu dulu ya, esok mahu teruskan kembara melihat keajaiban dunia.

Salam dingin,

Travelodge Beckington
11.20pm, 9 November.