Wednesday 17 October 2012

Wordless Wednesday: Producing Books VS Writing Books

 Well done Students~!

Without producing books, you will not able to write a book. Appreciate a book~!

Wednesday 10 October 2012

Buku: PhD Kecil Tapi Signifikan



Alhamdulillah. Menamatkan bacaan buku ini adalah demi menambah semangat untuk terus maju. Buku ini berkisar tentang suatu pengalaman pahit manis di dalam dunia akademik. Ada yang berkata bahawa PhD itu adalah Permanent Head Damage, dan ada juga yang setuju mengatakan bahawa ia adalah Persistent, Hope & Dream. Apa pun ia, terlalu banyak cabaran di dunia PhD.

Penulis banyak berkongsi tentang kehidupannya sendiri. Dengan menambah beberapa kisah kenalan penulis, saya berpendapat bahawa Usaha dan Rezeki itu perlu bergerak seiiring. Menurut cerita-cerita yang beliau kongsikan di dalam buku ini, ada yang berusaha keras, tapi masih belum berjaya, dan ada juga yang usahanya biasa saja, tapi rezekinya melimpah ruah. Kuncinya ialah usah mudah berputus asa dan teruskan berdoa.

Sedikit sebanyak, ia memberi pendedahan awal kepada saya sebelum melangkah ke dunia PhD. Jujur, pelbagai perasaan sedang saya rasai di awal peringkat ini. Mencari tajuk saja sudah merasakan ia cukup susah, apatah lagi berjumpa dengan penyelia berbangsa asing dan bertemu rakan baru. Namun begitu, harapan saya agar saya dipermudahkan di dalam apa jua urusan samada kecil atau pun besar.

Saya sangat tertarik dengan nasihat secara tidak langsung yang ditulis oleh Prof. Kamil. Usah sombong jika sudah mendapat gelaran Dr. apabila tamat PhD nanti. Sombong dan riyak itu tidak akan membawa kita ke mana pun. Ilmu yang kita ada ini tetap tidak setanding dengan ilmu Allah. Jadilah orang yang semakin banyak belajar, semakin rasa jahilnya diri.

Terima kasih buat saudara yang berkongsi buku ini secara atas talian di Doctorate Support Group di Facebook. Jika ada sesiapa yang mahu dapatkan buku ini (e-book), boleh tinggalkan emel di kotak komentar.

Info terbaru: Bayaran untuk buku ini perlu diberi kepada penulis. Jumlah bayaran perlu dirujuk kepada penulis sendiri.

Terima kasih.

Kunci Syurga

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Syurga

Pasti kita semua mempunyai hasrat yang sama untuk masuk ke dalam syurga sebagaiman yang dijanjikan Allah kepada hambaNya yang beriman. Malah, orang yang tidak beriman juga mempunyai idaman syurga yang diciptakan mereka sendiri. Syurga mana yang lebih baik? Duniawi atau Ukhrawi?

Tidak sukar untuk memperolehi janji Syurga yang kekal abadi. Tidak juga mudah untuk menikmati keindahannya. Quran sebagai Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW telah menyenaraikan empat kunci utama untuk membuka pintu syurga.

 Dr. Zakir Naik Malaysian Tour di PWTC, 7 Oktober 2012

Menurut Dr. Zakir Naik, terdapat empat kunci utama menuju ke Syurga Ilahi. Kunci tersebut jelas dinyatakan di dalam Surah al-Asr. 


Kunci pertama: Iman. Benar bahawa iman tidak boleh diwarisi, tetapi harus dipupuk sejak kecil lagi. Iman itu membenarkan di hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan anggota badan. Kepada siapa perlu kita beriman? Rukun Iman yang enam adalah jawapannya.

Kunci kedua: Amal Soleh. Lakukanlah kebaikan sebanyak yang mungkin. Fastabiqu al-khairat. Mereka yang membuat amal soleh dan mengajak kepada kebaikan pasti mendapat ganjarannya.

Kunci ketiga: Berpesan kepada kebenaran. Berkatalah benar walaupun ia pahit untuk dinyatakan. Petunjuk kebenaran itu perlu bersandarkan al-Quran dan Sunnah.

Kunci keempat: Berpesan kepada kesabaran. Sabar itu sukar tapi kesannya indah seperti kata sebuah syair arab: “Sabar itu pahit tetapi hasilnya lebih manis daripada madu.”. Sesungguhnya Allah akan bersama dengan mereka yang sabar.


Imam Syafi'i pernah menyebut, "Jika al-Quran terdiri daripada satu surah sahaja, cukuplah Surah al-Asr sebagai pedoman untuk kehidupan manusia"

Wallahu ta'ala a'lam


**Ini adalah sedikit perkongsian yang beliau ulang ketika ceramahnya di IKIM dan PWTC. Semoga Allah memberkati Dr. Zakir Naik yang hadir ke Malaysia minggu lepas dengan niatnya yang murni untuk menyampaikan Dakwah Islamiyyah kepada setiap lapisan masyarakat. Semoga kita semua memperoleh manfaat daripada tazkirahnya.
 

Monday 8 October 2012

Majlis Konvokesyen Sarjana

Bismillahirrahmanirrahim.

Kejayaan ini tidak bererti tanpa doa dan sokongan beberapa insan yang banyak membantu saya samada secara langsung ataupun tidak dalam mendapatkan segulung ijazah di peringkat sarjana. Nama-nama mereka telah tersenarai di dalam satu muka surat penuh di awal penulisan tesis (boleh baca di SINI).



Sekali lagi, terima kasih daun keladi, jasa kalian sangat dihargai. Jazakumullah khairal jaza'.

Jika mengimbas kembali perjalanan dua tahun setengah ini, ianya dipermudahkan dengan nikmat yang Allah yang tiada bandingannya. Saya mendaftar sejurus sahaja tamat pengajian di peringkat sarjana muda pada akhir 2008. Alhamdulillah diterima dan memulakan kelas pengajian walaupun belum berkonvo. Saat itu, baru saya merasakan bahawa kecilnya jumlah pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki, terutama di kalangan warganegara Malaysia.

Allah permudahkan semuanya. Saya telah mendapat biasiswa (GMVB IIUM Ummatic Scholarship) sepanjang dua tahun pengajian. Biasiswa tersebut merangkumi duit pengajian, penginapan dan sara hidup, di mana ia meringankan beban kedua orang tua. Sejak itu, saya jarang sekali meminta wang saku dari ibu bapa, melainkan "duit minum" yang sering ayah beri sebelum menaiki bas pulang ke Gombak.

Sepuluh subjek wajib diselesaikan dengan baik pada tiga semester pertama, dan kertas proposal saya juga diterima sebelum memulakan penulisan tesis pada semester yang keempat. Alhamdulillah juga saya diberi seorang penyelia yang banyak memberi dorongan dan nasihat yang membina. Sokongan beliau memudahkan lagi penulisan tesis berjalanan dengan lancar. Kisah penyelia saya boleh dibaca di SINI.

Pada semester keempat, saya telah ditawarkan bekerja secara separuh masa dengan berkhidmat sebagai pensyarah di International Islamic College. Tanggungjawab kerja agak menguji fokus dan konsisten dalam penulisan tesis. Oleh sebab itu, saya terpaksa menambah satu lagi semester khas untuk menyiapkan tesis. Biaya pengajian juga harus dibayar sendiri kerana perjanjian biasiswa hanya merangkumi dua tahun pengajian sahaja. Alhamdulillah, gaji sebagai pensyarah separuh masa sangat membantu hidup untuk membayar wang sewa rumah, kereta, tesis dan lain-lain lagi.

Beberapa ujian terpaksa saya tempuhi walaupun tesis sudah sempurna sepenuhnya. Telah sedia maklum bahawa UIAM mempunyai prosedur yang sangat ketat, dan boleh saya katakan sebagai leceh. Ini adalah demi menjaga kualiti yang dihasilkan sebagai produk UIAM. Tesis yang telah sempurna perlu diperiksa oleh penyelia terlebih dahulu, dan kemudiannya diperiksa untuk kali kedua oleh pemeriksa khas. Markah akan diberi dan dirahsiakan. Komentar yang diberi oleh kedua-dua pemeriksa perlu dilaksanakan terlebih dahulu terutama jika terdapat beberapa pembetulan. Kemudian, aspek bahasa akan diperiksa oleh badan khas yang bertanggungjawab. Setelah mendapatkan surat pengikitrifan bahasa, barulah tesis akan dibincangkan di peringkat kuliyyah. Selain bahasa, tesis akan diperiksa dengan teliti di dalam aspek teknikal yang berkaitan dengan rujukan dan sebagainya. Terdapat AJK khas yang bertanggungjawab untuk memeriksa bahagian ini. Ketidak-sempurnaan proses-proses tersebut akan mengakibatkan tesis tidak akan dimasukkan ke dalam mesyuarat tertinggi senat, kerana mereka berkuasa dalam memberi pengesahan bahawa pelajar layak untuk mendapat ijazah bergantung kepada kualiti tesis tersebut. Surat yang saya perolehi pada Oktober 2011 ini adalah bukti bahawa saya telah selesai pengajian di peringkat SARJANA.

Alhamdulillah..

Sayangnya, UIAM hanya menjalankan Hari Konvokesyen setahun sekali. Nama saya sudah tertinggal untuk masuk pada Konvokesyen ke-27, jadi ia tersenarai pada 2012. Genap setahun. Oktober tahun lepas saya selesai, dan majlis konvo diadakan pada Oktober tahun ini.

Walau apapun, saya sangat besyukur. Nikmat dan ujian yang Allah berikan sepanjang pengajian telah memberi corak baharu di dalam hidup saya. Majlis Konvokesyen ke-28 yang baru berlangsung pada 6 Oktober 2012 lalu hambar kerana ketiadaan emak dan ayah sebagai pendorong terbesar sepanjang pengajian, Alhamdulillah bersinar semula kerana kehadiran suami tercinta yang terlibat secara tidak langsung ketika proses penulisan tesis sarjana. Kebahagiaan ini tidak akan berhasil tanpa mereka semua.

Emak dan Ayah ketika hadir untuk Majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda, 2010.
Lokasi: Masjid Wilayah KL


 Terima kasih sayang!

 Motivasi khas daripada Prof. Dr. Sidek Baba kepada suami.

 Rakan-rakan di dalam bidang yang sama. Berbaris sebelum masuk ke dewan.

Teman perjuangan

Sahabat dunia akhirat


Terima kasih Allah. Terima kasih semua..

Wednesday 3 October 2012

Mangrove River Cruise

Subhanallah..
Dia Maha Pencipta, Yang Menghidupkan dan Mematikan..

Pengalaman kali ini dikongsi khas untuk memuji kebesaran Tuhan. Ciptaannya tiada bandingan. Sempurna. Juga menyempurnakan kehidupan.

Berpeluang menikmati keindahan Sungai Cherating yang SANGAT bersih dan aman damai. Sebelum menjejakkan kaki ke sana, saya sudah beberapa kali mencari info tentang kawasan menarik di pekan Cherating. Ternyata bahawa apa yang mahu saya kongsikan ini adalah pengalaman berharga buat mereka yang sudah ke sana.

Menurut cadangan yang banyak dikemukakan oleh blogger lain, saya mencari nama Hafiz untuk menjalankan aktiviti ini. Info pertama saya ketahuinya tentang harga mengikuti edisi River Cruise ini ialah bernilai RM50, tapi ternyata bayaran yang dikenakan hanyalah RM20 sahaja jika anda pergi sendiri ke pejabat Hafiz. Barangkali harga yang lebih mahal itu adalah caj yang dikenakan oleh pihak hotel.

Kami berkunjung ke sana pada petang hari pertama kami tiba di sana. Menurut pekerja yang berkhidmat di sana, beliau mencadangkan untuk datang semula pada pukul 4 petang pada esok hari kerana berikutan  musim air pasang yang tidak memungkinkan kami menikmati sungai tersebut pada waktu pagi. 

 Sila layari http://hafizcheratingactivities.blogspot.com/ untuk keterangan lanjut

Tiba sahaja di pejabat Hafiz sepuluh minit sebelum pukul 4, sudah ada beberapa penumpang lain yang sudah siap bersedia, termasuklah sebuah keluarga pelancong asing. Kami diwajibkan untuk memakai baju keselamatan sebelum menaiki bot kecil yang sangat unik..


Alhamdulillah saya dan suami berpeluang mendapat tempat di hadapan sekali, dan ia tidak menghalang penglihatan kami untuk menikmati alam semulajadi. Pemandu bot memperkenalkan kami dengan keistimewaan pokok kayu bakau yang kami pandang sebelah mata sahaja sebelum ini. Beliau boleh bertutur dengan Bahasa Inggeris dengan sangat baik walaupun loghat Pahangnya masih pekat, kerana adanya pelancong asing yang naik bersama kami.

Perjalanan ini saya iringi dengan memuji-muji kebesaran Tuhan. Ini kali pertama saya merasakan bahawa paya bakau yang saya geli kerana lumpurnya itu sangat indah dan pastinya ia mempunyai keisitimewaannya yang tersendiri. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pelbagai jenis tumbuhan dan beberapa haiwan. Pastinya, ia pengalaman yang tidak akan dilupakan, oleh itu, saya catatkan sebagai perkongsian. 

Terkesima.

Enjoy the pictures ya~!


Beberapa rumah di tepi Sungai Cherating.

 Sejenis pokok bakau yang akarnya seperti dinding. Subhanallah. Lihat yang melengkung itu.

 Lihat yang tercacak di atas tanah. Itu juga adalah sejenis pokok bakau.

 Jenis pokok bakau ini sering dilihat di mana-mana. Akarnya sangat kuat dan utuh.

 Pokok nipah yang sedang berbunga dan berbuah

 Subhanallah!

Sebuah bot lain yang dipenuhi dengan pelancong asing sahaja. Macam di Amazon kan? :)

Lupa nama pokok ini. Kalau tidak silap, beracak.

Jika kalian berpeluang ke sana, rebutlah peluang ini. Jujur saya katakan, saya tidak akan menyesal untuk menikmatinya untuk kali kedua nanti, insyaAllah..


**Jutaan terima kasih buat kakak ipar yang menaja penginapan kami di sana. Semoga Allah memberkati :)