Friday 28 June 2019

Catatan Pensyarah

Bismillahirrahmanirrahim

Semester bakal berakhir dan ditutupi dengan peperiksaan akhir semester. Ini semester pertama saya mengajar sebuah subjek yang sangat menarik dan penting bagi pelajar dalam fakulti saya. Sejujurnya saya jarang berkongsi kisah kerjaya di blog kerana blog merupakan catatan peribadi berkisah keluarga dan perjalanan hidup. Tetapi entri kali ini merupakan perkongsian khas sebagai catatan untuk mengenang memori dan pengalaman menjadi warga pendidik.

Menyebut nama pendidik, terasa begitu besar amanah dan tanggungjawabnya. Tetapi ia tugas sebenar untuk semua profesion guru dan juga pensyarah. Untuk subjek ini, ia bukan subjek-subjek biasa yang boleh dianggap remeh. Sedangkan saya sendiri merasakan ia agak susah, apatah lagi untuk pelajar yang kebanyakannya berusia baru mencecah 20 tahun.

Saya tahu ia sukar buat saya, tetapi saya mahu memudahkan pelajar supaya yang sukar akan nampak seperti mudah. Selepas minggu pengajian berakhir, dan minggu peperiksaan juga berakhir, ketika menanda kertas, saya membuat kesimpulan bahawa terdapat tiga golongan pelajar:

1. Hardworking students

Pelajar di dalam kumpulan ini jarang tidak hadir ke kelas atau kuliyyah. Tempat duduk bukan ukuran, sama ada di hadapan atau di belakang, mereka memberi konsentrasi dengan baik. Jika malu bertanya di dalam kelas, mereka akan bertanya luar kelas. Tapi ada juga yang terlebih-lebih tanya, tetapi saya layankan juga. Kehadiran pelajar begini memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran.

2. 'Take for Granted' students

Pelajar begini kebiasannya suka untuk rapat dengan pensyarah dengan membina hubungan yang baik. Tetapi sayangnya mereka kurang serius dengan proses pembelajaran sehingga ada yang memberi impak negatif di dalam hasil keputusan peperiksaan. Sepatutnya, hubungan baik yang dibina perlu digunakan sebagai peluang untuk menambah baik pemahaman dalam subjek yang diambil.

3. Manageable students

Pelajar ini sejujurnya telah berjaya menukar persepsi negatif saya kepada positif. Mereka nampak seperti tidak menunjukkan minat di dalam kelas, tetapi berusaha di belakang tabir dan memberi usaha yang terbaik di dalam kertas peperiksaan. Mereka mampu menguruskan diri mereka dan mendapat hasil yang memberansangkan tanpa disangka.

Setiap daripada kumpulan pelajar tersebut mempunyai kekuatan tersendiri. Sebagai pendidik, saya bertanggungjawab memberikan yang terbaik dan mendoakan kejayaan untuk setiap pelajar. Saya mengharap agar tiada pelajar yang gagal, dan bangkit semula jika gagal. Kerana kegagalan sekali tidak bermaksud gagal selama-lamanya.

Selamat Maju Jaya!

Image result for seeking knowledge quote