Wednesday 28 August 2013

Tulis

Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Selawat dan salam kepada junjungan Rasulullah SAW serta ahli keluarga dan para sahabat.

Saya menulis bukan kerana nama, bukan juga untuk mendapatkan perhatian sesiapa. Saya menulis untuk mengharapkan keredhaan Tuhan kerana redha Dia itu pelengkap segalanya.

Saya tidak pandai menulis. Sejak dulu karangan Bahasa Melayu tidak pernah mendapat A, sama juga dengan Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Arab. Tapi saya suka membaca. Tulisan penulis buat saya senang, hidup dalam dunia tanpa gangguan.

Saya cemburu dengan penulis. Meluahkan kata-kata indah dan bisa buat pembaca berfikir.

Saya cemburu kerana saya mahu menulis. Tetapi tulisan ini kerdil dan tidak dipandang.

Sejak kebelakangan ini, apa yang ditulis semuanya ditolak. Sedihnya. Terasa tidak layak sungguh menulis kertas cadangan phD. Huh Phd? Layakkah aku??

Tetapi saya tetap menulis.

Bukankah banyak penulis ternama mempunyai pengalaman buruk sebelum tulisan mereka diterima?

Bukankah penulis juga perlu belajar dari kesilapan dan tidak mengulanginya?

Secara akademik, menulis tidak boleh menurut kata hati. Ia berlu bersandarkan fakta dan dalil yang menyokongnya. Di mana perlu saya letakkan hati ketika menulis?

Tetapi saya tetap menulis.

Biarpun salah atau pun cacat, sudut kecil hati ini berkata: "Tulisan ku pasti akan dibaca dunia"

Sedang mahu membaca buku ini:

Gambar di ambil dari SINI

Selamat melakar kata!

Thursday 22 August 2013

Buku: Aku Melayu di Kota Inggeris

Penulis: Muhaimin Sulam

Buku ini dibeli beberapa minggu sebelum saya menjadi di antara bangsa Melayu di Kota Inggeris. Tertarik dengan tajuknya, tetapi begitu lambat dihabiskan untuk buku setebal 277 muka surat kerana apa yang dirasakan penulis juga dirasakan saya sebagai pembaca.

Penulis merupakan graduan University of Wales Trinity St David, Lempeter dan kini telah menamatkan pengajian PhD (Syabas!). Buku ini merupakan travelog dan catatan perjalanan beliau di United Kingdom. Menggunakan teknik perbandingan, banyak isu yang disentuh penulis melibatkan keadaan bangsa Inggeris dan Melayu di mana kedua-duanya mempunyai kelemahan dan keistimewaan yang tersendiri.

Saya suka apabila bangsa Inggeris dikritik kerana selama ini bangsa Melayu terlalu memuji mereka sehingga alpa bahawa mereka pernah menjajah kita. Walaupun demikian ada beberapa aspek di mana bangsa Inggeris jauh lebih baik daripada kaum Melayu seperti contoh kebersihan, nilai-nilai murni, keselamatan, pendidikan dan sebagainya. Malah Melayu juga tidak kurang hebatnya cuma kadang-kadang kita terlalu merendahkan diri sehingga direndahkan oleh orang lain.

Isu politik yang diutarakan oleh penulis banyak memperlihatkan bahawa beliau condong ke arah pihak yang tertentu. Dan sebagai penganalisis politik, ada beberapa fakta yang boleh diterima pakai dan boleh diusulkan untuk dipraktikkan di Malaysia demi membersihkan kembali politik tanah air yang semakin keruh. Saya bukan penggemar politik, tetapi politik menjadi di antara salah satu sebab punca keharmonian dan kemajuan sesebuah negara.

Pengalaman berpuasa yang dialami penulis turut dirasakan saya, malah tahun ini tempoh waktu berpuasa lebih lama iaitu 18 jam. Alhamdulillah pengalaman ini sungguh berharga. Ada beberapa lokasi yang dilawati penulis sengaja saya kuningkan untuk saya kunjungi suatu hari nanti.

Sebagai pembaca yang juga menyambung belajar di kota Inggeris ini, saya mengharapkan lebih daripada buku ini. Suka sekiranya penulis berkongsi tips bagaimana beliau boleh menghabiskan Phd dengan baik, hubungan beliau dengan penyelia, atau pengalamannya menulis tesis dan menghadiri seminar atau viva. Dalil-dalil Quran yang digunakan penulis adalah bagus sebagai rujukan tetapi saya mohon agar penulis selidik kembali kata-kata ini:

"Aku nampak ramai orang Islam di Timur tetapi aku tidak nampak Islam. 
Sebaliknya aku tidak nampak ramai orang Islam di Barat tetapi aku nampak Islam"

Saya mendengar kata-kata ini ketika saya menuntut di UIAM dahulu dan setahu saya ia adalah pendapat Syeikh Muhammad Abduh: "I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I go back to the East and saw Muslims, but no Islam". Tetapi menurut penulis, ia adalah kata-kata Syeikh Ahmad Deedat yang didengarnya dari sebuah kuliah (halaman 160).

Sajak yang dinukilkan penulis untuk bapanya di halaman terakhir buku ini buat mata saya bergenang. Semoga Allah merahmati ayah dan emak dan berikan kesihatan buat mereka di tanah air.

Secara keseluruhan, buku ini menarik dan boleh disambung dengan siri kedua :)

Wallahua'lam

p/s: Adakah perlu saya menulis pengalaman selama tiga bulan lebih di Kota Inggeris? *jawabdalamhati*

Wednesday 21 August 2013

Wordless Wednesday: Strive Hard


"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menganggung dosa kejahatan yang diusahakannya..." (2: 286)

Monday 19 August 2013

Tuesday 13 August 2013

Cerita Ceriti Aidilfitri

Bismillahirrahmanirrahim.

Masih tidak terlambat rasanya untuk mengucapkan Salam Aidilfitri dari perantauan. Taqaballahuminna wa minkum. Semoga Allah menerima semua amalan kita pada Ramadan yang lalu dan menjadikan kita semua hamba yang beriman yang beribadah hanya kerana Tuhan bukan kerana Ramadan.

Tidak lupa juga untuk memohon maaf zahir batin buat semua yang mengenali diri ini.

Alhamdulillah Syawal pertama di bumi Eropah disambut secara sederhana. Segala nikmat datang dari Dia dan segala ujian juga menambahkan syukur pada yang Esa.

Kuih raya yang dibuat beramai-ramai dengan jiran tetangga

Jemput ke rumah :)

1 Syawal 1434H

3 Syawal 1434H

3 Syawal 1434H

4-10 Syawal 1434H

Kini saya berjuang menyiapkan proposal setelah menerima beberapa komentar dari penyelia. Kali ini tajuk bertukar lagi dan harapan agar tiada lagi perubahan selepas ini.

Dua berita kematian saya terima minggu ini. Takziah kepada keluarga jiran di Taman Gembira, ibu mertua Makcik Buang, Allahyarhamah Suminah telah meninggal dunia. Takziah juga kepada jiran kami di Aston, Birmingham kerana bapanya telah meninggal dunia, tak sempat berjumpa biarpun tiket sudah dibeli untuk pulang ke Malaysia esok. Allahummaghfirlahum warhamhum wa'afihi wa'fu 'anhum.

Dalam bergembira, usah lupa pada yang berduka.

Mohon doa agar minggu ini segala urusan penyeliaan saya dipermudahkan.