Sunday 30 December 2018

Pengalaman Asrama

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah yang menjadikan masa, dan memberi nikmat masa yang tidak boleh dilambatkan atau dicepatkan, malah ia tetap berlalu dengan begitu pantas sekali. Masa adalah sebuah nikmat yang sering dipandang remeh tetapi peranan masa terlalu hebat kerana dengan menghargai masa dan menggunakannya sebaiknya adalah antara cara terbaik untuk memuji kebesaran Tuhan.

Minggu ini adalah minggu terakhir dalam tahun 2018. 2018 bakal berakhir. Munggu ini juga adalah minggu yang agak sibuk buat ibu bapa untuk menyiapkan barang2 anak untuk kembali ke alam peraekolahan.

Baru-baru ini, ada sesuatu isu yang menarik perhatian saya dan mengubah sedikit pandangan saya terhadap keputusan menghantar anak ke sekolah berasrama penuh (boleh baca di SINI). Walaupun perjalanan Afeef dan Afnan masih panjang, tetapi isu ini harus dirancang dari awal dengan melihat perkembangan mereka.

Selepas UPSR, saya telah dihantar ke sebuah sekolah agama berasrama penuh di sebuah pekan kecil berhampiran Pontian, Johor. Saat itu, saya masih ingat lagi perasaan sedih kerana merasakan bahawa sekolah ini adalah hukuman kerana keputusan upsr saya yang tidak begitu baik. Ia adalah sekolah kampung yang serba kekurangan. Boleh dikatakan bahawa sekolah tersebut masih baru didirikan dalam lingkungan 5 ke 6 tahun. Saya lalui banyak kenangan pahit manis di sekolah tersebut. Tetapi Ayah tidak pernah jemu memberikan kata semangat kepada saya untuk terus belajar dan menuntut ilmu. Ayah juga berjanji tempoh saya di sini hanya 3 tahun sahaja dan akan memindahkan saya ke sekolah yg lebih baik pada tingkatan 4. Saya akur dan lakukan sekadar yang termampu.

Ayah mengotakan janjinya. Tingkatan 4 dan 5 saya bersekolah asrama penuh juga di sebuah sekolah agama kerajaan di Kluang, Johor dan merasakan suasana yang sangat berbeza dengan sekolah lama. Lebih terurus dan lebih termotivasi. Saya semakin minat belajar dan saya percaya bahawa sekolah tersebut memberi impak positif yg besar terhadap diri saya. Saya mula memasang cita-cita dan lakukan yang terbaik. Sejujurnya saya bukanlah antara pelajar yang pandai. Keputusan PMR dan SPM pun biasa-biasa sahaja. Tetapi dari situ saya mendapati saya lebih terdorong kepada subjek agama.

Tamat SPM, saya masuk pula sebuah sekolah untuk mengambil Sijil Tinggi Agama. Sementara menunggu keputusan pemohonan UPU, Ayah tidak benarkan saya bekerja kerana risau jika audah memegang wang, minat belajar akan jauh melayang. Saya patuh dan teruskan pengajian seperti biasa. Sehinggalah berita gembira diterima masuk ke Matrikulasi UIA yang membawa saya jauh pergi keluar daripada Negeri Johor. Ayah suka dan saya gembira.

Di pusat matrikulasi, segalanya berubah. Matlamat saya semakin terarah. Di sini saya belajar bersungguh-sungguh. Untuk diri saya juga ayah. Entah kenapa Ayah sentiasa menjadi inspirasi untuk menuntut ilmu dan saya juga sentiasa berusaha keras untuk membuktikan pada Ayah yang saya boleh berjaya.

Tamat dua tahun di Pusat Matrikulasi, saya masuk ke kappus utama UIAM dengan penuh semangat. Tamat ijazah dalam tempoh 4 tahun, saya pulang ke Johor dan bercita-cita untuk mencari kerja di Johor. Alhamdulillah berpeluang menjadi guru ganti selama 3 bulan dan kemudian kembali semula ke Gombak menyambung ijazah sarjana pula. Kali ini, ia atas kehendak sendiri dan Ayah bersetuju dan masih memberikan kata semangat seperti dulu.

Tetapi sepanjang tempoh tersebut, sejak umur 13 tahun, saya hanya pulang ke rumah ketika cuti panjang. Boleh dikatakan tempoh paling lama duduk sebumbung dengan emak dan ayah hanyalah selama beberapa bulan sebelum saya menyambung master. Kemudian setelah tamat pengajian master, saya bekerja dan tinggal di rumah sewa. Kemudian berkahwin dan terbang pula ke luar negara menyambung pengajian phd bersama suami dalam tempoh yang agak lama.

Walaupun saya tidak berpeluang duduk di rumah tersebut dalam tempoh yg lama, saya merasakan the feeling of home itu tetap ada sekiranya emak dan ayah ada. Tetapi dalam masa yang sama saya juga pernah merasakan terkilan kenapa hanya saya tinggal di luar johor, sering sesat jalan jika pulang ke negeri kelahiran sendiri, dan hilang peluang yg sangat banyak untuk berbakti kepada emak dan ayah. Akhirnya, dalam adik beradik kami, hanya saya seorang yang tinggal di luar Johor dan hanya pulang ke rumah orang tua di Johor sekali sekala. Dan apa yang dikatakan Ustaz Hasrizal di dalam tulisannya di bawah ini benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam di hati saya, kerana apa yang dirasakannya turut dirasakan oleh saya:

"I fit in everywhere, but belong nowhere. I am not scared to live anywhere is this world, because I have no sense of belonging to a HOME. I have learnt to cope alone because the experience toughens me up."

Perkongsian ini tidak bertujuan menyalahkan emak dan ayah kerana menghantar saya bersekolah asrama pada umur tersebut, malah saya juga merasakan bersyukur kerana pengalaman tersebut sungguh berharga dan mempelajari banyak perkara yang berkaitan dengan kehidupan berdikari. Alhamdulillah.

Perkongsian ini hanyalah sekadar membuka ruang untuk saya berfikir, adakah saya akan mengambil keputusan yang sama untuk menghantara Afeef dan Afnan bersekolah asrama pada umur mereka 13 tahun nanti? Dengan masalah sosial yang semakin parah pada zaman kini dan akan datang..

Emak & Ayah di hadapan rumah kami di Birmingham yang saya gelarnya sebagai My Second Home

Semoga tahun yang mendatang menjadi peluang yang terbaik untuk kita semua mendekatkan diri dengan Tuhan. Semoga Tahun yang mendatang juga dimanfaatkan setiap detik dengan kebaikan dan amalan.

Wallahua'lam