Sunday 25 May 2014

Tips Berpuasa Lebih 15 Jam

Ramadan bakal tiba.

Di dalam masa yang sama, musim panas di England juga sudah mula menunjukkan sinarnya. Kitaran masa pada musim panas boleh dilihat pada waktu siang yang sangat panjang berbanding waktu sejuk yang mengalami waktu malam yang sangat panjang. Disebabkan siang yang panjang, waktu subuh adalah sekitar jam tiga pagi, dan waktu maghrib adalah sekitar jam sembilan setengah malam. Oleh itu, berapakah anggaran waktu untuk para Muslim berpuasa?

18 jam.

Ia berbeza dengan waktu Malaysia di mana Muslim akan berpuasa sekitar 13-14 jam. Ada juga negara-negara lain yang akan berpuasa sekitar 20 hingga 21 jam kerana waktu siangnya yang sangat panjang.

Oleh kerana ini adalah pengalaman saya yang kedua untuk berpuasa lebih daripada 15 jam, beberapa tips berikut mungkin boleh diamalkan untuk kesihatan ketika Ramadan.

1. Bersedia

Lakukan persediaan awal dengan cuba berpuasa pada bulan-bulan sebelum Ramadan, khasnya Rejab dan Sya'ban. Ini adalah kerana waktu berpuasa adalah lebih daripada 15 jam juga sebelum kehadiran Ramadan. Dengan persediaan ini, fizikal dan mental tidak terlalu terkejut dan boleh bertahan dengan dugaan yang bakal dihadapi pada bulan Ramadan.

Persediaan boleh dibuat mengikut langkah demi langkah. Boleh cuba berpuasa 14 jam pada hari pertama, 15 jam untuk hari kedua, 16 jam untuk hari ketiga, 17 jam untuk hari keempat dan seterusnya 18 jam pada hari kelima. Kemudian, berilah 'reward' yang selayaknya kerana kejayaan anda berpuasa, dan yakinlah bahawa 'reward' yang Allah akan berikan adalah lebih hebat insyaAllah.

2. Niat & Positif

Letakkan niat awal sebelum menjelangnya Ramadan, bahawa kita mampu berpuasa pada waktu yang telah ditetapkan. Panjang atau pendek tempoh berpuasa tidak akan menjadi masalah sekiranya kita telah tetapkan minda dan hati bahawa berpuasa adalah Ibadah yang sangat mulia dan mempunyai hikmah, ganjaran dan kebaikan yang berlipat ganda. Berfikiran positif bahawa puasa adalah latihan dan medan kesabaran yang telah ditetapkan untuk kita sentiasa mensyukuri nikmat Tuhan.

Allah SWT berfirman: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaiman telah diwajibkan pada orang sebelum kami. Mudah-mudahan kamu bertakwa" (Al-Baqarah: 183)

Rasulullah SAW juga menekankan hal berpuasa dengan menyebut: "Berpuasalah agar kamu sihat" (Hadith Riwayat Abu Naiim) dan sabdanya juga yang bermaksud: "Puasa adalah pelindung" (Hadith Riwayat Muslim, Ahmad dan al-Nasa'i)

Di samping itu, kebaikan berpuasa dari sudut sains dan kesihatan juga tidak dinafikan lagi. Boleh rujuk SINI dan SINI.

3. Usah tinggalkan sahur

Rasulullah SAW telah pun bersabda: "Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu sahur itu terdapat keberkatan" (Riwayat Bukhari)

Makanlah sahur biarpun hanya seteguk air dan kurma, walaupun masih kenyang kerana baru berbuka puasa. Waktu malam yang pendek akan menyebabkan jarak di antara iftar dan sahur adalah singkat. Saya mempunyai pengalaman takut untuk tidur malam selepas isyak dan terawih kerana terlepas waktu sahur dan subuh. Jika langkah ini terbaik untuk diambil,  anda boleh cuba tetapi pastikan tidur siang tidak menganggu urusan kerja dan sebagainya. Waktu tidur juga perlukan latihan agar cukup energi untuk menjalankan ibadah puasa. Yang penting, bersahurlah walaupun sedikit.

4. Berbuka puasa dengan berhikmah

Berpuasa selama 18 jam pasti akan membuatkan diri tertunggu-tunggu waktu berbuka. Mulakan iftar dengan kurma dan air manis untuk memberikan tenaga. Elakkan makan terlalu banyak sehinga senak perut kerana ia akan menyukarkan untuk meneruskan ibadah solat maghrib, isyak dan terawih. Banyakkan pengambilan buah jika sukar untuk minum 8-10 cawan ketika waktu malam yang singkat. Jika tidak mahu mengambil nasi sebagai sumber karbohidrat, boleh tukar dengan roti dan sumber yang lain. Usah tinggalkan sumber protein dan sayur-sayuran juga. Boleh baca 'Corak Pemakanan yang Baik Ketika Ramadan'

5. Aktif

Jangan jadikan berpuasa sebagai alasan untuk tidur sepanjang hari. Ini akan menyebabkan badan semakin letih. Aktifkan diri dan hirup udara luar. Gunakan siang yang panjang dengan perkara yang berfaedah. Tidak salah untuk tidur sebentar dan jadikan tidur itu sebagai ibadah bukannya perosak ibadah.

Sekiranya beraktiviti di luar rumah, jaga pandangan mata dan hati, kerana musim panas adalah musim 'minah & mat saleh' memperagakan diri :)

Ada banyak tips2 menarik untuk Ramadan di SINI

*Tuhan, pertemukanlah kami dengan Ramadan..

Thursday 22 May 2014

Viva Kecil

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Tuhan Pencipta Alam serta selawat ke atas baginda Nabi Muhammad sallallahu'alaihiwasallam, saya kembali lagi menulis setelah membiarkan sawang yang mula bersarang. Saya gagal memberi komitmen sekurang-kurangnya lima entri setiap bulan menulis di blog ini.

Saya gagal.

Tetapi kali ini saya tidak mahu berkongsi tentang kegagalan, tetapi mahu bercerita tentang kejayaan. Alhamdulillah saya telah berjaya melepasi sesi yang dipanggil 'panel review' atau mudah dikenali dengan 'defend thesis' atau ada sesetengah universiti yang mengenali sesi ini dengan 'qualifying day' atau 'small viva'. Semua istilah tersebut merujuk kepada sesi pembentangan tajuk tesis yang wajib dihadiri oleh calon-calon PhD yang telah melanjutkan pengajian di dalam lingkungan 10 - 12 bulan. Sesi tersebut akan diadili oleh beberapa panel untuk berbincang tentang penilaian terhadap kajian yang telah dicadangkan. Sebelum menghadiri sesi ini, pelajar wajib menghantar satu bab (6000-8000 patah perkataan) yang akan dihakimi oleh penilai. Kemudian, hasil daripada penilaian akan dibincangkan di dalam sesi tersebut.

Tarikh 13 Mei adalah tarikh bersejarah para penduduk Tanah Melayu, dan ia juga tarikh bersejarah saya menghadiri sesi panel ini. Pada awalnya, keputusan yang saya terima tidak memberansangkan tetapi saya cuba sedaya upaya meyakinkan para panel tentang kajian yang saya jalankan ini. Alhamdulillah sesi berakhir dengan baik dan kata sepakat diambil bahawa kajian ini layak digelar kajian PhD.

Tiada tempat lain saya tujukan kesyukuran melainkan kepada Tuhan. Malah, doa ibu bapa, saudara mara serta sahabat handai banyak menyumbang agar sesi tersebut berjalan dengan lancar. 

Ini adalah langkah pertama, dan masih banyak lagi langkah yang perlu saya tempuhi. Semoga saya diberi kekuatan agar tidak lalai, dan dikurniakan kesabaran agar saya dapat kecapi nikmat di akhir perjalanan kelak.

Perjalanan tahun kedua pun telah bermula....

Pemandangan dari Height of Abraham