Tuesday 12 February 2019

Pengajaran daripada Sky Castle

Bismillahirrahmanirrahim

Akhirnya, tamat juga menonton drama bersiri Korea yang benar-benar memberi tamparan hebat buat saya yang bergelar Ibu. Saya memang penggemar k-drama, tetapi sejak berumur kini (tapi masih muda), saya memilih untuk menonton drama yang benar-benar mengandungi pengajaran dan boleh memberi impak positif kepada diri saya sebagai penonton. Untuk k-drama yang bertajuk Sky Castle ini, it is highly recommended!

Image result for Sky Castle

Sky Castle merupakan nama bandar swasta mewah yang didiami oleh doktor, profesor dan keturunan elit . Ia dibina oleh presiden pertama universiti Joo Nam, yang merupakan universiti terbaik di Korea. Kebanyakan penduduk adalah doktor dan profesor sekolah undang-undang di universiti. Drama ini menerangkan semua selok-belok bagaimana bangsawan membuat anak-anak mereka masuk ke universiti tertinggi. Ia adalah drama yang yang memaparkan keinginan materialistik ibu bapa kelas atas di Korea, yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan anak-anak mereka mengikut kehendak ibu bapa yang mengejar nama, kuasa dan kedudukan tinggi.

Persoalannya, siapakah ibu yang wajar dijadikan contoh?

Ibu Yong Jae yang membunuh diri selepas mengetahui kebenaran bahawa anaknya ingin membalas dendam kepada ibubapanya yang memaksanya untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi doktor. Kebahagiaan yang dirasa apabila berita anaknya diterima masuk ke sebuah universiti bertaraf tinggi hanyalah sementara, kerana anaknya melarikan diri dan sengaja meninggalkan diari untuk ibunya tahu perasaanya selama ini.

atau

Ibu Yeh Suh yang menyembunyikan identiti diri dan sanggup membuat apa sahaja demi kejayaan anaknya tanpa mengambil kira kesan di sebalik tindakannya. Walaupun demikian, beliau adalah seorang ibu yang tidak mahu anak-anaknya mengalami kehidupan yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu. Akhirnya beliau menyerahkan semua bukti dan mengambil keputusan untuk berubah apabila menyedari bahawa kejayaan anaknya hanya akan bernilai di atas usahanya sendiri tanpa menipu atau menindas orang lain.

atau

Ibu Soo Hoon yang sering bersandar kepada kejayaan orang lain, berbangga dengan kedudukan dan mementingkan kecantikan hartanya berbanding perasaan anaknya sendiri. Tetapi, dia juga yang bersikap empati kepada masyarakat di sekelilingnya, dan tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada anaknya setelah anaknya cuba melarikan diri daripada rumah.

atau

Ibu Se Ri yang mempunyai ketegangan rumahtangga apabila mendapat tahu anaknya menipu diterima masuk ke Harvard, dan berselisih faham dengan suaminya yang hanya mementingkan gred  dan kedudukan yang tinggi. Dia memperjuangkan bahawa perasaan anak untuk merasa gembira adalah kebahagiaan yang tiada tandingannya, dan berjaya mengubah pandangan negatif suaminya.

atau

Ibu Woo Joo yang menyayangi anak tirinya seperti anaknya sendiri dan memberi kebebasan untuk anaknya membuat pilihan sendiri, malah berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan anaknya daripada tuduhan membunuh. Tekad untuk menyebarkan kebenaran sehingga dikhianati, tetapi bangkit semula di atas sokongan suaminya yang penyayang. Beliau juga menulis kisah yang berlaku di dalam Sky Castle supaya tidak berulang dan dijadikan pengajaran.

atau

Ibu Hye Na yang menyembunyikan rahsia sehingga ke akhir hayatnya apabila anaknya hanya mengetahui rahsia tersebut setelah ibunya meninggal dunia. Biarpun begitu, anaknya berbangga kerana mempunyai ibu sepertinya kerana kesusahan yang mereka hadapi sebenarnya menjadi sumber kekuatan untuk mereka meneruskan kehidupan.

atau

Ibu Kay yang ingin memindahkan penderitaan yang dialami kepada anak dan keluarga orang lain. Anaknya yang bijak telah berubah menjadi kurang upaya sebagai akibat daripada percubaannya untuk membunuh suaminya yang meminta cerai dan ingin hak penjagaan terhadap anak tersebut. Beliau juga merasakan bahawa orang lain perlu merasakan apa yang dirasa sehingga sanggup merosakkan banyak keluarga, dan akhirnya ditangkap atas semua jenayah yang dilakukannya.

atau

Ibu Kang Joo Soon yang tidak menyedari bahawa anaknya yang hampir mencecah umur 50 tahun tidak boleh membuat keputusan dan merasa kekosongan di dalam diri. Beliau masih lagi berada di takuk yang sama bahawa kedudukan dan kekuasaan adalah segalanya, sehinggalah kejadian yang menimpa anak dan cucu-cucunya membuka mata bahawa tindakanya adalah salah dan mementingkan diri sendiri.

Jawapan kepada persoalan di atas terletak pada penonton untuk mengambil pengajaran yang baik daripada k-drama ini. Kenapa watak ibu yang paling banyak diketengahkan? Ia bukan bermakna bapa tidak memainkan peranan dalam sesebuah keluarga. Tetapi ibu dilahirkan sebagai manusia yang sentiasa melebihkan anaknya berbanding dirinya sendiri.

Terpukul dengan kata-kata ini: "Mothers are the most selfish person in the world - Kim Joo Yong" bahawa betapa benarnya sikap mementingkan diri yang dimiliki oleh seseorang ibu bukanlah untuk diri mereka sendiri, tetapi untuk anak yang sangat disayangi. Tetapi sikap tersebut juga boleh membahayakan diri sendiri sekiranya tindakan yang diambil hanyalah akan menjadi sebuah penyesalan di akhir nanti. Sikap ini memerlukan rasional. sokongan keluarga dan juga kekuatan iman, hanya dengan ini, ibu mampu berfikir dengan baik sekiranya sesuatu terjadi kepada anak mereka.

Malah sebagai ibu, kata-kata ini benar-benar membuatkan saya berfikir dengan lebih mendalam: "Who cares whether they acknowledge you or not? I just want to be happy – Cha Se Ri" Anak-anak hanya mahu bahagia, gembira dan seronok dengan keluarga, bukanlah untuk dibanding-bandingkan atau dijulang atau dilemparkan pujian atau diberi kemewahan atau dipaksa melakukan sesuatu yang tidak disukai. Mereka punya suara yang perlu didengari dan dihormati. Tindakan yang anak-anak lakukan semuanya adalah hasil daripada didikan ibubapa. Benar bahawa iman dan ilmu tidak boleh diwarisi, tetapi sekurang-kurangnya ibubapa perlu berusaha untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak tanpa melakukan penindasan kepada orang lain.

"They (children) are not some tools that can fix your (a parent's) inferiority complex. They are not sandbags that you can use to vent your anger - No Seung Hye" Sangat benar! Anak bukan tempat untuk melepaskan kemarahan, bukan juga tempat untuk menutup kelemahan seseorang ibu atau pun bapa. Mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Sayang untuk disayangi. Hormat untuk dihormati. Biarpun anak-anak masih kecil, mereka mempunyai hak untuk dihormati dan disayangi.

Di akhir episod, "The greater your suffering, the greater your enlightenment - Hwang Woo Joo" Kata-kata ini tersimpul sebuah kebenaran bahawa dengan kegelapan barulah kita menghargai cahaya, dengan kesusahan barulah kita menikmati erti kesenangan, dan dengan penderitaan barulah kita mengenal sebuah kebahagiaan.

Saya akhiri dengan sedutan video di bawah dengan lirik lagu tema drama ini untuk direnungkan bersama.


We all lie.
tell you the truths
sometimes we laugh and easily lie.
Alright. it’s a.. it’s faker

Shout it out.
What you want for the world
Money, Honor, Beauty
Everything you want
Play with a mask to hide the truth
People cheat each other. right?

Is this really true?


Lima Kebenaran dalam Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim

Begitu cepat masa berlalu, dan kepentingan masa tiada siapa pun yang dapat menafikan. Malah, Allah telah bersumpah dengan masa. Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam keadaan yang merugikan, kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, saling menasihati dalam kebenaran, dan saling menasihati dalam kesabaran.

Entri kali ini merupakan nasihat yang dijadikan sebagai panduan dan peringatan buat diri saya. Terinspirasi daripada Aida Azlin yang berkongsi tentang 5 Life Truths that Soothed, Slapped and "Shookt" Me dalam Tuesday Love Letter pada hari ini, saya juga ada lima (dan mungkin lebih) kata-kata yang menjadi pegangan hidup yang dikutip daripada pengalaman sendiri dan orang lain.

Pertama: "Dengan harta kita mungkin kaya, tetapi dengan ilmu kita tidak akan papa kedana"

Ini adalah nasihat Ayah yang akan saya pegang sehingga mati. Allahummaghfirlahuwarhamhu. Akhir bulan ini genap dua tahun Ayah meninggalkan kami, tetapi wallahahi saya tidak pernah melupakan Ayah dan setiap bait kata-katanya yang penuh nasihat dan doa. Ayah bukan orang senang, malah dia tidak mewariskan harta buat kami adik beradik melainkan ilmu yang dia bekalkan buat kami. Alhamdulillah kami berlima diberikan pendidikan yang baik dan kami semua sedang berjuang menjadi anak yang baik kepada Emak yang masih ada untuk kami menabur bakti. 

Dengan ilmu, kita mungkin tidak kaya harta, tetapi cukuplah untuk meneruskan kehidupan tanpa mengemis di jalanan. Dengan ilmu, kita mungkin juga akan kaya, tetapi bukan untuk berbangga kerana hidup untuk memberi itu lebih bererti nilainya.

Kedua: "Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu layu"

Ketika remaja, emak suka menyebut kata-kata ini dan jiwa memberontak saya sering menjawab: "habis tu nak ikut apa?" Emak tidak menjawab secara langsung, walaupun dalam bebelannya itu terdapat jawapan untuk saya gunakan akal untuk berfikir. Hanya akal yang boleh menjinakkan hati, rasa, dan nafsu. Hanya akal yang bisa mengawal. Dewasa kini, barulah saya mengerti kerana hati sentiasa berbolak-balik, rasa pula sentiasa berubah-ubah, dan nafsu hanyalah keinginan yang diingini buat sementara. 

HAMKA telah pun berkata: "Hawa nafsu membawa kesesatan dan tidak berpedoman dan akal menjadi pedoman menuju keutamaan. Hawa nafsu menyuruh mengelamun, berangan-angan, tetapi akal membuat pertimbangan."

Ketiga: Baca, baca, dan baca

Membaca adalah jambatan ilmu. Saya jadikan membaca bukan sekadar hobi, tetapi ia perlu dididik menjadi rutin kehidupan. Ayah juga menjadi inspirasi untuk terus membaca, dan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjadikan rutin ini sebagai satu keseronokan untuk anak-anak saya pula. Usah kedekut untuk membeli buku baru, tetapi jangan pula menjadikan buku sebagai perhiasan semata-mata. 

Tetapi di samping membaca, banyakkan juga berdoa supaya apa yang dibaca itu menghasilkan ilmu yang bermanfaat, bukanlah ilmu yang memudaratkan. Sebagai pembaca juga, ilmu yang diperolehi adalah untuk sentiasa memperbaiki diri dan bukan untuk mencari kesalahan orang lain. Semakin meningkat umur, semakin kita perlu menilai buku mana yang perlu dijadikan bahan bacaan, kerana apa yang dibaca itu bakal menggambarkan diri kita.

Related image

Keempat: "Treat the way you like to be treated"

Jika diterjemahkan, ia berbunyi begini "layan orang lain seperti mana yang kamu suka dilayan". Saya masih berusaha untuk menghadamkan kata-kata ini dan mengamalkannya dalam kehidupan harian, sama ada di rumah bersama suami dan anak-anak, di pejabat dengan rakan sekerja, dan di kelas bersama anak murid, atau di mana-mana sahaja. Tidak dinafikan kadangkala kita akan bertemu dengan perkara-perkara (atau orang-orang) yang negatif, dan bagaimana kita berhadapan dengannya adalah sebuah latihan untuk kita sentiasa memandang positif dan memberi layanan yang baik.

Jika kita tidak suka dilakukan sedemikian, ubah cara kita berfikir, bercakap, dan bertindak.

Kelima: Berkejaran dalam melakukan kebaikan

Ia merupakan firman Tuhan di dalam Surat Al Baqarah ayat 148. Malah terdapat banyak ayat al-Quran yang menyuruh melakukan kebaikan. Walaupun demikian, ayat ini mengandungi perkataan kunci iaitu fastabiqu yang bermaksud berkejar, berlumba-lumba, dan bersegera untuk berbuat baik, melakukan kebaikan, menyebarkan kebaikan, menyuruh kepada kebaikan.

Perlumbaan ini adalah di antara akal, hati, dan nafsu, bukan untuk berlumba dengan orang lain. Ia adalah bertujuan untuk menyucikan jiwa dan mendidik hati untuk tunduk kepada arahan Tuhan dan menikmati arahannya dengan berlapang dada. Amalan untuk melakukan kebaikan disokong oleh banyak hadis-hadis Nabi SAW. Antara yang sering menjadi peringatan ialah hadis berikut: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." (Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 1893)

Selamat melakukan kebaikan!

Wallahua'lam