Wednesday 30 January 2019

Afeef dan Tadika Pertama

Bismillahirrahmanirrahim

Januari 2019 hampir berakhir, dan masa begitu cepat berlalu meninggalkan kita. Sukacitanya untuk saya kongsikan di sini bahawa Afeef telah pun masuk ke sebuah tadika berhampiran dengan rumah sejak 2 Januari 2019. Sehingga hari ini, Afeef masih menangis setiap pagi kerana pada hakikatnya dia masih menyesuaikan diri.

Afeef membesar di depan mata kami berdua dalam tempoh yang lama. Ketika di Birmingham, alhamdulillah kami bergilir-gilir menjaga Afeef di rumah dan dia didedahkan ke taska agak lewat ketika kami pulang ke Malaysia dan kami berdua terikat dengan 8 jam bekerja di pejabat. Afeef mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri di tempat baru. Dia hanya selesa dengan Ibu dan Ayah sahaja, tetapi apabila dia sudah mengenali seseorang, dia dah boleh bergaul dengan sangat mesra.

Di Taska pertama (Desa Anggerik), Afeef ambil masa hampir 3 minggu untuk tidak menangis setiap kali dihantar waktu pagi. Di Taska kedua (Salak Perdana), saya serahkan pada suami sebab cuti berpantang, dan Afeef masih juga menangis dalam sekitar dua-tiga minggu juga. Di Taska ketiga (Desa Jati & kemudian berpindah ke Kasturi Height), Afeef agak ok pada awalnya kerana ada adiknya, tapi lama kelamaan dia menangis juga setiap kali hantar pagi walaupun Afnan tidak pun menangis. Oleh yang demikian, saya dah pun menjangkakan yang Afeef akan mengambil masa yg agak lama untuk dia rasa seronok pergi ke sekolah.

Setelah 20 hari bersekolah, banyak perubahan positif yang boleh dilihat. Dia suka untuk ajak berkawan apabila jumpa kanak-kanak yang hampir sebaya dengan dia di mana-mana je. Dia mudah untuk diajak berbincang walaupun kadang-kadang dia sukar untuk ekspresi kemahuan dia. Dia banyak ingat apa yang dipelajari di sekolah dan mengulang-ngulang bacaan yang bermain dia minda dia bila-bila saja, dan di mana-mana saja. Dia masih cuba untuk ingat nama kawan-kawan baru dan mula rasa selesa. Dia dah kenal muka cikgu-cikgu dan boleh beri kerjasama. Dia boleh beri fokus yang agak lama pada sesuatu aktiviti di rumah.

Sebagai ibu, saya sangat berharap taska, tadika, dan sekolah adalah medan dia untuk menuntut ilmu dan bergaul dengan rakan-rakan. Ada perkara yang dia boleh belajar melalui buku dan permainan, dan ada juga perkara yang dia boleh belajar melalui pergaulan. Saya juga tidak bergantung sepenuhnya kepada guru untuk mendidik dia, kerana saya mempunyai peranan yang sangat besar untuk mendidik dan memberikan yang terbaik buat dia.

Tadika hanyalah permulaan sebuah perjalanan yang masih panjang. Semoga air mata dia yang mengalir sebelum pergi ke sekolah adalah perjuangan untuk dia ingati bahawa menuntut ilmu itu adalah sebuah jihad dan memerlukan pengorbana, dan semoga ia menjadi kekuatan untuk Afeef menjadi seorang yang berilmu dan berkhidmat untuk masyarakat pada suatu hari nanti.

Ibu sayang Afeef!


Wednesday 2 January 2019

Tahun Baru


Alhamdulillah
Tiga ratus enam puluh lima hari sudah berlalu pergi
Pahit manis turut dirasai
Masam masin juga telah dikongsi
Setiap detik yang berlalu sangat dihargai

Alhamdulillah
Untuk tahun baru ini
azam diperbaharui
yang masih belum dicapai teruskan usaha lagi
tetapi biarlah dengan satu tujuan murni
mengharap redha Ilahi

Alhamdulillah
atas semua nikmat kurniaan Maha Pemberi
kumohon agar sentiasa mensyukuri
biarpun ujian lautan berduri
semuanya mempunyai hikmah untuk direnungi
agar tidak lupa diri
atau bangga diri
kerana kita tiada apa melainkan dengan RahmahNYA

Alhamdulillah
Selamat tahun baru
biarpun ia sekadar angka
tetapi jangan biarkan angka itu pergi 
dengan sia-sia
tanpa sebarang makna

Bismillahitawakkaltu
Selamat tahun baru



Saadah Khair
2 Januari 2018
9.43 pagi
Bandar Baru Nilai