Wednesday 6 December 2017

Pengalaman Anak Berkhatan 1

Bismillahirrahmanirrahim

Ahad lalu, 3 Disember 2017, Alhamdulillah Afnan sempurna dikhatankan di dalam sebuah Majlis Berkhatan anjuran KRT Taman Gembira.

Niat untuk mengkhatankan Afnan ketika kecil sudah kami bincangkan beberapa minggu selepas Afnan dilahirkan. Saya juga sudah melakukan survey di beberapa buah klinik sekitar Nilai dan Bangi. Harga servis khatan bayi adalah sekitar RM250 - RM400. Atas sebab kos yang agak mahal ini, kami hentikan diskusi khatan ini buat sementara waktu.

Secara kebetulan ketika kami pulang ke Johor Bahru, ada majlis khatan yang akan diadakan. Saya nyatakan hasrat kepada suami dan emak. Mereka bersetuju. Tapi yang paling kuat menyokong hasrat ini adalah Emak kerana pada pandnagannya ia lebih baik untuk lakukan sekarang kerana Afnan masih belum pandai memusing badan sendiri. Sekiranya Afnan sudah aktif, tentunya agak sukar untuk penjagaan selepas khatan nanti.

Alhamdulillah doktor yang berkenaan juga setuju, dan Afnan adalah peserta termuda dan terakhir akan disunatkan dari 16 kanak-kanak lelaki di Taman Gembira. Harga yang dikenakan juga sama dengan peserta lain iaitu RM50 seorang, dan ianya adalah kos yang murah buat saya. Kos tersebut murah kerana majlis tersebut mendapat tajaan beberapa pihak. Semoga Allah merahmati mereka semua.

Pada awalnya saya tidak gugup, cuma masa untuk menunggu giliran yang terakhir adalah sangat memenatkan. Terdengar juga suara jeritan dan tangisan kanak-kanak yang berkhatan. Rata-rata umur mereka adalah sekitar 6 hingga 8 tahun. Dan apabila tiba saat yang ditunggu. Saya mula rasa gelisah.

Saya biarkan suami memegang Afnan, dan saya pula bersedia untuk mengambil gambar dan video untuk simpanan peribadi kami buat kenang-kenangan. Afnan pada awalnya senyum dan beramah mesra, tetapi mula menangis apabila menerima suntikan bius. Teknik clamp yang hendak digunakan tidak sesuai memandangkan saiz kelamin bayi yang kecil. Lalu doktor membuat keputusan untuk menggunakan teknik biasa (tradisional).

Afnan menangis. Darah juga banyak. Saya tidak sanggup melihatnya menangis sebegitu. Tangisan Afnan tersedu-sedu. Air matanya juga keluar. Saya berdoa di dalam hati agar dipermudahkan semuanya dan berakhir dengan cepat. Tangan saya hampir menggigil ketika merekodkan suasana itu dan saya tidak sanggup lagi. Saya matikan telefon, dan terus meluru ke aras suami dan mengantikan dia memegang tangan anak kecil itu.

Saya mahu angkat dia saat itu juga, tapi doktor masih belum selesai lagi. Ya Allah, hati saya luluh apabila Afnan menangis dan seolah-olah berkata "Sakit. Tolong saya Ibu." Saya gesa doktor agak mempercepatkan urusannya. Dan setelah selesai, saya angkatnya, memeluknya kuat dan terus menyusukan dia. Dia masih menangis sambil menyusu. Dia hampir kehilangan suara ketika meraung kesakitan. Dia sangat lemah dan sangat memerlukan saya.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan yang bercampur-campur ini. Ada juga rasa menyesal kerana saya lupa bersedia dari aspek mental bahawa Afnan akan kesakitan. Saya hanya bersedia memikirkan ianya mudah untuk menjaga kesihatan fizikal Afnan, tetapi saya lupa emosi dia biarpun dia masih bayi. Yang penting, saya bersyukur proses tersebut sudah selesai, dan tanggungjawab saya untuk menjaga Afnan sehingga dia sembuh dengan baik secara keseluruhan.

Surau Taman Gembira, Johor Bahru

menunggu dengan riang

tidur dalam kesedihan, selepas dikhatankan dalam perjalan pulang ke sepang


Alhamdulillah hari ini adalah hari ketiga selepas Afnan dikhatankan. Alat sulitnya semakin baik, dan dia tidak lagi menangis seteruk hari kejadian. Tahniah Afnan sayang! Anda adalah hero sejati Ibu. Afnan juga sudah mula bersekolah dan pemerhatian cikgu taska nya sangat diperlukan dan dihargai.

Saya letakkan nombor 1 pada tajuk entri ini adalah kerana pengalaman kedua bakal menyusul dua atau tiga tahun akan datang. Tidak dapat bayangkan bagaimana reaksi Afeef nanti kerana antara kegemarannya ialah menangis dan amat pandai buat-buat menangis. hehe. Moga Allah permudahkan.

Inilah ragam mempunyai anak lelaki. Alhamdulillah!

Semoga kalian menjadi Muslim sejati, Mujahid cemerlang, dan Mukmin yang sentiasa mencari keredhaan Allah!

AMIN

Friday 24 November 2017

Afnan, disebut dalam Surah al-Rahman

Bismillahirrahmanirrahim

Salam Jumaat buat semua. Alhamdulillah atas segala nikmat yang Allah berikan, kerana setiap nikmat tersebut tidak mampu kita dustakan..


Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?

Ayat di atas disebut berulang-ulang kali sebanyak 31 kali di dalam Surah al-Rahman. Tujuan ia diulang-ulang adalah sebagai peringatan kepada manusia yang sering lupa akan nikmat yang telah Allah berikan. Antara nikmat besar yang Allah kurniakan ialah seorang anak, zuriat ataupun cahaya mata. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya dua cahaya mata, Afeef dan Afnan.

Seorang rakan saya bertanya, kenapa saya jarang berkongsi tentang Afnan di media sosial berbanding Afeef?

Saya terkedu. Benarkah? 

Afnan adalah cahaya mata saya kedua. Kehadirannya tidak dijangka dan hanya di dalam perancangan Allah semata-mata. Berbeza dengan Afeef sebagai cahaya mata pertama yang sangat kami nantikan selepas dua tahun berumahtangga. Afeef lahir selepas kami menyambut ulangtahun perkahwinan yang ketiga. Biarpun Afeef adalah pengalaman pertama, banyak perkara baru yang saya lalui dalam mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Afnan menjadi pengalaman pertama buat saya.

Memilih nama Afnan juga adalah saat-saat akhir, tidak seperti Afeef yang sudah kami panggilnya sejak dia dalam kandungan 7 bulan lagi. 9 bulan dalam kandungan, barulah saya temui nama Afnan dan suami juga bersetuju. Afnan dipilih agar jadi kekuatan untuk menemukan pohon dan daunan segar di dalam syurga seperti yang dinyatakan di dalam sebuah surah di dalam al-Quran.


ذَوَاتَا أفْنَانٍ

Afnan disebut dalam ayat ke 48, surah al-Rahman. Ia adalah gambaran di dalam syurga seperti dinyakan di dalam sebuah Tafsir seperti berikut:

The Arabic word afnan is the plural of fanan denoting:
"fresh branch"
and also "kind, type." The word may connote both senses in the blessed Verse 48, namely it may refer to fresh branches of trees in Paradise which are unlike trees in this world which may have old, dead, or fresh branches and it may also make a reference to the diversity of Blessings in Paradise.
Both applications are accurate, though the trees in Paradise might be different in that one single tree might have different branches with different kinds of fruit.


Di dalam syurga kelak, semua pohon adalah segar, hijau, daunnya tidak akan gugur, dan pokoknya akan kekal dan tidak mati. Itulah gambaran "Afnan" yang disebut di dalam al-Qur'an.


Lalu, Afnan saya adalah eksklusif. Secara kebetulan saya tidak mahu berkongsi tentangnya kerana Afnan adalah istimewa. Seorang cahaya mata yang membawa saya ke syurga suatu hari nanti insyaAllah.. dan ini adalah jawapan kepada rakan saya yang bertanya (yang tidak mampu saya jawab pada ketika itu).

Saya berdoa agar Allah permudahkan jalan kehidupan Afnan dan Afeef bermula sejak bayi dan jika diizinkan Allah sehingga mereka besar kelak. Saya berdoa agar saya dapat jalankan tanggungjawab saya sebaiknya dalam mendidik dan membesarkan mereka. Saya berdoa agar Allah dapat menerima amalan sedikit saya untuk saya bertemu semula anak-anak ini di syurga kelak. Saya berdoa agar mereka sentiasanya menjadi penyejuk mata dan hati buat saya dan suami, dan doa mereka menjadi bekalan ketika kami meninggal dunia kelak.

AMIN 
AMIN
AMIN




p/s: Kini saya berkongsi perihal Afeef dan Afnan di dalam Instagram yang terhad kepada ahli keluarga sahaja.


Thursday 23 November 2017

Keputusan

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini adalah hari di mana keputusan UPSR akan diumumkan. Tiga orang anak saudara saya menduduki UPSR pada tahun ini, dan saya belum tahu keputusan mereka. Walau apapun keputusan yang diperolehi, saya ucapkan tahniah dan syabas atas segala usaha yang telah diberikan. 

Apabila kakak saya menyuarakan bahawa dia rindu Ayah pada hari ini, kerana Ayah adalah seorang yang sangat meraikan kejayaan cucu-cucunya. Saya teringat Ayah dan reaksi beliau pada hari keputusan UPSR saya diumumkan. Ia berlaku dua puluh tahun yang lalu..

Ayah adalah guru besar di sebuah sekolah rendah, tempat yang sama saya dan adik bersekolah. Sebagai guru besar, Ayah mempunyai hak dan tanggungjawab untuk mengambil keputusan untuk semua pelajar pada hari tersebut. Saya ada bersama-sama beliau pada hari tersebut. Saya berdoa untuk mendapat keputusan yang baik bukan kerana saya, tetapi kerana Ayah. Kerana Ayah adalah guru besar. Sejujurnya, saya tidak buat yang terbaik. Saya tidak tahu kepentingan peperiksaan buat masa itu. Saya ada sedikit merasakan tertekan kerana perlu belajar untuk dua peperiksaan: UPSR dan UPSRA.

Wallahi, pada hari berkenaan, kematangan saya yang sedikit itu membuatkan saya terfikir... Adakah Ayah akan merasa malu atau bangga dengan keputusan yang saya perolehi. Ayah juga orang yang mengumumkan keputusan itu kepada saya. Saya adalah orang yang pertama tahu keputusannya berbanding kawan-kawan yang lain. Saya menangis. Bukan kerana saya, tetapi kerana memikirkan reaksi Ayah apabila ditanya oleh para guru dan kawan-kawan beliau.

Akan tetapi, Ayah tidak pernah marah. Malah mengucapkan tahniah. Keputusan saya tidak begitu baik. Sehingga kini saya masih tidak tahu apa perasaan Ayah pada hari keputusan diumumkan dua puluh tahun lalu. Sehingga kini juga, masih ada rasa bersalah kerana tidak lakukan yang terbaik untuk Ayah. Biarpun saya tidak membanggakan Ayah dengan keputusan saya, tetapi saya berharap suatu hari nanti dia merasa bangga kerana mendidik saya dengan baik sehingga hari ini.

Peringatan untuk saya untuk tahun-tahun yang bakal datang, agar tidak mengukur kejayaan Afeef dan Afnan hanya melalui keputusan peperiksaan yang dia perolehi. Kejayaan itu terlalu subjektif untuk diukur dengan A, B, C atau D. Belajarlah dengan baik. Hiduplah untuk belajar, dan teruskanlah belajar untuk hidup. Kalian tetap kebanggaan ibu selamanya.

Semoga Allah merahmati Ayah
mengampunkan Ayah
dan menempatkan Ayah di Syurga tertinggi yang abadi..

There's two possible outcomes: if the result confirms the hypothesis, then you've made a discovery. 
If the result is contrary to the hypothesis, then you've made a discovery. 
- Enrico Fermi

Wednesday 20 September 2017

Cuti Bersalin

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah saya masih dalam tempoh cuti bersalin. Berpantang dah lama habis dan hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa nikmatnya duduk di rumah, membelai anak, mengemas rumah, memasak setiap hari tanpa memikirkan hal kerja mengajar dan pejabat.

Setiap pekerja kerajaan diberi tempoh 300 hari untuk cuti bersalin yang diperuntukkan untuk lima anak sahaja. Oleh itu, mereka mempunyai pilihan untuk mengambil cuti dua bulan (enam puluh hari) atau tiga bulan (sembilan puluh hari) bergantung kepada jumlah anak masing-masing. Memandangkan saya belum pernah mengambil cuti bersalin (kerana Afeef dulu dalam tempoh cuti belajar), saya memilih cuti tiga bulan dan masih ada baki dua minggu sebelum saya masuk semula bekerja.

Dalam cuti begini, ada lah juga masa untuk saya menulis blog dan membaca ruangan blog sahabat-sahabat yang lain. Secara jujurnya, semenjak ada fb dan instagram, tulisan di blog semakin berkurangan kerana ia lebih mudah berkongsi sekeping dua gambar sebagai kisah peribadi. Bukankah 'picture speaks louder than words'? Tetapi menulis sebenarnya mengasah minda dan kemahiran agar lebih berhati-hati mengeluarkan kata-kata, kerana kata-kata seseorang itu boleh melambangkan peribadinya.

Menyebut tentang cuti bersalin, saya amat bersyukur kerana mempunyai pilihan 3 bulan kerana tempoh ini adalah crucial moment untuk mengikat satu hubungan antara ibu dan anak sebelum dia ditinggalkan di rumah pengasuh. Ada beberapa rakan saya yang mengambil cuti tiga bulan dan menyambung tiga bulan lagi (tanpa gaji) sehingga enam bulan untuk menjaga anaknya. Saya teringat jiran ketika di Birmingham dahulu, pekerja boleh mengambil cuti selama setahun (52 minggu) sebagai maternity leave dan akan dibayar gaji penuh selama 6 bulan.

Sebelum cuti bersalin saya tamat, saya perlu biasakan bayi menggunakan botol dan membuat stok susu untuk kegunaanya. Ia agak sukar buat Afnan kerana saya memperkenalkan puting botol agak lambat berbanding Afeef dahulu. Ia sangat membimbangkan, memandangkan saya masih belum jumpa pengasuh atau taska yang sesuai untuk Afnan. Ini adalah dilema besar buat ibu yang bekerja. 

Waktu pam susu. Jagaan susu ketika di pejabat. 
Pengasuh yang mahir mengendalikan susu badan.
Khuatir tidak cukup susu.
Perubahan badan kerana susu.

Semuanya hanyalah susu dan anak yang disusukan.

Tommee tippee & NUK teats yang tidak berjaya
Medela calma teat yang boleh diterima sedikit tapi mengambil masa
Semoga saya berjumpa dengan pengasuh yang baik yang boleh menjaga Afnan ketika 8 jam waktu bekerja, dan Afnan boleh memberi kerjasama mengunakan botol dalam tempoh tersebut sahaja.

Semoga masa berjalan dengan perlahan sebelum cuti bersalin saya tamat sepenuhnya...



Thursday 7 September 2017

Bersalin di dalam dan luar negara




Catatan kali ini merupakan pandangan dan pengalaman peribadi setelah merasai dua pengalaman yang berbeza: melahirkan anak di dalam dan luar negara. Anak sulung saya dilahirkan di Birmingham Women's Hospital, UK dan anak kedua saya dilahirkan di Hospital Putrajaya, Malaysia.

Image result for women's hospital in birmingham
Birmingham Women's Hospital (sumber gambar dari SINI)

Hospital Putrajaya (gambar peribadi)

1. Pendaftaran Hospital

Pilihan untuk hospital boleh dibuat ketika pemeriksaan kandungan, dan saya memilih Hospital Putrajaya kerana jaraknya yang lebih dekat daripada rumah berbanding hospital yang lain. Saya tidak memilih FPP (full patient payment) untuk mendapat layanan lebih esklusif seperti hospital swasta kerana saya mahu mendapat pengalaman di hospital kerajaan sebagaimana di Birm dulu. Di sana, hospital terlalu dekat dengan rumah dan saya tidak perlu memilih hospital lain. 

2. Pakaian Hopital

Di Malaysia, pakaian hospital berwarna pink disediakan dan ditukar setiap hari. Saya menyesal kerana tidak bertanya kepada kakak ataupun kawan kerana saya membawa baju yang banyak sebagai persalinan di hospital. Pakaian hospital tidak disediakan di UK dan anda bebas memakai apa sahaja mengikut keselesaan masing-masing.

3. Staf Hospital (Lelaki dan Perempuan)

Tentunya staf wanita adalah lebih banyak di kebanyakan hospital mahupun di Malaysia atau di UK. Kebetulan, ketika saya masuk wad di Birm dua tahun lalu, staf yang menyambut saya ialah lelaki dan saya meminta jasa baik beliau untuk menukar kepada staf wanita atas alasan agama. Alhamdulillah mereka memahami dan tiada masalah selepas itu. Tetapi doktor yang melakukan c-sec ialah lelaki. Alhamdulillah di Putrajaya, saya berhadapan dengan semua staf dan doktor wanita termasuklah ketika c-sec. Doktor lelaki hanyalah staf yang berjaga malam ketika hari pertama saya ditahan wad dan saya boleh menjaga aurat saya dengan baik.

4. Bilik wad

Mengikut kelayakan jawatan, saya sepatutnya boleh mendapat 1 bilik dua orang untuk lebih selesa, tetapi sayangnya wad penuh dan bilik saya dimuatkan untuk 4 orang. Tetapi ini adalah pengalaman yang sama juga ketika di Birm dahulu. Di Birm, saya diubahkan ke wad yang berbeza hampir 4 kali dan dapat merasa pengalaman yang berbeza. Ini adalah kerana tempoh saya di hospital Birmingham adalah selama 6 hari berbanding 3 hari sahaja di Putrajaya.

5. Makanan Hospital

Di Malaysia, tiga kali makanan dihidangkan: sarapan, makan tengahari dan malam. Makanan berat selalunya bubur setiap hari berserta lauk yang berbeza-beza samada ikan atau ayam, dan kesemua makanan dihantar kepada pesakit. Sama juga di Birm, tiga kali hidangan tetapi setiap hari adalah berbeza dan disediakan dessert yang enak belaka. Sebagai contoh: pasta, macaroni cheese, fish fillet, dan saya memilih makanan untuk vegetarian. Alhamdulillah tiada isu tidak halal, cuma pesakit perlu mengambil makanan sendiri dan memulangkan pinggan kotor ke tempat asal.

Bubur adalah menu utama di hospital putrajay tetapi lauknya bertukar-tukar

Antara contoh makan malam di Birmingham: menu adalah berbeza pada setiap waktu makan

6. Caj Hospital

Tiada caj yang dikenakan ke atas saya mahupun di Putrajaya ataupun Birm. Ini kerana saya mempunyai GL (guarantee letter) sebagai pekerja kerajaan, dan visa yang sah sebagai pelajar universiti di Birmingham. 


7. Rawatan Susulan selepas Discaj

Beberapa ubat diberikan selepas discaj daripada hospital termasuklah ubat tahan sakit, paracetamol dan lain-lain di Putrajaya dan Birm. Tetapi pengalaman c-sec yang pertama di Birm, saya diberikan ubat cucuk cairkan darah dan suami menjadi doktor sementara untuk menyuntik saya di bahagian perut selama sebulan. Ubat ini tidak diberikan kepada saya selepas discaj dari hospital putrajaya kerana menurut doktor yang bertugas, ia tidak perlu.

8. Jururawat datang ke rumah

Di Birm, ada midwife bertugas yang datang ke rumah untuk menimbang berat bayi dan melihat luka kesan c-sec serta bertanya sekiranya terdapat masalah. Seingat saya, ada beberapa hari sahaja yang dia akan datang pada hari yang berbeza. Saya sangkakan ianya sama di Malaysia, rupa-rupanya jururawat akan melawat ke rumah sebaik sahaja discaj sehinggalah hari ke sepuluh, seterusnya hari ke-15 dan hari ke-20. Dan semua rekod dicatat di dalam buku khas.


Saya akui kedua-dua pengalaman ini memberi rasa yang berbeza. Ada yang lebih baik dan ada juga yang sama sahaja. Kesimpulannya ia terletak kepada kita yang boleh menerima kekurangan dan kelebihan antara satu sama lain. Saya melihat bahawa perkhidmatan hospital di Malaysia semakin baik dan tiada lagi jururawat yang dilaporkan memberi layanan negatif kepada pesakit seprti dahulu. Alhamdulillah saya berhadapan dengan mereka yang sangat positif dan baik hati. Sama juga ketika di Birm dahulu, mereka semuanya baik dan sangat membantu apabila saya langsung tidak mempunyai pengalaman melahirkan anak. Untuk anak yang kedua ini, saya lebih bersedia dan menggunakan pengalaman lalu sebagai petunjuk.

Untuk yang ketiga nanti, jika ada rezeki lebih, saya mahu merasa bersalin di hospital swasta pula untuk melihat apa pula perbezaan di hospital kerajaan dan swasta. InsyaAllah tiga tahun lagi! hehe..


Friday 11 August 2017

Cahaya Kedua

Alhamdulillah

Dengan Nama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang Menghidupkan dan Mematikan. Tidak dilahirkan dan Tidak melahirkan. Syukur ke hadrat Tuhan atas setiap nikmat yang diberikan.

Afnan sudah pun genap sebulan. Saya melahirkan anak yang kedua pada sebelas Julai yang lalu. Sudah lama mahu berkongsi berita gembira ini di sini sebagai catatan peribadi tapi masa yang sesuai baru tiba pada hari ini. Pengalaman kali ini cukup berbeza tetapi pengalaman mendapat cahaya mata adalah pengalaman yang sentiasa membahagiakan. 

Semoga cahaya yang kedua ini lebih menyinari kami sekeluarga.
Semoga cahaya yang kedua memberi rezeki dari setiap sudut yang berbeza.
Semoga cahaya yang kedua ini membuat kami sekeluarga lebih bersyukur kepada Yang Esa.

Afnan nama diberi, adik kepada Afeef yang suci.

Alhamdulillah atas nikmat ini...

hari ketujuh :)

Wednesday 31 May 2017

Ayah: Pemergian yang diredhai

Bismillahirrahmanirrahim

Lama saya meninggalkan blog ini bersawang. Lama juga saya menyusun jari dan kata-kata untuk menulis entri kali ini. Lama saya berfikir agar apa yang saya tulis pada kali ini adalah untuk mengimbau kenangan pada masa akan datang. Lama juga saya terdiam agar emosi dapat dikawal ketika menulis tentang seseorang yang amat disayangi tetapi Allah lebih menyayanginya...

Tanggal 20 Mei 2017, tarikh itu genap kandungan saya berusia 32 minggu bersamaan 8 bulan. Sabtu minggu ini saya dan suami merancang untuk berehat di rumah memandangkan setiap hujung minggu yang lepas kami berada di tempat lain. Alhamdulillah dapat mengemas rumah dan memasak. Hari tu saya masak ayam goreng berlada kerana tekak teringin yang pedas-pedas dan panas-panas. Setelah seharian di rumah, petang itu kami pergi ke kedai berdekatan untuk membeli air minuman dan sedikit cemil-cemilan. Saya mencari cendol di JB minggu lepas tapi tak berjumpa, Alhamdulillah ada rezeki berjumpa cendol dan suami juga belikan aiskrim sebab saya menyebut mahu makan aiskrim malam tadi. Tetapi saya dapat panggilan video daripada adik.

Panggilan itu memfokuskan kepada wajah Ayah yang sedang menahan kesakitan. Kelihatan dua kakak saya, adik dan beberapa anak saudara sedang mengerumuni Ayah. Kakak tidak berhenti menyebut nama Allah. Adik juga tidak berhenti melafazkan doa-doa buat Ayah. Mereka dalam proses untuk menukarkan lampin pakai buang Ayah kerana najis sudah bercampur dengan darah. Seorang anak saudara gigih membawa handphone ke sana ke mari untuk saya lihat Ayah dari pelbagai sudut. Saya lihat wajah kerisauan Emak. Saya lihat usaha gigih adik beradik saya untuk pastikan Ayah dalam keadaan bersih tanpa menyakiti Ayah. Saya lihat juga mesin pengukur bacaan darah tidak boleh dibaca kerana keadaan kritikal Ayah. Air mata saya menangis laju. Saya berdoa saat itu juga saya terbang ke Johor Bahru untuk memeluk Ayah dan membantu apa yang perlu.

Adik saya menyebut zikir dengan semakin kerap. Air mata saya juga semakin kerap membasahi bumi. Saya katakan kepada Ayah untuk tunggu kepulangan saya. Mata Ayah terpejam. Mulutnya berkumat-kamit, dan saya yakin bahawa zikir di bibir Ayah itu tidak pernah berhenti. Mereka mencuba lagi untuk memeriksa bacaan tekanan darah tetapi gagal. Hati saya sudah tidak sedap. Merayu-rayu saya katakan kepada suami untuk pulang ke Johor Bahru pada malam ini, dan dia setuju tanpa berfikir panjang lagi. Panggilan video sudah tamat, tetapi kerisauan saya masih hebat. Saya berdoa agar Allah permudahkan segalanya. Saya juga berdoa jika masih diberi kesempatan waktu, izinkan untuk saya bertemu Ayah sebelum dia pergi. Berbeza perasaan ini bila mana melihat wajah yang disayangi di alam nyata dan dunia teknologi.

Kami pulang ke rumah, hilang selera saya untuk menikmati cendol dan aiskrim yang dibeli. Suami saya membantu melayani Afeef dan saya panaskan semua makanan baki siang tadi untuk dihabiskan sebelum pulang ke Johor agar tidak terbazir begitu sahaja. Aiskrim yang suami beli masih ada lagi di peti ais sehingga kini. Hati saya belum terbuka untuk menjamahnya kerana masih terbayang suara dan wajah ayah menahan kesakitan.

Usai solat mahrib, saya mengemas beg untuk pulang ke Johor. Adik saya mesej: "Ayah nazak, pulang ke Johor sekarang." Saya terkelu dan mempercepatkan lagi proses mengemas. Suami beri arahan untuk bawa baju lebih sebab sekirannya ada apa-apa yang terjadi, kita sudah bersedia untuk duduk di Johor lebih lama sedikit. Kemudian telefon saya berdering, adik dengan sekali lafaz menyebut Ayah sudah meninggal dunia. Innalillahiwainnailaihiraji'un.....

Diceritakan oleh adik saya bahawa Ayah dibawa ke KPJ selepas maghrib dan dibawa ke wad kecemasan. Ayah pergi dengan tenang setelah diperiksa oleh doktor pada jam 9.02 malam. Ayah pergi disaksikan oleh adik dan emak di hospital tersebut. Adik saya pesan agar tidak terburu-buru pulang dan jenazah akan dikebumikan pada Ahad pagi. Alhamdulillah kami sekeluarga tiba di Johor Bahru jam 1.30 pagi.

Minggu lepas pada cuti hari wesak, saya pulang ke Johor Bahru dan mengambil cuti untuk tinggal lebih lama. Sejujurnya saya cemburu dengan abang, kakak2 dan adik saya yang boleh mneyantuni Ayah sepanjang masa kerana mereka tinggal d Johor Bahru. Saya rasakan hari-hari yang berlalu dengan melihat Ayah di depan mata sangat bermakna, Saya berpeluang menyalinkan lampin Ayah, memberikannya susu, mengambilkan wudu' dan solat bersama-sama, membaca Qur'an di sebelahnya, memberi respon dengan segera jika dia mahukan sesuatu, dan ia adalah satu peluang yang sangat berharga. Saya tidak mampu membalas semua jasa dan kebaikan Ayah membesarkan kami semua dan wallahi Ayah adalah seorang yang sangat mengambil berat ketika anaknya sakit, sesiapa sahaja, pasti akan dibawa ke klinik, dijaga dan dipastikan bahawa anaknya itu kembali sihat seperti biasa.

Terbayang-bayang Ayah yang sedang menyapu ubat chickenpox di belakang badan saya ketika saya Tingkatan 3, Ayah yang mengangkat saya tidur di dalam kereta kerana demam dan dibawa masuk ke dalam rumah, Ayah yang menemani saya berjumpa doktor di klinik, Ayah yang membelikan apa yang diingin oleh anaknya ketika mahukan sesuatu, dan saya tidak mampu menyebut satu persatu jasa dan pengorbanan seorang Ayah.

Pernah beberapa kali saya bisikkan kepada Ayah untuk tunggu anak yang saya kandung ini lahir. Cucunya yang ke empat belas. Saya pernah tanya kepada Ayah untuk memberikan nama kepada anak ini, tetapi Ayah hanya menyebut akan difikirkan nanti. Akhirnya cucu ini tidak berpeluang bertemu Atoknya... Tetapi saya tidak akan jemu untuk bercerita tentang Ayah kepada anak-anak saya suatu hari nanti.

Kata kakak saya, Ayah tidak pergi, tetapi Ayah kembali kepada Ilahi. Ayah bertemu Pencipta di Negeri Abadi. Dunia ini hanyalah sementara dan kematian itu sesuatu yang pasti. 

Saya redha dengan pemergian Ayah. Saya redha bahawa Allah telah tetapkan sesuatu dengan begitu sempurna. Hari-hari yang Ayah diuji adalah untuk meringankan apa sahaja yang Ayah akan alami di alam kubur dan akhirat nanti. Allah lebih menyanyangi Ayah dan kami yang tinggal ini akan tetap menyayangi Ayah hingga ke akhir hayat kami..



Allahummaghfirlahuwarhamhuwa'afihiwa'fu'anhu..
Allah, ampunilah Ayah, rahmatilah Ayah dan tempatkanlah Ayah dikalangan mereka yang beriman dan beramal solah. Kurniakanlah Ayah darjat yang tinggi dan syurga yang menanti. Permudahkanlah Ayah untuk bertemu Kau di akhirat nanti dan temukanlah kami sekeluarga kembali di syurga kelak InsyaAllah...

Amin
Allahumma Amin..

Tuesday 30 May 2017

Sanah Helwa Afeef!

Alhamdulillah!


Semoga panjang umur dalam kebaikan anakku
Semoga sentiasa mendapat rezeki yang halal
Semoga membesar dengan Iman, Ilmu dan Ihsan
Semoga berjaya di dunia dan akhirat dan menjadi seseorang yang berguna
InsyaAllah
Aminn ya Rabb

Wednesday 15 March 2017

Bahasa Anak Kecil

Bismillahirrahmanirrahim

Cepat betul masa berlalu, Afeef semakin membesar dan bakal mencecah umur dua tahun pada bulan Mei ini. Dia juga bakal menjadi abang kepada adiknya yang bakal lahir pada bulan Julai insyaAllah. Melihat Afeef membesar adalah satu anugerah dan nikmat yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat menjadi ibu tetapi penuh tanggungjawab untuk menjaga sebuah Amanah.

Afeef kini sudah pandai bermain emosi. Dia merajuk, marah, memberontak, dan dalam masa yang sama suka bergurau, ketawa, dan pandai mengambil hati. Dalam erti kata lain, dia mahu mengekspresi perasaan yang dia ada melalui perbuatannya. Perbuatannya kini adalah bahasa yang dia tuturkan sebelum benar-benar pandai berkata-kata. Ada beberapa perkataan yang sudah mula melekat di mindanya, tetapi dengan bahasa tubuh lah dia mampu meluahkan perasaan dia.

Sebagai ibu, saya risau sekiranya dia lebih menonjolkan bahasa tubuh yang negatif (contohnya marah) berbanding bahasa tubuh yang positif. Saya akur bahawa ini juga adalah proses pembelajaran saya untuk memahami bahasa Afeef. Dia masih keliru dengan bahasa yang saya tuturkan dan saya tidak faham bahasa tubuh yang cuba diluahkan Afeef. Saya masih belajar untuk memahami kehendaknya.

Bagi saya, ini adalah salah satu cabaran membesarkan anak dalam memberi didikan yang positif. Ada kalanya ada juga perasaan marah kerana kami tidak memahami antara satu sama lain, tapi saya kuatkan diri untuk bersabar kerana ini adalah proses pembelajaran buat kami sekeluarga.

Anak kecil ibarat kain putih, saya sebagai ibu perlu bersikap dan bertindak positif agar apa yang mahu dia corakkan di atas kain putih tersebut menjadi satu imej yang cantik dan disukai ramai.

Semoga Allah permudahkan urusan saya dan suami dalam mendidik anak agar dia menjadi lebih baik daripada kami, dan kami juga sentiasa cuba untuk memperbaiki diri.

Semoga Afeef menjadi anak soleh dan musleh, penyejuk hati Ayah dan ibu, berjaya dunia akhirat dan sentiasa di bawah perlindungan dan rahmat Allah.


Wednesday 1 February 2017

Ayah: Harapan dan Doa

Bismillahirrahmanirrahim

Entri kali ini bakal dipenuhi dengan pelbagai emosi demi mencatat kehidupan seorang insan yang sangat dihormati dan disayangi: AYAH.

Umur Ayah bakal mencecah 78 tahun pada 16 Febuari ini. Cepatnya masa berlalu, hari ini sudah pun awal Febuari 2017. Sebulan sudah pun berlalu, masih ada lagi sebelas bulan berbaki untuk untuk memperbaiki diri dan mencipta memori. 

Telah ditakdirkan Allah bahawa kesihatan Ayah semakin merosot pada akhir tahun lalu. Kakinya sudah tidak kuat. Perutnya sentiasa tidak selesa. Badannya tidak segagah dahulu. Biarpun begitu, senyumnya masih sama. Suaranya masih lunak didengari. Setiap kata-kata yang keluar daripada mulutnya masih penuh dengan nasihat dan ucapan yang baik-baik. Masih ada ruang untuk dia bergurau senda dengan cucu-cucunya. Masanya digunakan untuk membaca Qur'an dan buku-buku. Tidak pernah disia-siakan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Makannya hanya sedikit dan kopi tetap menjadi pujaan seperti dahulu.

Tongkat sudah menjadi teman baik Ayah. Rumah adalah tempat terbaik untuk dia beristirehat. Tidak mahu lagi ke sana sini jika tanpa tujuan yang penting. Ke hospital juga tidak mahu kerana dianggap tiada apa yang serius, sehinggalah rancangan memujuk Ayah berjaya pada hari semalam, 31 Januari 2017. Doktor mengesahkan bahawa sakit perut Ayah disebabkan oleh ketulan kecil yang terhasil daripada Apendix yang pecah, dan ketulan tersebut bakal membesar jika tidak dirawat dengan segera. Keputusan juga telah dibuat untuk menjalankan pembedahan dengan segera. Alhamdulillah pembedahan berjaya selama dua jam lebih yang berakhir pada jam dua pagi tadi.

Tuhan sahaja yang tahu perasaan ini apabila hanya saya sahaja yang tinggal di luar Johor. Saya baru pulang Sabtu lepas dan kembali semula ke Sepang pada Isnin baru-baru ini. Saya juga tahu  pemeriksaan Ayah akan dijalankan pada hari Selasa tetapi tidak dijangka pembedahan akan dilakukan secepat ini. Dari jauh saya kirimkan doa, walaupun hati saya tidak tenang, emosi saya bercampur-campur dan fikiran saya melayang jauh. Fizikal saya di sini, tetapi hati saya di sana untuk melihat wajah Ayah. Alhamdulillah ada adik yang sering membuat panggilan video dan boleh melihat Ayah secara langsung. 

Bulan ini adalah bulan harapan dan doa.
Harapan agar kesihatan Ayah bertambah baik walaupun badannya tidak lagi sekuat dahulu.
Harapan agar Ayah dipanjangkan umur dalam kebaikan, keberkatan dan Rahmat Tuhan.
Harapan agar anak yang saya kandungkan ini sempat bertemu satu-satunya Atok yang dia ada.
Harapan agar pengajian PhD saya selesai dengan bantuan doa dan restu Ayah untuk kejayaan saya.
Harapan agar saya dapat berjumpa Ayah dan memohon keampunan kepadanya sebelum dia bertemu Tuhan.
Semua harapan ini disertai dengan doa.
Doa ini disusuli dengan tawakal yang tinggi kepada Tuhan.
Dia yang menhidupkan dan mematikan. Dia juga yang memberi penyakit dan menyembuhkan.
Dia juga yang mengetahui setiap minit dan saat di hadapan.
Dia juga yang mengkabulkan setiap doa..


اللهمّ اشفه شفاءً ليس بعده سقمٌ أبداً، اللهمّ خذ بيده، اللهمّ احرسه بعينك التّي لا تنام، واكفه بركنك الذي لا يرام، واحفظه بعزّك الّذي لا يُضام، واكلأه في الّليل وفي النّهار، وارحمه بقدرتك عليه. أنت ثقته ورجاؤه، يا كاشف الهمّ، يا مُفرّج الكرب، يا مُجيب دعوة المُضطرّين، اللهمّ ألبسه ثوب الصّحة والعافية عاجلاً غير آجلٍ، يا أرحم الرّاحمين،
 اللهمّ اشفه، اللهمّ اشفه، اللهمّ اشفه، اللهمّ آمين

Tuesday 10 January 2017

Tahun Baru & Sikap Baru

Salam Tahun Baru 2017

Biarpun terlambat, ia masih belum terlambat untuk membina sikap baru yang lebih positif dan merancang kehidupan yang positif pada tahun ini.

Tahun ini kami sekeluarga bakal menerima orang yang baru, biarpun begitu, kami masih menghargai orang-orang yang lebih lama mengenal hidup dan menyantuni mereka sebaiknya.

Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Amin.