Thursday 28 February 2013

Alhamdulillah

Foto ihsan dari Inspirasi Khat

Surat elektronik yang diterima bertarikh 27 Febuari 2013 sangat bermakna di dalam hidupku.
Hanya Tuhan yang tahu, dan hanya Dia yang memberi Nikmat. 

Syukur. 
Alhamdulillah.
Alhamdulillah. 
Alhamdulillah.

Terima kasih buat mereka yang tidak putus mendoakan.
Alhamdulillah.

Wednesday 27 February 2013

Buku: Ibu Melayu Mengelilingi Dunia


Buku yang memperkenalkan saya kepada buku ini ialah Kembara Sastera Nisah Haron, dan buku ini buat saya terus bermimpi dan memasang cita-cita dengan penuh cinta. Saya baca ulasan buku ini terlebih dahulu (SINI dan SINI) sebelum memiliki dan membacanya, agar saya tidak terlalu gelojoh ketika membaca kisah pengembaraan ibu melayu ini.

Sejujurnya saya kagum dengan pengorbanan seorang isteri dan ibu demi mengejar sebuah impian. Saya pasti redha suaminya dan sokongan keluarga adalah inspirasi utama untuk berjauhan dengan anak-anak yang masih kecil. Puisi yang ditulis di awal penulisannya begitu indah sekali, khasnya buat suami tercinta.

Tidak dapat bayangkan jika pengangkutan utama pada zaman kini adalah kapal laut dan keretapi, pasti lebih banyak tempat yang boleh dijelajahi, rakan taulan baru yang boleh dikenali, dan pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Tetapi persoalannya, masih adakah? Jika ada, saya benar-benar mahu rasa dan alaminya sendiri.

Buku ini dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian pertama mengumpulkan catatan hati dan pengalaman penulis dari rumah melalui Singapura-Pulau Pinang-Ceylon-Bombay-Aden-Terusan Suez-Port Said menuju ke London.

Bahagian kedua adalah sekitar pandangan penulis terhadap kota London. Penulis bukan sahaja mencatatkan informasi berkaitan lokasi yang telah dikunjunginya, tetapi juga pandangan peribadi beliau tentang budaya barat yang dilihat berbeza dengan budaya Melayu (sebelum Merdeka). Memang benar ada beberapa sudut positif dari Barat yang diketengahkannya, malah sudut negatif juga telah dinilai agar tidak menjadi ikutan dan merosak nilai-nilai ketimuran. Di antara isi berguna yang dapat saya simpulkan dari pandangan rasional beliau untuk direnungkan bersama ialah:

1. Usah hidup bergantung kepada orang lain, tetapi berusahalah dengan menggunakan kebolehan sendiri. (Rujuk hal. 55)

2. Usah meniru gaya hidup Barat yang bebas, tapi tirulah semangat dan kecekalan mereka melaksanakan tanggunggjawab. (Rujuk hal. 75-76)

3. Semakin ramai oang yang suka berkorban, semakin teguh dan makmurlah sesuatu negeri itu. Tetapi pengorbanan itu mesti suci dan luhur. (Rujuk hal. 99-100)

Manakala bahagian ketiga pula ialah perjalanan penulis melawat beberapa institusi pendidikan. Saya sangat tertarik apabila diceritakan bahawa Bahasa Melayu adalah pelajaran wajib lulus di Kirkby College. Pelajar Melayu keluaran kolej ini layak untuk menjadi guru di mana-mana Sekolah Inggeris di Tanah Melayu. Saya terjumpa sebuah blog yang mengumpulkan gambar-gambar lama bekas pelajar kolej tersebut di SINI.

Bahagian terakhir ialah berkaitan dengan sosiobudaya masyarakat di England. Penulis memberi fokus kepada aspek perkahwinan, penceraian, dan kekeluargaan di Barat dan perbezaannya dengan budaya Melayu. Selain itu, penulis juga menyentuh hal-hal berkaitan cukai dan khidmat kesihatan, dan diakhiri dengan cerita pengalamannya bekerja di Pine Wood Studio, London.

Nota sampingan:

Ketika membeli buku ini di Ekspo Buku Islam 6, Putarajaya, saya berpeluang untuk berkenalan dengan Editor buku ini. Beliau menceritakan pengalamannya berjumpa sendiri dengan penulis sebelum menerbitkan buku ini di bawah terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Gambar-gambar yang dilampirkan di dalam buku cetakan terbitan semula ini dikumpulkan sendiri oleh beliau bersama penulis, dan mencatat beberapa info tambahan berkaitan gambar. Tentunya ia adalah pengalaman yang sangat berharga buat pembaca. Kerana saya pasti gambar-gambar tersebut mempunyai kenangan tersendiri dan kuasa berbicara yang lebih baik. Yang paling menarik ialah ada diskaun kepada semua pembeli buku terbitan ITNM. Kunjungi ekspo tersebut sehingga hujung minggu ini.


Selamat membina cita-cita~!

Monday 25 February 2013

Menunggu

Febuari bakal berlalu
Mac sudah menunggu
Aku masih menunggu
Tuhan, perkenankan doaku..


Thursday 21 February 2013

Hadith: Kebaikan itu Dicatat

Bismillahirrahmanirrahim..

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah berfirman: "Apabila hambaKu bermaksud hendak mengerjakan suatu kesalahan, jangan kamu tuliskan sebelum dikerjakannya dan kalau dikerjakannya tuliskanlah sebanyak kesalahannya. Tetapi kalau tidak jadi dikerjakannya kerana mengingati Aku, tuliskan untuk orang itu suatu kebaikan. Kalau dia bermaksud hendak mengerjakan kebaikan dan belum dikerjakannya, tuliskanlah untuk orang itu satu kebaikan. Tetapi jika sampai dikerjakannya, tuliskanlah pahalanya sepuluh kali lipat, sampai tujuh ratus kali." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 2019)

Kebaikan itu bermaksud umum. Apa yang baik pada pandangan manusia mungkin tidak baik pada pandangan Allah, tetapi apa yang baik pada pandangan DIA adalah baik juga di mata semua. Oleh itu, berniatlah untuk melakukan kebaikan walau sekecil zarah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia kan melihat (balasan)nya pula". (Surah al-Zalzalah 99:7-8)

 
Hebahan: 
Ikut #FoorForHomeless di Twitter untuk mengetahui maklumat lanjut dan memberi sumbangan.



**Fastabiqu al-Khayrat

Tuesday 19 February 2013

Buku: Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama-Mu


Setiap manusia akan menghadapi pancaroba dan kesusahan yang berbeza, dan untuk menceritakan kesusahan kita tidak semudah menceritakan kesenangan kita kepada orang lain. Buku ini adalah catatan peribadi penulis merantau di bumi Eropah, mengharungi susah senang pengajiannya di Jordan, berkerja mencari rezeki, memikul tanggungjawab suami, imam dan pelbagai lagi, berhadapan dengan bermacam kerenah manusia, mendidik dan mentarbiyyah kanak-kanak dan jiwa. 

Saya pasti pengalaman di dalam buku ini hanya sebahagian sahaja dari pengalaman hidupnya kerana ada rahsia yang memang perlu dijadikan rahsia dan tidak perlu dikongsikan semuanya. Walau apapun, saya kagum dengan sifat sabar penulis yang menerima semua ketentuan Ilahi dengan hati terbuka dan mencari 'ibrah dari setiap peristiwa yang dihadapinya.

Ada beberapa kisah yang berjaya membuat saya mengalirkan air mata.

Ada beberapa pengajaran dan nasihat berguna daripada buku ini yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca yang berfikir. Antaranya yang boleh saya simpulkan ialah:

1. Setiap kesusahan pasti diakhiri dengan kesenangan. Jika tidak perolehi kesenangan di dunia, kesenangan di Akhirat pastinya lebih sempurna. Rujuk Surah al-Insyrirah, ayat 5-6.

2. Kaya itu tidak semestinya diukur dengan harta benda, tetapi hati dan jiwa. Sabda Rasulullah SAW: "Bukanlah dikatakan kata itu sebagai banyak harta. Akan tetapi kekayaan sebenar itu adalah kekayaan jiwa." (Riwayat Bukhari, 6446)

3. Amalkan akhlaq mulia dan tinggalkan sesuatu yang meresahkan jiwa. Nabi SAW bersabda: "Kebajikan itu adalah pada keelokan akhlaq. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidau suka manusia lain melihat atau mengetahuinya." (Riwayat Muslim)

4. Islam itu adalah untuk semua. Sempurna dan saling menyempurnakan. Rasulullah SAW bersabda, "Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya"

5. Hiduplah bukan untuk dihargai. Jangan kecil hati apabila kita tidak dihargai. Jika masih mahu dipuji dan dihargai, rujuk Surah Saba', ayat 13.

Saya akhiri dengan sebaris kata-kata yang saya kutip melalui buku ini: "Manusia yang tidak berani mati untuk sesuatu, tidak layak hidup untuk apa-apa"


Wallahua'lam

Thursday 14 February 2013

Cinta Hingga ke Syurga

Dengan nama Tuhan yang mencipta cinta dan menjadikannya suatu anugerah yang tiada bandingannya. Sesungguhnya cinta Tuhan adalah sebaik-baik Cinta.

Kata bijak pandai: 
Cintakan bunga ia akan layu, cintakan manusia mereka akan mati, cintakan Tuhan itu yang kekal abadi.

Hari ini ramai yang berkisah tentang CINTA. Ada yang kata 14 Feb itu tarikh istimewa.
Hari kasih-sayang katanya. Eh, hari ni hari Khamis lah..

Cinta itu bukan untuk sehari, tapi berhari-hari, setiap hari, waktu dan detik. Cinta utama yang perlu dibentuk di dalam jiwa ialah cinta kepada Tuhan dan itu akan menjadikan kita menyambut Hari Kekasih setiap hari. Setuju dengan konklusi Ustaz Pahrol di dalam artikelnya di SINI: "Bagi orang Islam setiap hari adalah Hari Kekasih~!"

Saya mengerti bahawa tidak mudah untuk mencintai sesuatu yang tidak nampak dengan mata yang zahir, tetapi merasai bahawa Allah itu adalah Pencipta cinta dan mencintai semua hambaNya yang beriman akan membuatkan kita melihat perasaan cinta kepadaNya dengan mata hati.

Bagaimana pula untuk cinta kepada manusia?

Cintailah Rasulullah terlebih dahulu sebelum cinta kepada selainnya, selepas mencintai Allah. Cintailah kedua ibu bapa, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai dan tidak lupa sahabat sehati sejiwa.

Sahabat sehati sejiwa itu lah yang diikat secara halal melalui sebuah pernikahan yang sah, melahirkan sang suami dan isteri. Cinta antara mereka juga bukan hanya dilafaz untuk sehari tapi hingga ke syurga sekiranya ianya berlandaskan cinta Ilahi.

Ya, hingga ke syurga.

Jika sekadar hujung nyawa, mati salah seorangnya akan menghilangkan rasa cinta. Jika sehingga anak cucu, cinta itu berlandaskan nafsu kerana mahukan zuriat semata-mata.

Ihsan dari Google

 “Ya Allah, berilah aku rezeki cinta Mu dan cinta orang yang bermanfaat buat ku cintanya di sisi Mu.
Ya Allah segala yang Engkau rezekikan untukku di antara yang aku cintai, jadikanlah itu sebagai kekuatanku untuk mendapatkan yang Engkau cintai. 
Ya Allah, apa yang Engkau singkirkan di antara sesuatu yang aku cintai, jadikan itu kebebasan untuku dalam segala hal yang Engkau cintai." 
(HR. Al-Tirmidhi)

Semoga cintaku kepada suamiku mendapat Rahmat Ilahi dunia dan akhirat, kekal hingga syurga.

Monday 11 February 2013

Buku: Kembara Sastera Nisah Haron


Teruja~!

Ia adalah perasaan pertama ketika mula membaca buku ini. Prakatanya saja sudah menarik, apatah lagi ia dipenuhi gambar-gambar berwarna dan menggunakan kertas yang tidak kurang juga kualitinya. Harga buku ini tidak semahal sebuah perjalanan penulis selama 13 hari di sekitar United Kingdom dan Dublin. Saya mula bermimpi. Terngiang-ngiang di minda saya di awal bacaan ialah dialog Andrea Hirata di dalam Sang Pemimpi:

"Bermimpilah... Kerana Tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu"

Lokasi pertama penulis sebenarnya membuat hati saya berbunga-bunga. Sehingga kini saya masih menunggu 'sesuatu' yang akan menjadikan mimpi saya sebuah kenyataan insyaAllah. Kesemua lokasi yang telah dikunjunginya sengaja saya 'kuning'kan agar mudah saya jejakinya nanti. 

Saya bukanlah tergolong di kalangan penggiat sastera, tetapi dunia buku memang tidak pernah mengecewakan. Saya juga bukan seorang penulis, tetapi saya memahami setiap penulis mempunyai niat dan tujuan di sebalik sesebuah penulisan. Setiap mereka mempunyai cara berbeza untuk meluahkan kata-kata. Buku ini mendapat lima bintang dari saya kerana menyertakan gambar-gambar berwarna kerana saya percaya "picture can speak louder than words."

Sebelum ini saya pernah mendengar tentang buku ini tetapi masih belum berpeluang memilikinya sehingga lah saya hadir ke sebuah program di Perpustakaan USIM di mana penulis adalah salah seorang panel nya (info di SINI). Alangkah bahagianya apabila dapat membeli buku ini dan mendapat tandatangan penulis, malah dapat bergambar juga dengannya sebagai kenang-kenangan.



Sejujurnya, tiada komentar negatif kerana kisah kembara sastera ini sudah cukup sempurna. Cuma saya sangat tertarik dengan Kembara Sastera 25 yang bertajuk Manuskrip al-Quran di Chester Beatty Library, Dublin. Sayangnya cerita di dalamnya tidak memberi fokus sepenuhnya kepada manuskrip tersebut. Gambar juga tidak dikongsi kerana menurut penulis perpustakaan tersebut tidak membenarkan pengunjung untuk mengambil gambar. Saya adalah penggemar warisan Islam lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan sumber dan tokoh Islam. Adalah suatu kepuasan apabila dapat melihatnya dengan mata sendiri terutama apabila ia dipelihara dengan baik di negara bukan Islam. Oleh kerana buku ini adalah kembara sastera, jadi saya tidak boleh berharap yang penulis akan berkongsi lebih tentang komuniti Islam penduduk UK & Dublin.

Sebagai kesimpulan, buku ini mencatat sebuah pengembaraan yang sangat menarik kerana ia dimulakan dengan niat yang suci. Ya, niat suci itu yang memudahkan urusan penulis sepanjang pengembaraanya. Bacaan kali ini juga diakhiri dengan sebuah niat. Niat untuk menjejaki lokasi yang telah dikunjunginya suatu hari nanti. Malah Puan Nisah Haron juga turut memberi galakan serta mendoakan, katanya:

Saya doakan niat untuk menjejaki lokasi-lokasi (malah lebih daripada apa yang pernah saya jejaki) dimakbulkan Allah pada ketika yang tepat dan paling sesuai! Insya-Allah. (di SINI)


Akhir kalam, teruskan mengembara walau di mana kita berada sebagaimana ia telah digalakkan dan dicatat di dalam al-Quran sebanyak 13 kali. Allah SWT telah berfirman:

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul). (Ali 'Imraan 3:137)


Katakanlah (wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu." (Al-An'aam 6:11)


Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidakmengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya? (Yusuf 12:109)


Oleh itumengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya. (Al-Nahl 16:36)


Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (Al-Hajj 22:46)


Katakanlah (wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu". (An-Naml 27:69) 


Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-'Ankabuut 29:20) 


Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka?..... (Ar-Ruum 30:9)


Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik". (Ar-Ruum 30:42)


(Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka, sedang orang-orang itu lebih kekuatannya dari mereka?..... (Faatir 35:44) 


Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? ..... (Ghaafir 40:21) 


Selain dari itu, tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka (yang telah dibinasakan dengan sebab dosa-dosanya)? ...... (Ghaafir 40:82)


Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu; dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu. (Muhammad 47:10)

Wednesday 6 February 2013

Wordless Wednesday: Trust Allah


**Allah, you are the best Planner. Plan the best for me and all of us.

Tuesday 5 February 2013

Wishlist Books

Kita Adalah Pelakon

Berikut adalah lakonan semata-mata. Tiada kaitan dengan yang masih hidup atau telah meninggal dunia.

Puan: Cerita tu best la..

Encik: Cerita mana?

Puan: Ala... Drama TV petang-petang.

Encik: Hmmm...

Puan: Cerita filem Cina tu pun best juga.

Encik: Hmm.. Mana ada cerita yang tak best. Selain pelakon drama atau pengarah filem, siapa yang kata semua yang disiarkan adalah best belaka?

Puan: Grrr... 

Encik: Memang lah semua cerita best. Kehidupan kita pun best juga. Semua perlu menjadi best.

Puan: Betul lah kan.. Hidup ini juga adalah ibarat pentas, dan kita semua adalah pelakon. Tuhan adalah Pengarah yang paling hebat. Dia dah aturkan semuanya sejak azali lagi.

Encik: Tahu pun....

Puan: Kadang-kadang manusia ini hanya melihat je cerita-cerita yang disiarkan tanpa ambil pengajaran daripadanya. Ada juga cerita yang tiada pengajaran. Kita lah yang kena pandai memilih. Macam tu juga dengan kehidupan. Allah dah beri panduan, tapi pilihan di tangan kita. Kalau kita pilih panduan yang betul iaitu Quran dan Sunnah, pasti hidup dan cerita kita semakin best di mata Tuhan, bukan di mata manusia.

Encik: Kesimpulannya, jangan hanya menontoh drama atau filem. Tetapi lupa tanggungjawab asasi kita sebagai pelakon dunia ini yang sepatutnya hanya mengharapkan redha dan rahmat Allah, bukan pujian dan sanjungan daripada orang lain. Malah dunia ini hanyalah sementara. Allah SWT dah berfirman: "Ketahuilah bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu." (al-Hadiid: 20)

Puan: Saya setuju. Oleh itu, gunakanlah peluang yang ada ini untuk menjadi "pelakon" terbaik yang melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini.

Dunia Ini ibarat pentas lakonan,
Manusia itulah pengarah dan pelakonnya,
Al-Quran dan As-Sunnah itulah skripnya,
Malaikat itulah jurugambarnya,
Islam itu jalan ceritanya,
Kiamat itulah kesudahan penggambarannya,
Padang masyhar tempat penganugerahannya,
Rasulullah S.A.W adalah penerima anugerah terbaiknya,
ALLAH S.W.T adalah hakimnya,
Syurga atau Neraka adalah trofinya 

Lirik Akhil Hayy - Madah Muqaddimah