Tuesday 30 June 2015

Putera Sulung

Bismillahirrahmanirrahim

Setelah sekian lama menyepi, saya kembali lagi menulis di blog. Kali ini berstatus sebagai ibu. Satu gelaran yang penuh dengan tanggungjawab, cabaran, dan kebahagiaan. Alhamdulillah, cahaya mata kami telah dilahirkan pada 30 Mei 2015 setelah genap 41 minggu dalam kandungan di Birmingham Women Hospital.

Diberi nama Afeef, melahirkannya adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup saya. Pada minggu pertama kelahirannya, saya tidak kuat fizikal dan mental untuk menghadapinya, malah menceritakan kepada ahli keluarga dan sahabat handai juga adalah sesuatu yang amat berat. Kini sudah hampir sebulan ia berlalu, saya terima dengan redha bahawa ujian yang Allah berikan sepanjang proses melahirkan mempunyai hikmahnya yang tersendiri dan saya berdoa agar dosa-dosa saya dan suami diampunkan Tuhan.

Afeef telah dilahirkan seminggu lewat daripada tarikh jangkaan kelahiran (EDD). Malah 10 jam menunggu di dalam 'delivery suite' bukanlah perkara manis buat kami berdua. Tangisannya yang pertama, yang saya sangka manis di penghujung kesakitan juga masih terasa pahit kerana ubat bius setelah caesarean memberi kesan separa sedar buat saya. Wajah pertamanya setelah beberapa minit selepas kelahiran juga saya pandang begitu sahaja tanpa sentuhan, kerana Afeef terpaksa dibawa ke bilik penjagaan khas di atas sebab-sebab yang tertentu. Hari pertama kelahirannya dipenuhi dengan tangisan kesakitan, kerisauan dan kebimbangan, Alhamdulillah suami saya menemani setiap detik dan saat, menyaksikan pembedahan dijalankan, mengazankan bayi, memotong tali pusat, dan membahagikan masanya di antara saya dan bayi yang dipisahkan di bilik yang berbeza selama dua hari. Saya terhutang budi padanya, dan bersyukur ke hadrat Tuhan kerana dikurniakan suami yang baik, ayah kepada anak-anak saya..

Hari pertama - Afeef dan Ayah

Enam hari ditahan di hospital juga masih bukan kenangan yang manis. Sukar untuk saya ceritakan keseluruhan cerita secara terperinci di sini, tetapi pengalaman pertama melahirkan anak sulung ini saya simpan rapi di dalam minda. Tetapi, memegang gelaran ibu ialah perkara yang sangat manis. Merenung wajah anak yang dikandung lebih sembilan bulan adalah perkara yang terlalu manis, wajahnya menyejukkan hati yang duka dan senyumannya menghilangkan segala kepahitan..

Duhai anak, kau terlalu istimewa..

Memohon doa agar Allah jadikan Afeef anak yang soleh dan musleh, penyejuk hati dan sumber kebahagiaan kami berdua.


Allahumma faqqihhu fiddin wa 'allimhu at-ta'wil..