Tuesday 8 October 2013

Buku: Al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam

Penerbit: Interface Publications (2007)

Rasanya masih tidak lewat untuk memperkenalkan buku ini biarpun hampir dua tahun saya masih membaca dan mengulang bacaan yang sama. Buku ini sebenarnya adalah muqaddimmah atau pengenalan kepada 40 bab buku yang mengumpulkan ulama wanita di dalam bidang hadith. Sebagai pengenalan, buku ini adalah bacaan terbaik untuk mengetahui bahawa wanita juga mempunyai sumbangan yang sangat besar di dalam bidang hadith.

Seperti yang telah dinyatakan oleh Imam al-Dhahabi di dalam kitabnya Mizan al-I'tidal, tiada seorang perawi wanita pun yang diragui kesahihannya dalam merawikan hadith Nabi SAW. Biarpun jumlah perawi wanita tidak seramai perawi lelaki, tetapi nama seperti Aishah, Ummu Salmah, dan Hafsah tidak perlu diperkenalkan bagi mereka yang mendalami ilmu hadith. Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh perawi wanita juga dikatakan tidak diragui kesahihannya, malah banyak dijadikan dalil-dalil penting dalam aspek kewanitaan. Telah disebut di dalam buku ini bahawa sebanyak 2,764 hadith telaha diriwayatkan oleh perawi wanita seperti yang terkandung di dalam kutub sittah.

Dr. Akram Nadwi banyak memberikan contoh-contoh hadith yang telah diriwayatkan oleh perawi wanita di dalam buku ini dan memberi banyak perhatian kepada sumbangan mereka di dalam ilmu hadith. Perawi wanita yang disebut sebagai al-Muhaddithat ini juga menjadi rujukan penting oleh ulama-ulama besar seperti Imam al-Zuhri, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Ibn al-Jawzi, Imam al-Dhahabi, Imam ibn 'Asakir dan ramai lagi.

Buku ini juga menyenaraikan ulama-ulama wanita secara ringkas mengikut waktu-waktu yang tertentu. Kegemilangan mereka dikatakan berterusan pada kurun pertama Islam sehingga kurun ke-15 selepas hijrah dan bilangan mereka semakin berkurangan setelah itu atas sebab-sebab yang tertentu.

Secara keseluruhannya, buku ini menggambarkan bahawa wanita juga memainkan peranan yang sama pentingnya seperti lelaki di dalam ilmu hadith kerana mempelajari hadith adalah cara terbaik untuk mengenali Rasulullah SAW dan sejarah hidup baginda. Sebagai sumber Islam kedua yang terpenting selepas al-Quran, hadith adalah subjek yang menjadi perhatian golongan Islam dan bukan Islam kerana kandungan hadith melengkapkan al-Quran dan membantu Muslim untuk mengamalkan Islam sebagai gaya hidup yang sebenar.

No comments:

Post a Comment