Monday 15 September 2014

Surat Kepada Calon UPSR

Assalamualaikum

Segala puji bagi Tuhan yang mencipta kejayaan dan kegagalan. Dia sebaik-baik perancang yang sentiasa berjaya dan tidak pernah gagal. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad sallahu'laihiwasallam dan seluruh ahli keluarga dan para sahabat. Sesungguhnya Rasulullah adalah contoh terbaik yang pernah merasai erti sebuah kejayaan dan juga kegagalan.

Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,

Saya hanyalah pelajar biasa yang pernah menduduki UPSR pada tahun 1996. Saat itu, saya memikirkan bahawa UPSR adalah satu peperiksaan yang sangat sukar. Lebih-lebih lagi saya bersekolah di sekolah swasta yang mewajibkan pelajar-pelajarnya untuk mengambil UPSRA yang mengandungi lima mata pelajaran agama. Saya hadiri pelbagai aktiviti motivasi untuk meningkatkan prestasi pembelajaran, kerana saya bukanlah di kalangan pelajar bijak di sekolah. Apa yang terjadi sebelum dan ketika UPSR tidak begitu lekat di ingatan, tetapi saya tidak boleh lupa wajah ayah ketika keputusan UPSR diumumkan. Ayah nampak kecewa kerana saya hanya mampu skor A untuk satu seubjek sahaja, dan B untuk subjek-subjek yang lain. Oleh kerana keputusan tidak begitu memberangsangkan, saya dihantar ke sekolah agama bukan kerajaan berasrama penuh. Tetapi Ayah tidak pernah berhenti untuk memberi sokongan dan galakan untuk saya terus belajar dan berjaya sehingga kini. Walaupun kemudiannya PMR dan SPM juga saya tidak pernah skor A berderet, tetapi saya mendapat anugerah ketika tamat ijazah sarjana muda, mendapat biasiswa penuh ketika menyambung master, dan kini bergelar calon PhD di salah sebuah 100 universiti terbaik dunia.

Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,

UPSR pasti menjadi satu kenangan yang tidak akan dilupakan sama ada ia membawa memori suka atau duka. Saya pasti apa yang terjadi pada tahun ini akan lebih diingati apabila soalan kertas Sains dan Bahas Inggeris bocor, dan kalian harus menduduki peperiksaan semula. Saya juga pasti bahawa kalian adalah mangsa ketidak-jujuran sesetengah pihak yang juga pernah menduduki UPSR suatu ketika dahulu atau apa saja nama peperiksaan yang mereka pernah duduki ketika sekolah rendah suatu masa dahulu. Siapa saja yang suka mengambil peperiksaan berulang kali? Jika ditanya kepada si pembocor kertas soalan, adakah dia mahu untuk menjawab kertas soalan untuk kali kedua?

Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,

Tujuan surat ini ditulis bukanlah untuk mencari salah pihak yang bersalah, tetapi memberi semangat pada kalian agar tidak mudah mengalah dan menyerah kalah. Jadikan peristiwa September bersejarah ini sebagai satu lonjakan untuk kalian berfikir apakah jalan yang terbaik untuk menggapai kejayaan. Soalan yang telah bocor mungkin menjadi cara pendek bagi orang-orang tertentu untuk berjaya, tetapi niat tetap tidak menghalalkan cara. Kejayaan itu bukanlah terletak pada hasilnya sahaja, tetapi dinilai juga melalui perjalanan untuk mencapai kejayaan tersebut. Ada yang mendapatkan kejayaan dengan cara yang susah, ada juga yang mendapatnya dengan cara yang mudah, tetapi caranya harus betul biarpun perlu menempuhi kegagalan terlebih dahulu.



Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,

Saya mendoakan agar kalian semua berjaya. 

Bilangan 'A' bukanlah ukuran. 'D' atau 'F' juga tidak perlu dipersalahkan.


Salam perjuangan!

Saadah Khair

Friday 12 September 2014

6 Tahun Yang Lalu


Destinasi pertama bertemu dia
Semoga Allah kekalkan cinta kita

Wednesday 3 September 2014

Cambridge: Kota Ilmu, Sampan & Basikal!

Bismillahirrahmanirrahim

Sudah lama menyimpan niat untuk mengunjungi Cambridge, dan saya rasa kali ini adalah masa terbaik untuk ke kota yang terletaknya salah satu universiti terbaik di dunia; University of Cambridge.

Tujuan saya ke Cambridge ialah menghadiri Conference: the Authors, Editors and Audiences of Medieval Middle Eastern Text di Faculty of Asian and Middle Eastern Studies, University of Cambridge. Ada beberapa tajuk pembentangan yang menggesa naluri saya untuk hadir seminar ini, biarpun seorang diri kerana suami bekerja.

Tiba di Cambridge pada -awal pagi- hari bekerja memberi peluang kepada saya melihat kesibukan penduduk Cambridge sibuk bergerak sama ada ke tempat kerja, kolej, universiti atau sekolah, dengan menaiki basikal! Saya teruja melihat jalan raya dipenuhi penunggang basikal dengan berpakaian kemas menuju destinasi masing-masing. Penunggang basikal diberi laluan khas, malah rata-rata kawasan parkir menyediakan kawasan khas meletakkan basikal. Tanda-tanda di sepanjang jalan juga ada ditujukan khas untuk penunggang basikal. Menarik..


Saya mengambil peluang berjalan kaki ke lokasi conference, Alhamdulillah Google Maps banyak membantu sepanjang perjalanan sendirian tetapi sekali-sekala saya perlu matikan telefon bimbit untuk menjimatkan bateri. Menjadi peserta paling awal yang hadir memberi peluang kepada saya meneroka fakulti universiti dan berkenalan dengan seorang wanita lewat 30-an, yang datang daripada Netherlands ke Cambridge untuk menyertai conference ini.


Sepanjang conference berjalan, saya tertanya-tanya apakah tujuan sebenar mereka yang bukan Islam mengkaji tulisan, sejarah dan dunia peradaban Islam? Adakah kerana minat untuk mengambil tahu atau ada tujuan selain daripada itu? Saya buang segala fikiran negatif dan bertindak secara profesional. Sejujurnya, saya malu. Saya malu bagaimana saya sebagai Muslim terlepas pandang untuk mengkaji apa yang mereka kaji. Saya malu kenapa saya tidak gunakan masa sebaiknya untuk mengenali ulama Islam yang telah menjadi fokus kajian orang bukan Islam. Saya malu, dan sangat tercabar...

Kebanyakan topik perbincangan dalam conference tersebut menyentuh tentang kajian teks ulama Islam dari pelbagai aspek: hadith, sejarah, sosial, politik, kesenian dan sebagainya. Kebanyakan mereka juga membentangkan topik kajian master/phd mereka, daripada universiti2 di dalam dan luar England. Bagi saya, hari tersebut adalah hari terbaik di dalam hidup saya untuk memulakan bulan baru, iaitu pada 1 September.

Sayangnya, saya terpaksa keluar awal kerana waktu bas tidak banyak di antara Cambridge dan Birmingham. Dalam perjalanan pulang, saya berpeluang melihat salah satu daya tarikan Cambridge iaitu kota sampan ala-ala Venice, Italy. Cantik, tapi mahal. Harga akan lebih murah sekiranya ada kemahiran untuk mendayung sendiri. Menurut rakan-rakan yang pernah menaiki sampan di Cambridge, tempahan melalui atas talian juga jauh lebih murah, boleh rujuk SINI.




Sementara menunggu bas, saya sempat pusing di bandar Cambridge. Cuaca tidak mengizinkan saya bergerak jauh. Hujan turun perlahan dan kemudian tidak berhenti sehinggalah bas sampai. Ada pasar kecil di tengah bandar Cambridge. Bukan sahaja menjual makanan, minuman dan buah-buahan, tetapi ada juga kedai menjual cenderamata, dan buku-buku terpakai. Agak sukar untuk temui kedai buku terpakai jika di bandar besar Malaysia, apatah lagi di kawasan pasar.


Apapun, satu hari di Cambridge adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan, dan saya akan menggelar kota ini sebagai kota ilmu, kota sampan dan kota basikal, supaya sentiasa lekat di dalam ingatan.

Cambridge, semoga kita bertemu lagi!