Thursday 26 September 2013

5 Aplikasi Android Untuk Pengembara

Bismillahirrahmanirrahim

Ingin saya kongsikan beberapa aplikasi android yang digalakkan ada di telefon bimbit pintar pengembara, khas untuk di United Kingdom dan umum untuk negara-negara lain.

1. Google Maps


Membantu untuk melihat peta kawasan dan jarak tertentu dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Ada pilihan pengangkutan sama ada menaiki kereta, kenderaan awam, basikal atau berjalan kaki. Kemudahan untuk navigasi ke destinasi juga disediakan. 

2. Expedia


Aplikasi ini membantu untuk membuat pilihan penerbangan dengan menyenaraikan tarikh pilihan dan harga yang disusun mengikut kemampuan pengguna. Pengguna juga boleh terus menempah tiket penerbangan dan juga hotel di destinasi berkenaan. Tawaran juga disediakan kepada pengguna.

3. National Rail


Aplikasi ini khas untuk pengguna tren dan keretapi di United Kingdom. Pengguna boleh memeriksa waktu dan catatan perjalanan ke sesebuah stesen tren dan melihat pengumaman penting sekiranya ada kelewatan atau masalah yang berlaku. Maklumat tentag platform menunggu juga disediakan.

4. Trip Advisor


Aplikasi ini sangat membantu jika pengembara ingin mengetahui sesebuah destinasi yang menjadi pilihan kepada para pelancong. Maklumat secara ringkas juga disediakan. Malah, pengguna boleh mendapat maklumat tentang hotel dan restoran berhampiran. GPS diperlukan untuk mengakses aplikasi ini.

5. Qibla Compass


Bagi pengembara Muslim, solat lah walau di mana anda berada. Aplikasi ini membantu untuk menujuk arah kiblat sekiranya tiada maklumat disediakan khasnya di negara bukan Islam. Sekiranya aplikasi ini tidak memberi petunjuk yang tepat, tidak salah untuk bertanya penduduk yang beragama Islam atau bertawakal kepada Allah agar segala Ibadah diterima. Tidak tahu arah kiblat tidak wajar menjadi alasan untuk tidak solat.

Wednesday 25 September 2013

Wordless Wednesday: Rindu



Speechless.
Rindu.

Semoga Allah merahmati Emak, Ayah dan seluruh ahli keluarga.
Selamat Hari Lahir Bonda!

Tuesday 24 September 2013

Kelas Kek

Di Malaysia, kek mudah didapati dan terjamin halal. Oleh itu, saya sering mengambil langkah mudah untuk membelinya atau menempah dengan rakan-rakan yang membuat bisnes kek. Pernah juga membuat kek dengan kakak kerana kepuasan membuat sendiri ternyata berbeza.

Sejak menetap di luar negara, setiap makanan perlu diteliti dari aspek kandungannya dan perlu memastikan ianya halal. Ia tidak lah sukar untuk dicari tetapi pilihannya agak terhad kerana kebanyakan kek mengandungi unsur alkohol. Ini menjadi sebab utama kepada pelajar Malaysia untuk membuat kek mengikut kepuasan masing-masing.

Kek pertama saya sempena ulangtahun ke __ di Birmingham

Saya juga tidak terkecuali untuk belajar membuat kek. Kadang-kadang perasaan itu berbelah bahagi tapi jika tidak belajar, sampai bila saya akan hanya mengatakan 'saya tidak reti'. Akhirnya, kelas kek yang saya hadiri adalah kelas untuk membuat dekorasi kek menggunakan fondant. Ternyata ia adalah satu ilmu baru yang mengujakan.

Di antara bahan yang diperlukan ialah: silicon rolling pin panjang dan pendek, silicon mat, pallet knife, wilton colours, cake smoother, apron, trex, fondant.

Sebelum memulakan apa-apa, basuh tangan bersih-bersih, keringkan dan buang segala macam cincin dan gangguan di tangan.

Dan yang paling penting ialah: Be creative & Be yourself

Tema Hijau Kuning :)


Terima kasih kak Iffa kerana berkongsi ilmu, juga kepada rakan sekelas, Kak Imah dan Kak Aya yang sentiasa memberi inspirasi.

Jika berminat untuk sertai kelas kek di Birmingham, boleh hubungi Kak Iffa di laman muka buku beliau di SINI.

Agak-agak balik Malaysia nanti buat kek sendiri tak?

*gulp*

Sunday 15 September 2013

Solat Berjemaah

Tidak dinafikan bahawa semua di antara kita sedar tentang kebaikan solat berjemaah seperti yang telah dinyatakan di dalam hadith berikut:

Daripada  Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW bersabda : “Pahala sembahyang jemaah bagi seseorang lebih daripada sembahyang bersendirian, sama ada di tempat kerjanya (di pasar) atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersembahyang semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersembahyang selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat sembahyangnya dengan doa : Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu.”

Ada juga hadith yang menyatakan pahala sola berjemaah ialah dua puluh tujuh kali ganda. Apa yang penting ialah pahalanya berkali ganda daripada solat bersendirian.


Saya tidak mahu mengulas tentang pahala tersebut, tetapi sekadar memperingati diri sendiri tentang kepentingan solat berjemaah bersama keluarga, terutama di antara suami dan isteri. Alhamdulillah saya rasakan solat berjemaah adalah kunci utama kebahagiaan rumahtangga. Jika ada perselisihan sekali pun, solat berjemaah itu adalah solusi terbaik kerana lima waktu setiap hari itu akan sentiasa memperbaiki hubungan kita dengan Tuhan dan juga pasangan.

Saya berdoa kepada Allah agar solat berjemaah yang kami laksanakan setiap hari bukanlah hanya di awal perkahwinan tetapi berpanjangan sehingga kami pergi menghadap Ilahi kelak.

Amin!

Thursday 5 September 2013

Hijab, Tudung & Sewaktu dengannya



"Wear what you wear and be proud of yourself! Don't worry what other people think"


Video ini membuka minda kita untuk mengetahui pandangan mereka yang bukan beragama Islam tentang Hijab, tudung dan sebagainya. Kebanyakan mereka ruapanya tahu dan sedar apakah itu Hijab.

Sepanjang berada di Tanah Inggeris, ada secalit perasaan mengatakan ada segelintir bangsa berkulit putih memandang sinis terhadap mereka yang memakai hijab (seperti saya). Biarpun Islam merupakan di antara agama kedua terbesar yang dianuti oleh penduduk UK, tetapi pemakaian hijab tidak diberikan keutamaan dan masih dipandang asing.

Di Birmingham, bilangan Muslim lebih tinggi berbanding kawasan-kawasan lain di UK. Oleh yang demikian, tidak hairan untuk melihat wanita berhijab ada di mana-mana biarpun bekerja di pusat membeli-belah. Kebanyakan mereka berasal daripada Pakistan dan Afrika. Ada juga berbangsa arab yang menetap di sini. Tetapi masih ada juga yang berfikiran negatif kepada mereka yang berhijab.

Buktinya, jika berjalan dengan suami dan ada bangsa kulit putih yang mahu bertanya atau menyapa, mereka tidak memandang saya dan terus berinteraksi dengan suami.

Buktinya, seorang rakyat Malaysia (kawan kakak saya) yang menetap di UK dan berkahwin dengan warga UK mengalami masalah interaksi dengan masayarakat setempat kerana bertudung.

Buktinya, jika saya yang menawar harga ketika membeli barang, agak sukar untuk mendapat harga murah kerana tudung membuktikan saya warga asing.

Tetapi ada juga yang berfikiran positif seperti bertanya adakah saya berasal dari Malaysia atau Indonesia. Ada juga yang senyum dan menyapa ramah. Ada juga yang tidak kekok berinteraksi dengan mereka yang berhijab seperti kami.

Kesimpulannya, usah peduli apa orang kata, tetapi peduli apa Allah kata.

Leila Ahmed, seorang feminist pernah mengatakan bahawa hijab hanya sesuai dipakai oleh para isteri Nabi dan tidak sesuai dipraktikkan kini juga telah mengubah pendapat peribadinya setelah mendapati wanita yang berhijab kini telah mendapat tempat di mana-mana dan bukan penghalang untuk mereka berjaya. Boleh baca buku barunya bertajuk A Quiet Revolution.

Hijab itu bukan penyebab Muslimah ditakuti.
Hijab itu bukan penyebab Muslimah diperangi.
Hijab itu bukan penyebab Muslimah dipandang rendah sekali.

Hijab itu tuntutan dalam agama.
Bukan tuntutan fesyen dan sebagainya
Bukankah Tuhan sudah berkata: 
“Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara keaibannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan khumur (jilbab)nya ke dadanya”. (QS. An-Nur : 30-31)

Sampaikanlah walau satu ayat!

Tuesday 3 September 2013

Naik Minyak, Kurangkan Minyak

Dua hari selepas tarikh kemerdekaan Malaysia yang ke 56, harga minyak petrol naik lagi. Ramai yang memberi komen tentang isu kenaikan harga minyak. Ada yang berfikiran positif dan ada yang bertindak negatif. Pilihan di tangan anda. 

Saya tidak berani sentuh hal politik tapi harga minyak yang naik bakal memberi impak yang besar terutama bagi mereka berpendapatan rendah dan sederhana. Tidak semua dari kita hidupnya senang biarpun hati mereka sentiasa senang.

Kenaikan harga minyak tidak memberi efek kepada kehidupan saya di tanah Inggeris. Di UK, harga minyak turun dan naik mengikut harga minyak dunia. Setiap stesyen minyak mempunyai harga yang berbeza-beza. Pengguna berhak memilih stesyen mana yang menawarkan harga yang lebih rendah.

Alhamdulillah saya tidak perlu memikirkan hal minyak kereta. Hampir empat bulan tidak berkenderaan, hati saya senang, jiwa kami juga tenang. Tidak perlu memikirkan minyak kereta, parkir kereta, basuh kereta, dan apa jua yang berkaitan dengan penjagaan kereta. Malah saya dan suami seronok berjalan kaki dan menaiki pengangkutan awam bersama.

Kemudahan pengangkutan awam di England sangat mesra pengguna. Bas tidak sahaja dinaiki warga muda, tapi juga warga tua dan golongan kurang upaya. Keretapi sangat menetapi waktu (kecuali kawasan yang sedang dalam penambah-baikan tapi ada pengumuman awal sekiranya lewat). Lorong untuk pejalan kaki juga disediakan di semua kawasan. 'Zebra Line' diberikan keistimewaan kepada mereka yang mahu melintas jalan. Pemandu yang tidak memberi laluan kepada pejalan kaki boleh disaman.

Jika ke universiti, saya mengambil masa hampir 15 minit berjalan kaki dari rumah ke stesen keretapi. Kemudian berhenti di perhentian yang ketiga dan seterusnya berjalan kaki menuju ke perpustakaan dengan mengambil masa dalam 7-8 minit. Rutin harian ini hanya akan dirasa keperitannya jika hujan lebat dan mempunyai temujanji dengan penyelia di awal pagi.

Saya masih simpan niat untuk memiliki kenderaan di UK sehingga benar-benar memerlukannya nanti. Selagi kami masih punya kudrat untuk berjalan kaki dan 'enjoy' dengan pengalaman ini, saya tidak perlu risau dengan kenaikan harga minyak lagi.

Bas merah yang menarik perhatian saya di Coventry
Selesa dengan meja
Surat khabar percuma untuk pengguna setiap hari
Kemudahan suis disediakan di dalam keretapi
Ada bilik air dan juga bilik menukar lampin bayi
Stesyen yang diberi nama 'university' di dalam University of Birmingham.

Ayuh berfikiran positif. Harga minyak yang naik mungkin suatu titik untuk kita mengubah cara hidup. Ya benar bahawa kenaikan minyak bakal menaikkan semua harga pasaran di Negara. Mungkin boleh berjalan kaki atau merancang perbelanjaan terlebih dahulu sebelum bergerak menggunakan kenderaan masing2. Masak sendiri tentunya menjimatkan dan kurangkan makanan yang berminyak dan berkolestrol tinggi.

Kesimpulannya, jangan cepat melatah.

Tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi.

Semoga Allah merahmati Malaysia dan rakyatnya.