Sunday 28 July 2013

Indahnya Memasak

Bismillahirrahmanirrahim

Saya bukan pakar masak, malah masih merangkak-rangkak untuk mengenal pelbagai rempah. Sejak  kecil, entah kenapa tiada minat langsung untuk membantu Emak memasak melainkan jika dipaksa. Bagi saya suatu ketika dahulu, dapur itu tempat makan bukan tempat memasak.

Tapi sebelum berumahtangga, saya mula mengerti betapa pentingnya belajar memasak. Saya mula berjinak dengan dapur apabila menyewa rumah setelah tamat daripada universiti yang mengharamkan aktiviti memasak di kampus. Dapur mula menjadi medan eksperimen untuk mencuba manis, masin, masam dan pelbagai rasa.

Setelah bergelar isteri, saya akui bahawa memasak itu perlukan seni. Perkara yang menggembirakan hati ialah apabila insan tersayang makan apa adanya walaupun rasa tidak sesedap mana. Tapi sering juga saya ambil jalan mudah untuk tidak memasak sekiranya sibuk kerana pilihan makanan ada di mana-mana.

kambing masak merah cubaan pertama yang jauh bezanya dengan masakan mak
Kini saya bukan di tanah air, yang pastinya makanan Melayu bukan mudah untuk ditemui. Memasak sendiri juga sangat menjimatkan kos kehidupan, tapi sayangnya bahan bekalan yang kami bawa dari Malaysia tidak sebanyak mana. Alhamdulillah ada beberapa opsyen untuk digunakan sebagai bahan untuk memasak walaupun kosnya yang agak tinggi.

Pastinya Ramadan pertama di bumi Eropah ini saya lebih merasakan keindahan memasak, apabila ada teman-teman dari Malaysia yang memasak bersama-sama. Ada saja resepi yang hendak dicuba, dan saya ambil kesempatan untuk belajar memasak.

kawan2 tadarus a.k.a geng memasak Aston
Hati saya lebih berbunga-bunga apabila ada seorang rakan memberi galakan, katanya: "Adah, tiga tahun di sini insyaAllah bukan sahaja dapat phd, tapi boleh juga jadi pakar masak"

Dan kini kawan baik terbaru saya ialah laman web dan Youtube berasaskan masakan.

Selamat memasak.

Friday 26 July 2013

Homesick



Berjujuran airmata ketika melihat iklan terbaru Petronas ini. Sesungguhnya saya sedar kini saya sedang sakit; Homesick.

Hanya seorang insan yang saya bayangkan ketika menonton iklan ini; Emak.

Emak saya bukan sahaja mengambil upah jahit, tetapi juga membuka kelas menjahit di taman perumahan saya. Emak ada tauliah mengajar jahitan kerana ada sijil khas yang diambilnya di Sg. Abong, Muar. Tapi sayangnya anaknya ini tidak semahir Emak untuk mengambil upah menjahit.

Sejak kecil, semua baju ahli keluarga kami dijahit sendiri oleh Emak. Kata Emak, rugi membazir wang membeli baju jika baju itu boleh dijahit sendiri. Bukan sahaja baju, langsir, alas meja, sarung kerusi semuanya dijahit Emak.

Tapi itu dulu, sejak umur Emak meningkat tua, Ayah menghadkan masa Emak untuk menjahit kerana fizikalnya tidak sekuat dulu. Matanya sahaja sudah tidak terang melihat lubang jarum. Lalu mesin pun hanya berbunyi sekali-sekala, tetapi Emak tetap masih berimpian untuk menjahit itu dan ini.

Saya memahami minat Emak untuk menjahit kerana di situ ada rezeki yang pernah membantu kehidupan kami sekeluarga. Biarpun tangannya luka dicucuk jarum, biarpun bersengkang mata, tapi saya mengerti hatinya puas untuk menjahit biarpun hanya sehelai kain. Itulah pengorbanan Emak membantu Ayah mencari rezeki.

Kini, giliran saya pula untuk berbakti.

Maafkan anakmu ini jika pernah merungut baju raya ku disiapkan lambat.
Maafkan anakmu ini kerana dahulunya tidak mengerti berharganya sebuah jahitan.

Ramadan kali ini buat pertama kalinya kita berjauhan, tapi hakikatnya doa untukmu Emak sentiasa dekat. Semoga Allah merahmati Emak di dunia dan di Akhirat sana, juga buat Ayah agar sentiasa diberikan kesihatan dan umur yang panjang.

Wednesday 24 July 2013

Wordless Wednesday: 15 Ramadan

Time flies. Half of Ramadhaan is over! Before we realise, the whole month will have passed. 
Don't lose out. Make use of every moment. -Mufti Ismail Menk

Saturday 20 July 2013

Memilih Baju Tidak Sesukar Memilih Tajuk Tesis

Bismillahirrahmanirrahim

Apa khabar iman kita? Apa khabar Ramadan kita?

Saya merasakan Ramadan kali ini berlalu dengan sangat pantas di mana diri yang banyak kekurangan ini banyak membazirkan masa keemasan ini untuk mendekatkan diri kepada Yang Esa. Sepuluh Ramadan telah berlalu, kini masuk ke dalam fasa kedua Ramadan. Hati saya menangis...

Sebagaimana tajuk entri ini tertulis, saya masih memilih. Saya pasti kehidupan ini tidak pernah lari daripada membuat satu pilihan. Kita memilih, dan kadangkala terlalu memilih sehingga lupa  bahawa pilihan Tuhan itu lebih baik dari pilihan sesiapa pun.

Membuat pilihan sebenarnya bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Masih ingat bagaimana anda memilih pasangan hidup anda? memilih universiti, makanan, pakaian, rumah dan sebagainya? Ia memerlukan dua prinsip penting:

Tekad
dan
Percaya

Tekad supaya kita berpegang erat dengan pilihan tersebut tanpa menyesali apa saja risiko yang bakal dihadapi kelak.

Percaya dengan diri sendiri agar dapat bertanggungjawab setelah membuat pilihan, dan yang paling penting percaya kepada Tuhan kerana Dia berkuasa menggerakkan hati kita untuk memilih apa yang telah dipilih.

Ayuh membuat pilihan bijak.

Memilih baju tetap tidak sesukar memilih tajuk tesis!

Selamat memilih.

Friday 12 July 2013

Tangan yang memberi

Bismillahirrahmanirrahim

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta.” (HR. Bukhari no.1429, Muslim no.1033)

Biarpun tangan itu milik si pendosa, tetapi yang memberi tetap lebih baik daripada meminta. Allah SWT juga telah berfirman:

"Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya" (Surah Ali-Imran ayat 92).

Ramadan ini, ayuh kita isi dengan amal kebaikan. Sesungguhnya setiap amalan di bulan mulia ini akan dilipat kali gandakan di luar jangkaan kita. Malah Rasulullah SAW sendiri adalah dermawan agung yang tidak pernah lokek untuk memberi. Sebagaimana yang telah diceritakan oleh Ibn Abbas RA:

"Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melebihi angin yang berhembus.” (HR. Bukhari, no.6)

Entri kali ini adalah sekadar perkongsian di mana wang anda akan dimanfaatkan kepada pihak yang lebih memerlukan. Sesungguhnya pilihan di tangan anda, dan tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima.

Rujuk Malaysia Life Line Syria untuk maklumat lanjut

Rujuk Yayasan Khalifah untuk maklumat lanjut

Rujuk Rayuan Ramadan Ikram untuk maklumat lanjut

Beberapa pilihan lain seperti:

Hidup lebih bererti dengan memberi.

Fastabiqulkhairat..

Tuesday 9 July 2013

Ramadan Pertama di Bumi UK

Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 

Segala puji bagi Tuhan yang menemukan kita semua dengan kemuliaan Ramadan dan memberi peluang untuk kita mendekatkan diri kepadaNya tanpa gangguan syaitan. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad sallallahu'alaihiwasallam dan seluruh ahli keluarga dan sahabat baginda.

Alhamdulillah Ramadan bakal tiba tidak kurang dari 24 jam. Bersediakah kita? Bersediakah iman, hati dan seluruh anggota badan kita untuk menahan dari segala aspek dunia? Jawapan itu biarlah tersemat di dada, hanya Tuhan tahu jua apa adanya.


Ini adalah Ramadan pertama buat suami dan saya di bumi Eropah. Ia mengujakan terutama siang di sini lebih lama waktunya berbanding malam. Oleh itu, Muslimin akan berpuasa hampir 19 jam kerana fajar menjelma lebih kurang jam 3 pagi dan matahari terbenam lebih kurang 9.30 malam. Ya, agak lama berbanding di Malaysia tetapi saya yakin bahawa Allah tidak akan membebankan seseorang itu melainkan dia mampu menghadapi apa yang telah ditetapkanNya.

Tertarik dengan artikel "Ramadan in the West: Make it Super Productive", formula yang diberikan penulis ialah:

Intention + Du'a + Planning + Persistence = Productive Ramadan

Sesungguhnya niat adalah penting sebelum memasuki madrasah Ramadan, dan ia perlu disertakan dengan doa agar amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan bukanlah sekadar sia-sia dan hanya mengharapkan Magfirah dan redhaNya. Perancangan perlu dilakukan sebelum, ketika dan juga selepas Ramadan. Usah biarkan perancangan itu hanyalah angan-angan semata-mata, tapi perlu diikuti dengan tindakan dan kegigihan.

Walaupun ada juga perasaan berdebar-debar yang tiba, saya menerima kedatangan dengan hati yang riang ria. Cuaca panas adakalanya membimbangkan hati, tapi saya yakin Neraka Allah lebih panas lagi. 

Ramadan adalah bulan istimewa,
Ada ganjaran untuk setiap kebaikan

Ramadan bukan sekadar lapar dan dahaga
Ia medan perjuangan
Menahan nafsu dan mendidik sabar

Ramadan yang tiba
jangan disiakan setiap detik berharga
bersujud meraih keampunan
menadah redha dan keberkatan
agar setiap amalan diterima
bukan dilakukan kerana pujian manusia
tetapi antara hamba dan Tuhannya.

Kehadapan semua ahli keluarga dan sahabat handai tidak kira di mana juga, Ramadan Kareem, kullu 'am wa antum ila Allah aqrab. Mohon maaf di atas segala kesilapan dan kekhilafan diri ini. Semoga Allah menerima amalan kita semua.

Wallahua'lam

Saadah Khair
11.50pagi
Akhir Sya'ban 1434H