Sunday, 19 May 2019

Dua tahun selepas pemergian Ayah

Bismillahirrahmanirrahim

Ramadan sudah masuk ke fasa yang kedua. Begitu pantas masa berlalu, tapi saya mengharap bahawa saya masih bukan sama seperti selalu yang membiarkan masa berlalu - kadang-kadang tanpa tuju... Tahun ini genap dua tahun Ayah pergi menghadap Ilahi. Ada sesuatu yang terbuku di hati untuk diluahkan di sini...

Dalam dua tahun ini, rasa rindu kepada Ayah tidak setebal dahulu. Tapi doa buat Ayah masih tetap tudak putus agar syurga Firdaus menjadi destinasi terakhir buat Ayah bahagia, jika ada rezeki kita akan bertemu kembali di sana. 

Dalam dua tahun ini, saya masih bergenang jika melihat apa sahaja yang berkaitan Ayah. Terutama kenang-kenangan yang pernah catatkan di media sosial. Saat-saat Ayah pergi tanpa saya di sisinya sehingga kini saya kesalinya...

10 Mei 2017, satu-satunya kenangan menjaga Ayah di hospital, menemani Ayah pulang ke rumah menaiki ambulans, dan Ayah pergi 10 hari kemudian.

Dalam dua tahun ini, setiap kali Ramadan menjelma, pasti ingatan kepada Ayah semakin menebal. Gigihnya solat dan qiyammu. Gigihnya bacaan Quranmu. Pasti terbayang-bayang juga zamanku masih kecil di mana Ayah menasihatkan agar sabar dalam berpuasa, serta ada upah khas buat yang puasa penuh dan khatam Quran. 

Tetapi,

Dalam dua tahun ini juga, terasa semakin jauh pemisah antara kita. Kadang-kadang saya lupa untuk sentiasa bercerita tentang Ayah kepada dua anak lelaki - yang seorang pernah bertemu Ayah, dan seorang lagi lahir hanya ada selepas pemergian Ayah.

Dalam dua tahun ini juga, sudah lama tidak menziarahi pusara Ayah.  Malah, pulang ke negeri kelahiran sendiri juga agak jarang saat ini. Tetapi saya wajibkan diri untuk sentiasa berhubung dengan Emak, sebagai pengganti diri yang jauh di mata tetapi dekat di hati. 

Dalam dua tahun ini juga, terlalu banyak yang ingin dikongsi. Tanggungjawab membesarkan anak semakin hari semakin terasa. Tanggungjawab sebagai pendidik dan juga pelerja juga terlalu banyak tapi masih boleh lagi untuk dibahagikan masa untuk bersama keliatga. Alhamdulillah buat masa ini saya masih bertahan dan boleh menguruskan masa serta tanggungjawab yang ada. Ayah sedikit sebanyak menjadi inspirasi. 

Dalam dua tahun ini juga, entah kenapa merasakan ada jurang antara adik beradik. Antara sebab ialah jarak jauh untuk berjumpa. Jika pulang ke Johor pun belum tentu saya dapat temui semuanya. Anak-anak buah pun semakin besar semakin tidak tahu rupa mereka bagaimana. Jika Ayah ada, pasti akan sering diingatkan bahawa silaturrahim itu sangat penting dan saling berhubung antara satu sama lain.

Alhamdulillah Emak masih ada. Lalu masih ada penguat untuk kami bertukar berita. Saya mengharap kami semua boleh berkumpul dan bermesra, tanpa ada tercalar hati antara satu sama lain. Maafkan diri ini yang sentiasa menggunakan alasan jauh untuk berhubung. Maafkan diri ini jika lupa untuk bertanya khabar. Maafkan diri ini kerana kadangkala mementingkan diri sendiri...

Tahun-tahun yang mendatang, harapanku, agar tidak pernah melupakan Ayah. Moga Allah terima doa anak yang kurang berbakti ini sebagai penerus amalan Ayah untuk dihisab segala kebaikannya. Moga Allah jauhkan Ayah dari azab siksa kubur dan panasnya Jahannam. Moga Allah kurniakan husnulkhatimah dan kekalkannya di dalam syurgamu.

Allahumma Amin..

Sampai ketemu lagi, Ayah
16021939 - 20052017


No comments:

Post a Comment