Bismillahirrahmanirrahim
Hari ini agak kurang kesibukan, mahu tukar gaya menulis blog pula. Entri kali ini adalah perkongsian resepi dari saya yang masih belajar memasak. Keledek ini diperolehi ketika menyambut Aidiladha tempoh hari di perkampungan orang asli di Gua Musang. Nak masak apa ye...
"Tulah, Emak masak tak nak tengok~!". Ini adalah jawapan emak ketika ditanya bagaimana untuk membuat pengat. Saya tak kisah dengan teguran tersebut kerana memang mengakui saya agak susah untuk menolong masak di dapur. Biarlah ditegur atau dimarah, asalkan saya dapat resepi dan mahu belajar mencuba..
Sejujurnya, saya suka dengan pengat buatan Emak. Tidak terlalu manis, tapi sedap-sedap yang bila makan sekali, pasti nak lagi. Dan saya tidak berpandukan langsung kepada Encik Google kerana saya percaya dengan resepi Emak.
Mula-Mula, basuh keledek dengan bersih dan potong mengikut citarasa masing-masing. Emak kata, potong biar senang nak masuk mulut. Tapi potongan saya selalu gagal. Tak cantik!
Sediakan santan dan asingkan santan cair dan santan pekat.
Kemudian, gunakan santan cair untuk masak keledek yang dah dipotong. Biarkan mendidih dan pastikan keledek tadi sudah lembut. Peringatan keras: Jangan biarkan santan tersebut pecah walaupun masih di tahap awal. Masukkan sedikit garam.
Kalau dah lembut, boleh masukkan santan pekat dan gula melaka dengan sukatan mengikut selera masing-masing. Kacau sehingga sebati. Biarkan mendidih dan warna santan akan berubah cantik. Bagi mereka yang mahu masukkan biji sagu (telur katak), dipersilakan letak sebelum matikan api.
Boleh dihidangkan panas-panas atau sejuk-sejuk.
Selamat Mencuba!
No comments:
Post a Comment