Salam Eid al-Adha 1432H
Alhamdulillah, ini kali kedua menyambut Hari Raya Korban di perkampungan orang asli, di tempat yang sama pada tahun lepas. Sekian lama tidak berkhidmat sebagai sukarelawan, akhirnya berpeluang juga menabur bakti, lari daripada dunia kesibukan bekerja ke hutan belantara..
Program kali ini seperti biasa dianjurkan oleh Yayasan Khalifah dengan kerjasama PERKIM cawangan ASDAF, yang diketuai oleh Encik Syamsul. Di antara sukarelawan yang terlibat ialah Azhar Mohamad dan dua kawan sepejabatnya, Zack dan Man; Kak Shariyah, adiknya Amy dan dua kawannya, Noh dan Shuk; Kak Suhaida (Che De) dan empat pelajar DQ, Shabil, Hafizuddin, Taufiq dan Faiz; juga saya. Tidak dilupakan juga Kak Nor, wakil khas dari JAKIM Kelantan sebagai Chef Utama sepanjang tiga hari dua malam. Enam ekor lembu selamat dikorbankan dan dibahagikan di sekitar kampung kawasan Pos Brooke.
Sedikit perkongsian tentang Hikmah berkorban selain daripada mengingati peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Islam, Saidatina Aisyah meriwayatkan daripada Nabi SAW yang bersabda: "Berkorbanlah kamu dengan hati yang redha, sesungguhnya tiap-tiap Muslim yang mengorbankan ke arah kiblat, maka darahnya, kotorannya dan bulunya itu adalah kebaikan dan bakti kepada timbangannya pada Hari Kiamat." (Riwayat Baihaqi)
Istilah berkorban juga sebenarnya tidak terhad kepada mengorbankan haiwan ternakan kerana sesungguhnya menyembelih haiwan korban merupakan saranan untuk berbuat baik kepada diri dan keluarga, serta memuliakan tetangga dan kerabat dan teman- teman dengan bersedekah kepada faqir miskin, tapi ia juga meliputi pengorbanan berbentuk subjektif seperti berkorban tenaga dan juga masa, terutama bagi mereka yang tidak atau belum mampu menjalankan Ibadah Korban.
Korbankanlah masa untuk berdamping dengan mereka yang berada di dalam kesusahan bagi merasa apa yang mereka rasakan..
Berkorbanlah selagi mana kita mampu untuk berkorban, sebelum terkorban..
Wassalam.
**Doa untuk kesihatan ayahanda dan bonda, yang tidak pernah mengeluh dalam mengejar erti pengorbanan..
No comments:
Post a Comment