Monday, 3 June 2013

Jelajah Kota Buku


Sebelum tiba di bumi England, saya sudah tahu Hay Festival akan berlangsung pada 22 Mei - 2 Jun di Hay-on-Wye, dan awal-awal juga sudah minta keizinan suami untuk berkunjung ke sana. Alhamdulillah berkesempatan juga menjejaki Kota Buku pertama dunia setelah menyelesaikan beberapa perkara termasuklah penempatan baru dan pertemuan dengan penyelia.

Sejarah Kota Buku ini tidak perlu diperkenalkan lagi dengan semua pencinta buku di seluruh dunia. Malah pengasas Hay-on-Wye, Richard Booth pernah mengunjungi Malaysia dan terlibat di dalam aktiviti Baca@LRT pada dua tahun lepas (Entri saya mengenainya di SINI). Pertemuan saat itu telah membina mimpi untuk mengunjungi tanah jajahannya yang dipenuhi buku pada suatu hari nanti, dan Alhamdulillah hasrat itu tercapai jua akhirnya.

30 Mei 2013 - Khamis dipilih kerana menurut firasat saya, Hay-on-Wye akan sesak dengan ramai pengunjung pada hujung minggu. Kami bergerak jam 7.30 pagi dari rumah, menaiki tren dari Aston ke Birmingham New Street dan perjalanan menuju ke Hereford (bandar terdekat dengan Hay-on-Wye) bergerak pada 8.49 pagi.


Perjalanan ini adalah buat kali yang pertama kami keluar dari bandar Birmingham sejak tiba pada dua minggu yang lalu. Pemandangan sepanjang perjalanan ke Hereford sangat mengujakan biarpun ia mengambil masa 1 jam setengah untuk tiba ke sana. 


Di stesyen keretapi Hereford, ada bas khas yang akan membawa pengunjung ke Hay Festival. Ia bernilai 10 untuk perjalanan pergi balik, dan yang paling menarik perhatian saya ialah bas dipenuhi dengan warga tua berbanding generasi muda. Kagum dengan kesungguhan generasi tua yang selesa ke mana-mana dengan menaiki pengangkutan awam.

Hujan rintik-rintik. Angin sejuk pagi menggigit tulang.

Ketibaan kami di bandar Hay-on-wye disambut dengan kesesakan lalu lintas. Jalan di sana kecil tetapi toleransi di antara pengguna jalanraya memudahkan segala urusan.


Ada kemudahan bas yang disediakan untuk ke tapak pesta buku dan sekitar bandar yang bernilai hanya 1 sehari, tapi kami selesa berjalan kaki untuk melihat bandar kecil yang penuh buku ini.

 Istana kediaman Richard Booth

 Beautiful!

 Usah lupa bawa bekal sendiri kerana di sini agak sukar untuk mendapatkan makanan halal

 Oleh kerana ini adalah pengalaman pertama, hanya beberapa buku yang saya bawa pulang. Pastinya saya akan mengunjungi kota buku ini lagi.


Hye-on-Wye, jumpa lagi tahun depan!

1 comment:

  1. Terima kasih kerana mengembalikan kenangan menziarahi Hay-on-Wye pada hari ini 2 tahun yang lalu!

    ReplyDelete