Monday, 8 April 2013

Kawan, Teman, Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim

Kehadapan Munira yang dikasihi,

Semoga Allah merahmati dirimu serta keluargamu. Surat ini ditujukan khas buat kamu demi persahabatan ini yang sentiasa aku harapkan agar berkekalan dan dirahmati Tuhan.

Mengenali kamu suatu ketika dahulu adalah suatu kebahagiaan buatku. Lupa pula bagaimana kami bertemu tapi aku tidak akan lupakan persahabatan ini sampai bila-bila.

Sejak di Pusat Matrikulasi, kita selesa berkawan. Berpindah ke Gombak, kita masih rapat biarpun kita mempunyai pengkhususan yang berbeza. Tamat pengajian, aku terus menyambung ke peringkat sarjana, manakala kamu pula terus berkhidmat sebagai pensyarah sebuah kolej.

Alhamdulillah pada tahun akhir pengajian, aku memohon kerja dan mendapat jawatan yang sama di kolej yang sama denganmu. Ada 'chemistry' untuk menemukan kita di mana-mana. Walaupun kini kita dipisahkan dengan jarak, aku mengharapkan hanya ajal maut yang bisa memisahkan persahabatan ini.

Kita pernah meredah hutan bersama, menempuh kesesakan manusia di bumi Kuala Lumpur bersama, ketawa dan menangis bersama, berkongsi manis pahit kehidupan bersama dan aku mengharapkan juga agar kita ke syurga nanti pun bersama, semoga Allah jauhkan api neraka buat kita di Akhirat kelak. 


Bertemu denganmu tempoh hari benar-benar membuahkan rasa bahagia. Sungguh aku tidak berdusta. Rindu. Itu sahaja mampu aku katakan. Sangat rindu.

Jika ada perbuatanku dulu yang mengguris hatimu, maafkan aku.
Jika ada kata-kataku yang pernah melemahkan semangatmu, maafkan aku.
Jika ada apa sahaja yang berkaitan denganku membuat dirimu tidak senang denganku, maafkan aku.

Doaku agar kamu sentiasa mencapai impian yang kau hasratkan.

Doaku agar kamu bertemu si Imam yang bakal memimpin mu untuk membina sebuah keluarga sakinah.

Doaku agar kamu berjaya dan sentiasa mendapat keberkatan di dalam kehidupan samada di dunia mahupun di Akhirat sana.

InsyaaAllah, ada ruang dan peluang untuk kita bertemu lagi. Ingat daku dalam doamu.


Salam Sayang,
Sahabatmu yang penuh kekurangan.

No comments:

Post a Comment