Thursday, 22 May 2014

Viva Kecil

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Tuhan Pencipta Alam serta selawat ke atas baginda Nabi Muhammad sallallahu'alaihiwasallam, saya kembali lagi menulis setelah membiarkan sawang yang mula bersarang. Saya gagal memberi komitmen sekurang-kurangnya lima entri setiap bulan menulis di blog ini.

Saya gagal.

Tetapi kali ini saya tidak mahu berkongsi tentang kegagalan, tetapi mahu bercerita tentang kejayaan. Alhamdulillah saya telah berjaya melepasi sesi yang dipanggil 'panel review' atau mudah dikenali dengan 'defend thesis' atau ada sesetengah universiti yang mengenali sesi ini dengan 'qualifying day' atau 'small viva'. Semua istilah tersebut merujuk kepada sesi pembentangan tajuk tesis yang wajib dihadiri oleh calon-calon PhD yang telah melanjutkan pengajian di dalam lingkungan 10 - 12 bulan. Sesi tersebut akan diadili oleh beberapa panel untuk berbincang tentang penilaian terhadap kajian yang telah dicadangkan. Sebelum menghadiri sesi ini, pelajar wajib menghantar satu bab (6000-8000 patah perkataan) yang akan dihakimi oleh penilai. Kemudian, hasil daripada penilaian akan dibincangkan di dalam sesi tersebut.

Tarikh 13 Mei adalah tarikh bersejarah para penduduk Tanah Melayu, dan ia juga tarikh bersejarah saya menghadiri sesi panel ini. Pada awalnya, keputusan yang saya terima tidak memberansangkan tetapi saya cuba sedaya upaya meyakinkan para panel tentang kajian yang saya jalankan ini. Alhamdulillah sesi berakhir dengan baik dan kata sepakat diambil bahawa kajian ini layak digelar kajian PhD.

Tiada tempat lain saya tujukan kesyukuran melainkan kepada Tuhan. Malah, doa ibu bapa, saudara mara serta sahabat handai banyak menyumbang agar sesi tersebut berjalan dengan lancar. 

Ini adalah langkah pertama, dan masih banyak lagi langkah yang perlu saya tempuhi. Semoga saya diberi kekuatan agar tidak lalai, dan dikurniakan kesabaran agar saya dapat kecapi nikmat di akhir perjalanan kelak.

Perjalanan tahun kedua pun telah bermula....

Pemandangan dari Height of Abraham

3 comments: