“To get through the hardest journey we need take only one step at a time, but we must keep on stepping”. Chinese Proverbs
Monday, 7 February 2011
Silaturrahim Pekanbaru: Edisi 1
Alhamdulillah..
Perjalanan ke Pekan Baru bermula 2 - 6 Febuari 2011 (5 hari 4 malam) dengan niat utama adalah untuk silaturrahim sanak saudara di sana. Akan tetapi saya menambah niat untuk menenangkan hati dan minda setelah menyelesaikan tulisan tesis dan juga tamat menjaga peperiksaan pertengahan semester di IIC.hehe..
Rancangan awal sebenarnya diajak Emak untuk ke Acheh pada akhir bulan ini, tapi tarikhnya jatuh bukan pada waktu cuti, jadi saya terpaksa batalkan niat untuk menemani Emak. Akhirnya Ayah mengambil keputusan untuk meneruskan rancangan yang pernah dibincang suatu ketika dulu untuk ke Pekanbaru, Riau, lebih-lebih lagi saya ada cuti panjang pada Hari Raya Cina. Tidak melepaskan peluang, Abang Zul dan Kak Idayu juga mahu turut serta. Jadi, kami pergi berempat menuju ke destinasi baru.
Ini bukan kali pertama ke tanah Indonesia yang luas itu. Ketika kecil, pernah sekali ke Batam bersama orang tua dan juga arwah Datuk. Tapi memori ketika itu masih belum kuat untuk diingati setiap perjalanan ke sana. Dan tulisan ini sebagai kenang-kenangan perjalanan..
Kata ayah, amat beruntung kalau ada saudara di mana-mana. Mengikut sejarah, arwah Datuk memang berasal dari Indonesia. Kemudian berhijrah ke Singapura dan berkeluarga di sana. Lahirlah Emak sebagai anak yang ketiga. Jodoh Emak bertemu di Malaysia. Dan saya adalah anak jati Malaysia. Dipendekkan cerita, keluarga besar kami berasal tiga negara serangkai.
Di Pekanbaru, dua adik perempuan arwah Datuk menginap di sana. Mereka adalah pangkat Nenek Saudara. Dalam bahasa Jawa, saya harus panggil Nyayi dan Eyang. Kata Emak, saya pernah jumpa mereka ketika mereka berkunjung ke Johor. Saya masih kecil, memori masih belum utuh. Impresi pertama, mereka peramah. Budaya orang jawa adalah melayan tetamu sebaik-baiknya, dan syukur Alhamdulillah kami dilayan dengan sangat baik.
Di sana, saya lebih banyak mendengar berbanding berbicara. Saya mahu menjadi pendengar yang baik, terutama nasihat dan pengalaman orang tua. Wajah Eyang Munasir benar2 mirip arwah Datuk, dan semangat mereka sebagai pendidik juga hampir serupa. Keluarga mereka ada mendirikan sebuah pesantren (sekolah pondok) kecil di sebuah tempat yang dinamakan Pondok Pesantren Khairul Ummah di Air Molek. Sayangnya, kami tiada peluang untuk ke sana kerana masa yang agak suntuk dan destinasi yang agak jauh. InsyaAllah lain kali. Tapi saya kagum. Sangat kagum. Darah yang mengalir sebagai pendidik itu adalah warisan yang harus diteruskan. Kehidupan senang yang mereka perolehi sekarang ini adalah berkat usaha kecil mereka yang ikhlas hanya kerana Allah untuk memandaikan anak bangsa. Kini, dua pakcik saudara yang ada di sana bekerja sebagai Pensyarah Universiti Riau, sudah tamat PhD ketika sama2 dengan Abang Zul ketika di Manchester pada tahun 2005.
Niat Emak untuk silaturrahim mengenal saudara sudah tercapai. Tradisi ini harus diteruskan untuk generasi yang akan datang. Ya, jujur saya katakan, saya lebih mengenal kawan-kawan berbanding saudara sendiri. Syukur yang tidak terhingga kerana Ayah dan Emak sangat menitikberatkan soal kepentingan saudara dan silaturrahim agar ia berpanjangan.
Semoga Allah merahmati seluruh saudara yang ada di pelusuk dunia. Semoga hubungan persaudaraan ini berkekalan dan dirahmatiNYA...
Allah berfirman di dalam Surah al-Hujrat, ayat 10: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”
Perkongsian Abang Zul boleh dibaca di SINI.
Labels:
family,
Life story,
travel
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment