Wednesday, 14 February 2018

Buku: Surat-Surat Perempuan Johor

Sudah lama saya tidak mengulas buku, terutama buku bukan akademik. Sudah lama juga saya berhenti membaca novel Melayu kerana kebanjiran novel-novel fiksi yang menyukarkan saya membuat pilihan, dan berhenti memilih. Tetapi sudah lama juga saya mencari buku ini, dan akhirnya saya berjaya khatamkannya setelah berhenti berulang-kali.

Saya adalah penggemar tulisan Faisal Tehrani. Bersetuju dengan pandangan peribadi beliau adalah pilihan masing-masing dalam diri pembaca itu sendiri. Tetapi saya tidak mampu menafikan bahawa imaginasi tulisan FT adalah antara kegemaran saya yang mempunyai keunikan tersendiri. Buku ini berbeza dengan tulisan-tulisan FT yang lain. 

Buku ini telah diterbitkan seawal tahun 2005 oleh Yayasan Warisan Johor, dan kemudiannya diterbitkan semula pada tahun 2007 oleh Aberdeen Books World. Pada tahun 2016, ia diterbitkan sekali lagi oleh penerbit yang berbeza iaitu DuBook Press Sdn. Bhd.

Bertemakan surat, novel ini dipenuhi dengan surat dan kepelbagaian isi surat, oleh dan kepada individu yang berbeza. 14 surat oleh perempuan zaman kini (Ungku Nur), dan 10 surat oleh perempuan pada zaman kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah (Ungku Hamidah). Dua wanita daripada zaman yang berbeza menjadi watak utama dan mempunyai hubungan darah. Mereka bukan calang-calang wanita, tetapi buku ini mengangkat darjat wanita untuk berani bersuara dan menjadi pejuang agama dan bangsa. Malah peranan sebuah tulisan juga diangkat tinggi, betapa pentingnya nilai sebuah surat!

Sarat dengan fakta dan sejarah negeri Johor dan hubungan rapatnya dengan negara Turki. Buku ini bersifat sedikit akademik kerana menyatakan sumber rujukan di dalam nota kaki. Dan saya sangat hargai setiap rujukan tersebut kerana bukan semua penulis buku merujuk kepada sumber primer. Kepelbagaian bahasa juga boleh ditemui di dalam buku ini, dan semuanya dinyatakan makna agar pembaca boleh menghargai kepelbagaian bahasa tersebut terutama bahasa Melayu klasik.


Sebagai wanita dan anak kelahiran Johor, saya galakkan anda yang mempunyai posisi sama seperti saya membaca buku ini! Saya begitu terkesan selepas membaca buku ini sehinggakan membuat kesimpulan bahawa ada beberapa fakta yang perlu digali semula, malah satu soalan bermain-main di minda, adakah buku ini sekadar rekaan semata-mata?

Selamat membaca!

No comments:

Post a Comment