Bismillahirrahmanirrahim
Lamanya saya meninggalkan blog ini bersawang. Atas beberapa tanggungjawab lain, saya hampir melupakan ruangan ini untuk menulis semua catatan kehidupan.
2019 sudah pun berlalu pergi, dan hari ni sudah pun hari kedua dalam tahun 2020. Banyak kenangan manis dalam tahun 2019, begitu juga beberapa kenangan pahit sebagai perencah asam garam kehidupan.
Antaranya yang boleh dikongsikan di sini adalah seperti berikut:
Afeef memasuki dunia baru, alam tadika dengan penuh kesedihan tetapi Alhamdulillah dia menunjukkan progres yang sangat baik. Belajar banyak perkara baru dan mendapat keputusan yang cemerlang setiap kali peperiksaan menjelma. Tahniah anak ibu!
Saya belajar aktif menulis dalam mewakili sebuah NGO. Banyak tulisan-tulisan yang disiarkan dalam media tempatan, dan ia adalah pencapaian yang membanggakan buat saya untuk menyumbang kepada masyarakat dalam dunia penulisan.
Dalam dunia akademik pula, saya berjaya terbitkan beberapa artikel di jurnal tempatan. Masih belum menembusi jurnal bertaraf Q1 (ia menjadi target untuk tahun 2020). Malah, dua geran telah diperolehi dengan menjadi PI pada tahun ini. Alhamdulillah! Teruja untuk berkongsi juga bahawa saya telah disahkan jawatan pada akhir tahun, dan moga perjalanan akademik saya semakin cemerlang dari tahun ke tahun yang lain.
Sebuah anekdot diterbitkan pada akhir bulan Ogos sempena catatan ke Pesta Buku. Dunia buku memang tidak pernah menghampakan!
Berkisar tentang buku, target yang hendak dicapai tidak dapat dicapai sepenuhnya. Tetapi saya berjaya menghabiskan 40 daripda 60 buku yang disasarkan. Target yang sama untuk tahun 2020, dan saya akan cuba mencapainya, InsyaAllah.
Tidak dapat dilupakan kenangan 'balik kampung Afeef' pada bulan Julai. Alhamdulillah atas nikmat graduasi dan kenangan belajar di Tanah Inggeris tersebut. Ia sebuah perjalanan yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup.
Saya juga menerima berita gembira pada November 2019. Berita ini akan dikongsikan jika sesuai pada masanya insyAllah.
Atas semua nikmat yang diperolehi, tiada tempat yang dituju melainkan rasa syukur kepada Tuhan yang Maha Pemberi, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang memberi rasa bahagia, dan Dia juga berhak untuk menarik segalanya. Semoga Allah jauhkan keluarga kami dalam segala ujian dan mala petaka, dan mengingatkan kami agar sentiasa kembali pada NYA dan sentiasa menjadi hamba yang bersyukur atas setiap nikmat dan ujian.
Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhmadulillah
Semoga tahun baru 2020 ini memberi sinar bahagia yang lebih cerah. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya. Dalam masa yang sama, semoga Allah berikan ketabahan buat kami jika ditimpa sebarang ujian, jadikan kami bersedia untuk semua yang baik dan kurang baik, dan sentiasa beringat dalam apa juga urusan.
Amin.
2 Januari 2020
Nilai
Nilai