Tuesday, 12 February 2019

Lima Kebenaran dalam Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim

Begitu cepat masa berlalu, dan kepentingan masa tiada siapa pun yang dapat menafikan. Malah, Allah telah bersumpah dengan masa. Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam keadaan yang merugikan, kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, saling menasihati dalam kebenaran, dan saling menasihati dalam kesabaran.

Entri kali ini merupakan nasihat yang dijadikan sebagai panduan dan peringatan buat diri saya. Terinspirasi daripada Aida Azlin yang berkongsi tentang 5 Life Truths that Soothed, Slapped and "Shookt" Me dalam Tuesday Love Letter pada hari ini, saya juga ada lima (dan mungkin lebih) kata-kata yang menjadi pegangan hidup yang dikutip daripada pengalaman sendiri dan orang lain.

Pertama: "Dengan harta kita mungkin kaya, tetapi dengan ilmu kita tidak akan papa kedana"

Ini adalah nasihat Ayah yang akan saya pegang sehingga mati. Allahummaghfirlahuwarhamhu. Akhir bulan ini genap dua tahun Ayah meninggalkan kami, tetapi wallahahi saya tidak pernah melupakan Ayah dan setiap bait kata-katanya yang penuh nasihat dan doa. Ayah bukan orang senang, malah dia tidak mewariskan harta buat kami adik beradik melainkan ilmu yang dia bekalkan buat kami. Alhamdulillah kami berlima diberikan pendidikan yang baik dan kami semua sedang berjuang menjadi anak yang baik kepada Emak yang masih ada untuk kami menabur bakti. 

Dengan ilmu, kita mungkin tidak kaya harta, tetapi cukuplah untuk meneruskan kehidupan tanpa mengemis di jalanan. Dengan ilmu, kita mungkin juga akan kaya, tetapi bukan untuk berbangga kerana hidup untuk memberi itu lebih bererti nilainya.

Kedua: "Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu layu"

Ketika remaja, emak suka menyebut kata-kata ini dan jiwa memberontak saya sering menjawab: "habis tu nak ikut apa?" Emak tidak menjawab secara langsung, walaupun dalam bebelannya itu terdapat jawapan untuk saya gunakan akal untuk berfikir. Hanya akal yang boleh menjinakkan hati, rasa, dan nafsu. Hanya akal yang bisa mengawal. Dewasa kini, barulah saya mengerti kerana hati sentiasa berbolak-balik, rasa pula sentiasa berubah-ubah, dan nafsu hanyalah keinginan yang diingini buat sementara. 

HAMKA telah pun berkata: "Hawa nafsu membawa kesesatan dan tidak berpedoman dan akal menjadi pedoman menuju keutamaan. Hawa nafsu menyuruh mengelamun, berangan-angan, tetapi akal membuat pertimbangan."

Ketiga: Baca, baca, dan baca

Membaca adalah jambatan ilmu. Saya jadikan membaca bukan sekadar hobi, tetapi ia perlu dididik menjadi rutin kehidupan. Ayah juga menjadi inspirasi untuk terus membaca, dan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjadikan rutin ini sebagai satu keseronokan untuk anak-anak saya pula. Usah kedekut untuk membeli buku baru, tetapi jangan pula menjadikan buku sebagai perhiasan semata-mata. 

Tetapi di samping membaca, banyakkan juga berdoa supaya apa yang dibaca itu menghasilkan ilmu yang bermanfaat, bukanlah ilmu yang memudaratkan. Sebagai pembaca juga, ilmu yang diperolehi adalah untuk sentiasa memperbaiki diri dan bukan untuk mencari kesalahan orang lain. Semakin meningkat umur, semakin kita perlu menilai buku mana yang perlu dijadikan bahan bacaan, kerana apa yang dibaca itu bakal menggambarkan diri kita.

Related image

Keempat: "Treat the way you like to be treated"

Jika diterjemahkan, ia berbunyi begini "layan orang lain seperti mana yang kamu suka dilayan". Saya masih berusaha untuk menghadamkan kata-kata ini dan mengamalkannya dalam kehidupan harian, sama ada di rumah bersama suami dan anak-anak, di pejabat dengan rakan sekerja, dan di kelas bersama anak murid, atau di mana-mana sahaja. Tidak dinafikan kadangkala kita akan bertemu dengan perkara-perkara (atau orang-orang) yang negatif, dan bagaimana kita berhadapan dengannya adalah sebuah latihan untuk kita sentiasa memandang positif dan memberi layanan yang baik.

Jika kita tidak suka dilakukan sedemikian, ubah cara kita berfikir, bercakap, dan bertindak.

Kelima: Berkejaran dalam melakukan kebaikan

Ia merupakan firman Tuhan di dalam Surat Al Baqarah ayat 148. Malah terdapat banyak ayat al-Quran yang menyuruh melakukan kebaikan. Walaupun demikian, ayat ini mengandungi perkataan kunci iaitu fastabiqu yang bermaksud berkejar, berlumba-lumba, dan bersegera untuk berbuat baik, melakukan kebaikan, menyebarkan kebaikan, menyuruh kepada kebaikan.

Perlumbaan ini adalah di antara akal, hati, dan nafsu, bukan untuk berlumba dengan orang lain. Ia adalah bertujuan untuk menyucikan jiwa dan mendidik hati untuk tunduk kepada arahan Tuhan dan menikmati arahannya dengan berlapang dada. Amalan untuk melakukan kebaikan disokong oleh banyak hadis-hadis Nabi SAW. Antara yang sering menjadi peringatan ialah hadis berikut: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." (Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 1893)

Selamat melakukan kebaikan!

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment