Tuesday, 8 February 2011

Masjid Pekanbaru: Edisi 3

Bersambung lagi...

Kali ini kisah tentang Rumah Ibadah orang Islam yang digelar Masjid, Surau atau Musolla.


Pemandangan Masjid Agong An-Nur selepas Subuh

Pada pagi Hari Raya Cina yang disebut Imlek oleh orang Indonesia, kami berlima berjalan kaki kira-kira 3km menuju ke Masjid Agong An-Nur di tengah bandar Pekanbaru. Siang semalam sempat solat Zuhur di Masjid indah ini, dan kali ini beriadah selepas subuh ke Masjid. Walaupun agak jauh sedikit, tapi kami puas menyaksikan pelbagai ragam kehidupan di sepanjang perjalanan.

Sangkaan saya yang menyangka Masjid akan sunyi setelah subuh tersalah! Rupa-rupanya, masjid ini sudah dipenuhi penduduk untuk beriadah sejak jam 5 pagi. Bukan sahaja lelaki, tapi wanita dan anak kecil juga tersenyum indah di pagi tersebut. Ada yang berjogging, bermain badminton, menunggang basikal, dan ada juga yang berpoco=poco.

Masjid Agong ini bukan sahaja berperanan sebagai rumah Ibadah. Ia menyediakan perkhidmatan WIFI, kelas agama untuk orang dewasa dan tadika untuk anak kecil. Cara merekan mengimarahkan Masjid selayaknya dipuji. Mereka yang bukan Islam juga dibenarkan memasuki Masjid dengan syarat mereka harus menghormati undang-undang Islam. Terdapat juga jualan-jualan di kaki lima Masjid memudahkan mereka untuk mencari sarapan pagi.

Sepanjang 5 hari di Pekanbaru, saya dapat merasa bahawa setiap kawasan dipenuhi dengan rumah ibadah ini walaupun kecil. Boleh dikatakan secara puratanya terdapat 3 hingga 4 masjid atau musola di sesebuah kampung. Dan kagumnya, rumah ibadah ini dipenuhi Muslim setiap kali waktu solat. Berbeza senarionya dengan apa yang ada di Malaysia.


Foto: Masjid paling lama di Pekanbaru berdekatan dengan Tanah perkuburan para pejuang Nasional.

Saya teringat sebuah hadith yang dikongsi bersama pelajar ketika mengajar subject 'Legal Text of al-Quran', "Daripada Uthman bin Affan r.a.. Rasulullah s.a.w bersabda, sesiapa yang membina masjid semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.. Maka, Allah s.w.t akan membina baginya sebuah masjid atau rumah sepertinya di syurga." [Hadith sahih Bukhari dan Muslim]

Perintah untuk mendirikan masjid telah bermula sebaik sahaja Nabi Muhammad s.a.w. tiba dari Makkah ke Madinah. Sejarah itu harus dikenang untuk menunjukkan bahawa pentingnya Masjid sebagai mercu tanda orang Islam. Satu hadith menyokong di mana saydatina Aisyah R.A. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh umatnya mendirikan masjid-masjid dan surau di tempat-tempat perkampungan, dan masjid-masjid dan surau itu sentiasa dibersihkan dan diharumkan. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi)


Masjid Agong di Siak, bersebelahan dengan Sungai Siak. Menjadi tunggak utama Kerajaan Siak mempertahankan Islam.

Kedudukan Masjid yang sangat tinggi di dalam Islam juga telah dinyatakan dalam Surah at-Tawbah, ayat 18, Allah berfirman: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

Wallahuta'ala a'lam...

No comments:

Post a Comment