Saturday 13 August 2011

Terima Kasih Mushrif

Kali ini saya mahu berkongsi tentang seseorang. Ini kali pertama saya mahu bercerita tentang beliau secara terang kerana sebelum ini saya tidak pernah menyebut namanya walau sekalipun di laman mukabuku.

Assoc. Prof. Dr. Ismail bin Hj Abdullah telah dipilih Tuhan untuk menjadi penyelia saya setelah proposal tesis saya diterima oleh Jabatan Quran dan Sunnah, IRKH, UIAM. Sejujurnya saya tidak pernah mengenali beliau sebelum ini kerana tidak pernah menjadi pelajarnya sejak peringkat Ijazah walau namanya pernah disebut beberapa kali oleh rakan seperjuangan.

Pertama kali bertemu beliau mencipta impresi yang baik. Saya senang hati dikurniakan penyelia yang banyak ilmunya. Berijazahkan Usuluddin di Bumi Mesir, kemudian memperolehi Sarjana di UIAM dan PhD di St. Andrew University, United Kingdom menyebabkan beliau menguasai ketiga-tiga bahasa dengan sangat baik, walaupun beliau pernah mengaku kepada saya bahawa tulisan Bahasa Melayunya kurang memuaskan. Sebelum beliau berkhidmat di Kampus Utama UIAM, beliau mengajar terlebih dahulu di Pusat Matrikulasi UIA, kemudian menyambung pelajaran dengan ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. Di UIAM, beliau pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Pengajian Quran dan Sunnah, dan jawatan itu kini dipegang oeh Dr. Mohd Shah Jani. 

Sebagai penyelia, beliau bukan sahaja menyelia tesis berbahasa Inggeris tapi juga tesis berbahasa Arab, dan menjadi pemeriksa tesis daripada pelbagai universiti di Malaysia.

Salah satu buku tulisan beliau yang dijadikan hadiah kepada saya.
Buku ini diguna pakai untuk subjek Ulum Hadith di UIAM dan IIC.

Secara peribadi, saya suka apabila beliau memberi kebebasan penuh kepada pelajar untuk melontarkan apa sahaja idea di dalam penulisan tesis. Jika terdapat kesilapan atau kekurangan, barulah beliau akan memberi komentar dan memberi cadangan penambahbaikan. Dan beliau akan membuat sasaran bila tesis saya harus disiapkan dalam tempoh yang tertentu. Pada awalnya, saya akan menghantar setiap bab yang telah siap kepada beliau, supaya saya lebih berdisiplin. Kemudian, setelah siap, beliau akan memeriksa tesis secara umum sebelum dihantar kepada pihak bahasa dan seterusnya kepada pemeriksa.

Proses menunggu jawapan daripada pemeriksa mengambil masa yang agak lama. Saya tidak jemu bertanya, dan beliau juga tidak jemu memohon agar saya bersabar dan membantu seadanya. Pada masa yang sama, beliau memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Assistant Researcher kepada beliau untuk dua bahan kajian. Kami juga pernah bekerjasama menyertai sebuah seminar antarabangsa di UM dan beliau sekali lagi memberi kepercayaan agar saya menjadi pembentang pada hari tersebut. Projek kajian kami masih berjalan sehingga hari ini dan akan berterusan selagi mana beliau mempercayai saya mampu melakukan yang terbaik.

Setelah sekian lama menunggu, keputusan tesis saya akhirnya keluar dan berada di tangan saya pada 5 Ramadan (5 Ogos 2011). Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dan kejayaan ini takkan berbuah begini tanpa sokongan penyelia dan keluarga serta kawan-kawan yang mendoakan...

Selain hal berkaitan tentang tesis, beliau menjadi tempat rujukan saya untuk menerima nasihat dan mendengar pengalaman hidupnya. Rasanya sudah beberapa kali beliau menjadi perujuk memohon kerja. Galakan dari beliau untuk saya menyambung pelajaran ke arah yang lebih tinggi tidka pernah saya lupakan. Baru-baru ini saya menerima jawatan baru di sebuah Universiti, dan beliau di antara mereka yang banyak membantu memberi nasihat dan dorongan.

Jujur saya katakan, saya tidak mampu membalas segala jasa dan ilmu yang dicurahkan. Doa saya tidak pernah putus agar beliau sentiasa diberi perlindungan dan kebahagiaan dunia akhirat, dipayungi Rahmat Tuhan dan dikurniakan syurga yang kekal selamanya nanti.

Terima kasih Mushrif!

No comments:

Post a Comment