Bismillahirrahmanirrahim
Rasanya sudah lama tidak mencoret panjang lebar di blog dek kesibukan yang menggunung.
Rasanya juga sudah lama tidak menuang bakti ke perkampungan orang asli. Kali ini Ahamdulillah memang sudah diniatkan untuk berhujung minggu pertama di bulan Ramadan (5-7 Ogos 2011) ke sebuang kampung OA dengan menyertai program Yayasan Khalifah. Sukarelawan kali ini ialah Encik Syamsul, Azhar, Ridha, Ikhwan, Kak Suhaida, Safiyyah dan saya.
Tempat yang dituju ialah Pos Simpor, Gua Musang, Kelantan. Bertolak jam 5 pada 5 Ramadan menuju ke Kuala Kubu Baru untuk mengambil seorang teman. Rancangan untuk berbuka puasa di sana tertangguh kerana kesesakan dan sedikit masalah kenderaan. Walau lambat, hidangan makan malam di rumah Cik de cukup sebagai bekalan sebelum bergerak dan bersahur juga.
Sahur pertama di Masjid Gua Musang. Usai subuh terus bergerak masuk ke kampung. Dalam jam 10 kami hampir tiba. Melalui Pos Tohoi sangat menggamit perasaan. Rindu. Pos Simpor akhirnya menjadi ubat apabila kami dihidangkan pemandangan indah di bawah langit Tuhan. Anak-anak itu tidak berbaju, berkaki ayam tapi masih mahu melemparkan senyuman. Mendengar kisah anak-anak itu berjalan kaki pulang dari Tohoi ke Simpor sangat terharu. Kagum dengan kekuatan tapi seharusnya diberi peluang pendidikan dan perubahan ke arah yang lebih baik. Moga anak-anak itu terus kuat menghadapi cabaran.
Agenda penting bermula jam 3, di mana kami mulai bersiap sedia menyediakan bahan masakan dan ratio bantuan kepada penduduk kampung. Amek-amek datang membantu. Anak-anak penghibur lara, senyum tertawa, menangis sedu, lumrah kehidupan kecil yang bahagia. Hidangan cak raya yang tersedia cukup seadanya. Ikan masak kicap, ayam goreng, sup ayam, tamar, dan air milo sekurang-kurangnya menukar menu mereka yang terlalu biasa dengan ubi kayu setiap hari. Makanan lebih diagihkan secukupnya kepada mereka. Benar, ia satu kepuasan pabila membahagiakan orang lain.
Sahur kedua di kampung jam 4.30 pagi. Alhamdulillah usai solat subuh jemaah dan berehat sebentar, kami mula mengemas untuk pulang. Pantasnya masa berlalu. Benar tidak puas. Andai hujung minggu itu bukan hanya dua hari, pasti masa yang dikorbankan di sini bisa lebih lama. Perjalanan pulang dipermudahkan. Zuhur dan Asar kami ditunaikan di Masjid baru Kg Raja, Cameron Highland. Bimbang tiada makanan untuk berbuka, kami singgah sebentar di Bazar Ramadan Berinchang. Hujan lebat sepanjang perjalanan menuju ke Tapah. Maghrib berkumandang di Masjid Tapah, berbuka puasa seadanya, tunaikan dan solat dan terus bergerak pulang.
Alhamdulillah semuanya pulang dengan selamat. Saya percaya dalam sebuah keletihan, pasti ada kepuasan dan pengalaman yang berharga. Terutama Ikhwan, anak murid yang saya bawa. Dia baru sahaja berada di Semenanjung hampir sebulan untuk menyambung pelajaran peringkat diploma di IIC. Semoga dia terus berjaya dan menabur bakti.
Semoga Allah memberi hidayah kepada semua masyarakat Asli di Malaysia ini, agar mereka terus membangun bukan sahaja dari sudut material, malah intelektual dan spiritual.
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment