Wednesday, 7 December 2011

Catatan SLAB


Dua minggu berkursus SLAB benar-benar mengkocakkan minda dan jiwa. Kini, barulah saya mampu mencoret sedikit catatan untuk saya kenang dan boleh diimbas semula oleh anak-anak saya nanti (cewahh).

Kursus Metodologi Penyelidikan Bagi Staf Bakal Bercuti Belajar atau lebih dikenali sebagai SLAB telah diadakan selama dua minggu pada 14-22 November 2011 di Nilai Springs Resort Hotel, Nilai, N.Sembilan. Alhamdulillah perancangan sudah dibuat awal untuk menghadiri kursus ini terutama mengganti kelas-kelas tutorial para pelajar dan penyediaan tajuk serta proposal ringkas.

Syukur kerana menghadiri kursus ini bagi membuat persediaan awal fizikal dan mental untuk menyambung belajar ke arah yang lebih tinggi. Syukur juga kerana bertemu dengan ramai ilmuwan yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman terutama kepada generasi muda. Syukur juga kerana bertemu ramai kenalan baru dari pelbagai latar belakang yang membolehkan kami bertukar-tukar pendapat dan cerita yang berbeza. Syukur sangat kerana peluang ini adalah hadiah dari Tuhan!

Agak sukar jika dikongsikan setiap slot yang berharga di dalam ruangan yang sempit di sini. Tapi ingin saya simpulkan beberapa perkara yang perlu menjadi peringatan buat diri saya.

Pertama. BACA, BACA, BACA dan BACA. Perkataan ini diulang-ulang oleh hampir semua penceramah ketika kursus. Walaupun memang baca adalah kegemaran saya, baca yang dimaksudkan oleh prof-prof terbabit perlu disertakan bersama ANALISIS dan CATATAN IDEA. Baca mungkin adalah perkara mudah yang boleh dilakukan semua pelajar, tapi membaca akan lebih bermanfaat apabila bahan bacaan dianalisa, dikaji dan dikritik secara sihat, dan perlu membuat penulisan peribadi agar apa yang difikirkan tertulis di atas kertas.

Kedua. CATAT! Prof. Zaiton ada berpesan pada hari ketiga, "If you have any idea, jot it down! As long as the idea is not written, it will be not accepted", sama juga disarankan oleh Prof. Rosalina, "Write anything from your mind in the beginning of your study till the end.." Bukankah sama juga dengan pesanan Ulama;  "قيدوا بالكتابة"

Ketiga. Usah terlalu memberi tumpuan sepenuhnya kepada belajar sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain. Ini adalah peringatan yang sangat penting. Saya sangat tertarik dengan pesana Prof. Madya Dr. Saedah, dia berkata "Do not only focus on horizontal  relationship (with human being), and do not ever forget on Vertical relationship (with God)", malah pesanan demi pesanan diingatkan agar usah pernah lupa pada tanggungjawab sebagai anak, isteri, suami, kakak, abang, emak atau pun ayah ketika bertungkus lumus menyiapkan phD. Mereka adalah sumber inspirasi kejayaan. Kejayaan kita tidak mungkin bernilai tanpa sokongan dari ahli keluarga.

Keempat. Masa.  Bijaklah mengurus dan memanfaatkan masa. Belajarlah untuk multi-tasking bagi memudahkan urusan dan menjimatkan masa. Kerja memang tidak akan habis, tapi kita lah yang harus bijak menghabiskan kerja dengan kadar yang sepatutnya. Menguruskan masa perlu diiringi dengan disiplin diri yang tinggi.

Kelima. Belajar untuk dikritik! Kebanyakan orang yang berjaya pasti akan berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada idea ditolak mentah-mentah, proposal dibuang tanpa dibaca, hujah dikritik habis-habisan. Oleh itu, sentiasa berfikiran positif supaya kritikan tersebut boleh membina daya usaha yang tinggi dan yakin bahawa setiap usaha akan dinilai dan kemudian Insyaallah akan berjaya.

Keenam. Berkongsi. Kongsilah ilmu dengan ramai orang. Minta pendapat dan pandangan orang lain bukan sahaja dari bidang yang sama, tapi dari pelbagai bidang. Ilmu Allah sangat luas. Cendekiawan juga sangat ramai. Melakukan kerja seorang diri selalunya hanya akan menambah beban di minda, berbanding dengan berkongsi dan meminta pendapat orang lain. Kadang-kadang, orang yang tidak disangka mampu memberi pandangan yang baik walaupun hanya sedikit.

Ketujuh. Passion and Patience. Minat dan Sabar. Melakukan sesuatu kerja tanpa minat hanya akan menghasilkan kerja yang sia-sia. Berminat tapi tidak sabar juga hanya akan menghasilkan kerja yang tidak berkualiti. Kedua-dua perkara ini harus ditanam dahulu sebelum melangkah ke alam PhD. Jika tiada minat, berhentilah sekarang, jika tidak mampu bersabar, masih punya waktu untuk anda menukar bidang.

Walaupun hanya tujuh perkongsian, ia sarat dengan pesanan dan peringatan buat diri saya dan kawan-kawan yang bakal menyambung belajar. Bak kata Dr. Rusydan: "When you start, you'll have to finish it! Don't turn back!"

Akhir kalam, ikhlaskan niat untuk belajar kerana Allah, kerana niat utama ini akan membantu dalam mendapat tujuan-tujuan yang lain. Jika niat utama adalah hanya untuk mendapatkan gelaran dan pangkat, ya mungkin kalian akan dapat, tapi kalian pasti kecewa kerana gelaran dan pangkat itu hanyalah sementara di dunia kerana Rahmat Tuhan adalah penting di dunia dan terutama di akhirat kelak.

"Begin with an end in mind"


بالتوفيق والنجاح

No comments:

Post a Comment