Friday, 21 February 2014

Buku: Ulu Yam di Liverpool

Penulis: Nazali Noor

Buku kali ini adalah kisah kehidupan seorang pensyarah yang berhijrah daripada Ulu Yam ke Liverpool. Tertarik dengan buku tersebut kerana sememangnya saya adalah peminat buku travelog, saya membeli secara online dan meminta bantuan dari seorang rakan untuk membawanya ke Birmingham. Beliau juga menyambung pengajian seperti saya. Buku ini baru juga dilancarkan tahun lepas setelah beberapa bulan saya tiba di bumi ratu ini.

UYDL banyak mengisahkan tentang kehidupan peribadi penulis daripada sejak kecil sehinggalah kejayaannya menjadi pensyarah kanan di Liverpool John Moores University, malah berjaya membeli rumah sendiri di England biarpun penulis bukan berstatus PR.

Saya dapat simpulkan bahawa peribahasa Melayu "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian" memang menjadi satu motivasi terbaik bagi mereka yang pernah mengalami kesusahan. Allah juga telah meyakinkan sebanyak dua kali di dalam Surah al-Insyirah bahawa setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Penulis banyak berkongsi tentang cabaran dan ujian yang beliau hadapi telah membakar semangatnya untuk memperolehi kesenangan di kemudian hari, terutama untuk membalas jasa orang-orang yang baik di sekelilingnya dan menjanjikan kebahagiaan buat isteri dan anak-anaknya.

Liverpool memang popular dengan pasukan bolanya yang memegang kata-kata "You Never Walk Alone". Jadi tidak hairanlah penulis sekeluarga adalah penyokong tegar pasukan tersebut. Saya belum berkesempatan ke stadium bola Liverpool biarpun pernah bermalam di Liverpool ketika mengikuti rombongan ke Scotland akhir tahun lepas. Rasanya pengalaman satu malam di Liverpool terlalu sedikit untuk diceritakan. Insyaallah saya dan suami pasti mengunjungi lagi ke Liverpool kerana di situ terletaknya jeti untuk menaiki feri menuju ke Isle of Man, tempat idaman suami menonton perlawanan lumba motorsikal.

Berbalik kepada buku UYDL, kisah-kisah di dalamnya tidak begitu tersusun. Malah ia lebih bercorak santai berbanding buku Aku Melayu di Kota Inggeris yang juga menceritakan travelog kehidupannya yang menyambung pengajian di Lempeter, UK. Kedua-dua buku ini mempunyai kekuatan yang tersendiri. Tetapi ada satu kelebihan penulis yang tidak saya nafikan ialah tulisannya mampu mengubah perasaan pembaca bertukar kepada sedih, cemas, dan gembira. Ada juga beberapa bahagian di dalam UYDL yang bersifat keagamaan, dan seronok membaca apabila anak-anaknya dipupuk dengan nilai-nilai Islam walaupun membesar di tanah barat.

Saya akhiri entri kali ini dengan peribahasa Melayu "Hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri." Sesungguhnya saya pasti penulis (dan saya) merasakan kehidupan di negara orang ini seperti dihujani emas yang tidak henti. Terlalu banyak perbezaan jika dibandingkan dengan negara sendiri. Ambillah emas-emas tersebut, dan berkongsilah dengan keluarga dan sahabat kita yang dihujani batu di tanah Melayu. Inilah yang saya fikirkan sekiranya tiba-tiba terlintas di fikiran saya untuk terus menetap di bumi Inggeris ini sekiranya selesai pengajian kelak..

Saadah Khair,
Dari JB ke Birmingham.

Info tambahan: Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas penulis yang telah meninggal dunia pada 9 Julai 2020 di Liverpool, UK.

Friday, 14 February 2014

Kembara ke Oxford


Menyebut nama Oxford pastinya ramai yang terbayangkan betapa hebatnya University of Oxford di mata dunia. Memegang tempat kedua di ranking dunia, saya berkobar-kobar ingin mengenali bandar Oxford yang mengambil masa satu jam lebih perjalanan dari Birmingham.

Tujuan utama kembara kali ini ialah untuk menjejaki gedung ilmu dan berhasrat untuk meminjam beberapa bahan rujukan daripada perpustakaan universiti. Alhamdulillah sebagai pelajar, saya diberi kelebihan untuk mengakses mana-mana perpustakaan universiti yang terpilih melalui skim sconul, dan Oxford Library termasuk di dalam senarai tersebut.

Memandu kenderaan sendiri ternyata mempunyai kelebihan dan kekurangan. Di antara kelebihannya ialah tiada halangan masa, lebih relaks dan boleh membawa bekal makanan dengan lebih mudah. Tetapi kekurangan utama ialah letih mencari kawasan parkir kereta yang kebanyakannya terhad dan sangat mahal terutama di hujung minggu.

Destinasi pertama kami ialah universiti dan bangunannya tidak tersusun (sama seperti yang telah digambarkan oleh seorang rakan). Tiada papan tanda besar universiti, malah Oxford rupanya bandar kecil yang dipenuhi dengan penunggang basikal. Saya memasuki perpustakaan dengan penuh bersemangat tetapi rupa-rupanya saya tersilap. Perpustakaan yang saya masuki bukanlah perpustakaan yang saya harapkan, ia adalah destinasi pelancong untuk melihat kawasan penggambaran Harry Potter dan ternyata ia perlukan bayaran. Saya juga baru tahu bahawa ada hampir 10 perpustakaan di Oxford!



Walaupun saya adalah di antara peminat Harry Potter tetapi ia tidak termasuk di dalam perancangan saya menjejaki Oxford. Saya mengambil peluang ke muzium berhampiran dan ada sesuatu yang lebih menarik minat saya, iaitu kedai buku!

Blackwell adalah penerbit dan penjual buku sejak tahun 1879 dan ada beberapa cawangan terletak di Oxford. Memasuki kedai buku Blackwell di Oxford ini adalah seperti memasuki rumah 4 tingkat yang lengkap dengan bilik air percuma, kedai kopi, dan ruangan membaca yang selesa. Saya terus menuju ke kawasan buku-buku terpakai (2nd hand books) kerana saya tahu ia menawarkan harga buku yang lebih murah dan kualitinya juga masih baik. Jujur saya menjadi sangat tamak untuk membeli buku-buku tersebut tetapi masa yang ada adalah sangat terhad memandangkan waktu parkir kereta hampir tamat. 

hasil membeli-belah

Kami mencari lagi kawasan parkir kereta yang lain, dan kali ini berhasrat untuk melihat beberapa tinggalan sejarah di Oxford. Ada satu istana lama yang terletak di belakang bukit yang kecil. Kami tidak bercadang untuk masuk ke istana kerana pastinya ia memerlukan bayaran, jadi kami mengambil keputusan untuk mendaki bukit tersebut. Di atasnya kami dapat melihat bandar Oxford dan angin sangat kuat meniupi kami untuk turun daripada bukit yang kami sangkakan ianya percuma. Tetapi rupa-rupanya pengunjung perlu buat bayaran terlebih dahulu sebelum mendaki, malangnya kami tidak membawa sebarang wang tunai untuk membayar kepada pegawai yang datang memeriksa semua pengunjung istana rahsia. Saya mendapati bahawa papan tanda masuk ke bukit tersebut tidak begitu terancang sehingga kan ramai pengunjung tidak mendapat maklumat yang sebenar. Akhirnya kami dihalau setelah perjalanan kami di atas bukit tersebut selesai. Oh, jimat duit! hehe..



Setelah dihalau (baca: lari), kami menemui satu lagi bangunan terlama yang telah didirikan di Oxford. Ia terletak betul-betul di kawasan membeli-belah Oxford. Walaupun bandarnya kecil, tetapi masih sesak dengan pengunjung dari pelbagai latar belakang manusia. Sesak tetapi seronok melihat gaya dan ragam manusia. Ramai juga warga Malaysia yang kami temui berminat dengan bandar comel Oxford ini. Makanan halal juga mudah ditemui, tetapi kami tidak berkesempatan untuk mencari masjid yang berhampiran.

Waktu siang yang pendek mencemburui kami. Ketika perjalanan keluar daripada Oxford, saya ternampak perpustakaan yang ingin saya kunjungi di awal rancangan perjalanan kami. Tetapi sayangnya, bukan kali ini. Insyaallah saya akan datang lagi ke Oxford dan yang pastinya lebih selesa dengan pengangkutan awam dan berjalan kaki atau menyewa basikal mengelilingi Oxford.

Sampai ketemu lagi!