Saturday, 25 May 2019

Tujuh Tahun


Seperti biasa, dia akan bangun dulu. Basuh pinggan di sinki dan panaskan makanan semalam untuk bersahur setiap hari. Setelah selesai, barulah dikejutkan isteri yang tidur diapit anak-anak kiri dan kanannya. 

Seperti biasa juga, anak kedua akan bangun jika ibunya bangun. Hanya ada beberapa hari sahaja mereka dapat sahur berdua. Pasti si anak mahu menemani sama ada makan bersama atau menangis minta ditidurkan semula. 

Cuma pada hari ini, anak kedua masih belum berjaga. Ibu dan Ayah dapatlah menikmati sahur dengan tenang buat seketika. 

“Abang ingat tak hari ni hari apa?”
“25 haribulan”
“Hari apa?”
Anniversary kita”
“Hehe, ingatkan dah lupa”
“Orang ingatlah”

Tapi, mereka sepakat bahawa sambut ulangtahun perkahwinan tahun ini akan dibuat di rumah sahaja. Memandangkan anak kedua masih dikuarantin dek virus jahat bernama chicken pox

“Saya baru rancang nak tempah berbuka di luar hari ni”
“Takpelah, tunggu adik baik dulu”
“Ok, kita sambut lambat sikit lah tahun ni ya”
“Ok”

Tujuh tahun adalah tempoh yang baik untuk terus bertoleransi. Sejujurnya, masih gaduh sehingga kini. Tapi salah seorang pasti akan mengalah. Mengalah juga bukan bererti kalah. Tudak mengalah pun tidak bererti menang. Ia bukan soal siapa kalah atau menang. Perkahwinan bukan sebuah perlumbaan, tapi saling memberi dan memahami antara satu sama lain. 

Tujuh tahun juga mungkin masih tempoh yang pendek untuk mengenal luar dan dalam. Kadangkala kita faham dan dalam masa yang sama sengaja untuk tidak faham. Kerana memahami itu sebuah proses yang panjang untuk sebati dalam sebuah ikatan yang terbina. 

Alhamdulillah untuk tujuh tahun yang bahagia ini. 
Alhamdulillah kerana masih setia di sisi, walaupun banyak kekurangan diri. 
Alhamdulillah atas nikmat Tuhan yang melimpahkan kasih sayang buat keluarga ini. 

Salam cinta dan sayang!
Semoga Allah berkati kita dan zuriat kita semua.


No comments:

Post a Comment