Tahun ini saya berpeluang lagi berkunjung ke Hay Festival 2014. Kali ini pengalaman agak berbeza dengan tahun lepas (rujuk SINI) di mana saya dan suami berkhemah satu malam di tapak perkhemahan yang tidak jauh dari kawasan festival. Ia adalah satu pengalaman yang sangat berharga buat kami berdua.
Seperti biasa, festival ini diadakan pada cuti sekolah. Tetapi bagi yang sudah maklum dengan keadaan British Weather, cuaca berubah-ubah dengan hujan dan panas. Kesan hujan berpanjangan minggu lepas menyebabkan jalan penuh dengan lumpur tetapi ia tetap bukan halangan untuk meneruskan festival yang penuh keriangan. Saya tidak berhasrat untuk menghadiri sebarang seminar ketika kunjungan kami ke festival, tetapi seronok meraikan festival yang menghargai para penulis dan aktivis buku, dan paling mengujakan ialah di adakan di sebuah kota buku pertama di dunia.
Satu keasyikan yang tidak dapat dirasai di tempat lain ialah kedai buku yang memenuhi setiap ruang kota kecil tersebut. Setiap kedai buku mempunyai tarikan yang tersendiri. Tertarik untuk saya kongsikan beberapa kriteria penting yang perlu ada pada sebuah kedai buku. Kriteria ini saya perolehi dari pengalaman berkunjung ke kedai-kedai buku, khasnya di Kota Inggeris ini.
1. Peta kedai dan label buku
Label buku adalah perkara paling utama yang perlu diberi perhatian penting supaya pengunjung boleh mencari buku dengan mudah. Paparkan peta kedai buku mengikut apa cara susunan sama ada mengikut nama penulis, genre, atau bidang yang khusus. Label perlu jelas, terang dan menarik.
2. Tidak terhad kepada buku baru
Kedai buku tidak semestinya menjual buku-buku baru sahaja yang merangkumi pelbagai genre. Ini adalah kerana tidak semua pembaca mempunyai kemampuan kewangan yang sama. Buku terpakai dijual dengan harga yang lebih murah, bergantung kepada kondisi sesebuah buku. Ada kedai buku yang saya temui menyediakan ruangan khas untuk buku-buku terpakai, dan saya pasti ia juga memberi keuntungan kepada pemilikkedai tersebut.
3. Mesra kanak-kanak
Kedai buku yang bijak perlu menyediakan ruangan khas untuk buku kanak-kanak, di mana kebanyakan yang saya temui biasanya sangat menarik dan kreatif. Ia penting bagi mengelakkan gangguan para pengunjung dewasa yang ingin bersendirian dengan buku-buku pilihan mereka.
Ada juga kedai buku yang mengambil langkah untuk tidak menawarkan sebarang buku kanak-kanak, dan pengunjung perlu faham menghormati bahawa pemilik kedai hanya menyediakan perkhidmatan untuk kaum dewasa sahaja.
4. Sediakan kawasan membaca
Kedai buku yang menyediakan kawasan membaca sebenarnya sangat attentif dengan pelanggan mereka. Ada kedai buku yang menyediakan beberapa sofa dan meja untuk pengunjung duduk dan baca buku pilihan mereka. Ada juga kedai buku yang sekadar meletakkan kerusi kecil di setiap sudut rak buku bagi pembaca mengubati penat berdiri dan lelah mencari buku. Usah halang pengunjung untuk membaca buku-buku yang ada, tetapi boleh tegur secara berhikmah untuk pengunjung bertanggungjawab sekiranya mereka merosakkan buku yang tidak dibeli.
5. Sediakan cafe
Saya sangat sukakan idea ini. Ada pendapat mengatakan bahawa buku dan kopi itu berpisah tiada. Tetapi kemudahan ini adalah pilihan dan bukan kewajiban, bergantung kepada saiz kedai buku tersebut. Pemilik kedai buku yang menyediakan cafe boleh membuat syarat tertentu di mana hanya buku dibeli sahaja dibenarkan masuk ke cafe, bagi mengelakkan air tertumpah ke atas buku yang tidak dibeli.
6. Sediakan kemudahan tandas & surau
Seperti cafe, kemudahan ini adalah optional dan bukan kewajiban. Tetapi tidak salah menyediakan tandas dan ruangan solat sekiranya kedai buku tersebut amatlah besar. Malah, ia boleh menyebabkan pengunjung akan datang lagi dan lagi kerana dua kemudahan ini.
No comments:
Post a Comment