Sunday, 1 June 2014

Surau di Tanah Inggeris


Setahun di Tanah Inggeris, saya rindukan azan yang berkumandang lima kali sehari. Terdapat beberapa masjid yang didirikan di Birmingham, akan tetapi azan hanya dibenarkan di dalam masjid agar tidak menganggu kawasan sekelilingnya. Malah masjid tidak didirikan di semua kawasan seperti di Malaysia, surau juga tidak mudah ditemui terutama di kawasan yang majoriti penduduknya ialah bukan beragama Islam. Oleh itu, adakah ia menjadi alasan untuk tidak mendirikan solat di Tanah Inggeris?




Masjid berasal daripada perkataan Arab ‘sajada’ yang bermaksud sujud. Manakala surau ialah perkataan bahasa Melayu yang merujuk kepada tempat beribadat yang lebih kecil berbanding masjid. Surau kebiasaanya tidak mempunyai rupa bentuk yang tetap. Ia mungkin sekadar bilik kecil, bergantung kepada masyarakat setempat. Konsep surau adalah sama seperti masjid iaitu menyediakan ruang untuk Muslim beribadat dan menunaikan rukun Islam yang kedua. Walaupun masjid mempunyai imej yang lebih gah dan kegunaan yang lebih menyeluruh, surau juga sangat penting untuk dibina di kawasan-kawasan yang tertentu.

Di England, istilah surau tidak pernah diperkenalkan. Tetapi ada beberapa istilah lain yang digunakan merujuk kepada istilah tersebut.

1.      Multi-Faith Prayer Room
Saya temui istilah ini ketika pertama kali tiba di Birmingham. Bilik untuk kegunaan semua agama ini disediakan di lapangan terbang Birmingham dan juga di beberapa lokasi yang lain. Istilah ini agak popular dan lebih diterima pakai di bandar-bandar besar England.



2.      Quiet Room
Bilik ini disediakan untuk kegunaan umum, tidak semestinya untuk beribadat. Tetapi pengguna perlu menghormati antara satu sama lain dan tidak dibenarkan membuat bising lebih-lebih istilah ini membawa maksud ‘bilik senyap’. Saya temui istilah ini di Chesire Oak Designer Outlet dan beberapa pusat membeli-belah yang lain.

3.      Contemplation Room
Pertama kali saya temui istilah ini ialah ketika mengunjungi Birmingham Library. Terkejut kerana ruang di dalamnya agak besar, malah bilik wuduk juga disediakan dengan reka bentuk yang moden. Istilah ini juga boleh ditemui di pusat membeli belah.

ruangan wudu'

4.      Fitting Room
Istilah ini adalah pilihan terakhir. Ia bukan untuk beribadat tetapi untuk mencuba pakaian di kedai-kedai tertentu, terutama sekiranya terlalu sukar mencari ruang lapang untuk mendirikan solat, khas bagi wanita seperti saya. Saiznya memang kecil tetapi cukup untuk mendirikan kewajiban.

Sekiranya saya mengunjungi ke kawasan perkampungan Inggeris, agak sukar untuk menemui bilik-bilik yang dinyatakan sebelum ini. Tetapi ia bukan alasan untuk meninggalkan solat kerana solat ialah tiang agama. Sebagai rukun Islam yang kedua, menunaikan solat adalah kewajiban setiap Muslim tidak kira sihat atau sakit, di laut, di udara atau pun di darat. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Telah dijadikan bumi untukku menjadi alat bersuci dan tempat bersujud. Kerana itu hendaklah seseorang di antara kamu solat di mana sahaja ia dapat. (Sahih Bukhari)

Baginda juga pernah menyatakan bahawa keseluruhan bumi ini adalah masjid untuk umatnya, sabdanya di dalam hadith: Di mana sahaja kamu dapati solat maka kerjakanlah ia. Semua tempat adalah masjid (bagi kamu).” (Riwayat Ahmad)

Walaupun demikian, ada beberapa kawasan yang ditegah untuk mendirikan ibadat, seperti dinyatakan di dalam hadith yang telah diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab. Rasulullah SAW melarang seseorang mengerjakan solat di tujuh tempat: tempat pembuangan sampah, tempat penjagaan dan penyembelihan binatang, kawasan perkuburan, di tengah jalan, di bilik mandi, di tempat pertambatan unta, dan di atas Ka'abah. (Riwayat Ibnu Majah)

Hal ini jelas dibincangkan oleh beberapa ulama bahawa setiap sudut di atas bumi ini boleh didirikan ibadat di atasnya melainkan di beberapa tempat tertentu yang kotor, bernajis atau dirasakan tidak sesuai. Keputusan terletak di tangan kita, tetapi ingatlah bahawa setiap amalan kita terletak di ‘tangan’ Tuhan di Akhirat kelak.

Saya berpengalaman untuk solat di tanah lapang kerana tidak menemui ‘surau’. Alhamdulillah tiada reaksi negatif yang dipamerkan oleh orang sekeliling yang melihat tindakan saya yang mungkin pelik pada pandangan mereka. Mereka pastinya tahu agama apa yang saya praktiskan kerana saya adalah wanita berhijab. Sepanjang berhijrah ke negara ratu ini, saya belum lagi menemui kesukaran untuk mendirikan solat. Akan tetapi, saya perlu membuat perancangan bijak sebelum bermusafir ke lokasi yang belum pernah saya kunjungi. Kebiasaannya, semua maklumat mudah didapati melalui internet dan saya boleh memeriksa waktu solat dan lokasi yang sesuai untuk saya dirikan solat.

Memasukkan isu solat sebelum memulakan perjalanan adalah sangat penting bagi saya. Berbeza dengan Malaysia yang masjid dan surau mudah didapati di mana-mana, ‘surau’ di Tanah Inggeris mempunyai istilah berbeza-beza. Adalah penting kepada Muslim untuk mengetahui istilah-istilah tersebut dan kegunaannya serta lokasinya juga untuk menunaikan kewajiban kepada Tuhan. Oleh yang demikian, satu alasan pun tidak boleh diterima untuk meninggalkan solat walaupun di negara bukan Islam.

No comments:

Post a Comment