Assalamualaikum
Segala puji bagi Tuhan yang mencipta kejayaan dan kegagalan. Dia sebaik-baik perancang yang sentiasa berjaya dan tidak pernah gagal. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad sallahu'laihiwasallam dan seluruh ahli keluarga dan para sahabat. Sesungguhnya Rasulullah adalah contoh terbaik yang pernah merasai erti sebuah kejayaan dan juga kegagalan.
Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,
Saya hanyalah pelajar biasa yang pernah menduduki UPSR pada tahun 1996. Saat itu, saya memikirkan bahawa UPSR adalah satu peperiksaan yang sangat sukar. Lebih-lebih lagi saya bersekolah di sekolah swasta yang mewajibkan pelajar-pelajarnya untuk mengambil UPSRA yang mengandungi lima mata pelajaran agama. Saya hadiri pelbagai aktiviti motivasi untuk meningkatkan prestasi pembelajaran, kerana saya bukanlah di kalangan pelajar bijak di sekolah. Apa yang terjadi sebelum dan ketika UPSR tidak begitu lekat di ingatan, tetapi saya tidak boleh lupa wajah ayah ketika keputusan UPSR diumumkan. Ayah nampak kecewa kerana saya hanya mampu skor A untuk satu seubjek sahaja, dan B untuk subjek-subjek yang lain. Oleh kerana keputusan tidak begitu memberangsangkan, saya dihantar ke sekolah agama bukan kerajaan berasrama penuh. Tetapi Ayah tidak pernah berhenti untuk memberi sokongan dan galakan untuk saya terus belajar dan berjaya sehingga kini. Walaupun kemudiannya PMR dan SPM juga saya tidak pernah skor A berderet, tetapi saya mendapat anugerah ketika tamat ijazah sarjana muda, mendapat biasiswa penuh ketika menyambung master, dan kini bergelar calon PhD di salah sebuah 100 universiti terbaik dunia.
Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,
UPSR pasti menjadi satu kenangan yang tidak akan dilupakan sama ada ia membawa memori suka atau duka. Saya pasti apa yang terjadi pada tahun ini akan lebih diingati apabila soalan kertas Sains dan Bahas Inggeris bocor, dan kalian harus menduduki peperiksaan semula. Saya juga pasti bahawa kalian adalah mangsa ketidak-jujuran sesetengah pihak yang juga pernah menduduki UPSR suatu ketika dahulu atau apa saja nama peperiksaan yang mereka pernah duduki ketika sekolah rendah suatu masa dahulu. Siapa saja yang suka mengambil peperiksaan berulang kali? Jika ditanya kepada si pembocor kertas soalan, adakah dia mahu untuk menjawab kertas soalan untuk kali kedua?
Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,
Tujuan surat ini ditulis bukanlah untuk mencari salah pihak yang bersalah, tetapi memberi semangat pada kalian agar tidak mudah mengalah dan menyerah kalah. Jadikan peristiwa September bersejarah ini sebagai satu lonjakan untuk kalian berfikir apakah jalan yang terbaik untuk menggapai kejayaan. Soalan yang telah bocor mungkin menjadi cara pendek bagi orang-orang tertentu untuk berjaya, tetapi niat tetap tidak menghalalkan cara. Kejayaan itu bukanlah terletak pada hasilnya sahaja, tetapi dinilai juga melalui perjalanan untuk mencapai kejayaan tersebut. Ada yang mendapatkan kejayaan dengan cara yang susah, ada juga yang mendapatnya dengan cara yang mudah, tetapi caranya harus betul biarpun perlu menempuhi kegagalan terlebih dahulu.
Adik-adik yang menjalani peperiksaan UPSR tahun 2014,
Saya mendoakan agar kalian semua berjaya.
Bilangan 'A' bukanlah ukuran. 'D' atau 'F' juga tidak perlu dipersalahkan.
Salam perjuangan!
Saadah Khair
No comments:
Post a Comment