Thursday, 30 April 2015

Hatiku Tertinggal di Cornwall

Bismillahirrahmanirrahim

Percutian ke Cornwall sebenarnya telah dirancang lama sejak tahun lepas demi mendapatkan harga yang murah. Tidak disangka, saat kandungan saya genap 36 minggu, itulah tarikhnya kami menuju kawasan hujung England yang masyhur dengan kawasan pantai yang indah. Tidak diduga juga, malang tidak berbau, kami diuji dengan sedikit kemalangan. Alhamdulillah ada seorang teman yang sememangnya dalam perancangan akan mengikuti kami, telah memberi keizinan untuk menggunakan kereta beliau sepanjang 4 hari 3 malam ini..

Kebarangkalian besar ini adalah percutian kami sebelum bergelar ibu dan ayah. Dengan energi yang semakin berkurangan dan emosi yang sentiasa berubah-ubah, saya gagahkan juga ke lokasi-lokasi berikut:


Ini adalah lokasi penginapan kami sepanjang 3 malam. Alhamdulillah dengan harga tidak mencapai £100 untuk 3 malam, kami berpuas hati. Walaupun caravan kali ini agak kecil berbanding dengan pengalaman-pengalaman yang lalu, tetapi ia adalah kawasan yang tidak membenarkan anjing masuk dan mempunyai akses ke laut yang sangat mudah.

caravan yang mengadap laut ini beribu harganya!
 Caravan kecil kami. Jazakillahukhayr kaktah for your kindness!


Ini adalah lokasi wajib jika ke Cornwall. Menurut kedudukan di peta England, Land's End adalah kawasan paling hujung di bahagian bawah, manakala kawasan paling hujung di bahagian atas ialah John O'groats. Oleh sebab yang demikian, ramai pelancong mengambil peluang datang ke sini sambil menikmati pemandangan yang sangat indah di tepi laut. Sayangnya, kabus sangat tebal dan hujan turun ketika kami tiba. Tapi sempat juga menikmati langit cerah sedikit sebelum kami bergerak ke tempat lain.


3. Minack Theatre

Ini juga adalah lokasi wajib jika ke Cornwall. Ia adalah dewan teater yang telah dibina pada 1931 di tepi laut, terbuka secara awam, di bawah inspirasi Rowena Cade, wanita kaya yang berhijrah ke England selepas WW1. Minack bermaksud kawasan berbatu, dan keseluruhan pentas dan tempat duduk pengunjung dibina dengan batu-batu berat yang kukuh. Sangat cantik. Cuma sedih di atas kekurangan upaya saya yang hamil 9 bulan ini dan kawasan yang licin, suami tidak membenarkan saya turun menikmati pentas tetaer daripada bawah. Mungkin ada hikmahnya..



Ada kawan yang pernah mengunjungi lokasi ini. Sangat cantik kerana ia adalah istana yang dibina di tengah laut, dan ada laluan untuk pejalan kaki. Sekiranya air naik, ada kapal kecil disediakan untuk pengunjung. Kami tiba di lokasi ini agak lewat petang. Air surut dan istana juga sudah ditutup. Sempat juga kami berjalan di tepi pantai dan menikmati pemandangan indah.  



Pada awalnya saya rasakan bayaran masuk adalah mahal tapi ia sangat berbaloi! Terutama dalam melepaskan kerinduan pada tanah air tercinta. Belian secara online lebih murah (£18 untuk pelajar & £22.50 untuk dewasa) sedikit berbanding walk ini, oleh itu perlu perancangan yang elok dan perjalanan di sini memakan masa agak lama dan menggunakan tenaga yang banyak untuk berjalan. Alhamdulillah ada bas yang disediakan darpada kawasan parking dan juga tren kecil di dalam kawasan ini. Sangat teruja. Sangat seronok. Dan saya galakkan rakyat Malaysia yang tinggal di UK untuk mengunjungi Eden Project. Air mata saya hampir menangis melihat kawasan kebun, lantas teringat kebun ayah yang dipenuhi pisang dan pokok-pokok lain. Panas didalamnya juga hampir sama dengan Malaysia. Malah ada 'cool room' disediakan bagi pengunjung yang tidak tahan dengan kepanasan hutan tropika. Bukan sahaja Malaysia, penggunjung juga dapat merasai bagaimana kehidupan di Afrika, Amerika dan negara-negara Mediterranean. Kagum dan puas hati.

Belimbing, bunga kantan, pokok serai, bunga raya, daun kunyit, lada, dan banyaaaaakk lagi pokok-pokok yang sukar ditemui di Tanah Inggeris ada di sini

Cool Room ini ada air-cond didalamnya, serta water coller bagi mereka yang kepanasan (termasuklah kami..)

6. Towan Beach

Kami hanya singgah beberapa minit sahaja di Towan Beach ini. Menurut seorang kawan, ada dua buah rumah yang dibina di atas bukit kicil dan ada jambatan yang menjadi penghubung jalan dua bukit di tepi laut ini. Cantik. Tetapi kepenatan yang amat untuk terus berjalan, hanya gambar ini sebagai kenangan...


7. St. Ives

Alhamdulillah dapat juga mengunjungi pantai di St. Ives. Sangat cantikkk. Cuaca pula Subhanallah terang benderang. Kami mengunjungi lokasi ini pada pagi hari terakhir sebelum pulang ke Birm. Ada banyak pantai di St. Ives ini, dan atas pertolongan  seorang pekerja di Visitor Information, kami mengunjungi pantai yang paling berhampiran. Sempat juga kami menikmati Cornish ice cream buat kali terakhir, dan Cornish scone yang sangat sedap.


8. Plymouth

Dalam perjalanan pulang ke Birm, kami singgah sebentar ke Plymouth untuk berjumpa rakan di USIM yang menymbung pengajian PhD dan perbankan Islam di Univeristy of Plymouth. Kisahnya ialah kami berdua temuduga pada hari yang sama, dan melaporkan diri di USIM pada hari yang sama, cuma fakulti kami sahaja berbeza. Sempat juga dia membawa kami meronda Plymouth sambil bercerita sejarah2 yang ada di Plymouth ini. 

Royal William Yard
Sempat juga menikmati makanan halal Kurdish di Plymouth

Alhamdulillah, biarpun mendapat beberapa ujian sebelum dan semasa percutian, hati saya tertinggal di Cornwall dek kecantikan alam yang dijadikan Tuhan. Nikmatilah setiap saat yang kita hadapi sekrang ini dan sentiasalah bersyukur dengan segala pemberian Tuhan. 

p/s: alangkah bahgianya kalau Birminghan ada pantai.....

Wednesday, 15 April 2015

Kisah Maryam

Bismillahirrahmanirrahim

Menyebut nama Maryam, saya pasti ramai yang kagum dengan wanita yang disebut-sebut di dalam al-Quran ini. Kisahnya bukan sahaja dikumpulkan khas di dalam satu surah yang diambil sempena namanya Maryam, malah telah diceritakan dahulu di dalam surah Ali-'Imran. Seluruh ahli keluarganya dikenali, dan anaknya Isa AS menjadi Rasul dan Nabi.

Maryam menjadi ibu dalam keadaan yang suci.

Dan ingatlah ketika Malaikat Jibril berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang semasa dengan kamu)" (3:42).

Kuasa "kun fayakun" Allah adalah kuasa terhebat di alam fana ini. "Apabila Allah SWT menghendaki sesuatu perkara itu terjadi, maka akan jadilah ia. Dia Maha Berkuasa di atas segala-galanya" (3: 47).

Maryam juga menjadi ibu dalam keadaan diuji.

Tiada suami untuk mengadu dan menjadi tempat bergantung, tetapi Allah lah satu-satunya tempat pengharapan dan memohon segala pertolongan. Allah yang mengatur segalanya sejak pertama kali benih bayi dihidupkan di dalam rahimnya, sehinggalah Maryam melahirkan bayi tersebut berseorangan (di mata kasar) tetapi ditemani reda, ilham dan kekuatan Ilahi. Kemudian diuji dengan cemuhan orang kampung yang tidak memahami. Dan anaknya dikurniakan mukjizat hebat, boleh berkata-kata sejak bayi, memelihara kehormatan ibunya sendiri..



Tuhan,
Sesungguhnya aku tidak sesuci dan semulia Maryam,
tetapi kurniakanlah diri ini kekuatan dan ketabahan Maryam
yang meletakkan Tuhan sebagai tempat pergantungan
yang mengutamakan Tuhan dan anaknya berbanding cemuhan
yang memelihara kesucian diri sehingga ke akhir hayatnya

Tuhan,
Semoga Kau ampuni dosa-dosaku
agar dipermudahkan hari yang ditunggu..

Perasaan Seorang Ibu

Bismillahirahmanirrahim

Masih menghitung hari. Perasaan berkecamuk, ada gembira, takut, sedih dan ianya kadang-kadang datang serentak pada waktu yang sama. Lebih-lebih lagi apabila sesi pertemuan dengan midwife semalam menyebabkan bayi perlu discan dan ujian darah mesti diambil disebabkan oleh kandungan iron yang berkurangan.

Kini saya mengerti bahawa apa pun yang berlaku, keselamatan bayi adalah paling utama. Menghampiri usia sembilan bulan, tidak sanggup rasanya jika ada perkara yang tidak diingini berlaku sehinggalah saya berjaya menatap wajahnya yang saya tungu-tunggu sekian lama.

Kini saya mengerti apakah itu perasaan seorang ibu. Sentiasa memikirkan kebaikan untuk anaknya terlebih dahulu.

Kini saya juga mengerti bahawa kebahagiaan seorang wanita itu bukanlah sekadar menjadi isteri, tetapi merasai nikmatnya menjadi seorang ibu.

Kini saya mengerti kasih-sayang seorang ibu itu mengatasi segalanya. 

Semoga Allah permudahkan semuanya..