Wednesday, 15 April 2015

Kisah Maryam

Bismillahirrahmanirrahim

Menyebut nama Maryam, saya pasti ramai yang kagum dengan wanita yang disebut-sebut di dalam al-Quran ini. Kisahnya bukan sahaja dikumpulkan khas di dalam satu surah yang diambil sempena namanya Maryam, malah telah diceritakan dahulu di dalam surah Ali-'Imran. Seluruh ahli keluarganya dikenali, dan anaknya Isa AS menjadi Rasul dan Nabi.

Maryam menjadi ibu dalam keadaan yang suci.

Dan ingatlah ketika Malaikat Jibril berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang semasa dengan kamu)" (3:42).

Kuasa "kun fayakun" Allah adalah kuasa terhebat di alam fana ini. "Apabila Allah SWT menghendaki sesuatu perkara itu terjadi, maka akan jadilah ia. Dia Maha Berkuasa di atas segala-galanya" (3: 47).

Maryam juga menjadi ibu dalam keadaan diuji.

Tiada suami untuk mengadu dan menjadi tempat bergantung, tetapi Allah lah satu-satunya tempat pengharapan dan memohon segala pertolongan. Allah yang mengatur segalanya sejak pertama kali benih bayi dihidupkan di dalam rahimnya, sehinggalah Maryam melahirkan bayi tersebut berseorangan (di mata kasar) tetapi ditemani reda, ilham dan kekuatan Ilahi. Kemudian diuji dengan cemuhan orang kampung yang tidak memahami. Dan anaknya dikurniakan mukjizat hebat, boleh berkata-kata sejak bayi, memelihara kehormatan ibunya sendiri..



Tuhan,
Sesungguhnya aku tidak sesuci dan semulia Maryam,
tetapi kurniakanlah diri ini kekuatan dan ketabahan Maryam
yang meletakkan Tuhan sebagai tempat pergantungan
yang mengutamakan Tuhan dan anaknya berbanding cemuhan
yang memelihara kesucian diri sehingga ke akhir hayatnya

Tuhan,
Semoga Kau ampuni dosa-dosaku
agar dipermudahkan hari yang ditunggu..

No comments:

Post a Comment